Konflik Asia Barat: Adakah kita bersedia hadapi risiko keterjaminan makanan? - Utusan Malaysia

Konflik Asia Barat: Adakah kita bersedia hadapi risiko keterjaminan makanan?

keterjaminan makanan kini merupakan isu strategik yang berkait rapat dengan kestabilan ekonomi negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETEGANGAN geopolitik di Asia Barat sekali lagi mengingatkan dunia bahawa sistem makanan global sebenarnya rapuh. Walaupun Malaysia jauh dari zon konflik, perkembangan di rantau tersebut tetap memberi kesan kepada keterjaminan makanan negara melalui saluran utama, khususnya harga minyak mentah.

Sehingga akhir bulan ini, harga minyak global berada sekitar USD98 setong bagi Brent, meningkat ketara berbanding sekitar USD66–USD70 pada Februari sebelum konflik memuncak. Kenaikan ini menunjukkan bagaimana ketegangan geopolitik memberi kesan segera kepada pasaran tenaga global.

Kesan kenaikan harga minyak merebak ke seluruh rantaian bekalan makanan. Kos pengangkutan, baja, operasi ladang, pemprosesan dan pengedaran meningkat secara serentak.

Dalam pertanian moden, tenaga merupakan input kritikal, justeru kenaikan harga minyak akhirnya membawa kepada peningkatan harga makanan di peringkat antarabangsa.

Bagi Malaysia, situasi ini amat penting kerana negara bergantung kepada import makanan seperti beras, gandum, produk tenusu dan daging lembu. Pada 2024, defisit perdagangan makanan mencecah RM39.34 bilion. Kebergantungan ini menjadikan Malaysia lebih terdedah kepada turun naik harga global.

Walaupun terdapat sektor yang kelihatan mencukupi dari segi pengeluaran domestik, kebergantungan kepada input import masih tinggi. Contohnya, industri ayam, sebagai sumber protein utama negara, bergantung kepada makanan ternakan import seperti jagung dan kacang soya. Apabila kos input ini meningkat akibat harga tenaga dan pengangkutan yang lebih tinggi, kos pengeluaran turut meningkat dan akhirnya memberi tekanan kepada harga pengguna.

Kenaikan harga tenaga juga memberi kesan langsung kepada harga baja. Oleh kerana pengeluaran baja sangat bergantung kepada tenaga, peningkatan harga minyak akan menaikkan harga baja di pasaran global. Petani tempatan yang menghasilkan beras dan sayur-sayuran akan menghadapi kos pengeluaran yang lebih tinggi, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap harga makanan domestik.

Di samping itu, kesan konflik melangkaui sektor pertanian dan mempengaruhi ekonomi secara keseluruhan. Kenaikan harga minyak meningkatkan kos logistik dan pengangkutan, yang merupakan komponen utama dalam rantaian bekalan makanan. Dalam tempoh tertentu, kos ini akan dipindahkan kepada pengguna dalam bentuk harga makanan yang lebih tinggi, walaupun bekalan masih mencukupi.

Daripada perspektif keterjaminan makanan, kesan ini boleh dianalisis melalui empat teras utama. Pertama, dari segi ketersediaan, Malaysia masih berada dalam keadaan stabil dalam jangka pendek kerana mempunyai sumber import yang pelbagai seperti India, Pakistan, Australia, Brazil dan negara ASEAN. Kepelbagaian ini membantu mengurangkan risiko gangguan bekalan secara langsung.

Namun, daripada segi kebolehcapaian, tekanan lebih ketara dijangka berlaku. Kenaikan harga makanan akibat kos tenaga dan pengeluaran akan menjejaskan kuasa beli, terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah.

Teras ketiga adalah penggunaan makanan. Apabila harga meningkat, isi rumah cenderung beralih kepada makanan yang lebih murah dan mengurangkan pengambilan makanan berkhasiat seperti daging, ikan, buah-buahan dan sayur-sayuran. Ini boleh menjejaskan kualiti pemakanan.

Akhir sekali adalah kestabilan makanan. Konflik geopolitik yang berpanjangan mewujudkan ketidaktentuan dalam pasaran tenaga, baja dan komoditi pertanian global. Bagi negara yang bergantung kepada import seperti Malaysia, ketidaktentuan ini meningkatkan risiko kejutan harga dan gangguan bekalan dalam jangka panjang.

Bagaimanapun, kenaikan harga komoditi global tidak semestinya memberi kesan negatif sepenuhnya. Sebagai pengeksport petroleum dan minyak sawit, Malaysia berpotensi mendapat manfaat dalam jangka pendek melalui peningkatan hasil eksport, yang boleh membantu mengimbangi kos import makanan.

Memandang ke hadapan, pengajaran utama adalah jelas. Malaysia perlu memperkukuh daya tahan sistem makanan agar tidak terlalu terdedah kepada kejutan pasaran global. Ini termasuk mengekalkan stok simpanan strategik makanan ruji, mempelbagaikan sumber import, serta meningkatkan produktiviti pengeluaran domestik.

Pada masa sama, penggunaan teknologi seperti pertanian tepat, benih berkualiti tinggi dan pertanian digital perlu dipercepatkan bagi meningkatkan kecekapan sektor pengeluaran makanan.

Di peringkat serantau, kerjasama ASEAN juga penting dalam menghadapi ketidaktentuan pasaran makanan global. Inisiatif seperti ASEAN Integrated Food Security dan ASEAN Plus Three Emergency Rice Reserve membantu negara anggota menghadapi krisis bekalan melalui kerjasama rizab makanan dan penyelarasan dasar.

Justeru dapat disimpulkan bahawa konflik di Asia Barat tidak secara langsung mengganggu bekalan fizikal makanan Malaysia, tetapi memberi kesan melalui kenaikan kos dan ketidaktentuan pasaran global. Ini menunjukkan bahawa keterjaminan makanan kini merupakan isu strategik yang berkait rapat dengan kestabilan ekonomi negara.

Dalam dunia yang semakin tidak menentu, Malaysia perlu bertindak proaktif untuk membina sistem makanan yang lebih berdaya tahan, cekap dan mampan bagi memastikan bekalan makanan yang mencukupi, mampu beli dan berkhasiat pada masa hadapan.

Datuk Dr. Nasir Shamsudin ialah Profesor di Putra Business School Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN