Masalah sosial, LGBT bukan isu kecil – Marhamah - Utusan Malaysia

Masalah sosial, LGBT bukan isu kecil – Marhamah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
Pelantikan MARHAMAH ROSLI sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) hadir pada saat masyarakat berdepan cabaran sosial yang semakin meruncing. Isu gejala sosial, keruntuhan institusi keluarga serta penularan fahaman LGBT kini bukan lagi bersifat terpencil, sebaliknya semakin terbuka dan mencabar nilai agama.

Penampilan, latar belakang serta pendekatan yang dibawa penceramah dan aktivis masyarakat ini menjadi bahan pertikaian, malah ada yang melabel dan membuat dakwaan tanpa tabayyun. Namun bagi beliau, serangan itu adalah satu bentuk ujian untuknya.

Dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, MAISARAH SHEIKH RAHIM dan IRWAN SHAFRIZAN ISMAIL serta jurufoto, FAISOL MUSTAFA, Marhamah menggariskan pendiriannya dalam menangani isu sensitif seperti LGBT, dengan menekankan keberanian bersuara, literasi masyarakat serta kesedaran tentang batas kebebasan menurut agama dan undang-undang.

MASIH TERKEJUT
MINGGUAN MALAYSIA: Boleh kongsikan perasaan sebaik dilantik dalam pentadbiran kerajaan?
Sehingga ke saat ini saya masih terkejut dan berada dalam fasa menyesuaikan diri.

Saya sedar bahawa daripada seorang yang tidak mempunyai latar belakang sebagai penjawat awam, tiba-tiba dilantik sebagai Timbalan Menteri adalah sesuatu di luar jangkaan. Bukan sahaja masyarakat terkejut, saya sendiri pun terkejut.

Namun, saya tidak melihat pelantikan ini sebagai sesuatu yang bersifat peribadi. Saya melihatnya sebagai amanah yang dipertanggungjawabkan.

Jadi, di mana pun Allah letakkan saya, walau terkejut mana sekali pun, saya perlu memberikan komitmen sepenuhnya dan melakukan yang terbaik.

LAYANAN DINGIN?
YB ada menyebut mengenai layanan yang agak dingin, mungkin kerana penampilan yang tidak disangka sebagai seorang Timbalan Menteri. Bagaimana berhadapan dengan situasi itu?
Saya bersikap terbuka. Untuk mengubah sesuatu bukan perkara mudah kerana manusia memang sukar berubah.

Bahkan menukar warna baju pun kadang-kadang susah. Namun, satu prinsip yang saya pegang adalah selagi ia mengikut syariat dan selagi saya tidak melanggar ketaatan kepada Allah, saya akan patuh.

Sebagai contoh, apabila berpakaian rasmi perlu berbaju kurung, walaupun saya tidak biasa, saya tetap patuh atas dasar tanggungjawab dan amanah, selagi ia tidak melangkaui batas syariah. Saya masih dalam proses adaptasi, insya-Allah.

Dengan latar belakang pengalaman kemasyarakatan dan sebagai anak seorang guru agama, bagaimana semua ini boleh digabungkan sebagai hala tuju dalam menerajui kementerian?
Jika dilihat, kita memang biasa dengan kerja pentadbiran dan pengurusan, cuma bukan dalam konteks tata kelola kerajaan.

Sebelum ini, kita mengikut garis panduan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Namun NGO juga bernaung di bawah Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS), yang merupakan sebahagian daripada kerajaan.

Jadi, perkara-perkara baik dalam pengurusan sebelum ini saya bawa bersama.

Pada masa sama saya sedang menyesuaikan diri dengan segala peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) dalam kerajaan.

Saya cuba menggabungkan kedua-duanya supaya dapat membentuk satu tata kerja yang mampu menaikkan dan memartabatkan hal ehwal agama. Insya-Allah.

KONSEP 3C
Apakah fokus atau pendekatan yang ingin dibawa dalam kepimpinan?
Saya membawa tiga perkara utama yang saya pegang bersama pasukan, iaitu konsep 3C, supaya kita mempunyai kiblat dan kompas yang sama.
Pertama adalah culture.

Budaya yang saya bawa dan budaya sedia ada dalam kerajaan perlu disepadukan.

Kita perlu memperkasakan budaya yang baik sahaja. Dalam sebuah organisasi, walaupun kita menguruskan hal ehwal agama dan syariat, kita tetap berhadapan dengan kepelbagaian sikap dan karakter manusia. Sebab itu, budaya sangat penting. Kita mahu membina budaya keterbukaan yang progresif.

Kedua adalah clarity. Dalam tempoh sebulan saya memegang amanah ini, saya dapati kejelasan merupakan isu besar. Ada yang tidak jelas bidang kuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), ada yang tidak jelas bidang kuasa Jabatan Agama Negeri, sehingga semuanya bercampur-aduk.

Hala tuju saya adalah untuk memberi kejelasan tentang bidang kuasa dan cara menangani sesuatu isu. Clarity ini sangat penting, jika tidak semua perkara menjadi tidak tersusun.

Ketiga adalah commitment. Dalam apa juga tanggungjawab yang diberikan, saya perlu memberikan komitmen sepenuhnya, sama ada daripada segi masa, cara berfikir dan keterbukaan hati. Tiga perkara inilah menjadi pegangan saya dan pasukan dalam menjayakan amanah ini.

Adakah terdapat isu tertentu yang menjadi tumpuan untuk diberi perhatian?
Oleh kerana latar belakang saya lebih kepada kerja lapangan, fokus saya adalah isu-isu kemasyarakatan. Antaranya pendidikan dan isu wanita. Jika dilihat di media sosial saya, antara tempat pertama yang saya lawati ialah sekolah-sekolah daif.

Saya juga sentiasa meminta supaya dalam apa-apa jemputan, saya tidak mahu hanya ditunjukkan perkara yang indah, sebaliknya tunjukkan masalah.

Bukan bermaksud kita tidak mahu mendengar pencapaian, tetapi apabila terlalu banyak bercakap tentang pencapaian, ia seolah-olah menutup masalah yang wujud.

Saya berada di sini bukan sekadar untuk mendengar pencapaian, tetapi untuk melihat apa sahaja masalah yang ada.

Insya-Allah kita cuba bantu bersama-sama, walaupun saya tidak memberi jaminan semua masalah boleh diselesaikan.

PERANAN WANITA
Apakah pandangan mengenai stigma masyarakat terhadap wanita dalam kepimpinan kerajaan, khususnya dalam hal ehwal agama?
Tanggapan itu wujud kerana jangkaan dan harapan yang terlalu tinggi. Persepsi masyarakat, lelaki adalah pemimpin dan dalam konteks agama, lelaki adalah imam.

Namun peranan kami bukan untuk mendahului lelaki, sebaliknya menjadi penghubung dan membantu para imam ini supaya tidak hanya tertumpu kepada perkara-perkara di permukaan.

Peranan wanita sangat penting. Apabila wanita berada dalam kepimpinan, kita lebih terbuka untuk memahami isu-isu kewanitaan dan menyalurkannya kepada pihak berkaitan supaya perbincangan tidak hanya tertumpu kepada aspek tertentu sahaja, tetapi melihat peranan wanita secara menyeluruh.

Saya melihat diri saya sebagai penghubung suara, harapan dan impian wanita dalam hal ehwal agama dan masyarakat keseluruhannya supaya didengari dan difahami.

Dengan latar belakang pendidikan YB dalam bidang perundangan, adakah undang-undang syariah perlu diperkasakan?
Apabila bercakap tentang undang-undang syariah, kita memahami kedudukannya dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan dan keistimewaan yang ada padanya. Namun, melalui perbincangan dengan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan, terdapat beberapa perkara yang perlu diberi penekanan, antaranya isu kekeluargaan.

Banyak masalah dalam masyarakat sebenarnya berpunca daripada institusi keluarga. Justeru, institusi kekeluargaan melalui jabatan-jabatan perundangan perlu diperkasakan. Kita perlu memberikan literasi undang-undang, kesedaran tentang kepentingan dokumen perkahwinan serta ilmu sebelum bernikah.

Isu perkahwinan bawah umur misalnya, kini menjadi trend. Dalam hal ini, kita tidak boleh terus menghukum kerana sudut pandang setiap kes adalah berbeza. Pendekatan yang saya bincangkan bersama jabatan dan agensi adalah supaya kita tidak terlalu mudah menghukum, sebaliknya memberi advokasi dan literasi agar masyarakat faham. Apabila masyarakat faham, mereka akan lebih terbuka.

Dalam isu gejala sosial, adakah YB melihat negara kita sedang berdepan masalah sosial yang serius?
Masalah sosial sudah lama wujud. Cuma hari ini ia lebih ketara kerana kewujudan media sosial yang menyebarkannya dengan lebih meluas.

Ia kembali kepada institusi keluarga, namun sebelum bercakap tentang institusi keluarga, ada satu perkara yang sering dilupakan iaitu diri kita sendiri.

Institusi keluarga tidak akan berjaya dibentuk dengan nilai akhlak, adab dan agama jika individu yang membentuk keluarga itu sendiri tidak memberi penekanan kepada pembentukan diri.

Sebagai contoh, jika seorang ibu tidak mempunyai nilai yang baik dalam dirinya, tetapi mengharapkan anak memiliki nilai tersebut, ia menjadi sukar.

Pembentukan nilai keluarga tidak boleh berlaku secara sebelah pihak. Semua perlu bermula dengan kesedaran diri.

Sebagai pemimpin juga, saya perlu membawa nilai yang baik. Walau apa pun status kita, kita tetap hamba Allah. Jadi, apabila bercakap tentang institusi keluarga dan masalah sosial, semuanya bermula daripada diri sendiri dan kita tidak boleh saling menyalahkan.

PERANAN SEMUA TANGANI LGBT
Bagaimana untuk menangani isu LGBT yang juga semakin membimbangkan?
Saya anggap LGBT ini bukan satu isu kecil. Ada agensi yang mempunyai bidang kuasa untuk mengambil tindakan dan langkah pencegahan seperti JAKIM, JAWI, seperti contoh program Glamping with Pride itu mereka akan pastikan program itu tidak berlangsung.

Jadi, itu di peringkat kerajaan, tapi bagi peringkat masyarakat dan individu apa peranan kita? Pertamanya, kita tidak boleh membiarkan atau diam sahaja, sebab diam itu juga satu pendapat atau pendirian. Jadi, kita kena ada keberanian dalam isu ini.

Pihak berkuasa memainkan peranan, pihak individu yang akan membentuk masyarakat juga memainkan peranan.

Kalau semua orang diam atau majoriti diam maka untuk mengekang ataupun untuk mencegah atau untuk memastikan ilmu itu tersebar bahawa perkara itu tidak boleh, tidak sihat, akan menjadi satu usaha yang agak sukar.

Pihak menyokong LGBT ini dakwa itu hak kebebasan manusia, bagaimana tangani persepsi ini?
Jika hendak bercakap mengenai hak asasi manusia, kita ada nilai, adab dan agama. Kita juga ada hukum dan syarak.

Jadi, untuk menuntut macam mana pun, kita semua ada batas kita. Sebagaimana kehidupan, kita hidup ada batas. Sebagaimana kita hendak menuntut hak pun perlu ada batas berlandaskan undang-undang, agama.

Sebab itu, saya kata literasi dan kesedaran itu penting. Kesedaran kita sebarkan. Kesedaran itu juga kita perlu sama-sama amalkan. Jadi, ya semua orang boleh bersuara tetapi ingat kita semua ada batas yang tidak boleh dilangkaui. Semua orang boleh bersuara, tapi kena ingat, ada batas.

KAUNSELING SEMATA TIDAK CUKUP
Adakah cukup untuk mereka yang terbabit dalam gejala ini diberikan kaunseling?
Kalau kita dengar pakar, ia berkaitan dengan nafsu. Dalam al-Quran disebut tentang nafsu. Dalam diri kita semua ini ada fujur (nafsu buruk), ada taqwa. Tapi kenapa Allah sebut fujur dulu baru taqwa sebab Allah tidak cipta nafsu buruk untuk kita ikut semata-mata.

Tapi bila ada nafsu buruk untuk kita.. Oh aku tengah marah.. Oh aku tengah ada keinginan yang bukan-bukan, itu caranya untuk kita naikkan taqwa. Contoh, marah lawannya sabar.

Jadi, cukupkah dengan kaunseling semata-mata? Kaunseling, kefahaman agama, pendekatan undang-undang, semua perlu digabung dan seiring.

Jangan kaunseling semata- mata. Sama juga pemimpin masyarakat, keluarga, individu, semua perlu bersatu.

Tidak ada benda yang perlu cukup dengan satu, kena saling memahami ekspektasi, peranan masing-masing supaya benda itu boleh dijayakan.

Jika sebelum ini jadi juara masyarakat, kini dalam kerajaan, apa isu utama yang mahu diselesaikan?
Kita tidak pernah mahu jadi juara, cuma kita membawa suara pihak-pihak yang tidak boleh bersuara dan saya tidak kata saya loud.

Cuma kebetulan sahaja kita ada followers (pengikut) dan saya beranggapan bila Allah mentakdirkan saya berada di sini, satu saya kena pegang, saya bukan penyelesai masalah, hanya menjadi penghubung dan biarlah perkara-perkara itu diselesaikan mengikut prosedur undang-undang ataupun apa-apa prosedur yang sepatutnya. Macam mana kuat pun suara, kita semua ada batas.

#JUCTICEFORZARA
Bagaimana dengan kempen #justiceforzaraqairina sehingga kini?
Sewaktu awal penglibatan saya pun, sebenarnya fungsi saya adalah untuk memastikan kes itu disiasat dengan betul-betul. Tapi bila kes ini sudah berjaya hingga peringkat inkues, jadi biar urusan mahkamah berjalan.

Tujuan kita di bahagian masyarakat ini adalah untuk memberi kesedaran agar tidak berlaku lagi insiden-insiden seperti itu.

Jadi, macam sekarang inkues sedang berjalan, sambung pada 21 Januari nanti. Saya dengan Ibu Zara dan pasukan Ibu Zara sendiri kami sangat rapat dan bercakap tentang kempen.

Bukan kita tidak mahu kempen…bukan, satunya kerana kita ada tanggungjawab lain yang mana kita punya sasaran itu lebih luas. Sekarang skopnya lebih besar, isu lebih banyak dan macam manapun saya dan Ibu Zara dan pasukan Ibu Zara sentiasa memberi sokongan sampai sekarang, setiap hari kami saling berhubung.

Walaupun saya faham kekecewaan orang ramai, tapi yang penting apa tujuan utama kita. Kita mahu suara Ibu Zara diangkat dan biar mahkamah yang menentukan segalanya. Itu saya punya pegangan sejak dulu.

TAGIH PERHATIAN, FOMO
Pandangan YB dalam isu peningkatan perceraian dalam masyarakat seolah menjadi trend?
Kita kena faham, zaman sekarang ini zaman serba-serbi laju. Kahwin, upload. Cerai, upload. Gaduh, upload di media sosial. Jadi, ia jadi macam fomo (fear of missing out). Ia bukanlah isu orang tidak faham hukum, mereka faham, cuma rasa ingin perhatian.

Zaman sekarang ini zaman yang unik yang mana perhatian diperoleh daripada skrin. Perhatian bukan lagi kita dapat secara fizikal. Zaman sekarang pun suami isteri makan lihat telefon pintar.

Nampak? Keterikatan terhadap skrin itu melangkaui segala-galanya. Jadi, kena berbalik kepada macam mana? Kena berbalik kepada Allah SWT. Tujuan kita berkahwin kenapa? Tujuan kita bercerai kenapa? Tujuan kita ada anak kenapa? Tujuan bertunang kenapa? Tujuan berkongsi di media sosial kenapa? Semua itu ada nilai di sisi Allah.

Sebab orang selalu menggambarkan dunia media sosial itu benda yang indah-indah, bahagia-bahagia dan bila ramai orang buat, bila dia tidak buat, dia rasa ketinggalan. Ini isu yang kita tidak boleh pandang remeh.

ISU KEKELIRUAN
Dakwaan isu kutipan dana untuk Zara yang yang kata diseleweng, apa komen YB?
Sebab itu mereka sebut sebagai serangan, bagi saya ini bukan serangan. Ini kekeliruan.

Sebab bila ada pihak yang membangkitkan isu tanpa tabayyun, tanpa mendengar semua pihak, dia terus naikkan isu tapi tidak mendengar daripada pihak kami.

Kita perlu faham benda ini melibatkan nombor dan saya sudah jelaskan sebelum ini dan bagi saya ini cuma kekeliruan informasi dan saya tidak akan salahkan mana-mana pihak.

Kalau perasan kenapa saya tidak respons sebab bagi saya ini kekeliruan. Lagi satu, benda ini melibatkan akaun bank. Kami audit setiap tahun kepada RoS.

Adakah serangan dan dakwaan negatif termasuk ajaran new age ini men­jejaskan tumpuan untuk tugas dalam kerajaan?
Itu pun saya terkejut, ada pula dakwaan sebegitu. Namun secara peribadi, ini yang saya pegang, saya anggap semua Allah izin, yang baik, buruk semua Allah izin.

Bukan untuk kita jadikan ini sebagai ‘alasan lepas diri’, bukan, tapi kita manusia yang kita rasa seronok Allah izin, kita rasa tidak seronok pun atas izin Allah SWT. Bagaimana kita hendak melihat kebaikan di sebalik semua benda ini?
Bagi saya serangan-serangan ini adalah salah satu cara untuk memastikan pemeriksaan kualiti untuk saya.

Sebab, kalau semua orang puji macam mana saya mahu rasa apa yang perlu diperbaiki. Jadi, serangan-serangan atau boleh kita kata kekeliruan-kekeliruan ini adalah salah satu cara untuk saya memperbaiki diri.

Dalam isu dana pelaburan emas, YB maklum turut menjadi antara mangsa, mungkin apa pandangan yang boleh dikongsi?
Jangan terlalu percaya orang. Macam saya pun, saya ada nyatakan waktu temu bual bersama media sebelum ini, saya juga mangsa penipuan. Kita ada laporan-laporan polis. Sebab itu, satu, jangan terlalu percayalah.

Maksud saya, masyarakat pun, kita tidak boleh halang masyarakat. Cuma apa yang kita boleh cakap, berwaspada.

Hati-hati, jangan terlalu 100 peratus percaya. Sebab itu, saya kata macam keraguan itu adalah salah satu cara untuk kita quality check diri kita. Buat sesuatu itu jangan terburu-buru. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN