DUNIA moden hari ini dihambat kemajuan teknologi digital yang mempercepatkan penggunaan peranti elektrik dan elektronik dalam kehidupan seharian.
Telefon pintar, komputer, televisyen serta pelbagai peranti peralatan elektrik kini dianggap sebagai keperluan asas.
Namun, di sebalik manfaat ini, sama ada sedar ataupun tidak, muncul masalah besar, iaitu sisa elektronik atau lebih dikenali sebagai e-waste. E-waste merujuk sisa yang berasal daripada peralatan elektrik dan elektronik yang sudah tidak berguna atau berfungsi kerana sudah rosak, usang atau tidak lagi digunakan.
Ia sama dengan sisa pepejal yang lain seperti sisa dari perbandaran, institusi, perumahan yang boleh menjejaskan ekosistem bumi, memudaratkan kesihatan manusia, merosakkan alam sekitar dan menggugat kesejahteraan masyarakat sekiranya tidak dilaksanakan dengan baik.
Ancaman daripada e-waste bukanlah perkara baharu, sebaliknya di negara-negara maju ancaman daripada e-waste dikelola dengan bijak supaya tidak memberi ancaman dan menjejaskan kesejahteraan masyarakat.
Oleh yang demikian, keperluan untuk memberi pengetahuan dan pemahaman yang jelas kepada masyarakat Malaysia wajar ditingkatkan. Ancaman, bahaya dan kesan e-waste kepada manusia dan alam sekitar perlu didedah dan diuar-uarkan kepada masyarakat selaku pengguna dan penerima daripada kesan e-waste.
Kini, dalam dunia yang saling berhubung tanpa sempadan, pelbagai jenis e-waste mencerminkan betapa luas dan seriusnya masalah yang perlu ditangani. Secara umumnya, e-waste wujud dalam pelbagai bentuk dan jenis, antaranya ialah:
• Peranti komunikasi: Telefon bimbit, tablet, komputer riba
• Peralatan hiburan: Televisyen, radio, pemain DVD
• Peralatan rumah tangga: Mesin basuh, peti sejuk, pendingin hawa
• Komponen kecil: Bateri, lampu, kabel, dan perkakas elektronik lain.

ANCAMAN KEPADA MASYARAKAT
Banyak kajian yang dijalankan sebelum ini menunjukkan e-waste mengandungi pelbagai bahan kimia yang bahaya kepada manusia dan alam sekitar kerana mengandungi plumbum, merkuri, arsenik dan kadmium.
Pembuangan sisa secara tidak terkawal boleh membawa kesan bahaya dan boleh mengancam kesihatan manusia serta memudaratkan ekosistem bumi.
Pendedahan kepada bahan toksik sama ada secara langsung atau tidak langsung boleh menyebabkan sistem badan manusia mengalami kerosakan saraf, masalah pernafasan, gangguan sistem pembiakan dan pelbagai penyakit kronik.
Selain itu, e-waste juga boleh memberi kesan kepada pencemaran alam sekitar. Ancaman bahan kimia daripada e-waste boleh meresap ke dalam tanah dan mencampuri aliran air bawah yang boleh mengancam dan menjejaskan ekosistem serta membunuh hidupan akuatik secara langsung dan tidak langsung.
Di samping itu juga, kualiti hidup masyarakat akan merosot ekoran berlakunya pencemaran udara dan air akibat pembakaran atau pelupusan e-waste secara haram yang boleh menjejaskan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan.
Isu penemuan kontena e-waste di pelabuhan Malaysia baru-baru ini sangat membimbangkan. Negara mengalami kejutan apabila wujud kegiatan pengimportan sisa elektronik secara haram.
Pada tahun ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan sebanyak 2,000 hingga 3,000 kontena e-waste disyaki dibawa masuk secara haram melalui pelabuhan utama negara. Syarikat-syarikat terbabit hanya mengekstrak komponen bernilai tinggi seperti tembaga dan emas, manakala baki sisa toksik dilupuskan secara tidak terkawal, sekali gus mencemarkan alam sekitar.
Isu ini menjelaskan sikap rakus sesetengah manusia sehingga sanggup menggadaikan keselamatan dan kesejahteraan negara demi keuntungan untuk jangka masa pendek.
Dalam isu ini, negara tidak boleh berdiam diri, langkah keselamatan dengan memperketatkan kawalan pintu masuk negara perlu diawasi dengan lebih menyeluruh.
Dalam konteks ini masyarakat dan negara harus memainkan peranan yang aktif dalam menangani isu e-waste.
Penglibatan dan kerjasama daripada semua pihak penting digembeling. Masyarakat selaku pengguna perlu diperkasakan amalan konsep 3R (kurangkan, guna semula, kitar semula), menghantar e-waste ke pusat kitar semula yang khas serta mengurangkan pembelian berlebihan dan mengutamakan produk tahan lama.
Manakala di pihak kerajaan pula perlu lebih aktif dan menguatkuasakan undang-undang pelupusan e-waste dengan lebih tegas, menyediakan kemudahan sokongan seperti pusat pengumpulan e-waste di seluruh negara, melaksanakan kempen kesedaran awam secara berterusan dan menggalakkan industri menghasilkan produk mesra alam serta mudah dikitar semula.
Kesimpulannya, e-waste merupakan ancaman secara senyap yang mampu menggugat kesejahteraan manusia dan alam sekitar. Sikap tamak manusia mempercepatkan penghasilannya.
Kes-kes tempatan di Malaysia membuktikan masalah e-waste bukan sahaja berkait dengan pencemaran tetapi juga dengan isu integriti dan penguatkuasaan.
Namun, kita masih percaya dengan adanya kerjasama yang konsisten antara masyarakat dan negara, isu ini akan dapat ditangani dengan baik dari masa ke masa.
Justeru, kesejahteraan masyarakat hanya dapat dicapai jika teknologi diuruskan dengan bijak, bertanggung jawab dan beretika. –UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Haryati Shafii ialah Penyelidik Utama Pusat Pembangunan Infrastruktur Mampan dan Pengurusan Alam Sekitar dan Pensyarah Pengurusan Alam Sekitar, Jabatan Pengurusan Pembinaan, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), Universiti Tun Husssein Onn Malaysia (UTHM).










