KEPENGERUSIAN Malaysia dalam ASEAN 2025 menandakan satu lagi bab penting dalam sejarah diplomasi serantau bukan sahaja kerana kehadiran pemimpin dunia yang luar biasa ramai tetapi kerana Malaysia berjaya menampilkan diplomasi kelestarian dan keterangkuman sebagai roh baharu kepada blok ini yang semakin diuji geopolitik global.
Tahun ini menyaksikan pencapaian besar mengangkat profil negara dan rantau apabila Malaysia bukan sekadar tuan rumah yang dinamik tetapi penggerak idea dan pembina keseimbangan global.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur menjadi tumpuan dunia apabila menyaksikan kehadiran serentak pemimpin-pemimpin utama seperti Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump; Perdana Menteri China, Li Qiang; Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi; Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva; Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa dan Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese.
Kehadiran pelbagai blok kuasa besar dan negara Global South ini menandakan keyakinan antarabangsa terhadap Malaysia sebagai penganjur neutral yang mampu menjembatani pelbagai kepentingan yang saling bertentangan.
Ini juga peluang terbaik ASEAN untuk kembali bangkit sebagai pemain utama geopolitik global.
Lebih menarik cara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengendalikan interaksi dengan Trump dan pemimpin lain menjadi perhatian dunia.
Walaupun Trump dikenali dengan gaya politik yang tidak dapat dijangka dan tarif ‘Hari Pembebasan’ yang menggugat pasaran dunia, Anwar menanganinya dengan gaya tersendiri.
Pastinya ada yang mempersoalkan kenapa sebegitu besar sambutan diberikan sedangkan beliau dikaitkan dengan genosid di Palestin. Namun kita harapkan layanan yang diberikan dengan teguran yang disampaikan dapat mengendurkan tindakan Presiden AS itu atau melembutkan hatinya untuk lebih prihatin terhadap Palestin.
Malaysia menggunakan kepengerusian kali ini untuk menegaskan konsep diplomasi kelestarian iaitu pendekatan yang menyeimbangkan keperluan ekonomi, kestabilan politik dan tanggungjawab sosial di rantau ini.
Dalam konteks geopolitik yang kian tegang, diplomasi kelestarian menuntut keberanian moral untuk memilih jalan tengah yakni bekerjasama dengan semua kuasa besar tanpa menjadi satelit kepada mana-mana.
Inilah yang ditunjukkan Malaysia apabila ia membuka ruang dialog sama rata kepada AS, China, BRICS dan negara-negara ASEAN sendiri.
ASEAN di bawah Malaysia juga menumpukan isu transformasi ekonomi hijau, integrasi digital dan keselamatan tenaga, menjadikan kelestarian bukan lagi topik sampingan tetapi teras agenda serantau.
Dengan strategi diplomasi kelestarian ini juga, peranan ketiga-tiga cabang komuniti ASEAN menjadi sama penting. Kalau sebelum ini Komuniti Politik dan Keselamatan serta Ekonomi sahaja yang mendapat perhatian. Kini dengan strategi diplomasi kelestarian, Komuniti Sosial dan Budaya ASEAN juga menjadi sama penting.
Antara pencapaian paling bersejarah sepanjang kepengerusian Malaysia ialah kemasukan rasmi Timor-Leste sebagai ahli ke-11 ASEAN. Langkah ini bukan sekadar keputusan teknikal tetapi manifestasi keterangkuman sejati dan simbol ASEAN kekal terbuka, adil dan berpaksikan solidariti serantau.
Timor-Leste, negara muda yang pernah melalui konflik dan penjajahan, kini diterima dalam komuniti serantau yang lebih besar. Malaysia memainkan peranan penting sebagai fasilitator yang memastikan proses penerimaan berjalan dengan harmoni, sambil menegaskan prinsip tiada negara harus tertinggal dalam perjalanan pembangunan serantau.
Kemasukan Timor-Leste membawa mesej mendalam yang keterangkuman adalah prasyarat kelestarian. Rantau ASEAN tidak akan stabil jika sebahagian ahlinya terus terpinggir.
MALAYSIA SEBAGAI PENGANTARA, PEMUDAHCARA
Kepimpinan Malaysia turut menyerlah dalam peranan pemudahcara keamanan, termasuk membantu menjayakan Deklarasi Keamanan Thailand – Kemboja yang disaksikan Trump dan Anwar.
Walaupun tidak diumumkan sebagai ‘perjanjian damai rasmi’, namun proses rundingan yang difasilitasi oleh Kuala Lumpur menamatkan pertelingkahan bersenjata paling buruk antara kedua-dua negara dalam dekad terakhir.
Peranan ini mengukuhkan reputasi Malaysia sebagai pengantara yang dipercayai mediator) bukan hanya di ASEAN tetapi di mata dunia.
Dalam era di mana diplomasi sering dikaitkan dengan kepentingan ekonomi, Malaysia mengingatkan komuniti antarabangsa yang keamanan dan kepercayaan adalah ‘mata wang’ paling berharga dalam politik global.
Setiap kali Malaysia mengambil giliran sebagai pengerusi ASEAN meninggalkan kesan besar terhadap arah tuju rantau ini.
– 1977: Malaysia memperkenalkan Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN) sebagai dasar keselamatan rantau.
– 1997: Menjadi tuan rumah krisis kewangan Asia dan memimpin usaha pemulihan ekonomi rantau.
– 2005: Melahirkan Deklarasi Kuala Lumpur dan penubuhan Sidang Kemuncak Asia Timur.
– 2015: Mengisytiharkan pembentukan Komuniti ASEAN yang pertama kali menyatukan tiga tonggak politik, ekonomi dan sosiobudaya.
– 2025: Malaysia memperkukuh diplomasi kelestarian dan keterangkuman serta menjadikan ASEAN bukan sahaja lebih bersatu tetapi berprinsip selain berperanan di pentas dunia.
Konsistensi ini menunjukkan Malaysia menjadi penjaga moral dan strategik ASEAN, yang setiap dekadnya menambah nilai kepada struktur rantau ini.
Kepengerusian ini akan dikenang sebagai saat dunia datang kepada blok ini dan ASEAN tampil ke pentas dunia. Ia membuktikan kepimpinan yang berteraskan keseimbangan, keterangkuman dan berpandangan jauh masih mampu menanam keyakinan di tengah kekacauan global.
Kini, apabila Filipina bersiap untuk mengambil alih kerusi pengerusi, harapan beralih kepada kesinambungan.
Manila kini memikul momentum ini untuk menterjemahkan komitmen kepada tindakan, khususnya dalam memperkukuh pertumbuhan hijau, daya tahan iklim dan keadilan sosial di seluruh rantau.
Jika Kuala Lumpur menyalakan semula visi tersebut, biarlah Manila merealisasikan janji itu dengan memastikan ASEAN bukan sekadar berbicara tentang kelestarian tetapi benar-benar menghayatinya dalam tindakan dan dasar bersama.-UTUSAN
PROFESOR Dr. Zainal Abidin Sanusi ialah Pengarah Pusat Sejahtera Untuk Kelestarian dan Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










