MUKADIMAH
PROJEK Sambungan Lebuhraya Baru Pantai (NPE2) bertujuan untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas yang sering berlaku di Pantai Dalam, Bangsar dan jalan raya berhampiran dengannya terutamanya ketika waktu puncak apabila ia menjadi laluan pilihan pengguna untuk masuk dan keluar dari Kuala Lumpur.
Ketua Pegawai Eksekutif Divisyen Tol IJM, CHUA LAY HOON mengakui, kesesakan itu menunjukkan bahawa lebuhraya NPE yang beroperasi sejak 2004 iaitu lebih 20 tahun lalu sudah tidak dapat menampung jumlah kenderaan dan aliran trafik sedia ada.
Justeru, projek sambungan sepanjang 6.4 kilometer ini perlu dibina dan akan mengambil masa selama 48 bulan, bermula dari fasa reka bentuk dari suku tahun ketiga 2025 dan keseluruhan pembinaan dijangka siap sepenuhnya menjelang penghujung 2029.
Projek ini dibıayai sepenuhnya dan dilaksanakan oleh New Pantai Expressway Sdn. Bhd. (NPE), sebuah anak syarikat milik penuh IJM Corporation Berhad, tanpa sebarang peruntükan kewangan tambahan daripada kerajaan.
Ikuti temubual beliau bersama wartawan Utusan Malaysia, OMAR ZIN dan ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI dan jurufoto SADDAM YUSOFF di pejabatnya baru-baru ini.
UTUSAN: Boleh jelaskan rasional di sebalik pembinaan Projek NPE2 ini?
Projek ini bertujuan untuk meningkatkan kesalinghubungan lebuh raya dengan menghubungkan NPE sedia ada ke cadangan lebuhraya Laluan Istana-Kiara Expressway (LIKE) dan lebuhraya sedia ada iaitu Lebuhraya Sungai Besi (Besraya). la dijangka mengurangkan kesesakan di Jalan Pantai Dalam, Jalan Bangsar, Jalan Syed Putra dan persimpangan
Jalan Istana, dengan menyuraikan trafik keluar masuk ke Bangsar. Projek ini menyokong konsep interconnected highway Pelan Induk Trafik Kuala Lumpur (PITKL) 2040 oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), membolehkan trafik melalui pusat bandar disuraikan dengan lebih berkesan dan menyediakan laluan alternatif.
Sejauh mana kesesakan trafik ini dapat dikurangkan?
Dengan pembukaan NPE2, trafik dapat disuraikan sehingga 40 peratus daripada jumlah kenderaan yang biasanya melalui Jalan Bangsar, sekaligus meningkatkan tahap perkhidmatan jalan yang sibuk kepada yang lebih lancar.
Ini bukan sahaja menjimatkan masa perjalanan sehingga 25 minit bagi pengguna, tetapi juga membantu memastikan aliran trafik lebih teratur dan selamat. Pada masa yang sama, kelancaran pergerakan kenderaan ini menyokong produktiviti ekonomi dengan membolehkan pergerakan barangan, perkhidmatan dan pekerja lebih efisien, sekaligus memberi manfaat kepada masyarakat dan perniagaan di kawasan bandar.
Berapa anggaran kos keseluruhan projek NPE2 dan bagaimana struktur pembiayaannya?
Kos pembangunan dianggarkan RM1.7 bilion termasuk kos pengambilan tanah. Ia dibiayai sepenuhnya oleh pihak NPE melalui model Kerjasama Awam-Swasta (PPP) tanpa peruntukan kerajaan.
Dengan ketidaktentuan ekonomi dan global, adakah berkemungkinan kos projek ini akan meningkat?
Peningkatan kos pembinaan adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan, justeru pembinaan NPE2 perlu dijalankan mengikut jadual tanpa kelewatan, kerana kos kenaikan telah diambil kira dalam perancangan.
Untuk mengelakkan kos tidak dijangka, sokongan semua pihak amat penting, memandangkan NPE2 adalah projek yang dirancang untuk manfaat rakyat khususnya pengguna lebuh raya. NPE2 dijangka akan melihat peningkatan jumlah kenderaan menjelang 2030, yang membantu memastikan unjuran trafik dapat dicapai.
Adakah projek NPE2 ini akan mempunyai laluan tol?
Projek ini turut melibatkan pembinaan Plaza Tol Syed Putra yang baharu dengan penyediaan infrastruktur yang direka bentuk agar bersedia menyokong pelaksanaan sistem tol tanpa henti berasaskan Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF) pada masa hadapan.
Selain itu, penstrukturan semula tol Lebuhraya NPE akan menjimatkan peruntukan kerajaan sebanyak RM191 juta dan memastikan kestabilan kewangan projek sehingga tamat tempoh konsesi.
Apa jaminan Projek NPE2 ini tidak akan menjejaskan alam sekitar dan komuniti setempat?
Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) telah dijalankan bagi menilai potensi kesan terhadap alam sekitar serta mengenal pasti langkah mitigasi yang bersesuaian. Perundingan awam melalui Kajian Impak Sosial (SIA) turut dilaksanakan bagi mendapatkan maklum balas dan pandangan daripada komuniti yang terlibat.
Aktiviti pembinaan dijadualkan secara terancang bagi mengurangkan gangguan kepada penduduk sekitar. Laluan dan reka bentuk lebuh raya juga telah disesuaikan bagi meminimumkan keperluan pemindahan komuniti serta mengurangkan gangguan terhadap ekosistem setempat.
Sepanjang tempoh pembinaan, Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) akan dilaksanakan bagi memastikan semua langkah mitigasi dilaksanakan secara sistematik dan mematuhi keperluan yang ditetapkan.
Pemantauan berkala turut dijalankan bagi memastikan pematuhan berterusan terhadap syarat kelulusan EIA serta piawaian yang ditetapkan oleh agensi berkaitan.
Apakah mitigasi yang dilaksanakan untuk mengawal pencemaran bunyi, habuk dan getaran sepanjang tempoh pembinaan?
Penghadang bunyi dipasang dan kawalan bunyi dijalankan dengan teliti. Jadual kerja dirancang pada waktu luar puncak untuk meminimumkan kesan kepada trafik dan komunitı, sementara penanda jalan, kon dan halangan disediakan bagi memastikan keselamatan lalu lintas di kawasan pembinaan.
Pemantauan bunyi dan getaran dijalankan secara berkala bagi memastikan tahap berada dalam had piawaian yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar. Kawalan habuk pula dilaksanakan melalui semburan air secara berkala di laluan pembinaan dan memastikan lori yang membawa bahan binaan ditutup dengan kanvas.
Kerja-kerja yang berpotensi menghasilkan bunyi tinggi dijadualkan secara terkawal bagi mengurangkan gangguan kepada komuniti berhampiran.
Ada yang kata projek ini tidak akan selesaikan isu kesesakan trafik?
NPE2 bukan sekadar penyelesaian untuk mengurangkan kesesakan trafik. Projek ini berperanan sebagai serampang dua mata dimana ia membantu menyokong industri automobil yang semakin berkembang, memandangkan bilangan kenderaan, termasuk kereta import, semakin bertambah, sekaligus memastikan aliran trafik lebih lancar.
Pada masa sama, NPE2 berpotensi menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi baharu dengan meningkatkan mobiliti, menyokong pembangunan hartanah dan komersıal, menjana limpahan ekonomi, serta memperkukuh rangkaian lebuh raya di Lembah Klang. Projek ini memberikan manfaat menyeluruh kepada rakyat dan ekonomi bandar.
Komitmen pihak IJM adalah untuk memastikan projek NPE2 ini memberikan kelegaan yang signifikan terhadap kesesakan trafik, khususnya pada waktu puncak di sepanjang koridor Pantai Dalam-Bangsar-Mahameru. Selain mengurangkan kesesakan, projek ini juga dijangka menjana manfaat sosioekonomi yang lebih luas.
Bagaimana pengguna boleh mengajukan maklum balas atau aduan terutama sewaktu kerja-kerja pembinaan projek ini dijalankan?
Sebarang maklum balas daripada pengguna boleh disalurkan ke talian NPE Infoline iaitu 1-300-88-1010. Talian ini dikendalikan oleh Pusat Pengurusan Trafik (TMC) Lebuhraya NPE.
Pusat ini akan menguruskan sebarang maklum balas secara bersepadu termasuk pengurusan hal-hal kecemasan dan luar jangka serta aduan berkaitan projek sambungan ini serta Lebuhraya NPE. – UTUSAN










