UEC tetap diteruskan walaupun tidak diiktiraf kerajaan

UEC tetap diteruskan walaupun tidak diiktiraf kerajaan

KAJANG, 18 DISEMBER 2025 - Wawancara bersama Pengerusi Dong Zong, Datuk Tan Yew Sing di Bangunan Dong Zong di sini, hari ini. Gambar; MUHAMAD IQBAL ROSLI/Pemberita; ASLINDA, AQILAH MIOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
ISU pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) kembali mencetuskan gelombang kemarahan rakyat. Ramai melihat tuntutan ini sebagai ancaman kepada bahasa Melayu, identiti nasional dan perpaduan rakyat.

Ada yang beranggapan pengiktirafan sijil ini boleh melemahkan kedudukan bahasa kebangsaan dan menjauhkan generasi muda daripada budaya Malaysia.

Kemarahan ini bukan tanpa sebab. Sebahagian rakyat risau pelajar UEC kurang berinteraksi dengan kaum lain, menimbulkan jurang sosial, malah wujud persepsi sistem ini lebih memikirkan kepentingan kaum tertentu daripada kepentingan negara.

Bagi mendapat penjelasan, wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan ASLINDA NASIR menemubual Pengerusi Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), DATUK TAN YEW SING berhubung isu yang membangkitkan rasa tidak senang rakyat terutama kaum Melayu dan bumiputera.

Temu bual ini turut disertai jurufoto, MUHAMAD IQBAL ROSLI dan juruvideo MOHD. FIKRI PADIL @FADZIL.

Sedang kecoh tentang isu UEC. Apakah pandangan Datuk mengenai isu ini?
Isu ini bukan baharu sebaliknya dibincangkan sejak 1975. Namun kebelakangan ini, saya melihat ia semakin dipolitikkan, sedangkan hakikatnya ini adalah hal berkaitan pendidikan dan pembangunan modal insan negara, bukan isu politik kepartian. Fokus utama sepatutnya ialah bagaimana sistem pendidikan ini boleh menyumbang kepada negara, bukan dijadikan modal persaingan politik.

Apakah pencapaian pelajar UEC setakat ini?
Pelajar menunjukkan prestasi yang sangat baik, khususnya dalam bidang sains, akademik dan perniagaan. Ramai diterima masuk ke universiti terkemuka di dalam dan luar negara, termasuk Singapura, United Kingdom (UK), Australia dan China. Ini membuktikan kualiti akademik UEC diiktiraf oleh banyak institusi pendidikan tinggi antarabangsa.

Namun, masalahnya pengaliran keluar bakat (brain drain) sangat serius. Berdasarkan data, terdapat lebih 10,000 graduan UEC dan sekitar 75 hingga 85 peratus meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi. Daripada jumlah ini, kira-kira satu perempat melanjutkan pelajaran ke luar negara dan sebahagian besar tidak kembali ke Malaysia.

Mereka terdiri daripada profesional berkemahiran tinggi seperti doktor, jurutera dan ahli akademik. Apabila peluang pendidikan dan kerjaya di dalam negara terhad, mereka memilih untuk menetap dan menyumbang di luar negara.

Singapura secara aktif datang ke Malaysia, khususnya ke sekolah menengah persendirian Cina (SMPC), untuk merekrut pelajar cemerlang. Mereka melihat potensi pelajar ini sebagai aset strategik. Malangnya, Malaysia pula gagal memanfaatkan modal insan sendiri, menyebabkan bakat-bakat ini berhijrah dan tidak kembali.

Adakah penting pelajar UEC masuk universiti awam?
Jika pelajar UEC diterima masuk ke universiti awam tempatan, mereka akan mempunyai peluang lebih besar untuk kekal belajar dan bekerja di Malaysia. Mereka berinteraksi dengan pelajar daripada pelbagai kaum serta menyumbang kepada ekonomi, pendidikan dan pembangunan negara.
Ini juga dapat mengurangkan risiko brain drain dan mengukuhkan perpaduan nasional melalui interaksi sosial yang lebih luas.

Ada pandangan mengatakan pelajar SMPC kurang bergaul dengan kaum lain. Benarkah?
Sebahagiannya benar tetapi situasi ini sedang berubah. Kemasukan pelajar bukan Cina ke sekolah persendirian Cina semakin meningkat walaupun jumlahnya masih kecil. Di peringkat sekolah rendah, peratusannya sudah menunjukkan peningkatan. Perubahan ini memerlukan masa dan sokongan dasar yang sesuai.

Adakah subjek bahasa Melayu dan Sejarah diwajibkan dalam UEC?
Ya, Bahasa Melayu dan Sejarah dimasukkan dalam UEC sebagai subjek teras. Namun, silibus Sejarah UEC berbeza daripada silibus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) namun tetap mematuhi piawaian kebangsaan melalui proses benchmarking.
Hasilnya menunjukkan kualiti pelajar UEC dalam bahasa Melayu setara, bahkan sesetengah aspek lebih baik daripada sekolah kebangsaan. 96 hingga 97 peratus pelajar lulus bahasa Melayu dan 60 hingga 70 peratus memperoleh gred kredit.

Ada yang kata UEC hanya meletakkan bahasa Melayu sebagai syarat, namun tidak pun menjadi keutamaan?
Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan dan jiwa bangsa Malaysia. Dalam sistem UEC, bahasa Melayu ialah subjek wajib dan pelajar perlu menduduki peperiksaan. Ramai pelajar UEC juga mengambil peperiksaan SPM dan perlu memperoleh kredit bagi subjek bahasa Melayu, khususnya untuk memenuhi syarat kemasukan universiti awam atau perkhidmatan awam.

Kami mengakui aspek penguasaan lisan bahasa Melayu masih perlu dipertingkatkan dalam kalangan pelajar UEC, namun pelbagai inisiatif diambil termasuk penubuhan pasukan khas, kerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta program pengukuhan bahasa di sekolah.

Beberapa sekolah UEC mengadakan program khas, contohnya Hari Bahasa Melayu setiap minggu, untuk melatih pelajar bercakap dan memahami bahasa secara praktikal.

Usaha ini boleh diperluas dengan sokongan kementerian untuk meningkatkan kemahiran bertutur pelajar UEC.

Dong Zong juga menubuhkan kumpulan kerja bersama Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) bagi meningkatkan keupayaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar dan graduan SMPC, agar mereka memiliki kemahiran berkomunikasi dan daya saing yang lebih kukuh dalam masyarakat serta alam pekerjaan.

Di samping mengukuhkan asas bahasa Melayu, penguasaan bahasa Inggeris, bahasa Cina dan bahasa-bahasa lain turut diperkasakan bagi menyediakan bakat pelbagai bahasa selaras dengan keperluan pembangunan antarabangsa.

UEC bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, khususnya Perkara 152. Kenapa mahu teruskan?
Penggunaan bahasa Mandarin sebagai bahasa pengantar pembelajaran tidak bercanggah dengan Perlembagaan. Dari sudut undang-undang, isu ini telah selesai dan tidak sepatutnya terus dipersoalkan.

Kami menyambut baik pandangan Perdana Menteri dan bersetuju UEC perlu bergerak dalam kerangka Perlembagaan. Bahasa Melayu tetap penting sebagai bahasa kebangsaan dan lambang identiti negara.

Apakah pendirian semasa Dong Zong mengenai syarat kredit bahasa Melayu SPM?
Ia diterima dan tidak menjadi isu. Dong Zong tidak pernah menolak syarat ini.

Ini selaras dengan prinsip pendidikan global. Sama seperti pelajar UEC yang mahu ke UK tetap perlu mengambil IELTS atau TOEFL walaupun mahir berbahasa Inggeris, syarat bahasa Melayu SPM di Malaysia adalah munasabah dan rasional.

Terdapat dakwaan silibus sejarah UEC terlalu berorientasikan China atau Taiwan?
Dakwaan ini tidak tepat. Pendekatan sejarah UEC berasaskan sejarah dunia, bermula daripada peradaban global sebelum memfokuskan kepada Malaysia. Ini berbeza dengan pendekatan SPM yang lebih Malaysia-sentrik.

Perbezaan pendekatan tidak bermakna kandungan itu salah. Namun kami terbuka untuk dialog, penanda aras dan penambahbaikan kandungan sejarah secara akademik dan berfakta.

Apakah hubungan UEC dengan sistem pendidikan antarabangsa dan pendidikan Taiwan?
UEC pada asalnya berteraskan pengalaman pendidikan Taiwan, tetapi kini penasihat utama adalah pakar pendidikan tempatan. Terdapat juga penasihat dari China, Taiwan, Singapura, Hong Kong dan Macau untuk memastikan silibus ini relevan dengan keperluan global.

UEC bukan hanya untuk pelajar Cina tetapi juga untuk pelajar bumiputera dan pelajar bukan Cina boleh menyertainya, menjadikannya sistem pendidikan berbilang budaya.

Adakah perjuangan UEC ini menunjukkan ketidakpercayaan terhadap sistem pendidikan kebangsaan?
Tidak sama sekali. Kewujudan UEC bukan kerana penolakan terhadap sistem pendidikan kebangsaan. Sejarahnya perlu dilihat secara adil. Pada era penjajahan British, kerajaan sendiri menjalankan peperiksaan dalam pelbagai bahasa termasuk bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan Mandarin.

SMPC pula wujud jauh sebelum merdeka, ada yang berusia lebih 100 tahun. Masalah timbul apabila selepas merdeka, kerajaan menghentikan peperiksaan awam dalam bahasa Mandarin. Maka timbul persoalan besar, ke mana hala tuju pelajar SMPC selepas Tingkatan 5?

Ketika peperiksaan dalam Mandarin tidak lagi ditawarkan, pelajar SMPC terpaksa ke luar negara seperti Taiwan dan Singapura untuk menyambung pelajaran, yang memerlukan kos tinggi.

Melihat keperluan masyarakat ketika itu, pemimpin pendidikan Cina mencadangkan agar satu peperiksaan dalaman diwujudkan. Akhirnya, kerajaan bersetuju secara berhati-hati iaitu sekolah boleh menjalankan peperiksaan sendiri tetapi dengan syarat hanya untuk pelajar sekolah tersebut, bukan peperiksaan terbuka.

Daripada situ, UEC berkembang sehingga ke hari ini dan berfungsi selama puluhan tahun.

Ada juga dakwaan mengatakan sistem ini melanggar Akta Pendidikan?
Jika UEC benar-benar bercanggah dengan undang-undang, sudah tentu tidak akan dapat beroperasi selama lebih 50 tahun sehingga hari ini.

Kenapa tetap memperjuangkan UEC sedangkan beberapa negara tidak mengiktirafnya? Tidak semua universiti di China menerima lepasan UEC sebagai syarat wajib?
Ini tidak benar. UEC diterima oleh lebih 1,000 universiti di seluruh dunia termasuk di UK, Amerika Syarikat (AS), Kanada, Australia, New Zealand, China, Jepun, Taiwan dan Singapura.

Walaupun sesetengah universiti tidak menyenaraikan UEC secara bertulis sebagai kelayakan setara, hakikatnya permohonan menggunakan UEC tetap diterima, sama seperti kelayakan antarabangsa lain.

Adakah pihak UEC bersedia membuat penambahbaikan jika diminta kerajaan?
Ya, kami sentiasa terbuka untuk berbincang dan menambah baik sistem sedia ada. Namun perlu difahami sekolah persendirian Cina ialah institusi swasta yang ditubuhkan dan dibiayai oleh komuniti. Prinsip asas, falsafah pendidikan dan autonomi sekolah ini tidak boleh diubah secara total.

Apa yang penting ialah pelajar bersikap patriotik, memahami kepentingan Malaysia dan bersedia menyumbang kepada negara.

Melalui inisiatif seperti IPPN (Inisiatif Penilaian Pendidikan Nasional) yang melibatkan 17 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pendidikan, kami mengkaji buku teks sejarah dan mengenal pasti beberapa isu fakta yang perlu diperbetulkan.

Jika UEC tidak diiktiraf, apakah kesannya?
Sekolah dan peperiksaan UEC akan tetap diteruskan. Namun, Malaysia akan terus kehilangan bakat tempatan ke luar negara. Ini bukan kerugian kepada UEC tetapi negara dari sudut pembangunan modal insan dan daya saing global.

Jadi pendekatan terbaik ialah dialog terbuka, berfakta dan inklusif antara kerajaan, penggubal dasar dan pemegang taruh pendidikan. Dalam dunia global hari ini, kepelbagaian budaya dan sistem pendidikan seharusnya dilihat sebagai aset negara, bukan ancaman.

Kenapa Dong Zong menolak ‘pengiktirafan’ ketika era pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak?
Pada ketika itu, terdapat perbincangan untuk menerima UEC dengan satu syarat utama iaitu pelajar perlu mendapat kredit bahasa Melayu SPM. Kepimpinan Dong Jiao Zong pada masa itu bersedia menerima syarat tersebut secara sementara, sambil meneruskan perbincangan lanjut.

Namun, isu dalaman politik ketika itu menyebabkan perkara tersebut tidak dapat dimuktamadkan sepenuhnya.

Ada pihak melihat Dong Zong bersikap ekstrem atau bersifat perkauman?

Dong Zong bukan organisasi ekstrem. Matlamat utamanya adalah membantu kerajaan membangunkan modal insan negara.

UEC bukan untuk satu kaum sahaja. Sesiapa sahaja boleh belajar di SMPC. Pada masa ini, lebih 2,000 pelajar bukan Cina sedang belajar di sekolah persendirian Cina, dan jumlah ini dijangka meningkat pada masa hadapan.

Mengapa UEC perlu diterima di universiti tempatan sedangkan ia diterima di luar negara?
Bukan semua pelajar berasal daripada golongan kaya. Sekitar 15 hingga 20 peratus lepasan UEC tidak dapat menyambung pelajaran kerana kekangan kewangan. Jika universiti tempatan menerima UEC, pelajar ini berpeluang belajar dalam negara dan menyumbang kepada ekonomi serta masyarakat Malaysia dengan harga yuran yang munasabah.

Mengapa isu pengiktirafan atau kesetaraan UEC penting?
Kesetaraan memudahkan urusan pelajar dan universiti. Sama seperti kerajaan menghantar pelajar Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengikuti A-Level bagi kesinambungan ke universiti luar negara, UEC juga menyediakan kesinambungan yang sesuai, khususnya ke universiti di China dan Asia Timur.

Ini bukan soal bahasa semata-mata tetapi kesinambungan sistem pendidikan.

Adakah UEC akan membuka ruang permintaan kepada sistem pendidikan berasaskan kaum lain?
Sekolah menengah persendirian Cina lebih 100 tahun. Sekolah menengah aliran India pula tidak wujud dalam bentuk yang sama.

Namun, sekiranya ada sistem pendidikan lain yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara dan bakat nasional, kementerian wajar menilai secara adil berdasarkan merit dan keperluan negara.

Apakah kepentingan UEC kepada pembangunan ekonomi dan pelaburan negara?
Malaysia kini bersaing di peringkat global, bukan sesama sendiri. Pelabur asing memerlukan tenaga kerja mahir dan berbilang bahasa.

Contohnya, kerjasama Proton–Geely menunjukkan keperluan tenaga kerja tempatan yang menguasai bahasa Mandarin dan kemahiran teknikal. UEC boleh menyumbang kepada pembinaan kumpulan bakat nasional tanpa mengira kaum.

Adakah Dong Zong bersedia meletakkan UEC di bawah pantauan Kementerian Pendidikan Malaysia?
UEC mempunyai autonomi akademik tersendiri yang perlu dipelihara. Autonomi ini penting bagi mengekalkan identiti, kualiti dan ciri-ciri pendidikan aliran tersebut.

Apa yang penting ialah pengiktirafan UEC tidak harus dilihat sebagai ancaman kepada sistem pendidikan kebangsaan, tetapi sebagai satu pelengkap dalam konteks masyarakat majmuk Malaysia.

Apakah visi jangka panjang Dong Zong terhadap sistem pendidikan negara?
Malaysia perlu memberi lebih fleksibiliti kepada sekolah dan negeri, seperti yang diamalkan di negara maju. Kementerian menetapkan dasar dan kandungan teras, manakala pelaksanaan diberi ruang mengikut keperluan tempatan.

Prestasi Malaysia dalam penilaian antarabangsa seperti PISA menunjukkan keperluan mendesak untuk reformasi pendidikan. Pendekatan seragam sepenuhnya tidak lagi sesuai.

UEC dilihat sebagai salah satu contoh bagaimana kepelbagaian dan fleksibiliti boleh menyumbang kepada kecemerlangan pendidikan negara.

Perlukah pelajar UEC diwajibkan mengambil keseluruhan SPM?
Tidak praktikal. Majoriti pelajar UEC (sekitar 80 peratus) sudah mengambil SPM sebagai persediaan sebelum atau semasa UEC. Ada juga pelajar antarabangsa atau yang mengikuti sekolah antarabangsa yang tidak mengambil SPM sepenuhnya.

Jika diwajibkan mengambil semua subjek SPM, UEC sendiri menjadi tidak relevan kerana SPM sudah mencukupi. UEC direka untuk membolehkan pelajar mendalami bahasa ibunda, sejarah dan ilmu lain dalam konteks aliran sekolah Cina tanpa menggantikan SPM.

UEC dikatakan boleh menjadi punca robohnya semangat perpaduan?
UEC tidak menggugat perpaduan. Program antarabangsa dan aktiviti sosial memastikan pelajar daripada latar belakang berbeza berinteraksi dan memahami budaya lain. Contohnya, pelajar UEC dan sekolah bumiputera menghadiri festival budaya bersama, menimba pengalaman antara budaya.

Kepelbagaian kaum dianggap aset negara. Pengalaman ini membina toleransi dan kefahaman budaya sejak muda.

Adakah UEC memberi peluang kepada pelajar Malaysia bersaing di peringkat global?
Pelajar Malaysia UEC diiktiraf kerana mereka bukan sahaja menguasai Mandarin dan bahasa Inggeris tetapi juga tinggal dalam masyarakat berbilang kaum.

Ini menjadikan mereka sesuai untuk program antarabangsa, seperti One Belt One Road, di mana syarikat China memerlukan pekerja tempatan mahir bahasa Mandarin dan memahami budaya tempatan.

Ada pihak menggunakan isu ini sebagai tekanan politik kepada kerajaan?
Tuntutan UEC adalah wajar dan berasas untuk kebaikan negara, bukan sebagai ugutan politik.

Pengiktirafan sepenuhnya bergantung kepada kerajaan tetapi UEC akan terus beroperasi, membina pelajar cemerlang dan menyumbang kepada pembangunan modal insan negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×