PETALING JAYA: Pas menyifatkan desakan DAP supaya kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan kewujudan mafia korporat sebagai satu ‘wayang opera’ semata-mata.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, ramalannya pada minggu lalu terbukti apabila sehingga kini tiada sebarang tindakan konkrit diambil walaupun DAP merupakan sebahagian daripada blok kerajaan.
“Minggu lepas saya sudah nyatakan bahawa desakan DAP agar kerajaan menubuhkan RCI untuk menyiasat dakwaan ‘mafia korporat’ dan hubungannya dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanyalah satu wayang opera semata-mata, ia tidak akan sampai ke mana.
“Hari ini, hanya selepas seminggu terbukti ia benar-benar satu wayang,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, jika DAP benar-benar serius dalam isu integriti dan menuntut penubuhan RCI, parti itu mempunyai kedudukan kukuh untuk mendesak tindakan daripada barisan Kabinet.
“Jika DAP serius mahukan RCI, ada tindakan yang boleh diambil untuk memastikan kerajaan bertindak. Tapi itulah sebab ia hanya wayang,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, beberapa pemimpin DAP mendesak supaya satu siasatan bebas dan telus dijalankan berhubung dakwaan penglibatan tokoh korporat tertentu yang dikatakan mempunyai kaitan dengan agensi penguatkuasaan sehingga menimbulkan polemik mengenai integriti institusi berkenaan. – UTUSAN










