Ego Trump terus membara di tengah api perang Iran

Ego Trump terus membara di tengah api perang Iran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERANG yang dimulakan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran masih berlarutan seolah-olah sukar untuk mencari jalan keluar dari konflik ini.

Presiden AS, Donald Trump begitu ego dan yakin dapat menundukkan Iran dalam masa beberapa hari. Kini, ternyata beliau dan sekutunya berdepan tekanan yang semakin besar bukan sahaja di negara sendiri malah negara lain turut menekannya agar segera menamatkan perang dengan Iran.

Namun, Trump masih menunjukkan keegoaannya untuk keluar dari kemelut perang tersebut.

Perang terus berlanjutan menjadi krisis yang lebih kompleks dan dunia semakin terkesan.

Krisis tenaga mula terasa dengan lonjakan harga minyak yang melambung naik. Trump dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menunjukkan ‘keras kepala’ walaupun banyak negara-negara Barat menjauh dengan tidak mahu terlibat dalam perang tersebut.

Sikap dingin beberapa negara Eropah seperti Sepanyol, Perancis dan Australia untuk menyokong AS bukan sahaja berpunca daripada keengganan mereka terheret ke dalam kancah perang tetapi juga sebagai reaksi terhadap tindakan yang tidak dirunding bersama sekutu.

Selain itu, pendekatan Trump yang dilihat meremehkan sekutu tradisional sejak kembali menjadi Presiden turut menyumbang kepada pendirian tersebut.

Trump juga menuduh negara-negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) sebagai pengecut kerana enggan membantunya dalam mengamankan Selat Hormuz yang menjadi ‘senjata’ dan strategi Iran untuk mengawal kapal-kapal AS dan sekutunya memasuki selat terpenting dalam urusniaga minyak dan gas global.

Setakat ini kejayaan AS dan Israel sukar diukur kerana realiti di lapangan berbeza dari apa yang dicanangkan kedua-dua negara itu.

Buktinya, peperangan telah berlarutan hampir sebulan dan usaha-usaha Trump untuk mengajak negara-negara Eropah lain bersamanya gagal. Selain itu, penguasaan Selat Hormuz dan serangan berterusan peluru berpandu Iran ke atas Israel dan pengkalan-pengkalan tentera AS di Asia Barat menjadi bukti negara itu belum berjaya dalam operasinya.

AS juga masih gagal untuk membuat sebarang perjanjian damai atau gencatan senjata dengan Iran.

Semua ini menunjukkan Iran sukar ditewaskan dan masih mampu memberikan tentangan segit kepada AS dan Israel. Ia juga menunjukkan Trump yang pada awal operasi ketentaraannya menjanjikan serangan singkat dan mengelakkan dari tindakan-tindakan yang merugikan kini terbukti tidak berupaya sepenuhnya mengendalikan konflik, apatah lagi tanpa strategi keluar dari perang.

Memetik Reuters pada 22 Mac lalu, bekas Perunding Asia Barat, Aaron David Miller, yang pernah bekerja dengan Republikan dan Demokrat menyebut Trump yang memulakan perang dengan Iran tidak mampu mencari jalan keluar sekali gus menjadi sumber kekecewaan yang besar buat Presiden AS itu.

Malah, sebahagian kakitangan White House juga menyarankan agar Trump segera mencari jalan keluar dengan membatasi ruang lingkup operasi tentera, namun belum dapat mempengaruhi keputusan presiden itu.

Kegagalan Trump untuk mengurus konflik perangnya dengan Iran menunjukkan kelemahan dan keterbatasan pengaruh beliau dalam bidang diplomatik, ketenteraan dan politik.

Malah, berlaku percanggahan pandangan antara AS dan Israel dalam serangan terhadap loji gas South Pars milik Iran yang mana Trump menyatakan tidak mengetahui tentang serangan Israel tersebut.

Sebaliknya Israel menegaskan serangan tersebut memang telah diputus dan dikoordinasikan dengan AS.

 

SEBAHAGIAN besar rakyat Amerika Syarikat (AS) menunjukkan protes dan kemarahan terhadap Donald Trump. -AFP

 

 

Trump kini berdepan kesan politik yang merugikan jawatannya sebagai presiden dan Parti Republikan yang diterajuinya. Malah, dukungan sebagian besar pendukungnya boleh berubah jika harga bahan bakar terus meningkat dan lebih banyak tentera Amerika yang dikirim ke Teluk menjadi korban dalam pertempuran melawan Iran.

Sebahagian besar rakyat AS menunjukkan protes dan kemarahan terhadap Trump.

Ekonomi banyak negara di dunia turut terjejas teruk akibat perang yang berlarutan ini. Namun, Trump dengan angkuhnya terus mengerahkan ribuan pasukan tambahan untuk terus menyerang Iran walaupun negara Islam itu memberi tentangan sengit.

Trump mendakwa banyak pemimpin tertinggi angkatan bersenjata Iran terkorban dalam operasi pembunuhan terarah dan sebahagian besar armada laut Iran ditenggelamkan, manakala sebahagian besar persenjataan peluru berpandu balistik Iran dihancurkan.

Trump juga mahu berusaha menguasai pusat ekspot minyak Iran di Pulau Kharg, namun tindakan itu boleh mengheret AS ke dalam komitmen militer jangka panjang, selain berkemungkinan besar berisiko tinggi buat tentera AS memasukinya. Sikap defensif yang dipertahankan Trump itu hakikatnya adalah keegoannya sendiri dan cuba menyembunyikan kesukarannya berdepan dengan Iran.

Trump cuba menyakinkan operasi ketenteraan yang dilancarkannya berjalan mengikut rencana yang ditetapkan walaupun realitinya beliau kini berada di persimpangan dalam operasi ketenteraan yang tidak terarah dan jelas.

Iran pula berterusan membalas dengan meluncurkan pelbagai jenis peluru berpandu untuk mengimbangi kekuatan musuhnya, memperkukuh penguasaannya ke atas Selat Hormuz yang menjadi jalur laluan sekitar seperlima kapal minyak dan gas dunia.

Iran juga menanti pertempuran darat dengan tentera AS yang dijangka akan memberi tentang sengit ke atas operasi tentera darat di bumi Iran yang bergunung ganang itu.

Hakikatnya setakat ini setelah hampir sebulan peperangan berlaku Trump masih belum mampu menyelesai konflik dan mencari jalan keluar secara efektif dan konstruktif.

Trump juga semakin kelihatan tertekan apabila berdepan dengan media dan melontarkan tuduhan tanpa bukti kononnya berlaku pengkhianatan terhadap laporan yang merugikan keupayaan perang AS.-UTUSAN

PENULIS ialah penganalisis sosiopolitik bebas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN