Hak polis tembak penjenayah - Utusan Malaysia

Hak polis tembak penjenayah

Anggota Forensik PDRM memeriksa mayatlelaki disyaki penjenayah yang ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan di Lebuh Raya Utara-Selatan di Bandar Darul Aman. – MINGGUAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
“Adalah undang-undang matan bahawa pihak polis tidak dikurniakan dengan kuasa ‘algojo’, atas alasan mempertahankan diri. Adalah juga matan bahawa undang-undang Malaysia atau Perlembagaan Persekutuan tidak membenarkan pegawai polis membunuh penjenayah yang disyaki atau ditakuti oleh pertemuan palsu (fake encounter).”
Ini adalah petikan daripada penghakiman Mahkamah Rayuan  kes Nurasmira Maulat Abd. Jaafar v Ketua Polis Negara (2015) 2 CLJ 231 di mana dalam kes ini seorang ditembak oleh sepasukan polis apabila mereka mengekori kenderaan yang disyaki ingin melakukan jenayah dan tiba-tiba mereka mendengar satu bunyi tembakan lalu pihak polis melepaskan enam das tembakan terhadap kereta itu.
Walaupun demikian mahkamah rayuan itu juga menyatakan bahawa di dalam kes Om Prakash dan Ors lawan State of Jharkhand through the Secretary, Department of Home, Ranchi-1 and Anr [2012] 12 SCC 72 :
“Bukanlah tugas polis untuk membunuh tertuduh semata-mata dia penjenayah. Polis hendaklah menahan tertuduh dan membawa mereka menghadapi perbicaraan. Tindakan sebegini bukanlah sebahagian daripada sistem pentadbiran keadilan kita. Namun adalah  fakta bahawa polis yang menjalankan tugas mereka ada yang diserang dan dibunuh. Mahkamah juga hendaklah mengambil notis tentang perkara ini.
“Dalam menjalankan tugas mereka juga perlu mempertahankan diri dan  mengambil langkah drastik untuk mempertahankan harta dan orang ramai dan juga diri mereka dari serangan.”
Pihak polis mempunyai kuasa menangkap di bawah Seksyen 15 Kanun Acara Jenayah. Seksyen 15 (3) menyatakan seperti berikut: Seksyen ini tidak sesekali memberi hak untuk menyebabkan kematian kepada seseorang yang tidak dituduh berkenaan dengan kesalahan yang boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup.
Seksyen 24 dari Akta polis memberikan kuasa polis:
 Kuasa Menghentikan: Pegawai polis boleh menghentikan mana-mana kenderaan bila-bila masa.
 Kuasa Memeriksa: Pegawai polis boleh menahan dan memeriksa kenderaan itu.
 Tujuan: Untuk mengesan aktiviti jenayah seperti penyeludupan (barang, dadah), pemerdagangan manusia, atau senjata api.
Di dalam kes Muhammad Izam Azami Jaafar v Konstabel Muhamad Zafran Aiman Muhamad Zainol (2023) 10 CLJ 792 telah memetik dan merujuk dari Perintah Tetap Ketua Polis Negara berkaitan penggunaan senjata api.
 No. 3 – Penggunaan senjata api oleh pegawai polis
 No. 4 – Tindakan mestilah munasabah
 No. 5 – Hak mempertahankan diri
 Hak mempertahankan diri terpakai adalah menurut Seksyen 100 Kanun Keseksaan antaranya adalah:
Seksyen 100 (Menyebabkan Kematian): Hak ini termasuk menyebabkan kematian jika terdapat ketakutan munasabah akan:
 Kematian atau luka parah.
 Rompakan atau serangan seksual.
 Nafsu yang tidak wajar (bestiality).
 Culikan atau kurungan secara salah.
Berdasarkan perkara di atas polis boleh bertindak menggunakan senjata api dalam keadaan melaksanakan tangkapan dan dalam mempertahankan diri bagi kesalahan yang boleh membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup.
Dan dalam melaksanakan tangkapan, mereka juga ada hak mempertahankan diri jika keadaan berbahaya kepada mereka yang mungkin akan menyebabkan kematian sebagaimana peruntukan undang-undang bukan sahaja pada polis tetapi kepada semua orang yang berhadapan dalam risiko demikian.
Pasukan polis yang membuat tangkapan haruslah menurut arahan pegawai dan dalam melaksanakan tugas itu perlu risikan tepat berkaitan pelaku yang merancang untuk melakukan kesalahan.
Hak untuk hidup pula termaktub dalam Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan menyatakan seseorang itu mempunyai hak untuk perlindungan nyawa daripada tindakan tidak sah.
Dengan demikian tindakan polis untuk menembak mati seseorang itu mestilah berdasarkan undang-undang sah yang dinyatakan.
Di dalam kes Emperor v Amimiya Imammiya (1947) 49 BOMLR82 yang mana satu pasukan polis telah melepaskan tembakan pada sekumpulan 34  lelaki.
Akibatnya empat lelaki mati. Dalam kes ini persoalan adakah mereka bertindak atas kuasa yang sah dan adakah perintah diterima daripada pegawai atasan yang berkuasa, dan adakah mereka bertindak dalam mempertahankan diri atau bertindak dengan niat jahat?
Dalam kes ini polis diserang dengan sekumpulan orang dengan batu dan kayu dan perlu mengambil keputusan cepat dan tidak menunjukkan mereka datang berdepan dengan sekumpulan orang  untuk merancang  menembak mereka terlebih dahulu.
Dalam situasi mempertahankan diri termasuk polis, ia bergantung kepada fakta kes. Kes-kes yang diputuskan mahkamah secara langsung memberikan panduan setakat mana tindakan mempertahankan diri dibenarkan di bawah undang-undang. Seseorang yang mempertahankan diri itu tidak semestinya perlu dipukul atau ditetak dahulu sebelum dia boleh menggunakan haknya untuk mempertahankan diri.
Ini diputuskan di dalam kes Beckford v. R (1987) 3 All ER 425 dan ikuti di dalam kes Pendakwa raya v Balwant Singh(20023)7 CLJ  285. Seseorang dengan secara munasabah berdepan dengan bahaya yang hampir atau akan tiba boleh menggunakan senjata apinya R v. Collin Chisom (1963); Bhagwan Swarop v. State of MP (1992).
Di dalam kes Musa Yusof  v PP  (1953) CLJU 58 mahkamah menyatakan seseorang itu jika berhadapan keadaan membahayakan nyawa tidak diwajibkan untuk mengundur diri, dia boleh terus  mempertahankan atau mengambil tindakan sehingga keluar daripada keadaan bahaya dan jika dia membunuh maka perbuatan itu adalah sah.
Justifikasi bagi kegunaan kekerasan sebagai balasan hanya wujud dalam situasi di mana tertuduh tidak boleh melepaskan diri dan tiada kemungkinan untuk melepaskan diri daripada serangan kecuali untuk menyerang balik dengan menggunakan apa jua kekerasan sewajarnya yang bagi  mempertahankan diri.
Walaupun kes di atas merupakan orang awam prinsip ini terpakai sama rata dengan pihak polis. Dengan itu pihak polis mempunyai kuasa  mempertahankan diri daripada bahaya dalam menjalankan tugas dengan undang-undang sedia ada.
Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar ialah pengamal undang-undang.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×