“Isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA1963) tidak perlu mengambil masa untuk diselesaikan.” Demikian janji Barisan Nasional (BN) yang mahu menangani perkara itu dengan segera melalui kerjasama erat negeri dan Pusat.
Pengerusi BN Sabah, DATUK SERI BUNG MOKTAR RADIN menegaskan, BN dan UMNO komited untuk mempertahankan hak Sabah termasuk hasil 40 peratus yang tidak berganjak dalam soal tersebut.
Ketika wawancara bersama Mingguan Malaysia, JUANI MUNIR ABU BAKAR, ASLINDA NASIR dan HAFIZ SAIDINA disertai jurufoto, AMIR KHALID dan juruvideo, ZUID SAMSON, calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag itu juga menyentuh pilihan BN sekiranya keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) menyaksikan tiada parti boleh membentuk kerajaan.
MINGGUAN Malaysia: Apa keyakinan BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah?
BUNG MOKTAR: Alhamdulillah sepanjang kempen selepas penamaan calon ini, dapat dilihat calon Barisan Nasional (BN) bersaing sengit dengan calon lain.
Sebagai sebuah parti yang matang, lama dan sabar dalam perjuangan, sudah tentu BN tidak kekok dalam menjalankan kerja-kerja kepimpinan rakyat. Walaupun calon baharu diketengahkan, namun jentera lama turut bersama dan ini memberi kelebihan kepada parti serta calon BN di semua kawasan yang kita tandingi.
Berpuas hati dengan prestasi calon dan jentera?
Jentera BN memang siang malam bekerja. Ini saya akuilah, lebih-lebih lagi jentera wanita yang tidak mengira penat lelah.
Sama ada diarah atau tidak tetapi terus dalam melaksanakan tanggungjawab itu untuk membantu memberi kemenangan calon BN. Ada di antara mereka tidak pun kenal calon itu tetapi mereka tidak peduli mereka sebut undi calon BN.
Bagaimana pandangan mengatakan BN ini parti luar?
Istilah parti luar ini cuma persepsi daripada parti tempatan yang tidak ada isu. Sebenarnya yang menyelesaikan masalah Sabah ini bukan tempatan mahupun nasional.
Tarik tolak parti tempatan, tarik tolak parti luar masalah tidak selesai. Yang menyelesaikan isu di Sabah adalah pemimpin. Parti ini cuma sebuah platform untuk kita menterjemahkan perjuangan tersebut.
GRS misalnya memerintah, parti tempatan ini kononnya menjaga rumah sendiri ‘dengan slogan ‘rumah kita, kita jaga’, tetapi dalam masa sama berlaku rasuah.
Segala-galanya terbongkar, video pun timbul, macam-macam isu seluruh Kabinet terlibat dalam rasuah, tetapi masih tiada tindakan.
Jadi, inikah rakyat mahu? Habis itu, mineral di Sabah dijual kepada pihak yang tidak diketahui dan pada saya perkara ini tidak betul dan perlu dihentikan.
Sebab itu, apabila BN datang, kita akan tubuhkan Dana Kekayaan Kemakmuran Negeri Sabah dan semua hasil mineral akan dimasukkan ke dalam yayasan negeri, bukan lagi seperti sekarang di mana Ketua Menteri boleh sesuka hati menukar sesiapa sahaja, lulus dahulu, bincang kemudian.
Adakah ini cara seorang Ketua Menteri? Seharusnya SPRM perlu ambil tindakan. Saya minta rakyat Sabah tolaklah GRS, mereka tidak peduli undang-undang.
Komen mengatakan Sabah rosak sebab pentadbiran BN dahulu?
Siapa dalam BN dahulu, Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, Setiausaha GRS, Datuk Seri Masidi Manjun dan Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.
Semua pemimpin dalam GRS sebelum ini dalam BN. Sekarang mereka berada di sebelah sana. Jangan harap lagi boleh menang, kerana BN kini diketuai oleh saya dan saya akan menghentikan semua masalah. Rakyat Sabah berhak hidup dalam keadaan yang baik dan makmur.
Hari ini rakyat tetap tidak ada apa-apa, air tiada, elektrik mati-hidup, jalan rakyat rosak tidak juga diselesaikan.
Saya rasa cukuplah, rakyat Sabah perlu bangkit melihat bahawa tiada parti tempatan, parti nasional atau parti Malaya yang mempunyai pemimpin yang komited membangunkan rakyat dan Sabah.
Tidak akan ada kerjasama dengan GRS?
Saya langsung tidak berminat untuk bekerjasama kerana dia tidak jujur, tidak ikhlas, dan suka menipu.
Apa fokus utama tawaran BN?
Kita bukan panggil manifesto tetapi kita namakan Rancangan Pembangunan Sabah Satu. Ia mempunyai visi dan misi jelas kita kepada rakyat Sabah.
Baru-baru ini, Armizan (Timbalan Setiausaha GRS, Datuk Armizan Mohd. Ali) berkata, jika GRS menang sekali lagi, mereka akan menubuhkan Dana Kemakmuran Sabah. Padahal saya sudah mengumumkannya lama dahulu.
Dia kata saya gagal sebagai ketua, tetapi dia tidak tahu bahawa di Sabah, Ketua Menteri mempunyai kuasa penuh. Menteri pun tiada kuasa. Ketua Menteri juga Menteri Kewangan, semua di bawah kuasa dia.
Saya setuju dengan ada mengatakan Ketua Menteri ketika itu memang berkuasa penuh. Armizan kata saya gagal sebagai Menteri Kerja Raya, tetapi dia tidak faham bahawa ketika itu Menteri Kerja Raya tiada peruntukan.
Ada peruntukan pun Ketua Menteri mesti luluskan. Di tempat lain, sistemnya berbeza, tetapi di Sabah, Ketua Menteri memang one-man show, atau semua kuasa di tangan dia, orang lain tiada kuasa langsung.
Bagaimana slogan kempen mahu selamatkan Sabah?
Saya tidak nampak mereka boleh lakukan dengan pelbagai slogan ‘Selamatkan Sabah’.
Saya tidak tahu selamatkan daripada siapa? Ini Kerana semua parti tempatan termasuk GRS dan parti lain bercakap soal tempatan, tetapi dengan siapa mereka mahu selamatkan? Pada saya, dua-dua pun sama sahaja.
Insya-Allah, BN terbukti pada satu ketika telah menyelamatkan Sabah daripada krisis politik yang agak menggerunkan. Ketika itu, UMNO dan BN hadir dan sejak memerintah, kita telah memulakan rangkaian pembangunan Sabah sehingga tewas pada 2018.
Bagaimana BN akan uruskan isu MA63?
Kita telah memperjelaskan isu MA63 bahawa kita meminta kerajaan Persekutuan supaya tidak membuat rayuan terhadap keputusan itu.
Perdana Menteri juga berjanji untuk tidak merayu, namun mereka tetap ingin membuat rayuan dari segi tatacara keputusan itu dibuat. Apa pun tindakan kerajaan Persekutuan, itu hak mereka.
Bagi kita, kita akan terus mempertahankan hak-hak Sabah melalui MA63 kerana ini adalah perjanjian antara tiga wilayah yang termaktub dalam Perlembagaan Sabah, Sarawak dan Persekutuan. Maka Sabah, UMNO dan BN Sabah tidak akan berganjak daripada keputusan-keputusan yang telah kita capai.
Insya-Allah kita diberi mandat, kita akan buka ruang seperti yang diharapkan mahkamah, iaitu memulakan semula perbincangan dari asas dari mana pembayaran bermula, bagaimana perkiraan dibuat, bagaimana peruntukan kewangan Persekutuan ditentukan dan bagaimana keputusan negeri diambil kira.
Dalam Perlembagaan Sabah jelas menyatakan bahawa kedua-dua pihak, negeri dan Persekutuan, berhak melantik penafsir bebas dan keputusan penafsir bebas adalah muktamad.
Jadi, apabila cadangan negeri dan Persekutuan tidak mencapai kata putus, penafsir bebas perlu membuat tafsiran dan tafsiran itu muktamad. Ini bermaksud tiada mana-mana pihak boleh mengingkari atau mengubahnya lagi. Barulah isu ini selesai.
Kenapa rakyat perlu BN?
BN telah menunjukkan komitmen tinggi. BN bukan sahaja memakmurkan Sabah, malah seluruh negara, memperkenalkan negara ini ke peringkat antarabangsa.
Di Sabah, BN telah melaksanakan pelbagai pembangunan termasuk Universiti Malaysia Sabah (UMS), hospital baharu serta projek pembangunan minyak dan gas. Semua ini akan kita teruskan melalui pelan pembangunan sedia ada.
Jika DUN tergantung, apa pilihan BN?
Banyak lagi parti di Sabah yang kita boleh berunding. Bukan satu dua sahaja. Saya yakin selepas 29 November nanti akan ada parti yang seimbang dengan kita dari segi jumlah kerusi dan kita akan nilai parti yang seimbang serta boleh dipercayai itu. Yang penting, tidak menipu dan tidak makan kawan. GRS pula sudah banyak kali menipu jadi tafsirlah sendiri. – Mingguan Malaysia










