Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 hadir pada saat sistem pendidikan kita berada dalam keadaan yang memerlukan kejujuran dasar pendidikan yang lebih mendalam. Selepas lebih sedekad pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, negara kita sepatutnya telah melepasi gelombang pemantapan kualiti.
Namun realitinya, prestasi murid, jurang pendidikan dan keupayaan sistem penyampaian masih menunjukkan tanda-tanda kelemahan ketara. Dokumen PPPM 2013-2025 digubal dengan bahasa transformasi dan aspirasi pendidikan yang tinggi, direka bentuk dengan begitu cermat tetapi persoalan asasnya, sejauh mana dokumen PPPM 2013-2025 ini berpijak kepada realiti pembelajaran murid?
Sebagai kayu ukur antarabangsa, data terkini daripada OECD, Programme for International Student Assessment (PISA) dan Southeast Asia Primary Learning Metrics (SEA-PLM) telah menunjukkan data jelas terhadap kemerosotan kualiti pendidikan negara kita. Nampaknya, Malaysia tidak boleh lagi hanya bergantung kepada penilaian dalaman atau retorik naratif kejayaan terpilih tentang pendidikan negara, sebaliknya kita perlu berani membaca isyarat diberikan oleh data antarabangsa ini secara jujur dan kritikal dalam mula menterjemahkan pelaksanaan RPN 2026-2035.
Secara positif, RPN 2026-2035 mengiktiraf secara lebih jelas terhadap kepentingan pendidikan prasekolah sebagai asas pembangunan modal insan. Pendekatan ini selari dengan konsensus global yang dipelopori OECD, iaitu jurang pencapaian pendidikan terbentuk seawal usia kanak-kanak dan sukar diperbetulkan sepenuhnya di peringkat menengah. RPN 2026-2035 telah mengakui pelaburan awal adalah lebih berkesan daripada intervensi lewat, suatu anjakan pemikiran yang wajar dipuji.
Namun, pengiktirafan ini masih bersifat perancangan, bukan pelaksanaan. Landskap pendidikan prasekolah di Malaysia masih kekal berpecah dan tidak seimbang daripada segi kualiti. Pendidikan awal di bawah KPM, KEMAS, Tabika Perpaduan, taska kerajaan negeri dan sektor swasta beroperasi dengan kelayakan guru, nisbah guru-kanak-kanak dan keupayaan pengurusan berbeza-beza.
Dokumen RPN 2026-2035 tidak memperincikan bagaimana standard kualiti nasional akan dikuatkuasakan secara konsisten untuk pendidikan pra sekolah. Kita tahu tanpa pelaburan besar dalam latihan guru pendidikan awal kanak-kanak dan mekanisme pemantauan yang kukuh, peluasan akses semata-mata berisiko menghasilkan pendidikan yang bersifat tidak menyeluruh. Kelemahan ini pasti akan memberi kesan jangka panjang terhadap kesiapsiagaan kanak-kanak memasuki sekolah rendah, dan akhirnya mempengaruhi keseluruhan pengalaman pembelajaran mereka.
Di peringkat sekolah rendah, keputusan SEA-PLM 2025 memberikan gambaran lebih terkini tentang kualiti pendidikan negara. Malaysia relatifnya masih berada di atas purata negara ASEAN yang mengambil bahagian dalam ujian literasi bacaan dan Matematik bagi murid berumur antara 10 dan 11 tahun. Ini menunjukkan sistem pendidikan rendah kita masih mempunyai kekuatan asas.
Namun, pencapaian di atas purata ini juga memerlukan kita untuk lebih kritikal terhadap beberapa masalah. Misalnya, data SEA-PLM menunjukkan trend prestasi anak-anak umumnya masih mendatar, malah menurun berbanding edisi dahulu, jurang pencapaian yang juga ketara antara murid bandar dan luar bandar serta antara latar belakang sosioekonomi berbeza.
Bagaimanapun di dalam RPN, isu ini tidak ditangani secara struktural. Misalnya, pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran serta Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) masih berlaku dalam kelas sesak, kekurangan guru sokongan dan beban tugas dokumentasi yang masih berat. Akibatnya, fokus guru di dalam kelas semakin hilang nilai pedagoginya dan berubah menjadi tugasan pentadbiran.
Data PISA 2022 juga memberikan amaran ‘keras’ terhadap sistem pendidikan menengah Malaysia. Skor murid Malaysia dalam Matematik, Sains dan Literasi Bacaan bukan sahaja berada di bawah purata OECD, malah menunjukkan penurunan ketara berbanding pencapaian di dalam PISA 2018.
Peratusan murid berumur 15 tahun yang gagal mencapai tahap minimum kompetensi adalah tinggi, menandakan ramai murid tidak menguasai kemahiran asas yang diperlukan untuk pendidikan lanjutan atau pasaran kerja.
Hakikat ini tidak boleh dijelaskan sepenuhnya oleh faktor luar seperti pandemik. Kita kena akui ini adalah kegagalan kumulatif sistem pendidikan daripada peringkat awal hingga menengah.
RPN 2026-2035 juga mengakui kewujudan ketidaksamaan pendidikan. Namun pendekatannya masih terlalu berhati-hati.
Data OECD, Bank Dunia dan PISA secara konsisten menunjukkan latar belakang sosioekonomi mempunyai pengaruh besar terhadap pencapaian murid di negara ini. Namun, sistem pembiayaan dan pengagihan sumber pendidikan masih dalam kerangka lama tanpa mekanisme pembiayaan berasaskan keperluan yang lebih segar dan jelas. Tanpa intervensi bersasar kepada sekolah miskin dan komuniti terpinggir, jurang pendidikan terus diwarisi dari satu generasi ke generasi.
Cabaran utama kepada sistem pendidikan negara bukanlah kita kekurangan idea, peruntukan atau dokumen perancangan, tetapi kekuatan iltizam dan keberanian untuk membuat reformasi struktural yang sebenar.
RPN sepatutnya wujud sebagai dokumen pendidikan jangka panjang yang bersifat proaktif dengan melihat keperluan generasi masa depan. RPN tidak hanya boleh bersandarkan kepada pemikiran reaktif, sekadar memulihkan dan meneruskan sistem pendidikan sedia ada.
Sebab itu, kisah PPPM 2013-2025 harus menjadi panduan. Jika RPN juga terus dibina atas bahasa transformasi dan aspirasi tanpa menjadikan perubahan pesat masyarakat global sebagai kompas utama, RPN berisiko menjadi satu lagi dokumen ‘sempurna’ yang gagal mengubah realiti bilik darjah.
RPN 2026-2035 seharusnya dilihat bukan penamat kepada perancangan pendidikan negara, tetapi sebagai peluang penting untuk membina semula sistem pendidikan awam yang adil, berkualiti dan berdaya saing di peringkat global. Jika peluang ini gagal dimanfaatkan, harga yang akan dibayar bukan sekadar penurunan berterusan skor pendidikan negara di peringkat antarabangsa, tetapi yang lebih membimbangkan masa depan generasi Malaysia.
Dr. Anuar Ahmad ialah Timbalan Pengarah, Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM).











