MALAYSIA sedang melalui era peralihan pemikiran yang besar dalam suasana hidup yang pantas serta dipengaruhi tekanan sosial dan emosi.
Pada masa sama, negara berdepan pertarungan naratif dan pertembungan wacana antara golongan konservatif, progresif, libertarian, aktivis agama, pendakwah moden, pempengaruh dakwah, pemimpin politik dan generasi muda digital.
Dalam keadaan ini, isu perbezaan pendapat dalam agama semakin besar sifatnya, bukan kerana agama itu bermasalah tetapi cara manusia menggunakan agama sebagai senjata untuk ego, pengaruh dan kemenangan diri.
Ekstremisme agama hari ini bukan sekadar tentang keganasan fizikal seperti yang selalu digambarkan melalui berita-berita antarabangsa tetapi juga lahir dalam bentuk pemikiran, bahasa, sikap, kandungan digital dan naratif yang sengaja dibina untuk memecahkan perpaduan.
Dalam Islam, kita diajar tentang adabul ikhtilaf (seni berbeza pandangan). Ulama terdahulu berbeza ijtihad tetapi mereka tetap menghormati sesama mereka.
Imam Syafie pernah berkata “pandanganku benar tetapi mungkin salah dan pandangan orang lain salah tetapi mungkin benar.” Ini menunjukkan ulama sendiri tidak pernah mendabik dada yang mereka memiliki kebenaran mutlak.
Tetapi hari ini, kita lihat sebaliknya. Ramai manusia membaca agama dengan emosi, bukan dengan ilmu. Apabila berbeza sikit pandangan, terus dilabel sesat, kafir, munafik, liberal, wahabi, khawarij, murji’ah dan macam-macam label yang sengaja diwujudkan untuk membina tembok kebencian.
Bila label dibina menyebabkan komunikasi terputus. Akhirnya manusia tidak lagi mencari hikmah tetapi cuma mahu menang.
Ekstremisme agama tumbuh dari hati kecil yang mula merasa hanya dirinya paling betul, kelompoknya paling benar dan tafsiran agamanya paling tepat. Malah rasa ini timbul dari rasa superior dalam beragama. Bila agama dibaca dalam keadaan marah, maka ia menjadi alat menakutkan.
Bila agama diprovokasi untuk membenci, maka bukan lagi cahaya tetapi menjadi api yang membakar masyarakat.
MELAMPAU DALAM AGAMA
Nabi SAW pernah memberi amaran jelas tentang bahaya ghuluw (melampau dalam agama). Baginda menyebut umat sebelum kita musnah kerana keterlaluan dan tidak memahami batasan keseimbangan.
Dalam era media sosial hari ini, ekstremisme menjadi lebih bahaya kerana mudah disebarkan. Kita sedang hidup dalam zaman ‘kandungan 15 saat.’ Satu ayat marah boleh jadi bahan tular. Satu potongan video penuh emosi boleh mencipta fitnah yang sangat besar.
Orang tidak lagi cari dalil penuh sebaliknya mencari naratif yang menyedapkan perasaan. Kandungan provokatif lebih mudah tular daripada content hikmah. Kerana itu, ramai pempengaruh memilih jalan sensasi kerana membawa tanda suka, jumlah penonton dan pengikut tanpa menyedari inilah punca negara menjadi ‘panas sehingga diskusi agama tidak lagi menjadi ilmu tetapi gelanggang perlawanan ego.
Bahaya ekstremisme agama bukan hanya terkait soal agama sahaja. Ia akan menjadi risiko keselamatan nasional. Apabila naratif agama dipergunakan secara salah, boleh memecahkan perpaduan kaum, meretakkan hubungan rakyat dan mencipta polarisasi politik yang tidak berkesudahan.
Bila agama dibaca dengan marah, maka politik akan dibaca dengan dendam. Bila agama dibaca dengan rasa benci, maka media sosial akan dibaca melalui kaca mata perang.
Barangkali, ada yang tidak sedar tetapi masyarakat perlahan-lahan membina trauma sosial. Kita mula takut untuk berbeza pendapat, bersuara mahupun bertanya. Ini semua bermula dari ekstremisme yang membunuh hikmah.
MEMBINA NEGARA WASATIYYAH
Malaysia sebuah negara yang unik. Kita ada warisan kepelbagaian budaya, bahasa, adat, mazhab dan pemikiran. Kepelbagaian ini menjadi kekuatan untuk membina negara wasatiyah.
Allah menyebut umat pertengahan sebagai keistimewaan umat Islam. Wasatiyah bukan bermaksud lembik atau tunduk kepada semua pihak tetapi bermakna seimbang, matang, rasional, realistik, berpaksikan dalil dan berpijak pada maslahat umat.
Inilah model rahmah yang Malaysia perlukan. Negara kita tidak boleh diserahkan kepada naratif ekstremis yang suka menghalalkan kebencian atas nama agama.
Dalam membina pendidikan masyarakat, kita perlu kembali kepada tradisi hikmah, bukan provokasi. Pendidikan agama mesti diajar secara seimbang.
Masyarakat perlu dididik yang bukan semua perbezaan pandangan itu bermakna perpecahan. Selagi kita berada dalam kerangka ahli sunnah wal jamaah, perbahasan berlaku dalam ruang dalil, ilmu dibina atas disiplin, maka kita perlu meraikan perbezaan itu sebagai rahmat bukan ancaman.
Masjid, sekolah tahfiz, surau, ceramah agama dan institusi pendidikan perlu memainkan peranan besar untuk membawa naratif agama yang memujuk jiwa, bukan naratif yang menghasut.
Media sosial juga perlu dipimpin ke arah kandungan pencerahan, bukan toksik yang memecah belahkan rakyat.
Dan masyarakat pula perlu ada literasi yang kuat untuk membezakan ilmu dengan manipulasi agama.
PERTAHANKAN WAJAH ISLAM
Ekstremisme akan menang apabila orang baik memilih untuk diam. Dalam sejarah, kelompok melampau tidak pernah majoriti tetapi mereka menang kerana paling bising. Orang baik tidak bersuara dan ini yang perlu diubah sekarang.
Masyarakat perlu keluar daripada ketakutan bersuara untuk menolak kebencian. Kita mesti bangun mempertahankan wajah Islam yang sebenar, yang membawa rahmah, keadilan, ilmu dan kemajuan manusia.
Islam bukan membunuh perbincangan sebaliknya agama yang memperluas ruang mencari kebenaran.
Jika mahu Malaysia menjadi negara harmoni dan maju, kita tidak boleh membiarkan ekstremisme agama merosakkan generasi akan datang. Anak-anak kita perlu membesar dalam suasana agama yang seimbang, bukan agama yang menakutkan. Mereka perlu belajar agama sebagai ilmu yang membuat hati lapang, bukan sebagai senjata untuk menghukum orang lain.
Tugas pendidikan masyarakat hari ini ialah memastikan generasi muda mendapat agama yang menenangkan, bukan agama yang memecahkan.
MODEL MASYARAKAT MADANI
Malaysia mempunyai potensi besar untuk menjadi model masyarakat madani dunia Islam. Negara Islam moden yang berjaya menggabungkan tiang rahmah dalam pentadbiran, perpaduan dalam kepelbagaian, keseimbangan antara syariah, demokrasi dan hak asasi manusia. Inilah Malaysia yang kita mahu.
Malaysia yang memimpin umat Islam dengan jalan hikmah dan keindahan agama.
Mari kita bina Malaysia dengan akhlak hikmah, bukan kemarahan. Mari kita kembali kepada adab dalam berbeza pandangan. Mari kita jadikan agama sebagai asas perpaduan nasional, bukan sebagai peluru politik.
Mari kita hidupkan Islam sebagai rahmah yang menyembuhkan, bukan sebagai senjata yang melukakan.
Menangani ekstremisme agama adalah jihad pendidikan masyarakat paling penting untuk masa hadapan negara.-UTUSAN
PENULIS daripada Sahabat Penggerak Madani Negeri Selangor.










