Husin Maidin sambung belacan warisan tok wan

Husin Maidin sambung belacan warisan tok wan

PEKERJA menghasilkan belacan di Perusahaan HM Belacan di Perlis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERMULA secara kecil-kecilan ketika masih berkhidmat dalam tentera, bekas anggota tentera, Husin Maidin kini meneruskan warisan keluarganya dengan mengusahakan pengeluaran belacan di Perlis.

Beliau yang berumur 78 itu berkata, penglibatannya dalam penghasilan belacan bermula ketika masih bekerja dengan kerajaan, dilakukan pada waktu cuti sebagai aktiviti sampingan.

“Waktu saya masih makan gaji dengan tentera, masa cuti saya buat belacan. Sambil-sambil itu, saya buat kecil-kecilan saja.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Waktu itu saya tidak berani nak buat besar sebab masih terikat dengan kerja sebagai anggota tentera. 

“Selepas berhenti, barulah saya boleh beri tumpuan lebih kepada penghasilan belacan,” katanya ketika ditemui di kilang Perusahaan HM Belacan dalam Program Lawatan Media Cuti-Cuti Malaysia Surreal Experiences Perlis anjuran Tourism Malaysia pada September lalu.

Menurutnya, selepas tidak lagi berkhidmat dalam tentera, beliau mula mendapatkan bekalan udang daripada pembekal untuk diproses menjadi belacan.

Katanya, kemahiran menghasilkan belacan itu turut diwarisi daripada keluarganya apabila datuknya atau lebih dikenali sebagai tok wan sebelum ini juga mengusahakan produk berkenaan.

“Tok wan saya dulu buat belacan, kemudian anak dia tidak sambung. Jadi saya yang sambung semula,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, jumlah pengeluaran kini bergantung kepada permintaan pelanggan dan tidak sama setiap hari.

“Biasanya ada 200 ketul, ada 300 ketul. Kalau pelanggan ramai, kadang-kadang boleh sampai 1,000 ketul. 

“Jadi memang tidak boleh tetapkan berapa banyak setiap hari sebab ikut tempahan,” ujarnya.

Dari segi jualan pula, Husin Maidin berkata, hasil jualan harian tidak menentu, namun boleh mencecah antara RM2,000 hingga RM3,000 sehari bergantung kepada permintaan.

“Untuk harga, saya jual sekitar RM2 bagi 200 gram. Kalau orang beli banyak pun, harga itu tetap RM2 untuk 200 gram,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, selain pelanggan biasa, terdapat juga pembeli yang mendapatkan belacan dalam jumlah besar untuk dijual semula.

“Sebahagian pelanggan pun ada yang mengambil produk saya secara pukal tapi menukarkan pembungkusan dan memasarkannya menggunakan jenama sendiri menerusi konsep pengilangan peralatan asal (OEM).

“Memang ada yang ambil banyak. Ada yang ambil 700 hingga 800 ketul, ada juga sampai 1,000 ketul, bergantung kepada tempahan,” katanya.

Beliau berkata, produk berkenaan turut dipasarkan secara dalam talian selain menerima tempahan daripada pelanggan yang memerlukan bekalan dalam jumlah lebih besar.

Mengenai bekalan bahan mentah, katanya, udang diperoleh daripada pembekal dan setakat ini mencukupi untuk memenuhi permintaan pelanggan.

“Bagaimanapun, faktor cuaca terutama hujan menjadi antara cabaran utama dalam mengendalikan perniagaan berkenaan kerana proses pengeluaran tidak dapat dilakukan seperti biasa.

“Masalah utama memang hujan. Kalau hujan berterusan, saya tidak boleh buat macam biasa. Pernah juga sampai empat hari saya tutup kedai.

“Bila hujan, kerja pengeluaran terganggu dan secara tidak langsung operasi pun terjejas,” katanya.

Husin Maidin tetap meneruskan perniagaan berkenaan kerana mahu mempertahankan warisan keluarga yang sudah lama dikaitkan dengan penghasilan belacan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini