Krisis di Perlis akan merebak jauh? - Utusan Malaysia

Krisis di Perlis akan merebak jauh?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Krisis politik di Perlis yang membawa kepada peletakan jawatan Menteri Besar, pengosongan tiga kerusi DUN serta penamatan keahlian tiga ADUN Pas perlu dibaca sebagai satu peristiwa politik yang jauh lebih besar daripada skala negeri itu.

Ia bukan sekadar konflik personaliti atau isu pentadbiran harian, tetapi satu cerminan jelas tentang kelemahan struktur dan pengurusan kuasa dalam Perikatan Nasional (PN). Lebih penting, krisis ini berlaku dalam keadaan amat luar biasa, iaitu ketika kerajaan negeri tidak berdepan sebarang cabaran nyata daripada pembangkang.

Hakikat bahawa penarikan sokongan terhadap Menteri Besar didorong sepenuhnya oleh wakil rakyat PN sendiri menjadikan krisis ini lebih serius. Ia bukan hasil tekanan jalanan, bukan kerana kegagalan pilihan raya, dan bukan akibat permainan politik pembangkang. Ia adalah keputusan kolektif sekumpulan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam kerajaan yang merasakan kepimpinan negeri tidak lagi wajar dipertahankan.

Dalam konteks ini, sukar untuk menafikan Bersatu memainkan peranan besar sebagai pemangkin krisis. Lima ADUN Bersatu yang terlibat bukan jumlah kecil. Mereka membentuk satu blok yang cukup besar untuk mengubah imbangan kuasa dan mencetuskan krisis keyakinan. Apabila digabungkan dengan tiga ADUN Pas, ia menunjukkan masalah ini bukan bersifat satu parti, tetapi masalah gabungan keseluruhan.

Namun, persoalan utama timbul mengapa Bersatu kelihatan lebih bersedia untuk mengambil risiko politik yang besar berbanding Pas yang selama ini menekankan kepatuhan dan disiplin?

Kesan psikologi krisis ini tidak terhad kepada Perlis. Di negeri yang dikuasai Pas seperti Kedah, Terengganu dan Kelantan, kehadiran ADUN Bersatu kini mula dilihat dengan lensa berbeza.

Jika di Perlis, wakil Bersatu boleh menjadi sebahagian daripada usaha menjatuhkan Menteri Besar Pas, apakah jaminan perkara sama tidak boleh berlaku di negeri lain?

Dalam politik, kepercayaan adalah mata wang paling bernilai. Sekali ia terhakis, sukar untuk dipulihkan. ADUN Bersatu di negeri-negeri Pas kini berdepan risiko dilihat sebagai bom jangka. Ini adalah dilema besar bagi Pas. Terlalu curiga akan melemahkan kerjasama, terlalu longgar pula membuka ruang manipulasi.

Keputusan Pas menamatkan keahlian tiga ADUNnya adalah langkah tegas yang konsisten dengan budaya disiplin parti. Namun, politik gabungan menuntut lebih sekadar ketegasan. Ia menuntut keupayaan mengurus konflik tanpa merosakkan kestabilan keseluruhannya. Pengosongan tiga kerusi DUN adalah bukti tindakan dalaman parti boleh membawa kesan yang luas.

Pas kini perlu menilai semula pendekatannya terhadap pengurusan sekutu. Soalnya, bukan sama ada tindakan itu betul atau salah daripada sudut perlembagaan parti, tetapi sama ada ia bijak dari sudut kelangsungan kuasa.

Politik adalah seni mengimbangi prinsip dan realiti. Kegagalan membaca implikasi jangka panjang boleh menyebabkan Pas memenangi pertarungan dalaman, tetapi kalah dalam peperangan pilihan raya.

Lantikan ADUN Kuala Perlis, Tuan Bakar Hamzah sebagai Menteri Besar baru Perlis pula menambah satu lagi lapisan persoalan dalam krisis ini. Walaupun langkah itu boleh difahami sebagai keperluan segera untuk memastikan kesinambungan pentadbiran dan integriti institusi kerajaan negeri, proses yang dilihat pantas dan seolah terburu-buru mencetuskan tanda tanya.

Realitinya, sebaik sahaja seorang ADUN Bersatu dilantik sebagai Menteri Besar, hampir mustahil untuk mengharapkan Bersatu tunduk sepenuhnya kepada tekanan Pas, khususnya apabila Pas menuntut tindakan disiplin terhadap lima ADUN Bersatu yang menjadi pencetus kejatuhan Menteri Besar sebelum ini.

Keengganan atau ketidakmampuan Bersatu mengambil tindakan tegas hanya mengukuhkan persepsi bahawa parti itu gagal mengawal wakil rakyatnya sendiri. Keadaan ini bukan sahaja mencalar imej Bersatu, tetapi turut memberi tekanan serius kepada hubungan Pas Bersatu dalam PN.

Lebih membimbangkan, beberapa tokoh Pas seperti Datuk Nik Amar, Syahir Sulaiman dan Fadli Shaari mula mengeluarkan kenyataan seolah-olah mengisyaratkan keperluan Pas menilai semula nilai sebenar kerjasama dengan Bersatu.

Angin politik yang bertiup daripada episod ini membawa amaran jelas Pas tidak lagi melihat Bersatu sebagai sekutu yang tidak boleh disentuh, malah berkemungkinan sanggup menggugurkannya menjelang PRU akan datang jika dilihat lebih membebankan daripada menguntungkan.

Dalam politik, momentum sering bermula dengan peristiwa kecil. Krisis Perlis berpotensi menjadi titik mula kepada perubahan landskap politik Melayu. Jika PN gagal mengurus persepsi dan realiti pasca krisis ini, mereka akan memasuki PRU16 dalam keadaan defensif. Kedah, Perlis, Terengganu dan Kelantan tidak lagi boleh dianggap selamat secara automatik.

Sebaliknya, jika PH dan UMNO bijak membaca peluang, mereka boleh mengeksploitasi kelemahan dalaman PN dengan menekankan isu kestabilan, kepimpinan dan keupayaan mentadbir tanpa konflik. Naratif ini, jika konsisten, boleh menghakis kepercayaan pengundi Melayu terhadap PN secara perlahan tetapi berkesan.

Krisis Perlis adalah amaran awal kepada semua pihak. Bagi PN, khususnya Pas dan Bersatu, ia menunjukkan kemenangan besar tanpa kesepaduan dalaman adalah rapuh.

Bagi Pas, cabarannya adalah mengurus sekutu dengan kebijaksanaan strategik, bukan sekadar disiplin parti. Bagi Bersatu, krisis ini menuntut penilaian serius tentang peranannya dalam PN sama ada sebagai rakan strategik atau liabiliti politik.

Bagi PH dan UMNO, Perlis membuka ruang untuk bangkit semula dalam politik Melayu. Dalam dunia politik, kejatuhan jarang berlaku tiba-tiba. Ia bermula dengan retakan kecil yang diabaikan.
Perlis mungkin kecil di peta Malaysia, tetapi retakan yang terhasil daripadanya berpotensi merebak jauh menjelang PRU16.

Muhammad Izmer Yusof ialah Pensyarah Jabatan Bahasa dan Pengajian Umum, Universiti Malaysia Perlis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN