Kisah dunia pendidikan negara sepanjang tahun 2025 cukup menarik dan mendebarkan untuk diimbas semula. Tidak pernah berlaku dalam sejarah pendidikan negara seperti mana yang berlaku di tahun ini.
Edisi pendidikan 2025 pasti dikenang sebagai satu tempoh sangat penting dan cukup mencabar bagi sistem pendidikan Malaysia.
Di satu sisi, kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia terus menunjukkan komitmen tinggi melalui peruntukan belanjawan pendidikan yang besar, agenda reformasi pendidikan nasional serta melakukan persediaan ke arah Kurikulum Persekolahan Baharu 2027.
Di sisi lain pula, terserlah sepanjang tahun ini pelbagai kelemahan sistemik pendidikan seperti isu beban tugas guru, kekurangan guru, isu salah laku dan moral murid hinggalah polemik identiti aliran dan hala tuju pendidikan kebangsaan.
Tamatnya 2025 menandakan berakhirnya Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. PPPM 2013-2025 adalah pelan pembangunan pendidikan negara yang disebut ramai pihak sebagai pelan pendidikan komprehensif, bercita-cita besar dan disediakan dengan cukup terancang.
Selepas 12 tahun dilaksanakan sejak 2013 dengan tiga gelombang utama, jelas pencapaian PPPM 2013-2025 tidaklah begitu memberangsangkan.
Tentu sekali bencana Covid-19, pertukaran kepimpinan khususnya Menteri Pendidikan dan Ketua Pengarah Pendidikan yang terlalu kerap serta isu prestasi ekonomi yang tidak berkembang sepanjang tempoh itu menggugat agenda PPPM 2013-2025.Ini memang tidak boleh kita nafikan.
Tetapi pada masa sama, kita juga harus akui tentang kelemahan pelaksanaan pengurusan pendidikan sehingga menyebabkan banyak agenda di dalam PPPM 2013-2025 tidak dapat dijayakan sepenuhnya.
Misalnya, walaupun di dalam dokumen PPPM 2013-2025 meletakkan matlamat pendidikan negara ini berada di kelompok pertama terbaik dalam kedudukan PISA, nyata kita masih di kelompok terbawah sehingga 2022.
Apa sebenarnya berlaku, sistem pendidikan sehingga 2025 tidak berada dalam krisis kekurangan dasar dan perancangan, sebaliknya lebih berdepan krisis pelaksanaan dan kebijakan kepimpinan di dalam menentukan keutamaan pendidikan.
Ini mewujudkan jurang antara aspirasi dalam dokumen dasar dengan pengalaman sebenar di bilik darjah yang dirasai guru, murid dan ibu bapa.
Pendidikan kekal sebagai sektor yang menerima peruntukan tertinggi dalam Belanjawan Persekutuan.
Belanjawan 2025 dan kesinambungannya ke Belanjawan 2026. Kerajaan kekal menekankan komitmen untuk pembinaan lebih banyak sekolah, baik pulih sekolah daif, bantuan kepada keluarga berpendapatan rendah, pengukuhan pendidikan tinggi, TVET serta latihan kemahiran.
Namun, perbincangan awam sepanjang 2025 juga mempersoalkan keberkesanan perbelanjaan tinggi ini.
Banyak isu lama masih berulang, sekolah masih ada lambat siap, kekurangan guru berterusan, projek naik taraf sekolah ada masih tertangguh serta sokongan bukan akademik seperti kaunseling dan intervensi psikososial untuk murid masih terhad.
Isu kekurangan guru terus menjadi antara cabaran paling kritikal sepanjang 2025. Kekosongan jawatan guru bukan sahaja berlaku di luar bandar, malah sekolah bandar yang padat serta sekolah pendidikan khas.
Ramai guru berdepan beban tugas bukan pengajaran yang masih tinggi, termasuk kerja pentadbiran, beban berbagai pelaporan dan terlibat dengan pelaksanaan pelbagai program sampingan.
Antara perkembangan paling membimbangkan sepanjang 2025 adalah peningkatan kes salah laku moral pelajar. Kes buli meningkat dan semakin agresif. Begitu juga dengan kes gangguan seksual serta kes rogol yang melibatkan pelajar sekolah mencetuskan kebimbangan nasional.
Fenomena salah laku agresif remaja memperlihatkan kecenderungan pelajar kurang empati, terdedah kepada seksual awal dan terpengaruh dengan kandungan digital. Isu ini mendedahkan perlunya perhatian serius dalam pendidikan nilai, sokongan emosi dan pengurusan tingkah laku di sekolah.
Walaupun pendidikan akademik sentiasa diberi penekanan tinggi, aspek pembentukan karakter, kawalan emosi dan akhlak mesti diberikan perhatian.
Kekurangan kaunselor sekolah, nisbah kaunselor-murid yang tidak seimbang, serta tekanan sosial dan pengaruh luar sekolah perlu diberikan perhatian besar.
Isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) kembali menjadi perbahasan hangat pada 2025. Perdebatan ini sering dilihat dari sudut politik dan emosi, namun hakikatnya ia mencerminkan persoalan lebih besar tentang keyakinan masyarakat terhadap sistem pendidikan kebangsaan.
Pihak yang menyokong pengiktirafan UEC menekankan keperluan mobiliti pelajar dan merit akademik, manakala pihak menentang menegaskan kepentingan Perlembagaan, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan identiti sistem pendidikan nasional.
Ketiadaan penyelesaian jangka panjang terhadap isu ini menunjukkan keperluan untuk memperkukuh kualiti dan daya tarikan sistem pendidikan arus perdana agar diyakini semua kaum, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada laluan pendidikan alternatif.
Melangkah ke 2026, beberapa keutamaan perlu diberi perhatian. Pertama, sokongan menyeluruh kepada guru melalui pengurangan beban pentadbiran dan latihan profesional berterusan.
Kedua, pelaksanaan Kurikulum 2027 perlu disokong dengan sumber mencukupi dan garis masa realistik.
Ketiga, pendidikan nilai, kesejahteraan emosi dan keselamatan sekolah perlu dijadikan teras dasar pendidikan, bukan sekadar pelengkap. Keempat, isu sistemik kepelbagaian aliran pendidikan seperti isu UEC perlu ditangani secara berprinsip, berfakta dan berpandangan jauh.
Secara keseluruhan, 2025 memperlihatkan pendidikan negara berada dalam fasa peralihan kompleks.
Komitmen dasar dan peruntukan kewangan besar menunjukkan kesungguhan kerajaan, namun realiti di sekolah mendedahkan wujud jurang yang perlu ditangani.
Pendidikan bukan sekadar soal bajet, kurikulum atau pencapaian akademik. Ia tentang pembentukan insan, nilai dan masa depan negara.
Jika reformasi pendidikan ingin berjaya, ia perlu dilaksanakan dengan keberanian, kejujuran dan keutamaan kepada kesejahteraan guru dan murid sebagai teras sistem pendidikan negara.
Dr. Anuar Ahmad ialah Timbalan Pengarah, Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM)










