APAKAH perbezaan antara pencuri dan perompak? Secara umum, kita tentu merasakan seperti tiada apa-apa perbezaan besar kerana kedua-duanya adalah penjenayah.
Namun begitu, jika diteliti secara mendalam, akan nampak perbezaan dari segi bidang pengkhususan kedua-dua kelompok itu. Malah, ada beberapa lagi ciri yang membezakan antara pencuri dan perompak.
Hakikat ini juga saya perhatikan apabila menikmati cerita rakyat dan karya klasik India dalam terjemahan bahasa Inggeris. Istilah thief (pencuri) dan robber (perompak) digunakan untuk membezakan kedua-dua kelompok.
Sebagai contoh, kita secara spontan dan tanpa berfikir panjang menggunakan label pencuri apabila merujuk kejadian kehilangan selipar yang sering dilaporkan berlaku di masjid. Manakala, perompak digunakan apabila berlaku kes melibatkan bank. Penyamun pula satu lagi kategori penjenayah.
Pembahagian kategori seperti ini jelas dalam cerita rakyat India yang menampilkan watak pencuri, penyamun dan perompak. Perincian yang diberikan memang menarik dan wajar diketahui, sekurang-kurangnya untuk membandingkan dengan realiti pada hari ini.
Hasil kajian Dr. Maurice Bloomfield (1855-1928) dalam The American Journal of Philology bertajuk The Art of Stealing in Hindu Fiction (1923) dan On Organized Brigandage in Hindu Fiction (1926) membicarakan topik ini. Bloomfield ialah pakar filologi iaitu pengkaji bidang bahasa dan sastera Sanskrit.
Bekas pensyarah Universiti Johns Hopkins ini menghuraikan, watak pencuri dan perompak dalam fiksyen Hindu (sastera Sanskrit) dikenali sebagai caura, taskara, stena, malimluca atau dasyu.
Malah, ada buku panduan khas bagi golongan itu berjudul Steyasastra, Corasastra dan Steyasutra.
Hasil penelitian filologi, Maurice mendapati ada perbezaan ketara antara kumpulan pencuri dan perompak dalam karya Saskrit. Misalnya, kumpulan pencuri sering memuja Dewa Skanda.
Kisah dewa ini boleh dibaca dalam buku, Khanda Puranam (2022) yang saya ceritakan semula berdasarkan versi asal bahasa Sanskrit.
Kumpulan perompok dalam sastera Sanskrit digambarkan memuja Durga Dewi serta mengorbankan manusia dalam upacara khas. Kisah Vasudatta mahu dibunuh dan darahnya dipersembahkan kepada Durga Dewi boleh dibaca secara terperinci dalam buku, Katha Sarit Sagara (2023).
Tentulah gambaran di atas tidak lagi terpakai pada masa sekarang. Namun begitu, ada pelbagai motif (unsur perulangan) yang masih tepat menggambarkan situasi hari ini. Misalnya, pencuri biasa bergerak secara bersendirian, beroperasi secara tersembunyi pada waktu malam dan tinggal seorang diri.
Keadaan ini berbeza dengan perompak yang beroperasi secara terancang dalam bentuk kumpulan dan berani melakukan rompakan pada waktu siang. Kita boleh juga membandingkan dengan ‘modus operandi’ kumpulan penjenayah seperti penyamun, peragut, penyeluk saku dan scammer.
Dalam teks Sattigumba Jataka digambarkan sebuah kampung di atas bukit yang dihuni 500 perompak. Ratusan perompak dan ahli keluarga pula tinggal di Pergunungan Vaibhara dalam teks Rauhineya Carita. Gambaran hampir sama turut hadir dalam teks Sattapatta Jataka dan Vedabha Jataka.
Gambaran cara kumpulan perompak beroperasi dapat dilihat dalam teks Paniya Jataka. Diceritakan tentang 500 perompak yang tinggal di hutan. Mereka menggunakan teknik pesanakacora yang agak unik.
Apabila dua mangsa berjaya ditawan, kumpulan perompak atau penyamun itu menghantar salah seorang tawanan sebagai ‘perutusan’ untuk pergi mendapatkan wang tebusan.
Jika bapa dan anak lelaki ditawan, maka si bapa dilepaskan untuk pergi mendapatkan wang.
Kalau adik-beradik lelaki ditangkap, si abang dihantar sebagai perutusan. Sekiranya dua orang yang ditawan ialah guru dan pelajar, maka pelajar itu dilepaskan untuk pergi mendapatkan wang tebusan yang dituntut kumpulan perompak.
Teks klasik yang ada ‘Jataka’ pada judul biasanya teks dalam ajaran Buddha.
Terdapat banyak teks ajaran Hindu dan Jain yang juga mengangkat golongan pencuri dan perompak sebagai watak utama atau sekurang-kurangnya ada peranan besar dalam menggerakkan cerita.
Secara umum, gerombolan perompak digambarkan sebagai golongan kejam, ganas dan tidak ada sedikit pun belas kasihan. Misalnya, cerita tentang perompak menyerang sebuah kampung. Isteri ketua kampung memakai banyak gelang di tangan dan kaki.
Wanita itu bertubuh gempal dan semua gelang yang sudah lama dipakai amat mustahil dapat ditanggalkan. Maka, perompak memotong kaki dan tangan wanita itu semata-mata kerana mahu mengambil gelang tersebut.
Ada pula cerita tentang perompak menyerang sebuah kampung. Ketua perompak membunuh seekor lembu betina. Maka, pemilik lembu itu menjadi amat sedih dan marah. Lalu, kepala tuan punya lembu pula dipancung ketua perompak.
Apabila melihat suaminya dibunuh, si isteri yang sarat mengandung segera melaknat ketua perompak. Natijahnya, perut wanita itu dilibas dengan parang sehingga janin dalam kandungan terkeluar dan menangisi nasib ibu bapa.
Ketua perompak yang kejam turut membunuh bayi itu.
Ada banyak lagi kisah seumpama ini yang menggambarkan kekejaman puak perompak dan penyamun dalam cerita klasik Sanskrit. Tentulah apabila diceritakan semula, khususnya bagi bacaan kanak-kanak, maka unsur keganasan dikurangkan manakala nilai pengajaran ditokok-tambah.
Dalam kebanyakan cerita klasik berunsur ajaran Buddha, watak penjahat dan perompak biasanya akan bertaubat dan akhirnya menjadi seorang sami Buddha.
Contoh terbaik ialah kisah Angulimala yang turut menjadi bahan bagi filem Hindi (1960), Sri Lanka (1988), Thai (2003) dan Kanada (2013) dengan judul sama.
Ada juga pelbagai kisah di mana perompak dan mangsa yang pada mulanya mahu dibunuh atau dikorbankan kepada Durga Dewi akhirnya menjadi sahabat sejati.
Ada beberapa cerita seumpama itu disajikan dalam buku Katha Sarit Sagara (2023) dan memang seronok dibaca.
Agak menarik untuk diperhatikan dalam teks klasik India, merompak dianggap sebagai pekerjaan sah dan perompak berbangga untuk memperkenalkan diri dengan identiti itu.
Namun, pada masa sekarang, tentulah kisah-kisah tentang pencuri, perompak dan penyamun lebih sesuai dijadikan pengajaran dan sempadan kepada kita dan anak-cucu.-UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).










