“ANDA tidak boleh menikmati keamanan tanpa kebebasan dan anda tidak boleh menikmati kebebasan tanpa keamanan”- Tunku Abdul Rahman.
Isu kebebasan adalah luas. Setiap aspek kebebasan menjadi impian manusiawi. Pun begitu, tidak dinafikan tiada kebebasan yang wujud secara mutlak di dunia ini. Sebaliknya yang wujud adalah kebebasan yang dipandu dengan undang-undang berlandaskan prinsip moraliti, akal budi dan imbangan antara hak individu dan hak masyarakat.
Kerana itu, hak untuk mendapatkan kebebasan maklumat penting dalam masa lalu. Sekitar Oktober 2024, selepas pengumuman Belanjawan 2025, kerajaan mengumumkan melalui Ikhtiar Nombor 8 untuk memperkenalkan Rang Undang-Undang Kebebasan Maklumat (RUU FOI) pada 2025.
Ketika diumumkan, ia mendapat sambutan ramai dan rakyat menunggu pembentangan RUU FOI ini tahun lalu.
Menurut Peta Reformasi Institusi (PetaRI) Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, RUU FOI, yang pada awalnya dicadangkan untuk diletakan di bawah Ombudsman Malaysia, tidak dapat dapat dibentangkan dalam sidang Parlimen Disember 2025. Kelewatan ini dikatakan kerana agenda Parlimen penuh dengan urusan pembentangan RUU dan urusan kerajaan yang lain.
Lantaran itu RUU FOI akan ditangguhkan pembentangannya ke awal tahun ini.
Menurut PetaRI juga pada Febuari 2025 yang lalu, jawatankuasa protem (sementara) ditubuhkan dan dipengerusikan Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) serta dianggotai wakil daripada kerajaan, pertubuhan masyarakat sivil, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Majlis Peguam selain ahli akademik, bertujuan meneliti dan menyediakan draf RUU FOI sebelum dibentangkan bagi mendapatkan pertimbangan Jemaah Menteri sebelum pembentangan di Parlimen.
Pun begitu, sudah hampir dua tahun selepas kali pertama dicadangkan, rakyat masih menanti-nanti apakah intipati RUU FOI tersebut dan sejauh manakah RUU FOI memberikan rakyat hak dan akses kepada maklumat.

HAK RAKYAT
Pada masa sama, persoalan rakyat masih berpusar kepada sama ada RUU FOI ini akan berupaya mengimbangi kepentingan negara dalam aspek keselamatan dan risikan.
Kebimbangan rakyat ada asasnya. Di suatu sudut, rakyat inginkan pendedahan maklumat dari kerajaan yang sebelum ini tidak diberikan dengan alasan perundangan yang sedia ada membataskan penzahiran maklumat.
Manakala di sudut lain pula, rakyat mungkin merasa bimbang jika maklumat berisiko tinggi dan keselamatan didedahkan begitu sahaja.
Namun, saya percaya kerajaan sendiri telah bersedia untuk mengadakan peruntukan yang konklusif dan menyeluruh untuk perlindungan kepentingan negara.
Keinginan rakyat untuk mendapatkan akses kepada maklumat juga timbul kerana keadaan yang mendorong dan mewujudkan persepsi seolah-olah adanya ketidaktelusan dalam pentadbiran terdahulu.
Bagi tujuan ketelusan dan integiriti kerajaan yang memerintah, hak rakyat untuk mendapatkan akses maklumat ini tidak boleh disangkal.
Berdasarkan perbandingan perundangan ini dengan perundangan di negara luar seperti United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS), wujud mekanisme yang jelas terhadap kaedah untuk mendapatkan maklumat dan hak kerajaan melindungi maklumat tersebut sekiranya bertentangan dengan kepentingan nasional.
Cuma definisi kepentingan nasional itu perlu diberikan takrifan yang tuntas dan tidak sewenang-wenangnya digunakan.
Kendatipun, pemahaman dan kesedaran rakyat juga penting supaya rakyat sedar akan penggunaan perundangan kebebasan maklumat ini dan dapat memanfaatkannya.
Cabaran lain yang perlu difikirkan terlebih dahulu adalah budaya pentadbiran kerajaan yang cenderung untuk mengutamakan kerahsiaan atas nama kepentingan atau keselamatan nasional. Ia juga berpotensi untuk menjadi alat politik di masa hadapan.
Apapun sekiranya Malaysia bersedia untuk meningkatkan integriti dan tadbir urus yang baik tiada apa yang perlu ditakutkan dengan maklumat yang dizahirkan kepada rakyat.
Hakikatnya terdapat dua buah negeri di Malaysia yang mempunyai struktur perundangan berkenaan kebebasan maklumat iaitu Selangor dan Pulau Pinang.
Negeri Selangor melalui Enakmen Kebebasan Maklumat (Negeri Selangor) 2011 digubal untuk meningkatkan penzahiran maklumat bagi kepentingan awam dan untuk individu peluang mengakses maklumat yang dibuat Jabatan-Jabatan Kerajaan Negeri melalui permohonan yang dibuat. Manakala negeri Pulau Pinang pula menggubal Enakmen Kebebasan Maklumat Pulau Pinang 2010 yang mempunyai niat yang sama iaitu penzahiran maklumat untuk kepentingan awam.
Pelaksanaan undang-undang kebebasan maklumat di dua negeri ini boleh menjadi permulaan untuk menyeragamkan kebebasan penzahiran maklumat kepada orang ramai di peringkat persekutuan.
Diakui juga terdapat kegusaran berkenaan isu ketersediaan infrastruktur dan tenaga manusia yang bersedia untuk menyambut dan menjayakan niat RUU FOI ini.
Apapun cabaran yang akan ditempuhi apabila pelaksanaannya kelak tidak sepatutnya menghalang undang-undang ini daripada dibahaskan dan diluluskan di Parlimen dalam masa terdekat.
Diharapkan juga RUU FOI yang akan digubal kelak berjaya mencapai matlamat dan tidak hanya menjadi satu set perundangan tanpa roh dan pelaksanaan.
Tuntasnya, iltizam kerajaan untuk menjayakan RUU FOI penting dan tidak hanya sebagai slogan semata-mata. Reformasi yang didakwa perlu diimplementasikan supaya keterujaan rakyat kepada idea reformasi ini dapat dikekalkan.
Lebih penting lagi rakyat dapat melihat pelaksanaan reformasi yang dicanangkan benar-benar dapat direalisasikan.
Kebebasan mengakses kepada maklumat semestinya perlu sentiasa berjalan seiiring dengan perlindungan kepentingan negara tetapi sama sekali tidak boleh menggunakan alasan kepentingan nasional untuk menutup ketidakteraturan yang wujud. -UTUSAN
PENULIS merupakan pengamal undang-undang dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).










