“SAYA juga ingin mengingatkan kepada semua ahli-ahli Yang Berhormat bahawa setiap perbahasan, keputusan dan undian yang dibuat di dalam Dewan ini bukan hanya merupakan pendirian politik parti tetapi bakal menentukan masa hadapan kita.
“Oleh itu, laksanakan tugas ini dengan penuh amanah, bijaksana dan bertanggungjawab demi kepentingan seluruh rakyat.” – Titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dalam Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Majlis Parlimen Yang Ke-15.
Pada Julai 2023, saya menulis bagaimana Kerajaan Malaysia memberi komitmen untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Ombudsman dalam Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua Parlimen Ke-15 yang bersidang pada sekitar Oktober hingga November 2023. Namun sehingga kini, RUU berkenaan masih tidak dibacakan untuk kali pertama di Parlimen.
Malah melalui Peta Reformasi Institusi (PetaRI) yang disiarkan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU) berkaitan kronologi penggubalan RUU Ombudsman Malaysia, pada 30 April 2025, draf RUU tersebut dihantar untuk proses permurniaan dasar.
Sudah hampir setahun selepas kemas kini terakhir ini, apa sudah jadi dengan RUU Ombudsman yang dijanjikan kerajaan?
Penubuhan badan khas di Malaysia bagi menerima, meneliti selanjutnya menyiasat setiap aduan awam berhubung perkhidmatan yang disalurkan oleh mana-mana jentera kerajaan merupakan tuntutan yang bukan sahaja mustahak, bahkan amat mendesak.
Ini lebih-lebih lagi mengambil kira kepincangan bicara oleh menteri-menteri dan perdana menteri dalam beberapa episod kebelakangan ini.
Sebagai contoh, Menteri Pendidikan pada awal tahun menyuarakan cadangan mengenai ujian diagnostik bagi melihat kesesuaian pelajar memulakan proses pembelajaran pada usia enam tahun. Namun selang seminggu kemudian perdana menteri mengatakan saringan melalui ujian diagnostik tidak akan diteruskan bagi mengelakkan diskriminasi terhadap kanak-kanak.
Melihatkan dasar kerajaan yang berbolak-balik sebegini, tidak mustahil lebih banyak lagi hak dan kepentingan rakyat yang akan dikompromikan. Kerana itu, kewujudan saluran khusus untuk kesemua aduan awam adalah mustahak dan tidak boleh dilengah-lengahkan lagi.
Saya percaya jika kerajaan berjaya mewujudkan Ombudsman Malaysia, maka institusi penyiasatan bebas ini mampu menangani pelbagai isu tatakelola yang berbangkit mutakhir ini termasuklah dalam hal tuduhan penyiasatan, selanjutnya pendakwaan, yang dikatakan terpilih oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).
Ini kerana, Ombudsman Malaysia yang dihasratkan bakal meningkatkan integriti dan tadbir urus dalam menangani aduan awam selain dijangka berupaya memberikan fungsi serta kuasa pengurusan aduan salah tadbir di agensi kerajaan Persekutuan.
Pada ketika ini, ketidakpuasan hati rakyat terhadap mutu dan kecekapan perkhidmatan awam sering kali terluah secara tidak tersusun serta terpecah-pecah melalui saluran yang bersifat sektoral, seperti Sistem Pengurusan Aduan Awam (SisPAA) di bawah Biro Pengaduan Awam (BPA).
Keadaan ini memperlihatkan tiada satu wadah yang komprehensif, telus dan berautoriti untuk menghimpunkan, menilai serta menzahirkan penyelesaian terhadap setiap keluhan rakyat secara lebih sistematik dan berkesan.
Kewujudan Ombudsman Malaysia dihasratkan berkeupayaan menyelesaikan pelbagai aduan awam, khususnya yang bersifat sensitif, secara telus dan adil.
Berbeza dengan prosiding di mahkamah yang menelan belanja yang besar, sebaliknya proses aduan melalui Ombudsman jauh lebih ringkas dan tidak memerlukan kos yang tinggi. Malah, Ombudsman berperanan mencadangkan resolusi yang harmoni untuk menyelesaikan aduan awam, tidak seperti perintah mahkamah yang dilihat bersifat lebih punitif.

TELADAN DARI NEGARA LUAR
Sebagai contoh, pada 2023, Ombudsman Indonesia menyiasat salah tadbir dalam projek Rempang Eco-City, di mana pihak pemaju menghalau penduduk secara salah dan cuai.
Siasatan Ombudsman mendapati pihak berkuasa tempatan gagal atau cuai bertindak dalam memastikan projek berkenaan mengikuti tatacara pembangunan tanah yang sah di Indonesia.
Dapatan Ombudsman ini dikemukakan kepada pihak berkuasa bagi menjamin projek diteruskan dengan mengikut tatacara yang tepat dan mengambil kira hak penduduk yang perlu dipindahkan.
Insiden ini wajar dijadikan teladan. Ini kerana Malaysia sedang mengalami isu sosial dan perundangan yang getir. Ia termasuk bukan sahaja permasalahan melibatkan pembinaan rumah ibadat mampu mencabar keabsahan institusi perundangan negara, bahkan isu ini mampu mencipta kucar-kacir dan menghakis toleransi agama yang dibina berdekad lama di dalam negara.
Di sebelah pihak, pemilik tanah dibebani dengan proses yang panjang dan mahal bagi mendapatkan hak mereka. Di sebelah pihak lain, pentadbir rumah ibadat mempunyai hak untuk mengamalkan agama mereka dengan aman dan sentosa.
Namun isu yang kian dipolemikkan ini tidak membicarakan secara rasional dan menawarkan resolusi harmoni mengikut lunas undang-undang terpakai.
Apabila pihak-pihak yang bertelagah mengemukakan hujahan beremosi dan mengenepikan fakta hakiki, maka yang tinggal adalah campur tangan pihak ketiga. Campur tangan ini mampu mengharmonikan perbalahan secara adil, telus dan saksama.
Malangnya beberapa kenyataan rasmi pihak berkuasa tempatan juga dilihat tidak meredakan pergolakan, bahkan ada yang dilihat seperti menyimbah minyak ke dalam api.
Di sinilah perlu diwujud institusi Ombudsman yang mampu merungkai permasalahan ini secara bijaksana tanpa melemahkan kepentingan pihak-pihak lain.
Selagi mana kerajaan berterusan menabur janji untuk mendirikan Ombudsman Malaysia tanpa mengambil langkah yang jelas, selagi itu rakyat ternanti-nanti ruang aduan yang lebih utuh.
Bila kerajaan mahu bentangkan RUU Ombudsman Malaysia? –UTUSAN
PENULIS ialah pengamal undang-undang, Naib Presiden II Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).










