KENAIKAN harga bahan api global sering kali dilihat sebagai isu ekonomi makro yang memberi kesan langsung kepada kos sara hidup dan sektor pengangkutan.
Konflik berpanjangan di Asia Barat sejak 28 Februari lalu mengganggu rantaian bekalan tenaga dunia sekali gus menyebabkan lonjakan harga minyak mentah dan memberi tekanan kepada pelbagai sektor, walaupun semalam Presiden Amerika Syarikat (AS) mengumumkan penggantungan tindakan ketenteraan selama dua minggu terhadap Iran susulan perbincangan dengan pemimpin Pakistan.
Di Rantau Asia Tenggara, beberapa negara terpaksa mencatu bekalan minyak seperti di Thailand dan Indonesia.
Sementara Malaysia, kerajaan membentuk dasar bekerja dari rumah untuk penjawat awam bagi mengurangkan kos dan penggunaan bahan api. Namun, masih belum ada pihak yang melihat impak risiko kenaikan harga bahan api terhadap universiti dan institusi pengajian tinggi (IPT) dengan mendalam.
Pertama, kesan paling ketara adalah peningkatan kos operasi institusi. Universiti memerlukan penggunaan tenaga yang tinggi untuk menjalankan aktiviti harian seperti penyelenggaraan bangunan, penggunaan makmal, sistem pendingin hawa serta operasi kampus secara keseluruhan.
Kenaikan harga bahan api lazimnya mendorong peningkatan tarif elektrik dan kos logistik, sekali gus menambah beban kewangan kepada institusi yang sedia berdepan dengan kekangan bajet.
Dalam jangka panjang, universiti mungkin terpaksa menangguhkan naik taraf kemudahan atau mengurangkan peruntukan bagi aktiviti penyelidikan dan pembangunan.
Kedua, pelajar turut menerima tempias secara langsung melalui peningkatan kos sara hidup.
Kenaikan harga bahan api biasanya diikuti oleh peningkatan harga makanan, pengangkutan dan sewaan.
Bagi pelajar, khususnya daripada keluarga B40 dan M40, keadaan ini boleh menjejaskan keupayaan mereka untuk menampung perbelanjaan harian. Kos perjalanan pulang ke kampung, ulang-alik ke kampus dan perbelanjaan asas meningkat. Ini sekali gus memberi tekanan kepada kesejahteraan pelajar selain berpotensi menjejaskan prestasi akademik serta kadar keciciran.
Selain itu, sektor mobiliti akademik dan pengantarabangsaan turut terkesan. Program pertukaran pelajar, mobiliti staf akademik serta kerjasama penyelidikan antarabangsa sangat bergantung kepada kos perjalanan yang mampu milik.
Apabila harga bahan api meningkat, kos penerbangan melonjak dan seterusnya menghadkan penyertaan dalam program antarabangsa. Hal ini boleh memperlahankan usaha universiti di Malaysia untuk memperkukuh kedudukan global dan jaringan kerjasama strategik.
Dalam konteks penyelidikan pula, kenaikan kos bahan api memberi kesan tidak langsung kepada harga bahan mentah, peralatan dan logistik. Banyak projek penyelidikan, khususnya dalam bidang sains, kejuruteraan dan teknologi, bergantung kepada bahan import.
Peningkatan kos ini boleh mengehadkan skop kajian, melambatkan pelaksanaan projek atau mengurangkan daya saing hasil penyelidikan tempatan di peringkat antarabangsa.

BUKA PELUANG
Walau bagaimanapun, krisis ini juga membuka ruang kepada reformasi dan inovasi dalam sektor pendidikan tinggi namun, universiti perlu melihat keadaan ini sebagai pemangkin untuk mempercepatkan agenda kampus lestari.
Pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui seperti pemasangan panel solar di bangunan kampus, penggunaan sistem pengurusan tenaga pintar serta reka bentuk bangunan yang lebih cekap tenaga boleh mengurangkan kebergantungan kepada sumber tenaga konvensional.
Selain itu, pendekatan pembelajaran hibrid dan digital perlu diperkasakan secara strategik, bukan sekadar sebagai langkah sementara pasca pandemik. Bahkan, penggunaan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran boleh mengurangkan keperluan pergerakan fizikal, sekali gus menurunkan kos pengangkutan bagi pelajar dan kakitangan.
Namun, pelaksanaannya perlu disokong dengan infrastruktur digital yang kukuh serta latihan berterusan kepada tenaga pengajar.
Dari sudut dasar, kerajaan disaran memperkenalkan mekanisme sokongan yang lebih bersasar kepada sektor pendidikan tinggi. Antaranya termasuk pemberian geran khas kecekapan tenaga kepada universiti, insentif cukai bagi pelaburan dalam teknologi hijau serta peluasan bantuan kewangan kepada pelajar yang terkesan dengan kenaikan kos sara hidup.
Skim bantuan seperti subsidi pengangkutan atau baucar makanan khusus untuk pelajar IPT boleh dipertimbangkan bagi mengurangkan beban mereka.
Di peringkat institusi pula, universiti boleh mengambil langkah proaktif seperti mengoptimumkan penggunaan ruang dan jadual kuliah bagi mengurangkan penggunaan tenaga, memperkenalkan sistem perkongsian kenderaan dalam kalangan warga kampus serta memperluaskan perkhidmatan bas kampus yang cekap dan mesra alam.
Selain itu, kerjasama dengan industri dalam bidang tenaga boleh diperbaharui boleh membuka peluang pembiayaan alternatif serta memberi manfaat kepada penyelidikan dan latihan pelajar.
Tidak kurang penting ialah peranan pelajar sendiri dalam menyesuaikan diri dengan cabaran ini. Kesedaran terhadap amalan gaya hidup lestari seperti penggunaan tenaga secara berhemah, berkongsi pengangkutan dan mengurus kewangan secara bijak perlu dipupuk.
Pendidikan berkaitan kelestarian juga boleh diperkukuh dalam kurikulum sebagai usaha membentuk generasi yang lebih peka terhadap isu tenaga dan alam sekitar.
Kesimpulannya, kenaikan harga bahan api akibat konflik di Asia Barat bukan sahaja memberi kesan kepada ekonomi secara umum tetapi turut memberi implikasi yang signifikan kepada sektor pendidikan tinggi di Malaysia.
Walaupun cabaran ini menekan dari segi kos dan akses tetapi dalam masa sama membuka peluang untuk transformasi ke arah sistem pendidikan yang lebih lestari, cekap dan berdaya tahan.
Pendekatan yang holistik dan kolaboratif antara kerajaan, institusi, industri dan pelajar amat penting bagi memastikan kelangsungan serta kualiti pendidikan tinggi negara terus terpelihara dalam menghadapi ketidaktentuan global.-UTUSAN
DR. Muhammad Faris Abdullah ialah Pensyarah Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah, Kulliyyah Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar (KAED), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
PROFESOR Madya. Dr. Noor Suzilawati Rabe Pensyarah Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah, Kulliyyah Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar( KAED), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










