Rakyat terus jadi mangsa scam kerja sambilan

Rakyat terus jadi mangsa scam kerja sambilan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LAPORAN Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) mendedahkan kes penipuan membabitkan tawaran pekerjaan sambilan menunjukkan peningkatan ketara apabila 8,484 laporan polis direkodkan di seluruh negara sepanjang tempoh 1 Januari 2024 hingga 14 Disember lalu.

Menurut Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd. Isa, jumlah itu meningkat 146 peratus berbanding 3,451 kes yang direkodkan bagi tempoh sama tahun 2024, iaitu pertambahan sebanyak 5,033 kes.

Lebih membimbangkan apabila peningkatan kes turut disusuli pertambahan kerugian kewangan yang besar dengan mangsa mengalami kerugian keseluruhan sebanyak RM202.58 juta berbanding RM118.83 juta pada tempoh sama tahun lalu, iaitu peningkatan kira-kira RM83.75 juta atau 70 peratus.

Senario ini menunjukkan jenayah penipuan tawaran kerja sambilan semakin berleluasa dan memberi kesan kewangan yang besar kepada mangsa.

Menurut pihak berkuasa, trend ini membimbangkan kerana sindiket menggunakan pelbagai platform digital untuk memperdaya orang ramai.

Siasatan mendapati modus operandi sindiket lazimnya menggunakan media sosial serta aplikasi pesanan segera dengan menawarkan pekerjaan sambilan yang menjanjikan pulangan tinggi dalam tempoh masa singkat.

Justeru kelompok pencari kerja dan golongan muda perlu lebih berhati-hati selain ambil peduli dengan sindiket yang sedang rancak mencari mangsa untuk diperdaya dengan pelbagai cara serta tawaran tidak masuk akal.

Ironinya tidak boleh meletakkan tanggungjawab ini kepada pihak berkuasa sepenuhnya kerana mereka hanya mendapat maklumat hasil laporan mangsa selepas sesuatu kes penipuan itu berlaku, khususnya selepas kita mendedahkan maklumat peribadi atau perbankan kepada pihak tidak dikenali selain sudah membuat bayaran pendahuluan atau pemindahan wang ke akaun tertentu.

Pada peringkat ini agak sukar untuk pihak berkuasa mengenalpasti anggota sindiket apatah lagi mendapatkan semula wang dipindahkan ke akaun yang sukar untuk dikesan.

Oleh itu, anggota masyarakat perlu ada persediaan rapi lebih awal supaya tidak terus menjadi mangsa penipuan sindiket licik seperti ini. Antara tips yang wajar diamalkan ialah jauhi sikap mudah percaya dan terpedaya dengan janji pulangan gaji yang sangat tidak munasabah.

Maklumat daripada mangsa sebelum ini mendedahkan ramai terpedaya kerana tawaran gaji lumayan yang mengaburi mata mereka.

 

KES penipuan kerja sambilan meningkat mendadak akibat taktik sindiket digital dan janji pendapatan tidak munasabah.

 

CAKNA

Maka anggota masyarakat perlu ingat jika sesuatu tawaran kerja itu hadir dengan janji pendapatan tinggi yang tidak munasabah terutamanya dalam tempoh masa singkat dengan kerja terlalu mudah, itu adalah petanda awal penipuan sindiket. Hakikatnya, dalam dunia yang realiti mana ada peluang kerja dan gaji lumayan sedemikian rupa.

Lazimnya sindiket ini menghubungi mangsa secara rawak melalui pelbagai platform media sosial dengan tawaran yang kononnya sangat menarik, sehingga sukar ditolak.

Ini adalah satu lagi tips yang perlu kita belajar yang mana dalam dunia nyata, pihak majikan yang sah tidak akan menghantar mesej secara rawak sebaliknya hanya menggunakan platform komunikasi rasmi selain proses dan prosedur pengambilan kerja yang cukup teliti dan teratur.

Anggota masyarakat juga perlu ingat tiada majikan sah akan meminta bayaran pendahuluan bagi tujuan mendapatkan pekerjaan. Oleh itu, sebarang permintaan bayaran awal atas alasan seperti yuran pendaftaran, latihan, pelepasan tugas atau pengaktifan akaun adalah taktik licik sindiket penipuan. Kita perlu sentiasa ingat prinsip asas dunia kerjaya, iaitu kerja yang sah akan membayar upah kepada pekerja dan bukannya meminta bayaran daripada pekerja.

Kita berada dalam era maklumat di hujung jari, dalam sekelip mata mampu mendapatkan segala jenis maklumat tentang sesebuah syarikat atau organisasi. Maka gunakanlah kebijaksanaan masing-masing untuk menyemak latar belakang syarikat atau individu yang menawarkan peluang kerja tersebut.

Ringkasnya, kita boleh lakukan carian pantas di internet, semak pendaftaran syarikat (SSM), alamat pejabat dan maklum balas orang ramai. Hal ini agak signifikan kerana sindiket sering menggunakan nama syarikat palsu atau menyamar sebagai organisasi terkenal.

Jangan sesekali mendedahkan maklumat peribadi dan perbankan kepada pihak ketiga dengan begitu mudah tanpa meneliti secara terperinci tawaran yang diterima selain mengesahkan latar belakang organisasi terlibat terlebih dahulu.

Sedarlah tindakan berkongsi maklumat seperti salinan kad pengenalan, butiran akaun bank, nombor pas pengesahan transaksi (OTP) atau maklumat perbankan lain kepada individu tidak dikenali boleh disalahgunakan untuk pelbagai aktiviti penipuan atau jenayah kewangan lain.

Ambil masa untuk berbincang dengan ahli keluarga, rakan yang berpengalaman atau pihak lebih arif tentang tawaran kerja diterima sebelum membuat sebarang tindakan.

Teliti nasihat dan pandangan mereka sebelum menerima tawaran tersebut. Tiada sebab untuk terlalu ghairah atau gopoh kerana secara lazimnya majikan yang sah akan memberikan tempoh masa sewajarnya untuk memberikan maklum balas selain akan menyalurkan pelbagai maklumat lanjut tentang tawaran kerja tersebut untuk kita meneliti dan membuat keputusan.

Jika pihak yang menawarkan sesuatu kerja itu sering mendesak untuk membuat keputusan segera dengan ayat klise seperti ‘tawaran terhad’, ‘slot hampir penuh’ atau ‘perlu bayar hari ini juga’, itu adalah satu lagi gambaran jelas sindiket penipuan.

Kita perlu sedar taktik mereka kerana tekanan masa seperti ini adalah bertujuan untuk mengaburi mata dan menghalang mangsa berfikir secara rasional sebelum membuat keputusan.

Anggota masyarakat juga perlu lebih cakna di mana jika menerima sebarang mesej atau tawaran kerja yang mencurigakan, segera buat laporan kepada pihak berkuasa atau saluran rasmi bagi mengelakkan lebih ramai menjadi mangsa.

Misalnya, hubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) bagi laporan dan tindakan awal, selain segera membuat laporan polis bagi membantu siasatan serta membolehkan tindakan susulan diambil. Ironinya, sikap sebahagian mangsa yang berdiam diri menyebabkan sindiket semakin lincah dan lebih ramai lagi menjadi mangsa penipuan.

Akhirnya, besarlah harapan agar anggota masyarakat mendengar nasihat dan saranan pihak berkuasa khususnya bila sesuatu kes penipuan didedahkan melalui media massa.

Pihak berkuasa sering mendedahkan kes yang berlaku namun masih ramai yang menjadi mangsa kerana sikap kita yang tidak kisah dan tidak ambil peduli selagi tidak kena pada batang hidung sendiri. Sikap seperti ini hanya merugikan diri dan keluarga. Ingat, sesal dulu ada pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.-UTUSAN

PENULIS ialah Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat), Pusat Strategi Dan Perhubungan Korporat (PSPK), Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×