ALHAMDULILLAH, minggu lalu saya berpeluang menghadiri Persidangan Global Pusat Kepakaran Serantau (RCE) ke-14 pada 21 hingga 23 Oktober lalu di Okayama, Jepun.
Persidangan anjuran Institut Pengajian Termaju Kemampanan Universiti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNU-IAS) bertujuan berbincang tentang pendidikan untuk pembangunan mampan sedunia.
Begitu banyak ilmu dan pengalaman berharga yang diperoleh daripada persidangan ini, khususnya apabila golongan belia seperti kami turut diberi peluang dan kepercayaan untuk terlibat secara aktif dalam penganjurannya.
Ucaptama pada hari pertama persidangan tersebut antara yang paling menyentuh jiwa dan begitu relevan dalam konteks pendidikan masa kini. Disampaikan oleh bekas Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak itu menyentuh tentang kepentingan memanusiakan pendidikan.
Ucapan beliau begitu semangat dan segar. Siapa sangka empat hari sebelumnya, beliau cedera selepas disamun di Pulau Pinang. Jelas sekali semangatnya tidak dapat dipatah walau berdepan dugaan dan kesakitan yang masih bersisa.
Ucapannya juga membuka mata semua peserta persidangan.
Menurutnya, bagi mencapai hasrat pendidikan bersifat kemanusiaan, pendidikan itu sendiri harus mempunyai jiwa selain mampu membentuk jiwa insan dengan nilai-nilai terpuji dan bukannya mengukur keberkesanan proses pendidikan hanya dari sudut kejayaan material semata-mata.
Tujuan pendidikan bukanlah semata-mata untuk membentuk persaingan sengit bagi mencapai gred dan kedudukan penarafan yang paling tinggi sehingga membelakangkan soal menyuburkan keinsanan diri pelajar.
Proses pendidikan mesti bersifat menyeluruh dan mampu membentuk insan yang bukan sahaja bijaksana tetapi terdidik jiwa mereka dengan perasaan simpati, empati dan belas kasihan sesama insan atau secara ringkasnya, sifat ihsan dalam diri.
Pendidikan yang mengejar tangga penarafan sebegini ialah pendidikan tanpa jiwa yang berkiblatkan kebendaan. Ia tidak mampan dan lagilah tidak madani kerana ia akan melahirkan masyarakat yang tidak mempunyai kekuatan jiwa serta mudah tersungkur apabila berhadapan masalah.
Polemik ini dapat kita lihat dengan jelas pada hari ini. Kita bertanya dimanakah silapnya sehingga berlaku begitu banyak masalah moral dan jenayah dalam kalangan remaja termasuk di sekolah dan institut pengajian tinggi (IPT).
Ada yang menyalahkan penghapusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) sebagai penyebab utama. Kata mereka, pelajar-pelajar sekolah merasa bosan tanpa dua peperiksaan besar ini. Akibatnya, mereka melakukan jenayah untuk meluangkan masa lapang seperti membuli dan membunuh rakan.

Biarpun alasan tersebut sukar diterima oleh akal, namun ramai juga percaya lantas turut menyebarkan perkara ini terutamanya di media sosial, mungkin kerana kekurangan daya fikiran kritikal dalam kalangan generasi kini.
Inilah hasilnya pendidikan tanpa roh yang terlalu mengejar angka gred dan penarafan. Pusat pendidikan yang mengejar penarafan sebegini sering lupa untuk membentuk sifat ihsan dalam jiwa penuntutnya.
Ucaptama pada hari kedua pula diberikan oleh Puteri Abze Djigma, seorang puteri masyarakat Mossi dari Burkina Faso. Di sana, masih banyak kawasan yang belum menerima bekalan elektrik, menyebabkan keadaan malam mereka gelap gelemat.
Namun melalui usahanya, kawasan kampung yang dahulunya gelap di waktu malam kini diterangi cahaya lampu solar.
Apa yang sangat menarik ialah, setelah kampung-kampung terbabit mendapat manfaat daripada projek ini, mereka mendapati kanak-kanak berjaya mencatatkan prestasi akademik yang lebih baik di sekolah masing-masing.
Rupa-rupanya kanak-kanak itu selama ini sentiasa bersemangat untuk belajar. Namun tidak mempunyai peluang melakukannya pada waktu malam kerana keadaan terlalu gelap.
Namun, kini dengan adanya lampu solar, kanak-kanak ini berpeluang belajar pada waktu malam sehingga berjaya dengan cemerlang tanpa perlu dipaksa oleh guru dan ibu bapa.
Hal ini menunjukkan minat yang lahir tanpa paksaan akan membakar semangat pelajar untuk berusaha di atas kaki sendiri tanpa paksaan daripada sesiapa. Ini hanya boleh dicapai jika jiwa mereka dibentuk dengan baik.
Memaksa penuntut ilmu dengan mengejar kejayaan akademik melalui peperiksaan dan prestasi untuk penarafan hanya akan menjadikan mereka kurang berminat untuk belajar. Hasil itulah yang melahirkan generasi malas dan bermasalah.
Saya juga bersyukur kerana ketika menghadiri persidangan tersebut diberi peluang melawat sebuah pusat pembelajaran masyarakat di sana pada hari terakhir. Kami melihat bagaimana cara pendidikan di sana amat berbeza berbanding amalan di sini.
Guru-guru hanya memberi penerangan dan arahan ringkas pada awal kelas dan kemudiannya memberi masa untuk pelajar meneroka dan mencari maklumat secara sendiri. Menariknya tiada usaha untuk ‘menyuap’ maklumat kepada pelajar sebagaimana sistem di Malaysia.
Murid peringkat sekolah rendah ini masing-masing dengan cergasnya mencari maklumat melalui internet tanpa memerlukan teknologi kecerdasan buatan (AI). Seletah selesai, mereka kembali dan membuat pembentangan tentang hasil kajian.
Ini bukan sahaja merangsang daya kreatif tetapi juga mengasah daya pemikiran kritikal. Sangat jauh berbanding cara di Malaysia di mana soalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) juga ingin diformulakan dan dihafal.
Apa yang saya dapati daripada ketiga-tiga hari persidangan ini ialah pendidikan tidak boleh dibentuk dalam suasana paksaan. Ia juga tidak boleh bersifat tamak mengejar nama besar. Sebaliknya, kita harus kembali kepada niat kita iaitu untuk menuruti firman pertama Allah SWT kepada Rasulullah SAW, “Iqra” (belajar).
TETAPKAN NIAT
Jika niat sudah lari, maka pendidikan akan hilang jiwa. Kini, ramai kanak-kanak Malaysia hanya belajar kerana dipaksa, bukan kerana inginkan ilmu. Mereka juga kehilangan daya berfikir secara kritikal dan hanya boleh belajar apabila ‘disuap’ maklumat oleh guru.
Tatkala pakar-pakar pendidikan sedunia berhimpun membincangkan tentang bagaimana patut mengelakkan pendidikan materialistik.
Sementara di Malaysia masih terhegeh-hegeh pula ingin mengejar kedudukan tangga berprestij dalam penarafan. Walhal, pendidikan bukan sesuatu pertandingan. Kita semua harus berusaha menimba ilmu mengikut kemampuan dan tumpuan masing-masing.
Takkanlah Malaysia sebagai sebuah negara Islam ingin kekal kolot dengan pendirian materialistik sebegini? Di manakah sifat masyarakat madani jika masih terpedaya dengan hasutan kebendaan?
Jika berterusan dengan sikap ini, tamadun kita takkan dapat berjaya dan berdaya saing kelak.-UTUSAN
PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










