Kedaulatan ekonomi bukan untuk dijual

Kedaulatan ekonomi bukan untuk dijual

MALAYSIA tidak boleh terus bergantung kepada pelabur asing untuk menentukan masa hadapan sektor nadir bumi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM abad ke-21, unsur nadir bumi muncul sebagai ‘minyak baharu’ dunia. Ia menjadi asas kepada cip semikonduktor, bateri kenderaan elektrik, turbin angin serta sistem pertahanan moden.

Negara yang menguasai bahan ini bukan sahaja kaya tetapi juga berkuasa. Dengan simpanan dianggarkan bernilai RM809 bilion, Malaysia sepatutnya berada di barisan hadapan. Namun ironinya, di sebalik kekayaan mineral ini, kita masih miskin dari segi keupayaan teknologi dan penguasaan dasar strategik.

Melalui Perjanjian Timbal Balik Perdagangan Malaysia–Amerika Syarikat (AS) yang ditandatangani pada 26 Oktober lalu, Malaysia berjanji untuk tidak mengenakan sekatan atau kuota eksport terhadap mineral kritikal dan unsur nadir bumi ke AS, di samping memberi lesen operasi lanjutan kepada syarikat-syarikat dari negara itu.

Kononnya demi memberi kepastian perniagaan, namun hakikatnya, perjanjian ini mengurangkan kedaulatan Malaysia terhadap sumber strategiknya sendiri termasuk dalam keadaan darurat atau krisis bekalan global.

Apabila sesebuah negara tidak lagi bebas menentukan cara sumbernya digunakan, maka ia kehilangan sebahagian daripada kuasa ekonominya. Inilah bentuk penjajahan moden iaitu sumber di tanah air dikawal oleh perjanjian antarabangsa yang berat sebelah, sementara keuntungan mengalir keluar melalui pelabur asing.

SIAPA LEBIH UNTUNG?

Malaysia bukan pemain pasif. Fasiliti Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) di Gebeng, Pahang, misalnya, menjadikan Malaysia satu-satunya negara di luar China yang menghasilkan dysprosium oksida dan oksida terbium, bahan penting dalam industri tenaga hijau.

Syarikat itu melabur lebih AS$700 juta (RM 1.93 bilion) dan menyumbang lebih AS$1 bilion (RM 2.76 bilion) kepada ekonomi negara. Namun, penguasaan operasi, teknologi dan keputusan strategik tetap kekal di tangan asing.

Kini, dengan sekatan dasar yang dipateri melalui perjanjian AS–Malaysia, ruang untuk membina industri hiliran nasional semakin sempit. Malaysia berisiko kekal sebagai pengeksport bahan mentah bernilai rendah, manakala syarikat luar menikmati keuntungan melalui pemprosesan dan pembuatan bernilai tinggi. Lesen operasi lanjutan yang dijamin kepada pelabur luar pula boleh menghakis kawalan kerajaan terhadap aspek alam sekitar, masyarakat tempatan serta piawaian kelestarian.

KAYA SUMBER, MISKIN DASAR

Kajian Jabatan Mineral dan Geosains menunjukkan Malaysia memiliki 16.1 juta tan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di 10 negeri, dengan Terengganu menyumbang 7.19 juta tan. Namun nilai ini hanya tinggal angka jika Malaysia tidak mampu memprosesnya secara mandiri.

Negara masih ketinggalan dalam pembangunan teknologi hiliran untuk menghasilkan produk bernilai tinggi seperti supermagnet dan bateri kenderaan elektrik (EV).

Kerajaan meletakkan nadir bumi sebagai sektor strategik dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan China turut menawarkan kerjasama teknologi semasa lawatan Presiden Xi Jinping pada April lalu.

Namun, tanpa dasar kawalan dan pengurusan yang berdaulat, kerjasama sebegini mudah bertukar menjadi bentuk kebergantungan baharu.

Tambahan pula, cadangan menubuhkan entiti nasional ala-Petronas masih terhalang oleh pertikaian antara kerajaan negeri dan persekutuan terutamanya berkaitan isu royalti hasil bumi.

MEMBINA KEUPAYAAN, MEMPERTAHANKAN HAK

Malaysia tidak boleh terus bergantung kepada pelabur asing untuk menentukan masa hadapan sektor nadir bumi. Beberapa langkah strategik mesti segera dilaksanakan.

Pertama, penubuhan Syarikat Nadir Bumi Nasional amat penting bagi memastikan pemilikan dan kawalan kekal di tangan rakyat Malaysia, dengan penyertaan bersama kerajaan negeri.

Langkah ini akan menjamin agihan hasil yang lebih adil serta mengelakkan monopoli asing terhadap sumber negara.

Kedua, Malaysia perlu membangunkan Pusat Kecemerlangan Nadir Bumi Nasional yang menyatukan kepakaran universiti seperti Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Petronas (UTP).

Penyelidikan dan pembangunan mesti dijadikan tulang belakang bagi mencipta teknologi pemprosesan tempatan serta mengurangkan kebergantungan terhadap China atau AS.

Ketiga, pembangunan modal insan perlu dipercepatkan. Inisiatif seperti penubuhan Akademi Mineral Malaysia Pahang (AMMP) wajar diperluas ke negeri lain bagi melahirkan tenaga kerja mahir menjelang 2030.

Dan yang tidak kurang penting, semua aktiviti perlombongan mesti mematuhi piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG) bagi melindungi alam sekitar serta masyarakat setempat.

Malaysia tidak boleh mengulangi kesilapan projek Asian Rare Earth di Perak pada 1980-an, apabila keuntungan jangka pendek mengorbankan keselamatan rakyat.

JANGAN GADAI

Pasaran nadir bumi dunia dijangka meningkat daripada AS$3.74 bilion (RM 10.35 bilion) pada 2024 kepada AS$8.14 bilion (RM 34.2 bilion) pada 2032 dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sehingga 10.2 peratus.

Malaysia menyasarkan pelaburan RM100 bilion dan 4,000 peluang pekerjaan menjelang 2030.

Namun angka ini hanya bermakna jika negara mampu mengawal sumbernya sendiri.

Kerajaan perlu berani merunding semula perjanjian dengan AS bagi menambah klausa perlindungan nasional, termasuk hak untuk mengenakan sekatan eksport atau melaras dasar mengikut kepentingan negara.

Jika tidak, Malaysia akan terus menjadi negara kaya sumber tetapi miskin kuasa atau mungkin hanya sekadar menjadi penonton kepada kekayaan yang lahir daripada tanahnya sendiri.

Kedaulatan ekonomi tidak boleh digadai atas nama pelaburan. Kemerdekaan sebenar bukan sekadar simbolik pada bendera tetapi terletak pada hak menentukan nasib sumber strategik sendiri.

Jika Malaysia gagal mempertahankannya hari ini menyebabkan generasi akan datang hanya akan mewarisi lombong kosong sementara hasil bumi kita terus mengalir ke luar sempadan.-UTUSAN

 

PENULIS ialah Penganalisis Penyelidikan (Ekonomi), Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN