‘Dulu bersuara sebagai pendesak, kini ruangnya berbeza’

‘Dulu bersuara sebagai pendesak, kini ruangnya berbeza’

ADAM ADLI ABD. HALIM. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
SUARA yang pernah dibawa gerakan mahasiswa dan aktivis seperti ADAM ADLI ABD. HALIM yang lantang memperjuangkan pemansuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), mahukan pendidikan percuma serta reformasi terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) ‘membayangi’ Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi (KPT) itu apabila rakyat mula mempersoalkan sejauh mana idealisme tersebut benar-benar diterjemahkan selepas kuasa politik berubah tangan.

Beliau sedar rakyat hari ini tidak lagi sekadar mendengar janji tetapi mula menuntut pelaksanaan terhadap gagasan reformasi yang suatu ketika dahulu hanya hidup dalam ruang aktivisme.

Dalam temu bual bersama wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan ASLINDA NASIR, beliau memberitahu bahawa beliau tidak pernah sama sekali ‘mendiamkan’ tuntutan tersebut sebaliknya tetap bersuara cuma di ruang yang berbeza.

Dalam masa sama, sebagai Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka, beliau memberitahu Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini bukan lagi sekadar pertandingan kerusi tetapi medan ujian sama ada politik perubahan masih mempunyai makna, atau sekadar retorik yang diulang di setiap musim pilihan raya.  Temu bual ini turut disertai jurufoto, AMIR KHALID dan juruvideo, MOHD. KAMARUL HASIFI.

UTUSAN: Sejak pelantikan sebagai Timbalan Menteri, pelbagai reaksi masyarakat timbul termasuk komen negatif, malah terdapat mahasiswa yang menyerahkan memorandum membantah. Apakah penjelasan YB mengenai situasi dan persepsi ini?

ADAM ADLI: Pandangan terhadap saya perlu dilihat dalam beberapa lapisan. Dari sudut komentar ilmiah, memang wujud perbincangan terbuka sama ada sesuai atau tidak saya berada di KPT, termasuk dalam audio siar yang menyentuh latar belakang serta jangkaan terhadap peranan saya.

Bagi saya, perkara ini membina kerana mencerminkan persepsi masyarakat yang peka terhadap politik dan pentadbiran, sekali gus menjadi peringatan tentang tanggungjawab yang sedang dipikul.

Saya sedar latar belakang sebagai bekas aktivis pelajar membentuk persepsi awal dan jangkaan tertentu terhadap saya, termasuk kaitan dengan agenda yang pernah diperjuangkan dahulu.

Dalam ruang media sosial pula, pelbagai komen dan tafsiran adalah perkara biasa dan tidak perlu terlalu dibebani kerana boleh menjadi tekanan yang tidak perlu.

Saya datang dengan prinsip sendiri dan tidak bergantung kepada komen positif atau negatif untuk menentukan hala tuju kerja. Kritikan paling penting ialah disiplin diri, berpandukan prinsip yang saya pegang sejak zaman gerakan mahasiswa.

Dulu saya bersuara sebagai pendesak, kini ruangnya berbeza iaitu dalam dasar dan pelaksanaan. Pendirian saya terhadap isu seperti PTPTN dan AUKU tidak berubah dari segi matlamat, cuma pendekatannya kini lebih kepada ruang membuat keputusan dan perubahan yang lebih langsung.

Kalau dilihat daripada desakan dan isu yang pernah dibawa sebelum ini masih tidak tertunai walaupun YB kini berada di KPT, tidakkah ia memberi kesan kepada kerjaya politik YB?
Mana-mana ahli politik pun faham nilai kepercayaan itu sangat penting. Satu-satunya yang saya perlu dan harus lakukan adalah usaha dan tindakan, ia tidak boleh hanya bercakap sahaja tapi respons dalam libat urus.

Bila ada dialog, interaksi yang lebih jelas, bermakna dan lebih substantif, akhirnya semua orang akan faham.

Kita tidak boleh baiki sentimen masyarakat. Contoh, kita boleh katakan dalam isu PTPTN, mahu pendidikan percuma. Hari ini sebenarnya telah dilakukan, tapi adakah ia disambut?

Orang sering mengaitkan YB dengan isu PTPTN, apa sebenarnya yang boleh dilakukan untuk isu PTPTN bila kini berada di KPT?
Isu PTPTN ini sebenarnya kompleks, ia tidak boleh dirungkai dengan satu patah kata seperti “mansuh PTPTN” sahaja. Bila kita tanya pun, maksud “mansuh PTPTN” itu sendiri pelbagai. Ada yang maksudkan institusi itu dimansuhkan, ada yang merujuk pemansuhan hutang dan macam-macam lagi tafsiran.

Kita perlu kembali kepada matlamat asal, iaitu memastikan akses kepada pendidikan tinggi dapat dinikmati oleh semua, khususnya golongan yang tidak berkemampuan.

Bagi saya, fokus utama ialah bagaimana kita kurangkan kebergantungan pelajar hanya kepada PTPTN semata-mata. Maksudnya, kita perlu perluas lebih banyak pilihan seperti biasiswa dan bentuk bantuan lain.

Yang kedua, kita kena lihat juga isu eksploitasi terhadap PTPTN. Kita kena akui, ini bukan perkara baharu tetapi sudah berlaku sejak dahulu.

Ada ramai pelajar yang akhirnya tidak mendapat manfaat sepenuhnya daripada pendidikan yang mereka lalui, atas pelbagai faktor. Apa yang berlaku, pendidikan yang sepatutnya membawa kepada kehidupan yang lebih baik tidak semestinya tercapai. Sebaliknya, ada yang terbeban dengan hutang.

Ini sebenarnya satu perkara yang kita kena tangani dengan serius. Bukan hanya terhad kepada isu PTPTN semata-mata tetapi juga berkait dengan soal kualiti pendidikan, legitimasi program, serta bagaimana menangani isu seperti kerja tidak sepadan, kebolehpasaran graduan dan sebagainya.

Penyelesaian ini tidak boleh bersifat terlalu simplistik. Kita perlu buka ruang yang lebih besar dan cari penyelesaian jangka panjang dan menyeluruh.

Dalam tempoh sekitar tiga tahun ini, kalau tanya saya secara realistik, jumlah yang perlu dikeluarkan daripada kantung kerajaan untuk merealisasikan pendidikan percuma memang agak tinggi dan perlukan komitmen fiskal yang besar.

Dalam keadaan ekonomi yang masih dalam pemulihan, ketidakstabilan politik, kesan pandemik dan sebagainya, itu bukan perkara mudah.

Tapi kerajaan berani melaksanakan langkah ke arah itu. Kita bercakap tentang pendidikan percuma untuk golongan yang memerlukan, lebih kurang 10,000 orang, 3,000 untuk orang kurang upaya (OKU). Itu satu komitmen nyata.

Jadi tidak adil kalau kita kata usaha ini tidak ada apa-apa hasil. Kita tidak minta pujian, tapi sekurang-kurangnya perlu akui langkah itu sudah dimulakan.

Dalam masa sama, kita juga tidak menafikan PTPTN memang perlu ditambah baik. Kita tidak pernah menolak keperluan untuk penambahbaikan sistem pembiayaan pendidikan ini.

Sebab realitinya, pendidikan tinggi memang mahal. Kita ada beberapa mekanisme seperti PTPTN sendiri, biasiswa dan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) untuk galakkan simpanan awal. Kalau kita dapat bina budaya kesedaran dari awal, itu lebih baik.

Saya lihat generasi hari ini, khususnya ibu bapa muda, sudah ada kesedaran yang lebih tinggi. SSPN sudah mencecah lebih RM20 bilion dalam simpanan. Itu satu perkembangan yang baik, kerana ia mula mengimbangi kebergantungan kepada pinjaman.

Dengan kos sara hidup yang tinggi, perlukah rasanya jumlah pinjaman PTPTN ditambah?
Sebab itu penting untuk kita kemas kini data-data ini. Kita memang terbuka untuk pastikan keperluan paling asas pelajar dapat dipenuhi.

Yang paling utama, pelajar mesti cukup pembiayaan untuk mereka tamatkan pengajian. Kalau boleh, ada sedikit lebihan supaya mereka boleh sara diri.

Sara diri ini pula ada banyak komponen. Pertama, yuran mesti selesai. Kedua, makan. Ketiga, tempat tinggal. Keempat, pengangkutan.

Saya juga tidak mahu bebankan pelajar sampai mereka terpaksa bekerja sambil belajar secara berlebihan. Sebaliknya, kita boleh bentuk ekosistem universiti yang lebih menyokong.

Contohnya, inisiatif Dapur Siswa. Mungkin nampak kecil tapi ini langkah awal yang penting supaya pelajar ada akses kepada makanan asas.

Kemudian soal penginapan. Kita perlu lihat semula bagaimana nak wujudkan ekosistem yang lebih kondusif untuk pelajar.

Saya rasa kita perlu kerjasama lebih luas termasuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebab banyak perkara ini melibatkan isu bandar, perumahan dan kawalan sewa.

Kalau boleh, kita cari mekanisme supaya kawasan sekitar universiti itu ada kawalan sewa yang lebih munasabah. Ini penting terutama di kawasan yang padat pelajar. Ia boleh dalam bentuk inisiatif dasar atau kawalan sewa.

Begitu juga dengan kerjasama dengan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan penyedia pengangkutan awam lain.

Komen YB tentang isu Malaysia banyak melahirkan ‘profesor kangkung’?
Kita dapat melihat satu trend kebelakangan ini apabila masyarakat mula mempersoalkan perkara yang dirasakan tidak kena, khususnya berkaitan kelayakan akademik seperti doktor falsafah. Kesedaran ini sebenarnya sesuatu yang positif.

Tidak kira sama ada dalam kalangan masyarakat terdidik, warga akademik atau orang awam, kepekaan terhadap isu integriti menunjukkan masyarakat mahu memastikan institusi pendidikan tinggi terus terpelihara maruah dan kredibilitinya.

Di peringkat KPT, semakan dan pemantauan terhadap proses akademik sentiasa dilaksanakan. Setiap isu yang timbul, khususnya yang menjadi perhatian awam, akan diteliti dan disemak bersama pihak universiti.

Proses ini bukan perkara baharu kerana kepimpinan kementerian sendiri mempunyai pengalaman luas dalam dunia akademik dan memahami bagaimana sistem universiti berfungsi.

Setiap isu akan disiasat secara telus dan tindakan akan diambil jika terdapat pelanggaran.

Sebagai Pemangku Pengerusi MPN PKR Melaka, bagaimana perkembangan gerak kerja bagi berdepan PRN Melaka tidak lama lagi?
Kerjasama politik antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) melibatkan pelbagai pertimbangan, antaranya keperluan untuk memastikan kestabilan politik. Ini penting bagi menjamin kesinambungan antara pentadbiran negeri dan Persekutuan dapat berjalan dengan baik.

Di Melaka, walaupun BN memiliki majoriti lebih dua pertiga untuk membentuk kerajaan, namun langkah awal Ketua Menteri ketika itu untuk mewujudkan kerjasama perpaduan tetap disambut baik.

Ia mencerminkan usaha memastikan kesinambungan pentadbiran serta selari dengan semangat perpaduan di peringkat nasional.

Hasilnya, kestabilan politik dapat dinikmati, sekali gus menyumbang kepada kestabilan sosial dalam masyarakat.

Walaupun pelbagai isu seperti agama dan kaum sentiasa wujud, ia masih boleh diurus dengan baik berlandaskan dasar dan tindakan kerajaan. Dalam masa sama, kestabilan ini turut menyokong pertumbuhan ekonomi. Unjuran pertumbuhan negara menunjukkan prestasi memberangsangkan, manakala

Melaka sendiri terus menarik pelaburan walaupun bersaiz kecil dan tidak hanya bergantung kepada sektor pelancongan.

Kestabilan ini memberi keyakinan kepada peniaga untuk menjalankan perniagaan dengan tenang serta menghantar isyarat positif kepada pelabur luar.

Dalam keadaan dunia yang kembali berdepan krisis ekonomi, keutamaan harus diberikan kepada usaha memperkukuh negara, bukan mencetuskan perpecahan politik.

Pengalaman ketika pandemik menunjukkan bagaimana krisis politik boleh memburukkan lagi keadaan. Justeru, kepimpinan memerlukan kematangan dengan meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan politik.

Walaupun wujud perbezaan antara parti-parti seperti PH dan BN, jalan tengah perlu dicari demi kebaikan rakyat dan negara.

Kini, semua parti politik utama telah melalui pengalaman mentadbir negara, sekali gus menuntut pendekatan politik yang lebih matang.

Politik tidak seharusnya lagi berasaskan kaum semata-mata, sebaliknya perlu menawarkan penyelesaian yang menyeluruh merangkumi aspek ekonomi, sosial dan masa depan negara. Fokus harus diberikan kepada dasar, keupayaan mengurus krisis serta tawaran kepimpinan yang jelas.

Dalam konteks semasa, kerajaan terus mengambil tanggungjawab untuk memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara, termasuk mengekalkan harga minyak pada kadar stabil.

Langkah ini bukan sekadar memenuhi janji tetapi bertujuan memastikan kehidupan harian rakyat tidak terjejas. Akhirnya, keutamaan harus kekal pada soal kelangsungan hidup rakyat dan inilah yang perlu menjadi asas penilaian serta tawaran dalam landskap politik negara.

Adakah isu membabitkan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin akan dilihat sebagai liabilti dalam PRN ini?
Kita perlu memberi ruang dan peluang kepada semua pihak yang terlibat untuk mencapai keadilan, iaitu mencari kebenaran melalui proses yang sewajarnya. Perkara ini telah diserahkan sepenuhnya kepada sistem dan prosedur yang sedia ada.

Pendirian yang ditunjukkan jelas tiada sesiapa pun mengatasi undang-undang, tanpa mengira jawatan atau kedudukan. Prinsip menghormati undang-undang bukan sekadar retorik tetapi dilaksanakan secara konsisten.

Jika terdapat sebarang keraguan atau perkara yang memerlukan siasatan, maka ia perlu disiasat tanpa halangan. Tiada mana-mana individu akan dilindungi daripada tindakan undang-undang sekiranya wujud asas yang kukuh.

Walaupun situasi seperti ini mungkin menimbulkan persepsi kurang enak dalam kalangan masyarakat, pendekatan yang diambil tetap berpegang kepada prinsip keadilan dan ketelusan. Kes yang melibatkan proses mahkamah juga perlu ditangani dengan berhati-hati agar tidak menimbulkan salah tafsir.

Apa yang penting, tidak wujud sebarang layanan berbeza atau double standard dalam pelaksanaan undang-undang. Sama ada melibatkan individu awam atau mereka yang berada dalam politik dan pentadbiran, proses siasatan dijalankan secara adil dan saksama.

Akhirnya, keutamaan adalah memastikan keadilan dapat ditegakkan. Dengan adanya sistem kehakiman yang bebas, proses undang-undang perlu dibiarkan berjalan tanpa campur tangan, demi memastikan kebenaran dapat dicapai.

Komen tentang pertelingkahan antara Datuk Seri R. Ramanan dan Datuk Seri Rafizi Ramli, perlukah ‘drama’ ini berterusan, tidakkah ia memburukkan parti?
Dalam parti, perbezaan pandangan dan pertelingkahan adalah perkara biasa. Apa yang tular di media sosial tidak semestinya mencerminkan keadaan sebenar. Dari sudut disiplin, struktur dan proses parti tetap berjalan seperti biasa.

Apabila lembaga disiplin meminta penjelasan, semua pihak memberikan kerjasama. Ini menunjukkan walaupun terdapat perbezaan, disiplin parti masih terpelihara dan mekanisme dalaman terus berfungsi.

Pada masa sama, parti perlu jelas tentang keutamaan. Dalam keadaan semasa, fokus utama adalah mengurus negara dengan baik. Hakikatnya, kerajaan ditadbir oleh parti politik, maka kestabilan parti secara langsung mencerminkan kestabilan kerajaan.

Oleh itu, sebarang perbezaan perlu diurus secara dalaman tanpa menjejaskan keyakinan awam. Kritikan tidak dihalang tetapi disiplin tetap perlu diperkukuh.

Walaupun terdapat polemik tertentu yang mungkin memberi kesan kepada persepsi awam, parti masih bergerak seperti biasa. Ia bukan krisis selagi tidak membawa kepada perpecahan.

Perbezaan seperti Team A atau Team B adalah lumrah dalam mana-mana parti, namun akhirnya semua kembali memainkan peranan masing-masing dalam kepimpinan dan pentadbiran.

Sokongan di peringkat akar umbi juga kekal kukuh, sebagaimana dibuktikan melalui kehadiran memberangsangkan dalam program-program parti. Ini menunjukkan walaupun berdepan cabaran, kekuatan dalaman parti masih utuh dan mampu bergerak ke hadapan dengan keyakinan.

Tapi perlukah membuka ‘pekung’ parti pada umum?
Saya tidak mahu mengulas mana-mana individu secara khusus. Secara umum, sejak awal penglibatan dalam parti, disiplin menjadi asas utama sama ada disiplin organisasi mahupun disiplin ahli.

Nilai ini terus dipegang dan fokus saya bukan untuk bergaduh dengan sesiapa kerana tanggungjawab sedia ada sudah besar.

Parti tidak perlu berasa takut dengan apa-apa keadaan kerana mempunyai asas dan pengalaman yang kukuh. Jika ada perkara yang dibangkitkan, ia terpulang kepada proses masing-masing, namun keadaan asas parti tidak berubah.

Kita perlu melihat isu ini dengan matang berdasarkan perjalanan panjang perjuangan serta tanggungjawab yang dipikul hari ini.

Mereka dalam parti hari ini mewarisi hasil perjuangan terdahulu, justeru amanah perlu dijaga bukan sahaja kepada parti dan penyokong tetapi juga kepada masyarakat. Kesedaran untuk menolak perkara yang tidak betul masih kukuh dalam kalangan kepimpinan parti.

Dalam masa sama, prinsipnya jelas, jika ada asas, siasatan perlu diteruskan tanpa mengira kedudukan dan tiada sesiapa dilindungi. Ini selari dengan komitmen terhadap integriti dan ketelusan dalam tadbir urus.

Akhirnya, sebarang kritikan perlu dilihat sebagai peringatan untuk memperbaiki diri. Apa yang penting ialah terus berpegang kepada nilai amanah dan integriti dalam setiap tindakan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN