Pulihkan wibawa pertahanan negara

Pulihkan wibawa pertahanan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERUTUSAN Tahun Baharu 2026 oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada 12 Januari lalu memperlihatkan pendekatan yang berbeza.

Sekiranya sebelum ini perutusan kementerian menekankan senarai projek, sasaran prestasi atau agenda teknikal tetapi kali ini fokus diberikan kepada nilai, tujuan dan wibawa institusi pertahanan negara.

Pendekatan ini memberi isyarat bahawa cabaran utama sektor pertahanan tidak hanya berkaitan aset, teknologi atau peruntukan kewangan tetapi juga dimensi kemanusiaan seperti nilai keinsanan, integriti, akauntabiliti, amanah dan kepercayaan awam.

Menteri Pertahanan secara terbuka mengakui wujud jurang wibawa dan krisis kepercayaan terhadap Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Isu rasuah, salah guna kuasa, buli, hedonisme dan kemerosotan disiplin bukan kes terpencil tetapi simptom masalah struktural yang menjadi budaya.

Keberanian menyatakan hakikat ini menandakan pemulihan wibawa memerlukan kejujuran institusi dan kesediaan melakukan pembetulan menyeluruh.

Reformasi perlu dilaksanakan segera agar pertahanan dan keselamatan negara sentiasa berada pada landasan utama.

PERTAHANAN dan keselamatan negara bergantung kepada insan yang berintegriti dan berwibawa, sistem yang telus juga berkesan serta sokongan masyarakat.

KHIDMAT SEBAGAI PERKHIDMATAN IKHLAS
Perutusan menekankan konsep khidmat sebagai perkhidmatan ikhlas. Profesion ketenteraan dan perkhidmatan awam menuntut komitmen dan pengabdian tinggi.

Disiplin, amanah, integriti, pengorbanan dan keikhlasan menjadi asas utama. Sekiranya kepentingan peribadi melebihi amanah dan kepentingan organisasi, institusi pertahanan akan lemah, sekali gus menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap benteng terakhir kedaulatan negara.

RASUAH ANCAMAN DARI DALAM
Ancaman terhadap keselamatan negara bukan hanya dari luar. Rasuah merupakan ancaman dalam yang mampu melemahkan keupayaan pertahanan tanpa berdepan musuh.

Cadangan pembaharuan melalui digitalisasi, penggunaan kecerdasan buatan (AI), pengukuhan kawalan dalaman selain penerapan kerangka tatakelola yang baik menandakan perubahan penting ke arah tadbir urus pertahanan yang telus, moden dan berkesan.

Teknologi bukan sahaja memodenkan sistem pertahanan tetapi juga meningkatkan kecekapan kawalan dalaman dan ketelusan dalam pelaporan prestasi serta penggunaan sumber.

PERANAN UPNM
Teknologi dan pelan strategik sahaja tidak mencukupi tanpa pembentukan insan berintegriti. Di sinilah peranan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) menjadi kritikal.

UPNM bukan sekadar institusi akademik tetapi tapak awal pembentukan pegawai, pemimpin dan pemikir strategik.

Nilai amanah, tanggungjawab, keberanian moral dan kesedaran kuasa perlu dipupuk sejak di universiti supaya graduannya bukan sahaja cekap profesional tetapi juga teguh moral dan sahsiah.

Kurikulum, pedagogi dan ekosistem kampus perlu menyepadukan etika, tatakelola, kepimpinan berasaskan nilai dan disiplin ketenteraan secara konsisten.

Ini membolehkan graduan memahami hubungan awam dan ketenteraan serta mengurus kuasa dengan penuh tanggungjawab.

Dalam era keterbukaan maklumat dan media sosial, legitimasi pertahanan bergantung pada persepsi integriti dan akauntabiliti, bukan semata-mata kekuatan fizikal.

UPNM membentuk pegawai yang sedar tentang tanggungjawab moral, impak keputusan terhadap masyarakat dan peranan mereka dalam membina kepercayaan awam terhadap institusi.

TRANSFORMASI BERASASKAN INSAN
Perutusan Tahun Baharu 2026 adalah seruan pembaharuan menyeluruh. Kejayaan agenda transformasi pertahanan bergantung pada kemampuan membina insan berintegriti, berwibawa dan diyakini rakyat.

Pemulihan wibawa bermula dari akar umbi melalui pembentukan serta pembangunan insan selain memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk masyarakat awam, untuk memperkukuh nilai dan wibawa institusi pertahanan.

Kesedaran rakyat terhadap peranan mereka sebagai penyokong moral dan sosial institusi pertahanan turut menjadi faktor penting dalam membina ketahanan negara secara menyeluruh.

Selain itu, perutusan ini menekankan bahawa profesion pertahanan bukan pekerjaan semata-mata tetapi pengabdian yang menuntut disiplin, amanah, pengorbanan dan keikhlasan.

Sekiranya kepentingan peribadi melebihi amanah, institusi akan lemah dan kepercayaan rakyat menurun. Nilai ini harus diterapkan sejak di universiti pertahanan agar wibawa pertahanan terpelihara, disokong oleh sistem pendidikan dan teknologi yang menyeluruh serta integriti yang konsisten sepanjang kerjaya pegawai.

Negara ini milik kita semua. Ia wajib dijaga dengan keringat, darah dan air mata agar terus makmur dan selamat sebagai warisan generasi akan datang.

Perutusan Tahun Baharu 2026 menjadi panduan jelas bahawa pertahanan dan keselamatan negara bergantung kepada insan yang berintegriti dan berwibawa, sistem yang telus juga berkesan serta sokongan masyarakat yang memahami kepentingan nilai, disiplin mahupun amanah.

Transformasi pertahanan bermula dari pembentukan insan sejak di universiti pertahanan sehingga ke peringkat perkhidmatan professional. – UTUSAN

PROFESOR Dr. Mohd. Abdullah Jusoh ialah Pensyarah Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN