KOTA BHARU: Perikatan Nasional (PN) Kelantan sentiasa bersedia dan tidak gentar jika Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU 16) berlaku pada tahun ini, walaupun kajian menujukkan tiada mana-mana parti politik benar-benar kuat untuk meraih undi majoriti.
Pengerusi PN Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, pada masa ini semua parti politik dilihat mempunyai masalah serta perselisihan dalaman dan ini adalah masa terbaik untuk memulangkan kuasa memilih ke tangan rakyat.
“Baik Barisan Nasional (BN) atau PN, semuanya dilihat bermasalah dan suasananya semua parti tidak mempunyai kekuatan jitu (untuk capai kemenangan dengan majoriti mudah).
“Jadi bagi saya, ini adalah peluang untuk rakyat membuat pilihan terbaik siapa menerajui kerajaan,” katanya selepas Himpunan Solidariti Bersama Iran di Medan Ilmu, di sini hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Mursyidul Am Pas menyarankan semua parti komponen PN memanfaatkan masa-masa yang ada untuk memperkukuh keharmonian dalam parti masing-masing, sekali gus memperkasa PN.
Katanya, ia adalah langkah cukup penting untuk dilaksanakan secepat mungkin supaya gabungan parti politik berkenaan boleh memasuki pilihan raya umum dalam keadan lebih berkeyakinan.
“Bagi kita, sebaik-baiknya kita perlu memperkasa PN. Di peringkat negeri, tiada masalah dan setakat ini tiada sebarang perubahan berlaku dalam barisan kepemimpinan PN Kelantan.
“Setakat ini kita masih meraikan ‘status quo’ yang ada. Apa pun kita sudah buat persiapan mengikut jadual ditetapkan dan jika berlaku PRU, sama ada pertengahan atau hujung tahun, atau awal tahun depan sekalipun, kami sudah bersedia,” ujarnya.
Ditanya mengenai tahap keyakinan Pas untuk mempertahan kerusi dan merampas kembali beberapa kerusi, Pesuruhjaya Pas Kelantan itu berkata, demografi tersebut sentiasa berubah-ubah berpandukan kajian strategik terhadap sikap pengundi di Kelantan. – UTUSAN










