KESEDARAN terhadap pentingnya gagasan permuafakatan dan perpaduan politik Melayu-Islam perlu kembali disemarakkan dalam kalangan pemimpin politik Melayu hari ini.
Dalam suasana politik yang semakin rencam dan kompetitif, usaha membina gabungan politik yang kukuh bukan sekadar soal strategi pilihan raya tetapi menyentuh soal maruah, kestabilan serta masa hadapan bangsa dan negara.
Permuafakatan yang tulus mampu menjadikan politik Melayu berdiri dengan lebih bermaruah, tidak mudah dipengaruhi tekanan pihak lawan, apatah lagi tunduk kepada kepentingan sempit yang bersifat peribadi.
Politik yang berpecah hanya membuka ruang kepada pihak lain menentukan arah perjalanan kuasa politik negara. Justeru, parti-parti politik Melayu utama perlu berani keluar daripada kemelut persaingan sesama sendiri yang akhirnya merugikan agama, bangsa dan kestabilan negara.
Selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), sebahagian besar masyarakat Melayu menaruh harapan tinggi kepada gabungan Perikatan Nasional (PN) yang memperlihatkan permuafakatan erat antara parti-parti Melayu utama seperti Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), selain turut disertai rakan politik bukan Melayu, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan). Gabungan ini pada awalnya dilihat mampu menawarkan alternatif baharu kepada landskap politik negara.
Namun, perkembangan mutakhir yang menyaksikan perpecahan dalam kepimpinan Bersatu sedikit sebanyak mencetuskan kekecewaan.
Pergolakan dalaman tersebut memberi gambaran betapa sukarnya pemimpin politik Melayu mengekalkan iltizam untuk bersatu di bawah satu wadah yang benar-benar kukuh.
Sedangkan dalam politik, musuh sentiasa menunggu ruang perpecahan, lebih-lebih lagi menjelang PRU16.
Perpecahan bukan sahaja melemahkan kekuatan organisasi, malah menyukarkan usaha memulihkan semula maruah politik Melayu yang dianggap semakin tercalar sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Hakikatnya, permuafakatan politik Melayu yang mantap amat penting untuk memastikan kestabilan politik negara terus terpelihara.
Dominasi politik Melayu tidak bermaksud menafikan peranan kaum lain dalam sistem demokrasi negara. Malaysia sejak awal pembentukannya mengamalkan politik pelbagai parti dan kepelbagaian kaum. Namun, kerjasama dalam kalangan parti Melayu penting bagi memastikan teras pembentukan kerajaan kekal stabil.
Sejarah menunjukkan kestabilan politik negara sering berkait rapat dengan kesepaduan kepimpinan Melayu sebagai tonggak utama pentadbiran.
Dalam konteks ini, harapan masyarakat Melayu bukan sahaja tertumpu kepada Pas dan Bersatu tetapi juga kepada UMNO agar kembali memainkan peranan dalam memperkukuh kesatuan politik Melayu.
Sebelum ini, usaha penyatuan pernah digerakkan melalui Muafakat Nasional (MN), hasil kerjasama erat antara UMNO dan Pas selepas kelemahan politik UMNO dalam PRU14. Namun, usaha tersebut akhirnya gagal diteruskan apabila kedua-dua parti memilih haluan berbeza menjelang PRU15.
MN semakin tidak berfungsi apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, mengambil keputusan menyertai Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Keputusan itu dilihat sebahagian pihak sebagai langkah yang menyebabkan UMNO bergantung kepada sokongan musuh politik tradisinya, termasuk DAP yang memiliki pengaruh besar dalam kerajaan semasa.
Walaupun terdapat usaha individu tertentu seperti Ketua Pemuda UMNO untuk menghidupkan semula semangat penyatuan bersama Pas, namun usaha tersebut berdepan cabaran besar.
Ini kerana ego kepimpinan, agenda peribadi serta provokasi politik menjadi antara faktor yang menghalang penyatuan sebenar. Walaupun MN secara rasmi belum terbubar, namun matlamat asalnya dilihat semakin pudar, ibarat pohon yang kehilangan daun dan menunggu waktu rebah.
Dalam masa sama, Pas yang mencatat kejayaan besar dalam sejarah politik kini berada dalam dilema susulan pergolakan dalam Bersatu.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, dilihat berusaha menstabilkan keadaan bagi memastikan PN terus relevan sebagai wadah politik masa hadapan. Formula yang bakal digunakan untuk menyelamatkan bahtera gabungan tersebut masih menjadi tanda tanya.
Namun fakta PRU15 menunjukkan PN memperoleh sokongan besar pengundi Melayu, dengan anggaran sekitar 85 peratus undi berpihak kepada gabungan itu. Sekiranya kepimpinan berjaya memberikan nafas baharu yang meyakinkan rakyat, khususnya orang Melayu, ditambah pula dengan kemungkinan penyertaan UMNO pada masa hadapan, tidak mustahil kekuatan politik Melayu kembali menyerlah.
Perlu difahami kekuasaan politik Melayu bukan bertujuan menindas mana-mana kaum sebaliknya wajar dilihat sebagai realiti demografi dan sejarah sosiopolitik negara. Politik yang stabil memerlukan asas yang kukuh dan dalam konteks Malaysia, kesepaduan kepimpinan Melayu sering menjadi faktor penentu kestabilan tersebut.

IKHLAS
Langkah paling penting kini ialah kesediaan kepimpinan parti Melayu membersihkan diri daripada penyakit ego, dendam serta hasad dengki.
Penyatuan tidak akan berlaku tanpa keikhlasan. Pemimpin perlu membina jiwa besar yang mengutamakan kepentingan umat dan negara berbanding kedudukan peribadi. Hanya melalui pendekatan ini keyakinan rakyat dapat dipulihkan.
Hakikatnya, sukar untuk membayangkan kewujudan hanya satu parti Melayu yang dominan. Namun kerjasama strategik antara beberapa parti tetap boleh membentuk kekuatan bersama.
Keadaan ini berbeza dengan kecenderungan pengundi Cina sejak PRU14 yang semakin menumpukan sokongan kepada DAP sebagai parti yang dianggap mewakili kepentingan mereka secara konsisten.
Bagi mengekalkan sokongan pengundi, parti tersebut terus mengangkat beberapa isu penting seperti pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) serta pilihan raya kerajaan tempatan.
Komitmen memperjuangkan agenda kaum menjadi strategi utama mereka, walaupun sebahagiannya diperdebatkan dari sudut kepentingan nasional.
Sebaliknya, wakil rakyat Melayu di Parlimen sering dilihat sukar mencapai kesepakatan dalam isu-isu berkepentingan Melayu dan Islam. Walaupun jumlah mereka ramai, perbezaan ideologi parti menyebabkan suara yang sepatutnya bersatu menjadi berpecah. Ketiadaan kesatuan pemikiran atau wahdatul fikr menjadikan perjuangan kepentingan bersama sukar digerakkan secara berkesan.
Apakah manfaat memiliki ramai wakil rakyat Melayu sekiranya mereka gagal bersatu mempertahankan kepentingan bangsa dan agama?
Politik yang dipenuhi kepalsuan serta pertelingkahan dalaman akhirnya tidak membawa makna kepada kedaulatan bangsa di tanah air sendiri. Kelemahan ini hanya menguntungkan pihak yang mahu melihat Melayu-Islam terus lemah dan berpecah.
Justeru, kebimbangan terbesar ialah apabila politik Melayu terus gagal kembali kepada semangat persaudaraan berasaskan ukhuwah Islamiah.
Jika keadaan ini berterusan, persengketaan politik akan semakin tajam dan akhirnya merugikan semua pihak. Ketika itu, penyesalan tidak lagi membawa manfaat.
Islam sendiri mengingatkan umatnya agar taat kepada Allah SWT dan Rasul-Nya serta mengelakkan pertelingkahan yang boleh melemahkan kekuatan bersama. Kesabaran, keteguhan pendirian dan kesatuan hati menjadi asas penting dalam menghadapi cabaran.
Akhirnya, masa depan politik Melayu bergantung kepada kebijaksanaan pemimpinnya sendiri. Jika mereka memilih jalan permuafakatan dengan hati yang ikhlas, dominasi politik Melayu mungkin kembali menjadi realiti. Namun jika perpecahan terus dipelihara, maka peluang itu akan terus menjauh daripada genggaman. –UTUSAN
Penulis ialah penganalisis sosiopolitik bebas.










