Krisis PN: Buang ‘musuh dalam selimut’ - Utusan Malaysia

Krisis PN: Buang ‘musuh dalam selimut’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

Kemelut dalaman Perikatan Nasional (PN) yang semakin terbuka sejak kebelakangan ini mengundang pelbagai tafsiran, khususnya apabila pertikaian dilihat melibatkan pimpinan tertinggi gabungan itu sehingga wujud persepsi keretakan antara parti komponen.

Ketua Pemuda Pas, AFNAN HAMIMI TAIB AZAMUDDEN, tampil dengan nada tegas tetapi realistik, mengakui wujudnya perbezaan pandangan di peringkat atasan. namun menegaskan kerjasama di peringkat bawah masih kukuh malah krisis bukan petanda kehancuran, sebaliknya proses mematangkan gabungan asalkan kepentingan peribadi tidak mengatasi prinsip dan perjuangan.

Dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, IRWAN SHAFRIZAN ISMAIL, dibantu jurufoto, SHIDDIQEIIN ZON dan juruvideo, MUHAMMAD FARIS MD IDERIS, Afnan yang juga Ahli Parlimen Alor Setar mengupas isu ‘musuh dalam selimut’, soal kepemimpinan PN, hubungan Pas–Bersatu serta cabaran menyatukan ummah dalam landskap politik yang semakin kompleks.

PEMUDA KENA VOKAL
MINGGUAN MALAYSIA: Boleh YB komen hala tuju Pemuda Pas yang kini dilihat lebih vokal?
Memang watak Pemuda kena macam itu. Kena tunjuk apa kemahuan, hasrat dan kena sentiasa berada di depan dan parti memberi restu setakat ini dalam beberapa isu. Memang Pemuda kena duduk di depan dan kena bercakap apa yang dia mahu cakap dan setakat ini pandangan Pemuda itu kalau kita bagi lima pandangan tiga di dengarilah. Bukan kita hendak suruh dengar, tapi sekurang-kurangnya diambil perhatian.

Saya rasa karakter Pemuda Pas ini, selari dengan kehendak anak muda yang suka bercakap apa sahaja.

IMEJ ‘PAK LEBAI’
Cara untuk Pas pikat pengundi anak muda bukan Melayu, untuk tukar stigma terhadap Pas bukan sekadar imej ‘pak lebai’?
Saya ambil contoh paling baru, saya berbahas di Parlimen tentang isu kemasukan kanak-kanak enam tahun ke Darjah Satu. Saya tengok komen dalam Youtube, Facebook, TikTok ada satu dua komen bukan Islam. Dia setuju dengan saya dan kata ini fakta dan memang sama dengan apa yang mereka mahu suarakan.

Jadi, pada pandangan saya, kita hendak tarik hati kawan-kawan yang bukan Melayu ataupun bukan Muslim ini. Kalau kita bercakap atas isu nasional, kemanusiaan, mereka akan mudah lebih terima pandangan dan pendekatan kita.

Yang kedua, tentulah bahasa. Saya rasa untuk tarik kawan bukan Melayu ini jika kita boleh berbahasa Inggeris dan bahasa mereka, faham budaya mereka itu yang terbaik. Jadi, kami sendiri pun dalam Pemuda Pas sedang berusaha belajar bahasa lain dan ini jadi jambatan untuk dekati mereka.

Bagaimana dengan gerak kerja antara pemuda parti komponen PN?
PN setakat di bawah ini kita tiada masalah. Tidak adalah pertembungan besar. Selisih faham sikit-sikit perbezaan pandangan itu biasa. Jadi, di bawah ini kita buat kerja macam biasa. Saya sendiri di kawasan saya di Alor Setar, misalnya saya ahli parlimen Pas, ADUN saya ada Bersatu ada Gerakan. Memang kami di Alor Setar ini simbol perjalanan PN. Kita tiada isu besar yang kita hadapi, mesyuarat pun sekali,

Jadi, saya tidak nampak ada isu di bawah ini. Mungkin (isu) di atas itu akan selesai satu hari dua, tapi di bawah ni bagi saya masih kuat seperti mana mula-mula kita tubuhkan PN.

HALATUJU PAS
Bagaimana YB melihat hala tuju Pas dalam dinamika politik hari ini?
Saya tidak melihat Pas sahaja. Saya melihat dasar Islam. Selagi mana Pas berpegang pada dasar Islam itu, dan mana-mana pihak pula tidak terikat dengan Pas sahaja, ia akan boleh kekalkan dan akan boleh pergi jauh. Sebab Islam ini bukan manusia buat, Islam ini agama yang Allah SWT buat.

Jadi, siapa-siapa pegang pada apa yang disuruh Allah, prinsip saya, dia boleh hidup, boleh pergi bukan setakat dunia tapi akhirat. Saya tengok reaksi ini bukan setakat dalam kalangan orang Islam, orang bukan Islam pun yang memahami Islam dan mengkaji Pas itu sendiri. Mereka mengatakan Pas boleh kekal berprinsip, sebab dasarnya Islam.

Kami tiga tahun tiada peruntukan Ahli Parlimen, kita boleh hidup. Sebab, kita biasa susah dan boleh keluar belanja poket sendiri. Sebab kita tidak rasa ini duit aku mana orang boleh pakai. Tidak. Kita rasa ini satu cara untuk buat amal kebajikan. Jadi, saya yakin selagi mana kita pegang pada Islam itu, kita boleh hidup dan boleh pergi dalam apa jua keadaan.

Komen YB tentang isu peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang?
Kerajaan patut buat ahli Parlimen pembangkang macam itu supaya (kerajaan) jatuh cepat. (berseloroh). Saya rasa semua orang boleh menilai. Dulu berjanji mahu bagi sama rata, sekarang tidak buat itu. Orang tengok boleh faham. Kamu jadi pemimpin tapi kamu berbohong. Kamu berjanji tidak tunai sebenarnya tidak boleh jadi pemimpin. Pemimpin tidak perlu berjanji bulan bintang.

Cukup untuk bagi kemudahan kepada rakyat, dengar apa yang rakyat mahu, buat dan pimpin rakyat untuk faham. Rakyat hari ini berbalah dan bertelagah, sebab tengok pemimpin bertelagah di atas.

TIDAK IKHLAS PERJUANG PENYATUAN
Usaha untuk penyatuan Melayu dan Islam, adakah boleh direalisasikan ataupun retorik politik sahaja?
Saya lihat ada dua pihak. Satu pihak yang betul-betul mahu merealisasikan, tak kiralah dia ini dari parti mana pun. Pas ke UMNO, Bersatu ke, ataupun orang yang bukan ada parti.

Satu lagi pihak yang sekadar hendak retorik politik. Kumpulan-kumpulan yang ada kepentingan. Dia ada kes mahkamah, dia ada keinginan untuk habuan dirinya, jawatan mahu kekal, dia mahu cari duit, harta, jadi orang yang kumpulan kedua inilah yang menggagalkan hasrat kumpulan pertama ini.

Kumpulan pertama ini ikhlas, dia tidak peduli dah, tapi bila kita bercakap soal penyatuan, perpaduan, apa sahaja nama, akan ada kumpulan kedua ini yang cakap..aah tak bolehlah, kalau kami UMNO duduk dengan Pas, kami mahu bertanding di kerusi mana?

Jadi, bila dia cakap sahaja pasal kerus pilihan raya, maknanya dia ini ada kepentingan. Saya tiada masalah. Nombor satu yang kita fikir adalah soal penyatuan. Nombor dua itu baru kita fikir hal-hal lain. Sebab selagi mana kita tidak ada penyatuan, selagi itulah, kita akan lemah dan bangsa minoriti akan menguasai bangsa majoriti.

Pelbagai parti politik datang dengan cadangan penyatuan ummah, kolaborasi besar, payung besar, rumah bangsa, namun tiada yang jelas hala tuju, sama ada niat untuk menyatu atau ada agenda lain?
Mudah saja, kalau kita rasa pemimpin parti kita ataupun orang itu ada kepentingan, buang. Letak tepi orang macam ini yang melambatkan penyatuan dan yang menyusahkan penyatuan. Kita kena berani. Mahu bersatu ini kena berani. Kalau kita mahu buat penyatuan tapi kita takut-takut dengan apa orang kata, takut hilang itu ini, kita tidak payah sembang, sebab itu tanda kita masih fikir pasal kepentingan diri.

Penyatuan ini meletakkan kepentingan diri di tepi, meletakkan penyatuan ummah paling tinggi, walaupun kita terkorban. Itu yang saya faham dan semua orang kena ada prinsip dan keberanian macam itu.

HANYA MAHU JAWATAN
Bagaimana bagi mereka yang nampak sangat menyokong tapi di sebaliknya mahu jawatan bukan betul-betul mahu menjayakan perpaduan?
Orang macam inilah yang merosakkan jalan ke arah perpaduan itu. Sebab dia ada kepentingan diri. Kita hendak jaga apa diri kita ini? Diri kita ini rezeki Allah SWT tulis dah tanah tulis dah. Duit kita, anak kita, isteri kita, makan minum kita.

Bila kita sibuk hendak jaga kepentingan diri, macam kita tidak yakin dengan Allah yang beri rezeki.

Saya duduk di sini, saya tidak pernah terfikir saya mahu jadi ahli Parlimen atau hendak duduk jadi Ketua Pemuda. Sebab ini semua bukan dalam kepala otak cita-cita saya, tapi bila kita cakap macam ini dengan orang politik, orang politik kata, alah, sembang dia ini. Rakyat pun kadang faham, semua orang politik ini sama sahaja. Saya kata, tidak betul. Pemikiran itu perlu dibuang jauh-jauh.

Kita letak kepentingan ummah, kepentingan Allah, tapi bila cakap macam itu orang kata tunggang agama pula. Kalau kita tidak berpolitik berdasarkan kepada agama, kita mahu berdasarkan kepada apa? Sebab politik tidak berdasarkan pada agamalah yang lingkup rosak semua ini.

Perbalahan dalam PN antara Pas dan Bersatu, adakah berlarutan sampai pilihan raya atau ada cara perbetulkan kembali keadaan?
Saya anggap setiap konflik yang berlaku itu adalah proses untuk memperkuatkan parti, membina kematangan. Bagi saya, PN akan jadi lebih kuat selepas ini. Setelah kemelut ini berakhir. Setiap kemelut pasti akan berakhir. Tapi, cara kita urus, hendak lalu cabaran itu memang ada pedih, ada pahit. Kena telanlah. Sebab tiada parti yang tidak pernah lalui krisis. Semua parti ada krisis cuma besar kecil orang luar tahu, orang luar tidak tahu.

PN sekarang tidak berkrisis pun. Hanya di atas sahaja. Hanya bos-bos sahaja, yang bawah okey. Kami ahli Parlimen Pas dengan Bersatu dalam Parlimen sangat baik macam abang dan adik boleh sembang. Orang Kedah kata aku hang, boleh ceritalah hal masing-masing, sangat rapat. Boleh buat keputusan bersama. Boleh back-up dalam Parlimen kalau kawan-kawan kena serang dengan pihak lawan.

Ada yang kata kemelut dalam PN dimulakan Bersatu dengan pelbagai kenyataan bercanggah, apa komen YB?
Saya tidak berhasrat komen cara pemimpin Bersatu menguruskan partinya. Untuk Pas, cara kita uruskan, contoh tiga ADUN kita di Perlis ini, cara kita uruskan adalah masa kita hendak buat keputusan ambil tindakan fasa 15A perlembagaan Pas terhenti keahlian itu. Kalaulah mereka ini hilang keahlian Pas, kita akan kurang kerusi di DUN, menyebabkan kita mungkin jawatan menteri besar itu ataupun kerajaan itu mungkin boleh beralih kepada parti lain, itu risiko.

Jadi, bagaimana hendak timbang, dalam mesyuarat Pas? Kita timbang lebih baik kita ada risiko hilang jawatan, lebih baik kita risiko hilang menteri besar daripada kita hilang prinsip. Jadi teruskan, ambil tindakan tiga orang ini sebab mereka melanggar arahan dan keputusan parti. Kita jaga prinsip lebih utama daripada kita jaga jawatan. Itu cara Pas menguruskan parti daripada dulu sampai sekarang.

Adakah isu di Perlis turut beri kesan kepada kerjasama tiga lagi negeri PN?
Tidak ada masalah setakat ini, hubungan baik dan rapat. Setahu saya pun rakan-rakan di Bersatu sebahagiannya pun tidak suka dengan apa yang berlaku hari ini.

‘KAWAN MAKAN KAWAN’
Adakah kemelut dalam PN ini boleh dibendung daripada terus membarah?
Boleh, tapi ada syarat iaitu macam saya sebut tadi, orang yang di atas itu kena letak kepentingan diri di tepi dan orang yang sedang berpaut pada tokoh-tokoh besar itu, perlu dicabut segera daripada pautan itu. Sebab ada orang yang berpaut dengan tokoh-tokoh besar ini, dia ada kepentingan diri.

Kalau dia tiada kepentingan diri sudah lama selesai. Benda ini mudah, buat mesyuarat, lantik, jalan. Macam analogi buat apa ada padang bola dan penjaga gol kalau tidak ada tiang gol, baik ubah jadi dewan kenduri.

Isu kawan makan kawan ini masih membekas atau semua pihak perlu pandang ke hadapan?
Benda ini kena move on. Saya sendiri pun dah tulis dalam Facebook, isu Perlis ini kena lupakan, dah selesai, kita pun dah luahkan apa yang kita tidak puashati, apa yang berlaku sudah berlaku, pandang ke depan. Jadi saya anggap bila dah move on ni, kira selesailah, tapi rupanya kita seorang sahaja move on. Pihak lain tak move on lagi, masih nak duduk main dengan isu yang sama.

Jadi, saya hendak tanya dia hendak apa, orang macam ni nak apa? Hala tuju dia ke mana? Apa kepentingan dia?. Orang-orang macam ni, rakyat boleh nilai. Parti-parti boleh nilai.

Orang macam ini, parti kena bertindak tegas. Keluarkan orang ini. Sebab merosakkan, melambatkan perjalanan. Tak kira, dalam parti mana pun. Pas pun kena bertindak tegas. Sebab itu, kita bertindak kepada tiga Adun Perlis walaupun risiko hilang kerusi.

KENA BUKA SELIMUT
Bagaimana jika ada pihak mengambil tindakan sabotaj sekiranya pemimpin pilihan mereka tidak menerajui PN?
Tak pilihan raya lagi sabotaj sudah berlaku macam-macam. Itulah kerja musuh. Mereka akan buat macam sabotaj. Lagi dekat pilihan raya, lagi banyak sabotaj. Jadi, kita lagi dekat Kedah Raya, lagi banyak sabotaj.

Maksudnya memang ada musuh dalam selimut dalam gabungan PN?
Ya. sebab itu kita kena buka selimut itu. Kena tengok musuh itu duduk dekat mana. Buang musuh itu, jangan biar selimut itu ada, kita duduk selimut pasal kita selesa. Buka selimut itu. Jangan selesa, panas pun tidak apa, sejuk pun tidak apa. Cari musuh tu. Selesai semua baru selimut balik.

SUKAR TAWAN KAWASAN BANDAR
Ada pandangan kata Pas sukar tawan kawasan bukan Melayu di bandar, atau kerusi bercampur jika tidak bekerjasama dengan Bersatu?
Atas kertas saya akui. Betul, stigma orang yang bukan Pas, stigma orang yang agak jauh dengan Pas ini, stigma dia kepada Pas. Pas ini masih parti lebai, parti kampung, keras. Itu di tempat tertentu ada stigma itu.

Saya tidak nafikan. Tapi, akhir-akhir ini setelah mana mereka melihat, mereka dekat, tengok cara kehidupan, mereka tengok cara mentadbir, tengok gaya hidup kepimpinan-kepimpinan Pas contoh seperti Datuk Seri Mohd. Sanusi Md Nor…- Oh, Pas tidak macam itu. Semua ini berubah, hasilnya Pas boleh berkawan dengan semua orang. Pas berkawan dengan Bersatu, Pas pernah berkawan dengan DAP.

Bila kita berkawan dengan orang ini, kita banyak pengalaman dan kita terdedah dengan pelbagai situasi. Jadi, saya rasa Pas sudah semakin matang, tapi tidak bermakna Pas boleh pergi solo.

Sebab realiti politik Malaysia ini, bila banyak parti politik, banyak penyokong, kita tidak boleh pecah terlalu banyak. Kita kena berpakat, kita kena bergabung, kita kena berkawan.
Jadi, hendak berkawan ini, kena buat cara berkawanlah biar bagi berkawan lama. Jangan sekejap saja.

Bagaimana melihat kemampuan Presiden untuk terus terajui Pas, atau mungkin mudah dipengaruhi orang sekelilingnya?
Presiden kita ini, jasad dia itu, fizikal dia itu makin tua. Tapi, minda dia makin muda, makin tajam. Jadi, yang kami mahu adalah pengalamannya, minda dia. Jasad dia kita nak kawal tak boleh sebab itu kuasa Allah.

Tapi, minda dia ketajaman dia semakin tajam. Orang kata dia dipengaruhi oleh orang sekeliling? Tidak. Saya pengalaman bermesyuarat banyak kali dengan Tan Sri Tuan Guru Presiden ni, tidak semudah itu.

Kalau kita pergi jumpa dia, mengadu apa-apa, cuba pengaruhi dia, dengan maklumat kosong, maklumat mentah, dia akan tanya satu dua soalan sahaja dan kita tidak boleh jawab soalan tu habis setakat itu saja. Jadi, bagi saya tidak semudah itu untuk orang pengaruhi. Kalau mudah dipengaruhi, saya rasa sudah lama Pas ini duduk dengan DAP, Amanah dan bentuk kerajaan sebab mudah.

‘WALAUN’ BUKAN TAAT MEMBUTA TULI
Pandangan YB antara Datuk Seri Dr. Samsuri Ahmad dan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, siapa lebih sesuai dilantik sebagai Pengerusi PN baharu, atau tidak kisah sesiapa pun asalkan diterajui Pas?

Saya pegang yang kedua itu (asalkan Pas terajui PN) sebab saya tidak pastilah orang lain macam mana tapi disiplin Pas ini, tidak pergi kepada orang. Ia pergi kepada prinsip dan keputusan bersama.

Kalau sudah diputuskan orang itu, walaupun mungkin kita tidak selesa dengan dia secara peribadi, tapi parti putuskan orang itu, jadi kita tengok. Itu yang ada ‘walaun-walaun’. Walaun ini bukanlah taat membuta tuli, tidak, tapi kita berpegang kepada prinsip dan kita memberi ketaatan.

Selagi mana orang itu tidak membuat dosa besar, menyalahi hukum syarak, ikut apa semua yang syariat suruh, kita terima. Jadi, sebab itu bila tanya pimpinan Pas atau media tanya ataupun orang luar tanya siapa calon? Kita tidak boleh sebut satu nama. Cuma kata kita serah pada pucuk pimpinan.

Pertembungan pilihan ulama dan profesional, adakah perkara itu berlaku dalam Pas?
Saya tidak anggap ada dua kumpulan. Saya anggap cuma satu sahaja. Kalau dia itu profesional, itu bidang pengajian dia. Tapi dia masih ada asas-asas ilmu Islam dalam dirinya. Dan Pas ini kolektif. Bukan individu.

Semua orang kalau dia naik, dia ini ustaz. Ada orang profesional bantu dia. Kalau dia itu profesional, ada ulama-ulama akan bantu dia. Jadi, balik pada asas itu. Saya tidak setuju dikategorikan ini ulama, ini profesional. Bila dia masuk saja dalam Pas ini, dia Paslah.

HIDUPKAN MUAFAKAT NASIONAL
Usaha untuk hidupkan kembali Muafakat Nasional bersama UMNO kini seperti sepi ditenggelami isu lain, komen YB?
Jauh di lubuk hati saya ini, saya harap UMNO ikhlas, dan bagi saya, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh saya nampak keikhlasannya. Kalau dia ada agenda lain, saya tidak tahu. Itu antara dia dan

Allah SWT. Tetapi malangnya suara Datuk Dr. Akmal tidak disambut dengan baik pemimpin lain. Kalau disambut hari itu, saya rasa sudah jauh kita pergi dalam hal penyatuan ummah, tapi hendak buat macam mana jalan ceritanya begitu.

Namun masih nampak ada sinar. Cahaya itu takkan padam. Selagi mana kita ikhlas bawa cahaya penyatuan, sebab ini perintah daripada langit. Cahaya itu akan ada. Kalau kita bersungguh mahu ke situ. Allah akan mudahkan jalan, tapi kalau kita masih ada kepentingan diri, sukarlah mahu sampai ke situ. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN