Syaaban persiapan sambut Ramadan

Syaaban persiapan sambut Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hari ini kita sudah berada pada 4 Syaaban. Maknanya dalam tempoh kira-kira 25 atau 26 hari lagi, kita akan memasuki bulan yang penuh dengan keberkatan yang juga dipanggil Penghulu Segala Bulan iaitu Ramadan.

Syaaban termasuk dalam bulan mulia dalam Islam. Dalam bulan ini, umat Islam digalakkan memperbanyak amal soleh. Ia juga adalah bulan sebelum tibanya Ramadan al-mubarak.

Al-Hafiz Ibn Rajab dalam Lata’if al-Ma’arif berkata: “Oleh kerana Syaaban seperti mukadimah kepada Ramadan, maka disyariatkan padanya perkara yang disyariatkan pada bulan Ramadan seperti berpuasa dan membaca al-Quran, agar dapat bersiap sedia bagi menyambut Ramadan serta dapat membiasakan diri dengannya dalam usaha mentaati Allah SWT. (hlm 258)

Golongan salaf menghidupkan Syaaban dengan pelbagai amalan kerana Rasulullah SAW mengkhabarkan pada bulan itu segala amalan akan diangkat kepada Allah.

Usamah bin Zaid r.a berkata: “Aku pernah bertanya: “Wahai Rasulullah, aku tidak pernah melihat tuan berpuasa sepanjang bulan daripada seluruh bulan seperti tuan berpuasa pada bulan Syaaban?”

Baginda menjawab: “Itulah bulan yang manusia sering lalai daripadanya yang berada di antara Rejab dan Ramadan. Ia adalah bulan yang diangkat padanya semua amalan kepada Tuhan seluruh alam. Maka, aku suka untuk diangkat amalanku sedangkan aku dalam keadaan berpuasa.” (Riwayat Ahmad dan an-Nasa’i dengan sanad hasan)

Dalam hadis sahih, amalan kita diangkat setiap hari iaitu pada waktu Subuh dan Asar, setiap minggu hari Isnin dan Khamis dan setiap tahun pada bulan Syaaban.

Maka itu, kita disunatkan berpuasa pada Isnin dan Khamis sebagaimana amalan baginda Nabi SAW.

Menyedari kemampuan manusia adalah terbatas dan segala yang berlaku itu adalah atas Kuasa Allah, maka kita digalakkan berdoa agar diberi kekuatan bagi melakukan ibadat dalam bulan ini.

Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW apabila masuk Rejab, baginda akan berdoa: “Ya Allah, berilah keberkatan kepada kami pada Rejab dan Syaaban serta sampaikanlah kami ke Ramadan.” (Riwayat al-Bazzar, Abdullah bin Ahmad dalam Zawa’id al-Musnad, al-Tabarani dalam al-Awsat dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman dengan sanad daif)

 

 

SYAABAN adalah bulan persediaan untuk Ramadan, membolehkan kita memperbanyak ibadah seperti puasa sunat dan mendekatkan diri kepada Allah.

PUASA SUNAT

Baginda Nabi SAW telah menunjukkan kepada kita bagaimana untuk mempersiapkan diri memasuki Ramadan pada bulan Syaaban ini. Antara amalan baginda adalah banyak berpuasa.

Saidatina Aisyah r.ha ada menceritakan dalam hadis yang bermaksud:“Rasulullah SAW ada ketikanya berpuasa sehingga kami menyangkakan Baginda tidak mahu berbuka (puasa setiap hari). Ada ketika Rasulullah SAW tidak berpuasa sehingga kami menyangkakan baginda tidak mahu berpuasa. Saya tidak pernah melihat Rasulullah SAW berpuasa lebih banyak daripada Ramadan melainkan pada bulan Syaaban.”. (Riwayat Bukhari)

Justeru, mari kita mengambil peluang dengan kelebihan yang Allah SWT berikan pada bulan mulia ini untuk perbanyakkan berpuasa berdasarkan dalil-dalil berikut:

1) Puasa sunat tathawwu‘
Puasa sunat tathawwu‘ ialah puasa sunat yang dilakukan secara sukarela kerana Allah SWT, tanpa terikat dengan sebab atau hari tertentu.

Semua puasa sunat seperti puasa Nabi Daud, Isnin dan Khamis, Ayyamul Bidh, Arafah, Asyura dan puasa sunat biasa termasuk dalam kategori puasa tathawwu‘.

Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda bahawa Allah SWT berfirman (hadis qudsi) yang bermaksud: Tiadalah amalan yang dilakukan oleh hamba Ku untuk mendekatkan diri kepada Ku yang lebih Aku cintai melainkan apa yang telah Aku fardukan. Tidaklah hamba Ku sentiasa mendekatkan diri kepada Ku dengan amalan sunat (Nawafil) melainkan Aku akan mencintainya. (Riwayat Bukhari)

Puasa sunat tergolong dalam amalan nawafil (tathawwu‘) yang menjadi sebab seseorang mendapat kecintaan Allah SWT.

Puasa sunat tathawwu‘ adalah ruang ibadah yang luas bagi menambah pahala, mendekatkan diri kepada Allah. Ia juga melatih jiwa sebelum ibadah wajib, khususnya menjelang Ramadan.

2) Puasa sunat Isnin dan Khamis
Selain menjadi sunnah Nabi Muhammad berkenaan puasa Isnin dan Khamis, ada kelebihan lain yang ada padanya iaitu kedua-dua hari tersebut berlakunya pembentangan amalan di hadapan Allah.

Daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Amalan dibentangkan pada hari Isnin dan Khamis, maka aku lebih suka amalanku dibentangkan ketika aku sedang berpuasa.” (Riwayat Tirmidzi)

3) Puasa sunat hari putih (ayyamul bidh)
Disunatkan juga kita beramal dengan puasa hari putih yang dikenali sebagai puasa ayyamul bidh iaitu puasa pada hari ke-13, 14 dan 15 di pertengahan setiap bulan Islam.

Pahala sunnah ini seumpama berpuasa sepanjang tahun. Demikian besar gandaan pahala yang Allah kurniakan buat umat Nabi Muhammad.

Ia sebagaimana hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Rasulullah SAW memerintahkan kami agar berpuasa pada hari bidh iaitu pada 13, 14 dan 15. Baginda berkata: hari-hari tersebut umpama setahun.” (Riwayat Abu Daud)

Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sekiranya engkau berpuasa tiga hari dalam sebulan, puasalah pada 13, 14, dan 15 hari bulan.” (Riwayat Tirmidzi)

QADA PUASA

Bagi kaum wanita, pastikan Syaaban menjadi bulan untuk mengqada puasa yang ditinggalkan pada Ramadan lalu.

Wajib bagi orang muslim menggantikan puasa Ramadan yang ditinggalkan sama ada kerana keuzuran yang dibenarkan oleh syarak atau sengaja ditinggalkan.

Ini sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: (Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. (al-Baqarah: 184)

Sememangnya kita dibolehkan mengqada puasa pada bila-bila masa kecuali pada hari yang diharamkan berpuasa selagi tidak memasuki Ramadan. Ini berdasarkan hadis perbuatan Saidatina Aisyah r.ha menggantikan puasa Ramadan. Beliau berkata yang bermaksud: Aku ada puasa daripada bulan Ramadan yang wajib diganti, tetapi aku tidak mampu untuk menggantikannya kecuali pada bulan Syaaban kerana kesibukan melayani dan berkhidmat untuk Rasulullah SAW. (Riwayat Muslim)

Tentang persoalan hukum berpuasa sunat selepas nisfu Syaaban (15 Syaaban), pendapat yang tepat dalam hal ini adalah tidak ada halangan berpuasa selepas pertengahan Syaaban.

Berikut adalah irsyad hukum puasa pada Hari Nisfu Syaaban dan selepasnya menurut Jabatan Mufti Pulau Pinang :

Sunat puasa dalam bulan Syaaban secara amnya.

-Dibolehkan puasa sunat pada hari nisfu Syaaban (15 Syaaban).
-Dibolehkan puasa sunat pada 16-30 Syaaban bagi orang yang biasa puasa sunat sebelum itu.
-Haram puasa sunat pada 16 hingga 30 Syaaban bagi orang yang tidak biasa puasa sunat sebelum itu.
-Dibolehkan puasa wajib seperti qada, nazar dan seumpamanya pada 16 hingga 30 Syaaban.-UTUSAN

MOHD. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN