PENEMPATAN ke sekolah berasrama penuh telahpun ketahui lewat minggu lalu.
Pelbagai reaksi ibu bapa dapat dilihat antaranya berasa bangga dan bersyukur atas pencapaian anak yang berjaya ditempatkan di beberapa sekolah pilihan.
Dek kerana menerima beberapa penempatan, ada yang meluahkan rasa dilema untuk memilih sekolah yang terbaik buat anak masing-masing.
Tidak kurang juga reaksi segelintir ibu bapa yang meluahkan rasa kecewa dan tidak berpuas hati terhadap hasil keputusan penempatan tersebut.
Sebilangan daripada mereka bersikap rasional menerima kegagalan tersebut tetapi ada juga yang hilang pertimbangan dan menganggap sistem penempatan tidak berlaku adil kerana anak dikatakan berpotensi besar untuk diserap ke asrama penuh.
Tidak kurang juga yang merasakan kegagalan dalam penempatan di sekolah berasrama adalah antara kegagalan dalam hidup.
Sikap gelisah dan gusar ibu bapa tentang anak mereka yang tidak mendapat tempat di sekolah berasrama penuh ini dianggap kurang sihat.
Ini kerana ibu bapa menganggap anak mereka seperti sebuah persaingan dan trofi yang perlu dijulang serta dibanggakan.
Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku. Ini kerana tanggungjawab ibu bapa seharusnya menjadi penyokong setia dan bukannya mempertaruhkan peluang anak seperti pertandingan.
Ibu bapa perlu sedar mendapat tempat di sekolah berasrama penuh bukanlah tiket bagi kejayaan anak pada masa hadapan.
Walaupun sekolah berasrama penuh mempunyai sistem yang tersusun dan sistematik berkaitan disiplin dan rutin, namun ibu bapa perlu maklum yang penempatan anak di sekolah harian tidak kurang hebatnya.
Kedua-dua jenis sekolah ini memberi ruang dan peluang kepada anak untuk mencari pengalaman hidup yang unik dan tersendiri.
Di sekolah berasrama penuh contohnya murid disediakan dengan kemudahan serta persekitaran asrama dan bilik darjah yang lengkap membolehkan pelajar belajar dengan baik, seterusnya hidup berdikari sepanjang pengajian.
Berbeza pula dengan sekolah menengah harian, pelajar berpeluang terus tinggal bersama keluarga sementara kemudahan yang diterima di sekolah hanya terhad kepada bilik darjah dan persekitaran sekolah. Kurang ruang untuk belajar berdikari menguruskan diri dan kelengkapan sekolah sendiri.

TIDAK SEMUA INDAH
Pengalaman tinggal di asrama walaupun ramai yang percaya dapat memberikan peluang kepada murid membentuk sahsiah dan rohani yang baik, namun hubungan murid dengan keluarga terbatas disebabkan jarak dan masa.
Jarak jauh dengan keluarga boleh menimbulkan tekanan emosi yang mendalam kepada anak sehinggakan ada yang memilih untuk mengurus tekanan tersebut dengan cara tidak sihat seperti memendam, mencederakan diri, membuli ataupun melanggar peraturan sekolah.
Pelajar di sekolah menengah harian juga tidak terlepas dengan cabaran dan tekanan seperti ini. Mereka lebih terdedah dengan pelbagai cabaran termasuklah kurang masa dan pantauan ibu bapa yang bekerja, bergantung pada gajet sepanjang masa, pengaruh rakan sebaya atau dewasa di dalam mahupun luar sekolah.
Sungguhpun begitu, kedua-duanya mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri. Cabaran seperti ini perlu mendapat perhatian ibu bapa serta mengambil pertimbangan matang.
Ibu bapa perlu memberi bimbingan, dorongan dan disiplin yang konsisten kepada anak supaya boleh boleh tumbuh dengan sihat serta produktif.
Ini kerana anak-anak seawal umur 13 tahun bakal melalui fasa awal remaja yang mana daripada segi pemikiran, mereka masih kurang matang dalam membuat keputusan.
Bahkan, dalam tempoh ini, mereka sedang mencari identiti diri. Kerana itu, fokus ibu bapa pada fasa ini seharusnya tertumpu pada proses kemenjadian diri anak.
Ini termasuklah pembentukan identiti, jati diri dan kemahiran daya tindak yang perlu diutamakan selain daripada pencapaian akademik.
Fasa ini dianggap agak penting dalam perkembangan psikologi anak kerana merupakan tempoh transisi daripada zaman kanak-kanak kepada remaja. Kerana itu, hubungan dengan ahli keluarga penting bagi menentukan nilai dan pegangan dalam hidup masa hadapan.
Dalam proses kemenjadian diri anak, ibu bapa perlu menghadirkan diri secara emosi dan psikologi supaya mereka rasa selamat.
Menerima tanpa syarat, mendengar tanpa menilai dan sentiasa memberi galakan membina adalah antara strategi lain buat ibu bapa dalam menyokong perkembangan anak-anak.
Dalam fasa ini, ibu bapa tidak perlu meletakkan impian mereka ke atas anak setinggi langit yang kelak boleh membebankan permata hati mereka dengan pelbagai harapan yang tidak rasional.
Impian dan harapan tersebut secara tidak langsung boleh mencetuskan tekanan yang mendalam jika tidak dicapai.
Dalam sesetengah kes, hal sebegini menjejaskan kesejahteraan mental anak tanpa sedar. Jadi, bersama-sama meletakkan matlamat dalam hidup dan sentiasa memberi motivasi kepada anak sebagai komponen penting dalam proses pertumbuhan ini.
Dalam menerima kegagalan seperti ini, sedikit sebanyak menjadikan suasana rumah dan hubungan dalam keluarga terjejas. Lebih buruk lagi boleh mendatangkan pergaduhan dan pertelingkahan secara tidak langsung dalam ahli keluarga.
Kegagalan seperti ini perlulah ditangani melalui pengurusan emosi yang lebih sihat dan matang.
Ibu bapa juga perlu belajar untuk berdamai dengan takdir sekiranya keputusan rayuan akan datang kekal seperti sebelumnya. Saya percaya pengalaman ini bakal menjadi bermakna kepada anak dalam mempelajari kemahiran menghadapi kegagalan dan kekecewaan dalam hidup.
Ibu bapa adalah suri teladan buat anak, maka pembentukan karakter dan daya tindak anak dalam fasa ini mudah dibentuk sekiranya orang tua lebih prihatin dengan keperluan emosi selain berempati dengan cabaran-cabaran yang bakal ditempuhi oleh anak.-UTUSAN
PENULIS ialah Pensyarah Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Kulliyyah Pendidikan (KOE), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kampus Gombak.










