KONFLIK antara Thailand dan Kemboja baru-baru ini mengejutkan banyak pihak.
Tidak sampai sebulan selepas perjanjian damai dimeterai dalam Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47, ketegangan antara kedua-dua negara tercetus semula.
Letupan periuk api di wilayah Sisaket menunjukkan betapa rapuhnya perjanjian damai berkenaan.
Insiden ini secara tidak langsung menggambarkan rundingan berkenaan mungkin dilakukan secara tergesa-gesa, selain menonjolkan rasa sangsi yang masih menebal antara Bangkok dan Phnom Penh.
Banyak persoalan kini timbul berkenaan impak perjanjian yang disifatkan pelbagai pihak sebagai detik bersejarah bukan sahaja terhadap kedua-dua negara, tetapi kepada kredibiliti ASEAN secara keseluruhan.
Insiden yang berlaku baru-baru ini turut membuktikan proses gencatan senjata adalah satu perkara rumit.
Walaupun ketegangan dijangka reda dalam beberapa hari, kemungkinan berlakunya konflik sekali lagi tetap wujud serta mungkin terus berpanjangan.
Situasi ini menonjolkan kelemahan ASEAN dalam merangka tindakan awal dan langkah pencegahan konflik.
Setakat ini, tiada kenyataan bersama daripada Menteri Luar ASEAN yang menunjukkan kebimbangan serius atau sebarang usaha pemimpin rantau ini untuk meredakan ketegangan selepas insiden tersebut.
Hal ini sudah pasti menunjukkan bahawa ASEAN lemah dan kurang proaktif dalam mengurangkan risiko konflik sempadan yang lebih besar pada masa hadapan.
Apatah lagi dengan kewujudan pengaruh kuasa besar negara yang terlibat dalam konflik menambah kerumitan situasi.
China, melalui hubungan rapat dengan Kemboja sebelum ini membantu negara itu memodenkan angkatan bersenjata termasuk sistem pelancar roket dan aset tentera laut.
Begitu juga dengan Thailand yang bijak mengimbangi pengaruh luar dengan mengekalkan hubungan keselamatan dengan Amerika Syarikat (AS) dan China.
Walaupun persaingan strategik antara AS dan China membentuk konteks keselamatan serantau, konflik sempadan Thailand-Kemboja berakar daripada pertikaian sejarah yang panjang, termasuk soal pemilikan kuil purba seperti Preah Vihear dan Ta Muen Thom.
Pertikaian ini merupakan gabungan faktor sejarah, nasionalisme dan dilema keselamatan serantau yang boleh menjadi lebih rumit sekiranya melibatkan persaingan kuasa besar.
ASEAN tidak boleh membiarkan pihak yang bertelagah menguruskan sendiri konflik dalaman antara dua negara.
Apatah lagi hasrat Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet untuk membawa isu ini ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sebagai langkah penyelesaian berasaskan undang-undang dan keamanan.
Negara Gajah Putih itu bagaimanapun menolak dan lebih mengutamakan pendekatan dua hala dalam menyelesaikan pertikaian sempadan dengan Kemboja menerusi penubuhan Suruhanjaya Sempadan Bersama (JBC) pada 2000.
Thailand menyifatkan penglibatan pihak ketiga boleh menjejaskan hubungan baik antara kedua-dua negara kerana isu ini melibatkan aspek sejarah, wilayah dan politik yang sensitif.
Bagaimanapun, sehingga ke hari ini usaha penyelesaian konflik tersebut tidak membuahkan sebarang hasil termasuklah menerusi Perjanjian Damai Kuala Lumpur yang ditandatangani baru-baru ini.
Konflik berterusan antara dua negara ini hakikatnya turut menunjukkan kegagalan diplomasi antara negara anggota yang kini sudah pun menerima ahli baharu iaitu Timor Leste.
ASEAN sepatutnya menilai semula cara mengurus konflik, bukan hanya fokus kepada masalah di Thailand dan Kemboja, tetapi melihat keseluruhan masalah di rantau ini secara lebih menyeluruh dan mendalam termasuk pertikaian di Laut China Selatan.
Biasanya, apabila berlaku krisis keselamatan yang serius, ASEAN cuba memulihkan keadaan seperti sedia kala.
Dalam erti kata lain, menghentikan pertempuran atau ketegangan buat sementara waktu sehingga keadaan kembali stabil.
Namun, pendekatan ini hanya menyembuhkan permukaan masalah, bukan menyelesaikan punca sebenar konflik.
Dalam satu-satu masa, ASEAN seakan-akan melupakan masalah tersebut dan meletakkannya sebagai isu yang tidak penting, selagi mana ia tidak menyebabkan pertempuran bersenjata.
Pertikaian sempadan ini berisiko menjadi titik tumpuan geopolitik, di mana negara-negara dalam rantau berkemungkinan besar boleh diketepikan.
Akhirnya nanti, krisis Thailand dan Kemboja menjadi simbolik kepada jurang lebih mendalam dalam ruang lingkup politik Asia Tenggara serta negara anggota.
Apa yang diperlukan bukanlah sekadar penyelesaian konflik.
Usaha melebihi jangkauan garis politik dituntut ke arah menstrukturkan semula ASEAN dalam dunia yang menjadikan kerapuhan kedaulatan sesebuah negara sebagai satu ‘alat’ untuk kuasa besar.
TANGGUNGJAWAB
Bagi pakar geostrategis, Dr. Azmi Hassan berkata, kehadiran Presiden AS, Donald Trump sebenarnya menyukarkan lagi Perjanjian Damai Kuala Lumpur.
“ASEAN kini perlu mengambil langkah sendiri tanpa melibatkan sesiapa. Tanggungjawab utama kini terletak pada pengerusi seterusnya iaitu Filipina.
“Namun, Filipina lebih akrab dengan AS dan masih tidak pasti sama ada negara berkenaan akan mengutamakan kepentingan ASEAN atau sebaliknya,” jelasnya.
Menurut Azmi, isu tersebut seandainya ditangani sendiri mampu menunjukkan bukti bahawa blok ASEAN kukuh dan mampu berdiri sendiri.
Kalau dilihat pada perkembangan terbaru, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menghubungi rakan sejawatnya dari Kemboja, Hun Manet dan Thailand iaitu Anutin Charnvirakul bagi membincangkan langkah seterusnya untuk menjayakan proses damai antara kedua-dua negara.
Kenyataan Anwar sudah semestinya menunjukkan kesediaan Malaysia untuk terus berperanan sebagai pemudah cara dalam merintis jalan damai antara kedua-dua negara.
Ia bertepatan sebagai peranan Malaysia yang merupakan Pengerusi ASEAN tahun ini.
Namun, hasrat Malaysia lebih sekadar itu, iaitu sebagai negara jiran yang memikul tanggungjawab dalam memastikan keamanan serantau terus kekal terpelihara.
Ini sekali gus menonjolkan Malaysia sebagai jiran berwibawa dalam memacu penyelesaian konflik serantau dan memperkukuh kedudukan blok itu di pentas global.
Cuma, dalam konteks dan semangat ASEAN, kebersamaan itu masih belum jelas dapat dilihat.
Sekalipun Malaysia mengerah segala kudrat, usaha dan tenaga tetapi tanpa tekad negara anggota dalam penyelesaian konflik pasti menemui jalan buntu.
Hal tersebut bukan sekadar berkait rapat dengan antara Thailand dan Kemboja, namun berkait dengan segala soal geopolitik dalam dunia rantau Asia Tenggara. – UTUSAN
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.










