Hiduplah secara minimalisme moden yang bijak, sederhana, penuh berkat

Hiduplah secara minimalisme moden yang bijak, sederhana, penuh berkat

MINIMALISME dalam Islam menekankan kesederhanaan, pengurusan bijak dan keseimbangan hidup jasmani serta rohani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM dunia moden yang semakin sarat dengan iklan, promosi dan godaan kemewahan tanpa batas, muncul dua pendekatan hidup yang semakin digemari manusia masa kini iaitu minimalisme dan frugal minimalisme.

Sekilas pandang, keduanya tampak seperti trend dari Barat. Namun hakikatnya, nilai serta falsafahnya berpaksikan ajaran Islam yang menekankan kesederhanaan (wasatiyyah), pengurusan sumber yang bijak serta keseimbangan antara keperluan fizikal dan spiritual.

MINIMALISME: MENYUCIKAN JIWA DARI KEKUSUTAN DUNIA

Minimalisme menumpukan kepada pengurangan kekusutan (clutter) dalam hidup yang bukan sekadar barangan fizikal tetapi juga kekacauan emosi dan mental.

Prinsipnya mudah, sedikit itu lebih baik. Dalam Islam, gaya hidup ini amat selari dengan firman Allah yang bermaksud: ...makan dan minumlah, tetapi janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan. (al-A’raf: 31)

Ayat ini bukan hanya menegur aspek pemakanan tetapi meluas kepada semua bentuk pembaziran dalam hidup.

Hidup yang dipenuhi dengan benda yang tidak perlu, pekerjaan tanpa makna dan hiburan berlebihan sebenarnya menyempitkan jiwa dan menjauhkan manusia daripada sakinah (ketenangan batin).

Rasulullah SAW juga bersabda yang bermakdu: Berkat itu ada pada kesederhanaan. (Riwayat Muslim)

Dalam konteks Malaysia, budaya konsumerisme yang semakin parah dari ‘haul’ (hasil pembelian) TikTok ke pesta jualan yang menjerat ramai dalam lingkaran hutang dan tekanan.

Ramai mengejar barang tetapi kehilangan makna. Minimalisme sebenarnya, mengajak manusia untuk menilai semula apa yang benar-benar penting dan bukan pada banyaknya benda tetapi pada keberkatan dan kegunaan sesuatu.

FRUGAL MINIMALISME: BIJAK, HEMAT DAN BERNILAI

Berbeza sedikit, frugal minimalisme menekankan bukan sahaja pengurangan barangan tetapi juga kebijaksanaan kewangan.

Prinsipnya, kurang tetapi dengan niat dan berhemah. Ia bukan hidup kedekut tetapi hidup berstrategi.

Dalam al-Quran, Allah mengajar keseimbangan melalui firman-Nya yang bermaksud: Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebihan dan tidak pula kikir dan adalah (pembelanjaan itu) di tengah-tengah antara keduanya. (al-Furqan: 67)

Inilah falsafah frugal minimalisme yang sebenar iaitu bukan menahan diri dari nikmat tetapi memastikan setiap perbelanjaan punya nilai dan tujuan.

Dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu, kenaikan harga barang dan kadar inflasi yang menghimpit rakyat Malaysia, gaya hidup ini bukan sekadar pilihan tetapi keperluan.

Malah, ia mendidik masyarakat agar keluar dari budaya ‘beli ikut nafsu’ dan kembali kepada pengurusan diri berasaskan hikmah serta tawakal.

 

SARJANA KONTEMPORARI DAN REALITI MALAYSIA

Sarjana Islam kontemporari seperti Dr. Yusuf al-Qaradawi dan Prof. Tariq Ramadan menekankan gaya hidup Islam tidak pernah menolak kemajuan material tetapi menuntut penggunaan beretika.

Islam bukan agama kemiskinan tetapi agama kesedaran dan keseimbangan.

Dalam karya Fiqh al-Hayat, al-Qaradawi menjelaskan kemewahan tanpa nilai spiritual adalah bentuk ghaflah (kelalaian) moden yang menumpulkan jiwa dan membunuh empati sosial.

Malaysia hari ini menyaksikan fenomena pelik iaitu rumah penuh hiasan mewah tetapi hati kosong, akaun media sosial berkilau tetapi emosi rapuh, gaji meningkat, namun ketenangan menurun.

Inilah krisis spiritual moden yang menuntut solusi bukan dari ekonomi semata tetapi dari dimensi jiwa. Minimalisme dan frugalisme dalam konteks Islam mampu menjadi benteng melawan krisis ini.

 

KEMBALI KEPADA ZUHD DAN WASATIYYAH

Konsep zuhd yang diajarkan oleh Rasulullah SAW bukan bermakna menolak dunia tetapi menguasai dunia agar ia tidak menguasai kita.

Imam al-Ghazali dalam Ihya’ Ulumuddin menjelaskan, zuhd ialah meninggalkan sesuatu yang tidak memberi manfaat kepada akhirat.

Ini bermaksud, seseorang boleh memiliki harta, rumah, kereta atau gajet moden tetapi tidak terikat hati padanya.

Frugal minimalisme ialah terjemahan moden kepada zuhd iaitu menggunakan dunia sekadar alat menuju Allah, bukan matlamat hidup.

Dalam konteks Malaysia, pendekatan ini boleh diterjemahkan dalam bentuk gaya hidup lestari seperti membeli produk tempatan, mengelak pembaziran makanan, mengurangkan hutang kad kredit dan memperkukuh dana simpanan kecemasan keluarga.

Ia bukan hanya soal kewangan tetapi juga tanggungjawab sosial dan alam sekitar kerana Islam menolak segala bentuk pembaziran sumber bumi.

SEDERHANA DEMI KETENANGAN DAN KEBERKATAN

Hidup minimalis dan frugal bukan hidup miskin tetapi hidup merdeka yang bebas dari kebergantungan pada benda dan pandangan manusia.

Dalam suasana dunia yang terus menghimpit jiwa dengan keinginan tanpa batas, kembalilah kepada prinsip qanaah (rasa cukup) yang diajarkan Nabi SAW.

Ia sebagaimana sabda baginda yang bermaksud: Berbahagialah orang yang memeluk Islam, diberi rezeki yang cukup, dan Allah menjadikannya reda dengan apa yang diberikan. (Riwayat Muslim)

Maka, minimalisme dan frugalisme bukan sekadar trend gaya hidup tetapi jihad batin menentang kerakusan zaman.

Ia adalah jalan menuju ketenangan, keberkatan dan kemanusiaan sejati yang menagihkan sesuatu yang amat diperlukan oleh jiwa-jiwa kita di Malaysia hari ini.-UTUSAN

 

PROF. Madya Dr. Zaizul Ab. Rahman ialah Pensyarah Kanan di Pusat Kajian Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN