PROGRAM Kampung Angkat Madani yang diperkenalkan Perdana Menteri dalam Belanjawan 2024 merupakan inisiatif nasional untuk merapatkan jurang pembangunan antara kawasan desa dan bandar melalui pendekatan seluruh kerajaan.
Program ini merupakan manifestasi nilai teras Malaysia Madani, khususnya ihsan dan kesejahteraan, bertujuan membina semula keyakinan rakyat terhadap jentera kerajaan dalam memberi perkhidmatan yang pantas, bersasar serta memaparkan keprihatinan kerajaan.
Malah program ini juga sealiran dengan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) dan H.E.M.A.T yang dipelopori pucuk kepimpinan perkhidmatan awam dalam memantapkan sistem penyampaian sektor awam.
Initiatif ini yang diterajui oleh Kementerian Kewangan dan dipantau oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) bukan sekadar program pembangunan desa biasa tetapi memberi tumpuan intervensi kepada kawasan paling kritikal iaitu kampung yang mempunyai liputan kemudahan asas seperti air, elektrik, jala atau capaian jalur lebar yang rendah.
Sebanyak 43 kampung dipilih dengan peruntukan RM107 juta. Setiap kementerian atau agensi yang terlibat menerima sehingga RM2.5 juta. Tahun ini, program ini menaik taraf kemudahan di 200 kampung.
Kampung Angkat Madani menggariskan komitmen Kerajaan Perpaduan untuk merapatkan jurang pembangunan secara agresif, memastikan setiap rakyat terutamanya di kawasan terpinggir, menikmati kesejahteraan ekonomi dan sosial.
Program ini dirancang untuk memperbaiki keadaan di peringkat tempatan sekali gus memulihkan keyakinan komuniti terhadap usaha kerajaan.
Keberkesanan Kampung Angkat Madani terletak pada kaedah penyelesaian masalah keseluruhan kerajaan yang digerakkan melalui konsep ‘turun padang’ oleh kepimpinan tertinggi negara.
Inisiatif ini diterajui oleh semua Ketua Setiausaha dan Ketua Pengarah untuk menggembleng tenaga merentas kementerian serta bekerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan pihak swasta untuk mendampingi kampung angkat yang terpilih, mendengar isu-isu secara terus dari jawatankuasa komuniti, persatuan belia dan ketua kampung.
Pendekatan dari bawah ke atas ini membolehkan jentera kerajaan bertindak balas secara pantas dan mencari jalan penyelesaian kepada masalah tempatan serta memastikan dasar yang dibentuk berdasarkan kefahaman sebenar daripada peringkat akar umbi.
Kerjasama strategik antara pelbagai agensi kerajaan adalah nadi program ini. Agensi seperti JPM, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bergabung dengan sumber GLC dan GLIC, membolehkan penyelesaian yang holistik dan menyeluruh, merangkumi semua dimensi kehidupan komuniti.
Sinergi ini menjalin hubungan rapat antara rakyat dan jentera kerajaan, selari dengan aspirasi Malaysia Madani yang menekankan perpaduan dan kesejahteraan.
Transformasi infrastruktur di bawah Kampung Angkat Madani mengubah landskap kehidupan komuniti secara mendadak, malah meningkatkan resiliensi tempatan.
Misalnya, Kampung Sembulan, Sabah melalui kerjasama pelbagai agensi termasuk Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Sabah, kini menikmati hasil pembangunan nyata. Lebih 20 buah rumah usang dibaik pulih dengan kerjasama kerajaan negeri.
Sementara Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar pula melaksanakan kursus kemahiran seperti menjahit, pemprosesan makanan dan pemasaran digital yang disertai lebih 200 belia dan wanita Sembulan.
Perubahan sebegini boleh diterjemahkan terus kepada peluang ekonomi dan peningkatan kesejahteraan sosial, sekali gus mengukuhkan modal insan tempatan.
UBAH GAYA HIDUP
Dalam aspek ekonomi, program ini memberi impak langsung kepada pendapatan dan dalam konteks pembangunan modal insan dan psikososial, penglibatan agensi berkaitan seperti KBS mengubah corak pemikiran dan gaya hidup belia melalui pelbagai program latihan kemahiran.
Secara keseluruhannya, Program Kampung Angkat Madani menampakkan impak positif dan berjaya mewujudkan perubahan landskap pembangunan yang inklusif dan berteraskan kesejahteraan rakyat melalui pendekatan pembangunan seimbang dan berterusan.
Kejayaan program ini bukan sahaja diukur melalui fasiliti fizikal tetapi juga melalui usaha menstabilkan status sosioekonomi komuniti.
Peningkatan taraf hidup dan pengiktirafan komuniti mendorong penduduk berdikari dan menjamin usaha untuk menjana pendapatan disamping membolehkan perancangan pembangunan yang lebih strategik.
Melalui strategi kerjasama agensi dan didorong oleh semangat ihsan, Kampung Angkat Madani membuktikan komitmen kerajaan untuk mendampingi rakyat secara terdekat, mendengar setiap permasalahan dan merancang pembangunan yang mampan demi menjamin masa hadapan yang lebih sejahtera.
Inilah roh sebenar yang ingin dizahirkan melalui gagasan ‘Satu Pemimpin, Satu Kampung’ atau ‘Santuni Madani’ iaitu pendekatan kerajaan untuk mendekatkan pemimpin dengan rakyat dalam memastikan setiap komuniti mendapat perhatian, sokongan dan bimbingan sewajarnya demi kesejahteraan bersama.-UTUSAN
DR. G Periasamy ialah Felo Penyelidik Kanan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).










