ALHAMDULILLAH, hari ini kita berada pada 16 Ramadan. Sesungguhnya masa amat pantas berlalu. Kini, tinggal bagi 14 atau 13 hari sahaja untuk kita memperhebatkan amalan. Lebih-lebih lagi dalam membuat persediaan untuk malam al-qadar pada 10 terakhir Ramadan.
Sedar atau tidak, Ramadan yang penuh dengan keberkatan semakin hari semakin meninggalkan kita. Rugilah bagi mereka yang tidak memberi perhatian dan tidak bersungguh-sungguh melakukan amal kebaikan sepanjang penghulu segala bulan ini.
Ingatlah puasa Ramadan itu matlamatnya adalah mudah-mudahan kita menjadi orang yang bertakwa. Ia sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang dahulu daripada kamu, mudah-mudahan kamu bertakwa. (al-Baqarah: 183)
Selain terbuka luas peluang untuk kita beribadat, seperkara yang mesti diberi perhatian adalah Ramadan atau puasa juga masa mustajab berdoa. Berikut adalah lima waktu mustajab doa:
- Waktu Sahur
Sahur sering dianggap sekadar rutin untuk mengisi perut sebelum memulakan puasa. Namun waktu inilah yang sebenarnya membuka peluang besar untuk berdoa kerana termasuk dalam sepertiga malam terakhir, iaitu saat yang paling sesuai bermunajat.
Nabi Muhammad SAW bersabda: “Pada sepertiga malam terakhir, Allah dengan kemurahan dan kasih sayang-Nya melimpahkan rahmat-Nya kepada makhluk-Nya, lalu Dia berfirman: ‘Sesiapa yang berdoa kepada-Ku, Aku akan perkenankan. Sesiapa yang meminta kepada-Ku, Aku akan berikan, dan sesiapa yang memohon keampunan, Aku akan mengampuninya.” (Riwayat Bukhari)
- Sepanjang hari berpuasa
Sepanjang hari berpuasa juga adalah waktu mustajab untuk berdoa. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Tiga doa yang tidak akan ditolak: doa seorang yang berpuasa sehingga dia berbuka, doa pemimpin yang adil dan doa orang yang dizalimi.” (Riwayat. Ibnu Majah)
Ini bermakna setiap detik dalam keadaan berpuasa adalah peluang untuk berdoa dan memohon pertolongan serta keberkatan daripada Allah SWT. Sama ada sedang bekerja, belajar atau berehat, setiap Muslim boleh mengambil kesempatan ini dengan memperbanyakkan doa dalam hati atau secara lisan.
Selain itu, antara amalan orang soleh apabila mempunyai hajat tertentu mereka akan puasa atau bermusafir. Mengapa doa orang bermusafir itu mustajab?
Allah SWT memustajabkan doa insan ini kerana bermusafir itu adalah salah satu ibadah dan jika mempunyai tujuan yang baik. Selain itu, orang bermusafir juga bakal menghadapi risiko yang tinggi oleh sebab ketidakpastian perjalanan, cuaca, dan keselamatan. Dalam situasi ini, doa akan menjadi lebih tulus dan berharap kepada perlindungan Allah SWT.
- Saat berbuka puasa
Waktu berbuka puasa yang kita tunggu-tunggu sebagai waktu menikmati hidangan selepas seharian menahan lapar dan dahaga juga mustajab berdoa. Pada ketika inilah doa-doa juga berada paling hampir untuk dimakbulkan.
Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu ketika saat dia berbuka, terdapat doa yang tidak akan ditolak.” (Riwayat.Ibnu Majah)
Justeru sebelum menyuap makanan pertama, ambillah masa sekitar dua atau tiga minit untuk berdoa dengan penuh pengharapan dan keikhlasan.
- Ketika sujud dalam solat
Sujud adalah antara saat paling utama dalam solat kerana pada ketika itu seorang hamba berada paling dekat dengan Allah SWT.
Rasulullah SAW bersabda: “Seorang hamba paling dekat dengan Tuhannya ialah ketika dia dalam keadaan sujud, maka perbanyakkanlah doa.” (Riwayat Muslim).
Jadi ketika sujud, kita disunatkan memperbanyakkan doa dan permohonan kepada Allah SWT, sama ada memohon keampunan, hidayah, mahupun segala kebaikan dalam kehidupan.
Namun demikian, doa ketika sujud hendaklah dilakukan mengikut adab dan ketetapan solat.
Bagi mereka yang mampu, doa dalam bahasa Arab adalah lebih utama dan dituntut.
Bagi yang belum mampu melafazkan doa dalam bahasa Arab, maka cukuplah dengan berdoa di dalam hati tanpa melafazkannya dengan lidah bagi menjaga kesempurnaan dan kesahihan solat. Kesempatan ini wajar dimanfaatkan sebaik mungkin, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan yang penuh rahmat dan keampunan.
- Malam al-Qadar
Salah satu keistimewaan terbesar Ramadan ialah kehadiran Lailatul Qadar, malam yang nilainya mengatasi 1,000 bulan. Allah SWT sendiri menegaskan perkara ini dalam firman-Nya yang bermaksud: …bahawa Lailatul Qadar lebih baik daripada 1,000 bulan. (al-Qadr: 3)
Baginda Nabi SAW turut mengingatkan keagungan malam ini sebagaimana sabdanya: “Barang siapa yang beribadah pada malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan mengharap pahala, maka diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Bagi golongan lelaki, anda mempunyai satu lagi peluang berdoa pada waktu mustajab ketika menghaidiri solat Jumaat.
Waktu yang dimaksudkan adalah ketika khatib duduk di atas mimbar sehingga selesainya solat. Ia berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Musa al-Asy’ari.
Daripada Abu Musa al-Asy’ari bahawa beliau mendengar Nabi SAW bersabda apabila beliau ditanya oleh Ibn Umar tentang waktu yang mustajab tersebut: Maksudnya: Adakah kamu pernah mendengar ayahmu meriwayatkan hadis daripada Rasulullah berkenaan satu waktu (mustajab) pada hari Jumaat?”. “Ya, aku pernah mendengarnya”. Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Ia adalah di antara duduknya imam sehingga selesainya solat didirikan”. (Riwayat Muslim)
Selain itu, Nabi SAW juga bersabda yang bermaksud :”Waktu siang hari Jumaat mempunyai 12 jam, di antaranya ada satu waktu jika seorang Muslim memohon sesuatu pada ketika itu, nescaya Allah akan perkenankan permohonannya, Dan carilah waktu itu pada waktu-waktu akhir selepas waktu asar.” (Riwayat An-Nasaie)

Untuk itu, marilah kita sama-sama merebut peluang dalam kesempatan usia yang diberikan Allah SWT kepada kita untuk melipat-gandakan amalan soleh. Tidak kita sama ada banyak bersedekah, berselawat atau melakukan ibadat khusus seperti solat fardu dan solat sunat serta membanyakkan membaca dan mentadabbur al-Quran.
Paling penting, jangan jadi orang yang rugi dalam Ramadan. Rasulullah SAW pernah mengingatkan tentang golongan yang rugi dalam Ramadan, iaitu mereka yang melalui bulan ini tanpa mendapat keampunan Allah.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Rugilah buat seseorang yang telah masuk ke dalam bulan Ramadan sehingga berlalulah ia sedangkan dosanya tidak diampunkan.” (Riwayat al-Tirmidzi)
Antara yang termasuk dalam kerugian adalah mereka yang tidak bersahur, tidak beristighfar memohon keampunan Allah, yang melakukan maksiat dan yang tidak berdoa ketika berbuka puasa.
Termasuk dalam golongan yang rugi adalah mereka yang berpuasa hanya pada zahirnya, sebaliknya tidak menjaga akhlak dan tutur kata.
Rasulullah SAW bersabda: “Boleh jadi orang yang berpuasa itu tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan lapar dan boleh jadi orang yang berqiyam itu tidak mendapat apa-apa daripada qiyamnya melainkan hanya berjaga malam”. (Riwayat. Ibnu Majah)
MOHD. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia.










