Dominasi lori ancaman nyata di depan mata

Dominasi lori ancaman nyata di depan mata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FENOMENA lori yang semakin membanjiri jalan raya bukan lagi sekadar persepsi tetapi realiti yang sukar dinafikan.

Pemandu kereta dan motosikal kini kerap tersekat di belakang deretan lori kontena, treler dan kenderaan berat lain. Persoalannya, mengapa keadaan ini berlaku, apakah kesannya terhadap pengguna lain dan sejauh manakah penguatkuasaan ke atas operasi lori dijalankan?

Malaysia masih bergantung kepada pengangkutan darat sebagai tulang belakang logistik. Sistem rel kargo masih terhad, menyebabkan penghantaran barang dari pelabuhan, kilang dan gudang hampir sepenuhnya dilakukan melalui lori.

Hanya satu peratus kargo negara diangkut menggunakan rel, dengan sasaran baharu untuk meningkatkannya kepada 10 peratus dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Perbandingan ini jelas rendah jika dibandingkan dengan negara maju yang menjadikan rel kargo teras sistem logistik. Pertumbuhan pesat e-dagang dan industri perkilangan menambah bilangan lori kecil dan besar di jalan raya.

Bagi syarikat, lori lebih fleksibel dan murah berbanding pelaburan dalam sistem rel, namun kesan negatif kepada pengguna lain amat ketara.

Statistik rasmi menunjukkan antara 2019 hingga 2024, lebih 1,457 kematian direkodkan dalam kemalangan melibatkan lori, dengan ratusan kecederaan parah dan ringan.

Saiz besar lori, titik buta yang luas serta muatan berat meningkatkan risiko kereta kecil dan motosikal. Kesesakan di lebuh raya semakin kronik apabila deretan lori bergerak perlahan sekali gus menjejaskan kelancaran perjalanan.

Tambahan pula, lori diesel menyumbang pencemaran udara dan bunyi, manakala tekanan psikologi kepada pemandu kereta serta penunggang motosikal tidak boleh dipandang ringan.

Isu penguatkuasaan lori juga membimbangkan. Kita tidak pasti sama ada semua lori yang bergerak di jalan raya membawa muatan yang sah.

Isu seperti ‘counter setting’ dan ‘kontena terbang’ merujuk cara sesetengah lori terlepas pemeriksaan di pelabuhan atau sempadan secara tidak betul. Malah, kes mahkamah pernah membuktikan pegawai kastam didakwa kerana melepaskan lori tanpa pemeriksaan, sekali gus menimbulkan keraguan tentang keselamatan jalan raya dan negara.

Fenomena ini juga membuka ruang bagi jenayah terancang, dengan kes seperti sindiket dadah antarabangsa yang menggunakan lori kontena sebagai saluran transit.

Kes terkini pada November tahun lalu di Pelabuhan Klang, Selangor melibatkan dadah bernilai RM1.44 juta disembunyikan dalam kontena marmar, membuktikan Malaysia bukan sahaja menjadi laluan masuk tetapi juga pusat transit antarabangsa bagi sindiket jenayah.

Selain dadah, senjata api, barangan tiruan, rokok seludup dan perdagangan manusia turut menggunakan lori sebagai saluran mudah.

 

JALAN raya Malaysia akan terus dibanjiri lori, bukan saja untuk penghantaran barang sah, malah juga menjadi ‘laluan’ jenayah tersembunyi. – GAMBAR HIASAN

PENGUATKUASAAN

Masalah ini bukan sekadar keselamatan jalan raya tetapi juga soal integriti dan kawalan logistik. Jika penguatkuasaan lemah dan rasuah berleluasa, lori boleh menjadi saluran utama penyeludupan.

Walaupun pihak berkuasa berjaya menahan beberapa lori membawa dadah atau barangan seludup, persoalannya berapa banyak yang terlepas tanpa dikesan atau tidak direkodkan.

Negara-negara maju seperti Switzerland, Jepun, Jerman dan Turkiye menunjukkan pengurusan lori yang cekap mesti disokong oleh sistem logistik bersepadu, automasi dan integriti.

Switzerland menggunakan sistem cukai lori berasaskan prestasi (LSVA) dan pemantauan satelit untuk mengenakan cukai lori berdasarkan prestasi berjaya mengurangkan peluang manipulasi dan rasuah.

Jepun menggunakan sistem Jalan Aliran Automatik dengan tali sawat automatik tanpa pemandu, diurus sepenuhnya secara digital, sementara Jerman pula menerapkan sistem Pengurusan Pengangkutan (TMS) yang merancang laluan, muatan dan masa perjalanan dengan audit berterusan.

Turkiye mengetatkan sempadan melalui permit khas, pengimbas digital dan zon logistik terkawal, mengurangkan peluang ‘kontena terbang’ serta rasuah di pelabuhan.

Pengajaran dari negara-negara ini jelas yang pengurusan lori yang cekap mesti disertai integriti, automasi, digitalisasi dan pemantauan berterusan.

Sistem dominan manual di Malaysia masih membuka ruang untuk penyalahgunaan, menjadikan kemalangan, kesesakan, pencemaran dan jenayah sebagai risiko nyata kepada pengguna lain.

 

TINGKAT PENGGUNAAN REL KARGO

Penyelesaian untuk Malaysia perlu menyeluruh. Pelaburan besar dalam kereta api kargo boleh mengurangkan kebergantungan lori. Lorong khas bagi lori di lebuh raya boleh diwujudkan untuk mengurangkan gangguan kepada kereta dan motosikal.

Sementara sistem pengimbas automatik di pelabuhan dan sempadan dapat mengurangkan manipulasi.

Teknologi hijau seperti lori elektrik atau biodiesel pula boleh digalakkan bagi mengurangkan pencemaran.

Pemandu lori pula perlu dilatih dengan lebih ketat, termasuk kesedaran tentang risiko kepada pengguna lain. Langkah praktikal lain termasuk larangan lori beroperasi pada cuti hujung minggu dan cuti umum.

Fenomena lori yang berleluasa bukan sekadar isu logistik tetapi cerminan kelemahan sistem pengangkutan alternatif, penguatkuasaan yang longgar dan cabaran membanteras jenayah terancang.

Jika Malaysia ingin menyaingi negara maju, sistem rel kargo mesti dipercepatkan.

Bahkan, integriti pihak berkuasa perlu diperkuat dengan teknologi moden bagi mengurangkan ruang manipulasi.

Tanpa langkah drastik, jalan raya negara akan terus dibanjiri lori bukan sahaja dari segi logistik sah tetapi juga berpotensi menjadi saluran jenayah.

Akhirnya, pengguna jalan raya bukan sahaja berisiko kemalangan, malah menjadi saksi kelemahan sistem yang membenarkan jenayah beroperasi di depan mata, tersembunyi di sebalik dinding-dinding lori.

Maka, tindakan segera perlu dilakukan bagi keselamatan, integriti dan kelestarian alam sekitar di jalan raya Malaysia.

Malaysia perlu bertindak segera dengan pelaburan strategik dalam rel kargo, penguatkuasaan yang lebih tegas dan teknologi moden, agar fenomena dominasi lori tidak terus membahayakan nyawa, alam sekitar dan sistem logistik negara.-UTUSAN

 

DR. Siti Sarawati Johar ialah Profesor Madya di Jabatan Sains Sosial, Pusat Pengajian Umum & Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×