MUKADIMAH
Dalam menghadapi realiti politik semasa, Gerakan terus berdepan ranjau dalam mencabar kedudukannya di Pulau Pinang, negeri yang pernah menjadi simbol kegemilangan parti itu selama puluhan tahun.
Sejak tersingkir daripada tampuk pemerintahan negeri pada 2008 dan gagal memenangi sebarang kerusi sejak Pilihan Raya Umum Ke-14, Presidennya, DATUK DR. DOMINIC LAU mengakui kelemahan mereka khususnya daripada segi komunikasi, penyampaian maklumat serta keupayaan menarik sokongan pengundi tempatan.
Lebih penting, Dominic secara peribadi, tidak menafikan kelemahan sebagai Pengerusi Perhubungan Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang, sambil menegaskan keperluan memperkasa kembali komunikasi serta penyelarasan antara parti-parti komponen.
Namun dalam keadaan kekurangan Gerakan, beliau optimis gabungan PN mampu menggugat penguasaan DAP di Pulau Pinang dalam pilihan raya umum akan datang,
Ikuti wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, IRWAN SHAFRIZAN ISMAIL serta dibantu jurufoto ISKANDAR ISHAK.
DITENDANG KERANA ‘ABANG LONG’
MINGGUAN MALAYSIA: Bagaimana Datuk menilai prestasi Gerakan bertanding dalam pilihan raya bersama gabungan Perikatan Nasional (PN)?
Pendekatan kita masih perlu dilihat kembali, diperkukuhkan semula selain perlu membuat rebranding (penjenamaan semula) kerana kita kalah semua kerusi pada 2018 dan kita punya pendekatan rebranding itu memang fokus kepada kestabilan dan positif.
Gerakan ditubuhkan pada 1968 dan kita memang mencapai tahap gemilang, jadi kerajaaan di Pulau Pinang selama 39 tahun dan memang kita tahu kita ditendang keluar oleh rakyat kerana ‘Abang Long’ (UMNO) di Barisan Nasional (BN).
Memang pada masa itu, kita kena buat rebranding, sekarang cuma ada satu kerusi, tapi kita nampak kita akan menjadi relevan.
Dulu PKR pada pilihan raya 2004 seorang sahaja menang kerusi iaitu Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, tetapi sekarang kita lihat mereka sudah jadi Kerajaan Persekutuan, jadi untuk hala tuju ke hadapan kita akan jalan terus, kekal teguh bersama rakyat, keutamaan adalah rakyat dan politik jatuh perkara kedua.
PENGUNDI CINA
Bagaimana dengan sokongan pengundi Cina, mampukah Gerakan kembali mencabar kerusi-kerusi DAP serta PKR terutama di kawasan bercampur?
Strategi kita adalah menjadi realistik, jadi diri sendiri, bercakap perkara yang benar, adakah rakyat akan terima atau tidak, itu terpulang, tapi kita tidak akan menjadi seperti DAP, yang selalu mengutuk lawan, berbohong kepada rakyat dan mengamalkan politik ekstrem.Berbeza dengan Gerakan yang tidak mengamalkan hala tuju seperti itu.
Kita tahu rakyat Malaysia berbilang kaum, pelbagai agama dan budaya, oleh itu Gerakan sentiasa mementingkan soal perpaduan dalam negara.
Saya mengakui penerangan Gerakan, penyampaian maklumat, dan propaganda politik kita berada pada tahap lemah. Namun kita akan terus berusaha untuk memperkuatkan perkara ini, disamping terus mengamalkan politik yang bersih.
Tetapi ramai orang tidak tahu, jadi kita akan memperkuatkan perkara-perkara ini, namun tidak akan jadi seperti DAP yang hanya cucuk sana, cucuk sini. Sekarang ramai sudah tahu, orang Cina juga sudah faham, DAP dan PKR hanya kuat ‘wayang’, janji sana sini tapi tidak ditunaikan.
Mereka beri macam-macam janji semata-mata untuk sokongan, tapi bila jadi kerajaan, banyak yang tidak ditunaikan terutama kepada masyarakat Cina.
Gerakan akan fokus kepada kos sara hidup, peluang pekerjaan, ini perkara-perkara relevan untuk rakyat dan saya percaya satu hari nanti sokongan kepada Gerakan akan kembali meningkat.
IDEOLOGI PAS DAN BERSATU
Bagaimana Gerakan mengimbangi ideologi Pas dan Bersatu yang lebih condong ke arah Melayu dan Islam dalam PN?
Kita tidak melihat itu sebagai masalah, ini juga bukan kali pertama kita bekerjasama dengan Pas, contohnya semasa berada dalam BN, Gerakan pernah bekerjasama dengan Pas semasa Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri, kita tidak melihat itu sebagai beban atau masalah.
Malah demografi Malaysia, orang Melayu lebih 60 peratus, Cina 20 peratus dan India 10 peratus. Jadi, kami tidak melihat banyak masalah boleh timbul bila bekerjasama dengan parti yang memperjuangkan Melayu dan Islam seperti Pas dan Bersatu. Malah Islam juga agama rasmi Persekutuan begitu juga dengan bahasa Malaysia, jadi selagi itu kita akan terus menghormati apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Kebanyakan orang juga tidak tahu mesyuarat-mesyuarat di Gerakan ini banyak menggunakan bahasa Malaysia, begitu juga dengan persidangan kita peringkat negeri mahupun nasional.
Jadi, saya tidak nampak apa-apa masalah, mungkin ada yang kurang faham atau tidak mahu memahami itu kita akan beri penjelasan yang seterusnya.
Adakah akar umbi Gerakan juga terbuka dengan kerjasama ini?
Memang Gerakan bukan satu parti yang berasaskan kaum atau etnik, kita non ethnic political party, maksudnya soal kaum dan agama bukan primary concern (keutamaan), jadi saya tidak rasa akar umbi parti sangat mengambil berat tentang ideologi rakan komponen dalam PN, apa yang kami sangat pedulikan adalah untuk terus menjaga kebajikan serta kesejahteraan rakyat.
PENOLAKAN PAS PULAU PINANG
Apa komen Datuk mengenai penolakan Pas Pulau Pinang yang terus mempersoal kemampuan Datuk untuk menerajui PN di negeri itu?
Memang perbezaan pandangan dan ideologi itu berlaku dalam PN, tapi kita kena faham struktur PN. Pelantikan Pengerusi Perhubungan Negeri itu oleh Pengerusi PN (Tan Sri Muhyiddin Yassin), jadi kita kena ikut dan hormat atas keputusan itu, dan saya sangat berterima kasih kerana melantik saya semula.
Keduanya, bagi yang tidak nampak kita mainkan peranan sebagai pembangkang di Pulau Pinang itu, tidak semestinya kita tidak laksanakan tanggungjawab dan tugas.
Kita tahu peranan kita di sana, kita kerap dan sentiasa keluarkan kenyataan, buat bantahan berkenaan polisi dan dasar yang tidak menguntungkan rakyat contohnya rumah mampu milik tidak ada, ini kita terus bersuara tanpa henti.
Kita boleh senaraikan aktiviti yang kita lakukan dalam membuat semak dan imbang di pentadbiran negeri oleh kerajaan DAP. Tapi fokus yang kita lakukan kemungkinan tidak banyak media laporkan, mungkin ini jadi sebab mereka kurang nampak peranan kita di sana. Kita sentiasa memantau prestasi DAP dalam mentadbir Pulau Pinang, tidak pernah berhenti malah turut membuat libat urus dengan badan bukan kerajaan.
Yang kita tidak ada adalah wakil atau wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dan yang ini kita akui kelemahan kita. Kita akan teruskan dengan usaha komunikasi serta penerangan yang lebih kerap dan rapat dengan rakyat di Pulau Pinang.
Saya juga bukan seorang pemimpin yang sempurna, setiap pemimpin juga ada kelemahan dan saya akui kelemahan saya di Pulau Pinang tetapi seperti saya kata tadi, ideologi bagi Gerakan adalah memainkan peranan semak dan imbang tidak pernah berhenti.
Kita akan perkemas serta perkukuh komunikasi di peringkat kepimpinan PN di negeri. Saya juga ada rancangan selepas PRN Sabah, kita akan mengadakan mesyuarat bersama lebih kerap bagi memantau DAP sebagai kerajaan di Pulau Pinang.
Jadi, adakah benar Gerakan tidak pernah berhenti dalam melakukan kerja-kerja di peringkat bawah?
Kalau anda baca suratkhabar berbahasa Cina, kita sentiasa membuat kerja libat urus, tanpa henti. Mungkin kurang pendedahan di media arus perdana lain.
Boleh ulas isu pajakan Pulau Pinang dan tuntutan Kedah?
Pandangan Gerakan mudah sahaja, kita mesti berpihak kepada apa yang betul dan benar. Saya bersetuju sekiranya ada keperluan untuk tindakan perundangan diambil untuk mengetahui sama ada betul atau tidak tuntutan yang dibuat itu.
Negara kita ada Perlembagaan dan undang-undang, ini adalah platform yang betul untuk digunakan. Jadi, apa salahnya jika mahu mencari kebenaran.
Namun sebagai anak jati Pulau Pinang, hak rakyat Pulau Pinang wajar dipertahankan, kita akan terus membela hak-hak mereka. Kerana kalau ada pihak yang mempersoalkan dan menyerang hak-hak anak Pulau Pinang, kita akan bela. Kita harus menghormati hak rakyat Pulau Pinang.
Kita juga akan sampaikan pandangan kepada kepimpinan tertinggi berkait perkara ini. Peranan bagi Gerakan dalam PN itu adalah sebagai satu jambatan untuk sampaikan suara bukan Melayu dan Islam.
Ini tugas yang perlu dimainkan Gerakan, sampaikan mesej kepada pimpinan parti komponen dalam PN, supaya mereka lebih faham dan mengelak timbul masalah dan salah faham. Perkara ini penting kerana PN menekankan inklusiviti dan kesederhanaan, hanya ini caranya untuk kita tadbir negara dengan baik.
Desas-desus berkenaan MIC dan MCA sertai PN? Boleh Datuk komen?
Sesiapa sahaja yang setuju dengan ideologi PN , kita alu-alukan, saya tidak ada masalah jika MIC, MCA hendak masuk, Gerakan tiada bantahan. Malah dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN pun saya kata kita sangat terbuka jika pihak terbabit mahu menyertai PN.
Ada orang kata, Gerakan tidak takut ke kalau kerusi yang ingin ditandingi berkurangan? Apa yang saya boleh beritahu, Gerakan sendiri bertanding di banyak kerusi, dan tidak mampu untuk tanding semua kerusi. Jika mereka sertai, kita akan bekerjasama terutama di kawasan kerusi bukan Melayu.
Penyertaan mereka juga boleh menambah kekuatan PN, malah Gerakan, MIC dan MCA bukan kali pertama bekerjasama, dulu kita adalah kawan dalam BN. Jika mereka hendak bersama dalam PN, pasti akan memberi nilai tambah.
Gerakan juga tidak pernah terfikir untuk meninggalkan PN, seandainya ada pertambahan parti komponen baru dalam PN. Kita parti yang berprinsip, bukan macam DAP, dulu kutuk UMNO parti rasuah, tidak bagus, tapi sekarang ‘berpeluk’ bersama dalam satu kerjasama macam ‘adik-beradik’ pula. Ini terjadi kerana mereka tidak mempunyai prinsip, hanya wayang dan penuh hipokrit.
Jadi, saya harap pengundi, terutama yang bukan Melayu supaya sedar, apa sahaja janji oleh pihak sebelah sana tidak ditunaikan. Dulu berkobar-kobar menentang (kilang) Lynas, gesa tutup kilang proses nadir bumi menerusi Gerakan Hijau, tapi sekarang semua okey, malah Lynas juga tambah pengeluaran.
KRISIS BERSATU
Kepercayaan parti komponen lain dalam PN terhadap krisis dalam Bersatu?
Walaupun kita adalah komponen parti dalam PN, tapi prinsip kita tidak campur tangan masalah dalam parti komponen PN. Namun saya percaya dengan kebijaksanaan kepimpinan parti masing-masing, mereka boleh selesaikan sebarang masalah dalaman yang berbangkit.
Setakat ini, saya tidak melihat ada masalah dalam kerjasama ini dan semua pihak fokus kepada gerak kerja menghadapi pilihan raya umum akan datang.
SEKALIKAN PRN DAN PRU
Adakah sesuai PRN Melaka, Johor, enam negeri dan PRU-16 disekalikan?
Gerakan berpandangan Pilihan Raya Negeri seterusnya dan PRU-16 wajar disekalikan, ini kerana untuk menjalankan satu-satu PRN memerlukan kos yang tinggi. Sekarang kita lihat seolah-olah setiap tahun kita ada pilihan raya, itu merugikan dan wang yang ada boleh difokuskan dalam membantu ekonomi rakyat. Itu lebih penting.
Kita lihat mesej jelas oleh Kerajaan Perpaduan, yang mungkin akan bubar Parlimen tahun depan untuk menjalankan pilihan raya umum dan negeri secara serentak. Jadi, itu lebih baik, malah kita lihat Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke sudah beberapa kali memberi hint kepada akar umbi mereka supaya bersedia.
Jadi, daripada tanda-tanda itu kita boleh anggap PRU-16 akan berlangsung tahun depan bersekali PRN.
Adakah Datuk melihat Gerakan masih relevan termasuk dalam memberi nilai tambah kepada gabungan PN?
PN sudah meletakkan diri kita sebagai ‘kerajaan menunggu’ kerana kita sudah nampak rakyat semakin tidak puas hati dengan dasar-dasar kerajaan. PN adalah satu gabungan parti berbilang kaum sebagai cerminan kepada kemajmukan kaum di negara ini.
Gerakan merasakan kita masih sangat relevan dalam PN. Dalam negara ini, kita tidak boleh menjadi parti yang hanya tumpu kepada satu kaum sahaja, sebab kita ada pelbagai kaum, etnik dan agama.
Inilah pentingnya peranan Gerakan dalam PN, kita jadi penghubung kepada keperluan dan harapan rakyat terutama orang bukan Melayu dan bukan Islam.
21 KERUSI AMBIL ALIH PULAU PINANG
Sebagai Pengerusi Perhubungan PN negeri, adakah sebarang jumlah sasaran untuk menang lebih banyak kerusi di Pulau Pinang? Mungkin ada peningkatan berbanding 11 kerusi DUN yang dimenangi pada PRN lalu?
Kita memerlukan sekurang-kurangnya 21 kerusi untuk mengambil alih Kerajaan Negeri, bermaksud perlu lagi 10 kerusi untuk mentadbir Pulau Pinang. Kita (PN) sedang berusaha untuk mendapatkan lebih daripada angka utama tersebut.
Yang penting, rakyat Pulau Pinang percaya kepada PN, mengangkat PN sebagai perwakilan mereka ke DUN. Kita tidak mampu lakukan ini tanpa sokongan dan dukungan mereka.
Secara realistik adakah PN mampu menggugat penguasaan DAP/PH di Pulau Pinang untuk PRU dan PRN akan datang? Atau PN optimis melihat pertambahan kemenangan kerusi DUN dan Parlimen?
PN telah pun menggugat kedudukan DAP dan PH di Pulau Pinang, Tengok keputusan PRN 2023, jumlah kerusi PN bertambah, ada juga beberapa kerusi DUN walaupun tidak menang tetapi terdapat pertambahan undi yang positif. Ia menunjukkan rakyat Pulau Pinang sedang dalam fasa berhijrah kepada politik yang mementingkan rakyat.
DAP hari ini lebih kepada nepotisme berbanding merit, lebih pentingkan jawatan berbanding khidmat rakyat. Kita boleh lihat kesannya pada PRN Sabah. Itu tanda rakyat semakin kecewa dengan pentadbiran mereka.
Dasar-dasar kita akan berpaksikan keperluan rakyat dan mentadbir mengikut agenda kesederhanaan. Tidak perlu beri janji-janji besar, tidak perlu muka-muka sombong atau meninggi diri, apa yang perlu kita lakukan adalah terus merendah diri dan tidak mengetepikan hasrat rakyat dan dengan itu mereka ada keyakinan terhadap PN untuk menjadi kerajaan. – Mingguan Malaysia










