“Empati bukan kelemahan. Ia kekuatan yang mampu menamatkan budaya buli.”
Menurut Wan Ahmad Fauzi Wan Husain dan Mohamed Anwar Omar Din (2024) bangsa yang hidup bersama di Tanah Melayu merupakan bangsa berdaulat dan bernaung di bawah kerajaan berdaulat serta menarik perhatian dunia untuk menjalinkan hubungan diplomatik.
Hubungan diplomatik membuktikan kredibiliti pentadbiran kerajaan sehingga menimbulkan keyakinan tinggi bagi negara-negara asing terhadap negara dan masyarakat negara ini, yang bertujuan untuk meraih manfaat dan faedah bagi kedua-dua belah pihak.
Menurut pengkaji lagi, bangsa Malaysia mampu memupuk rasa kebersamaan dan inklusiviti, malah saling hormat-menghormati dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Ia merupakan manifestasi pematuhan kepada prinsip Rukun Negara iaitu Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang.
Citra diplomatik yang dimiliki masyarakat Malaysia terbentuk daripada perjalanan sejarah yang panjang. Bukan tadbir urus yang mudah bagi mewujudkan perpaduan dalam sebuah negara yang memiliki kepelbagaian keturunan dan etnik, agama serta budaya seperti Malaysia.
Namun atas kebijaksanaan serta penggemblengan usaha semua pihak, Malaysia pada saat ini berjaya mengharungi segala onak duri dan muncul sebagai antara negara paling diyakini di dunia termasuk kepada kepimpinan pentadbiran kerajaan, rakyat serta sistem yang menyokong kepada citra kepimpinan yang berwibawa.
Tidak hairanlah sekiranya Malaysia kini menduduki tangga ke-23 dunia dalam negara yang paling berdaya saing di peringkat global. Kesemua ini terjelma hasil daripada usaha semua pihak bagi memastikan indeks pencapaian Malaysia dalam apa sahaja bidang akan terus menyerlah.
Dalam meniti kejayaan demi kejayaan, kita masih tetap berdepan dengan cabaran khususnya beberapa isu yang berlegar dalam masyarakat khususnya dalam generasi muda.
Isu yang paling meluas diperkatakan serta dibimbangi oleh ramai pakar dan umum ialah berkaitan ancaman buli yang perlu ditangani dengan segera. Hal ini demikian, dibimbangi akan menyebabkan kepincangan sosial jangka panjang yang akan memberikan natijah buruk kepada kesan psikologi serta psikososial masyarakat.
Melalui statistik terkini Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) Kementerian Pendidikan (KPM) menunjukkan peningkatan ketara kes buli di sekolah daripada 3,883 kes pada 2022 kepada 6,528 kes (2023), dan meningkat lagi kepada 7,681 kes (2024). Daripada jumlah itu, 1,992 kes berlaku di sekolah rendah, manakala 5,689 kes direkodkan di sekolah menengah.
Golongan ini berdepan dengan rasa takut, tekanan emosi dan kehilangan semangat untuk belajar serta berada dalam emosi tidak stabil yang boleh mempengaruhi untuk melakukan perkara-perkara tidak diingini.
Buli bukan sekadar pergaduhan atau gurauan kasar. Ia adalah tindakan berulang yang bertujuan menyakiti, memperlekeh atau mendominasi orang lain. Bentuknya pelbagai daripada ejekan dan sindiran, tolakan fizikal, pengasingan sosial hinggalah penghinaan dalam talian.
Lebih membimbangkan, fenomena ini kini menular di ruang siber melalui media sosial, menjadikan mangsa tidak lagi selamat walaupun di rumah sendiri.
Punca buli adalah pelbagai. Berdasarkan penelitian, faktor seperti latar belakang dan citra budaya keluarga yang menjurus kepada buli dalam ahli keluarga dan sebagainya boleh mempengaruhi seseorang melakukan buli, tekanan rakan sebaya, budaya macho dan sparta yang menyanjung kekerasan serta diburukkan lagi dengan kelemahan sistem kawalan di sekolah dan rakan sebaya.
Dalam era digital, normalisasi tingkah laku toksik di media sosial turut menyumbang kepada kehilangan empati, apabila menghina dianggap hiburan dan kezaliman menjadi tontonan.
Kesan buli amat mendalam. Ramai mangsa menanggung trauma emosi berpanjangan seperti kemurungan, keresahan, hilang keyakinan diri, malah ada yang mengambil keputusan tragis.

Dari sudut pendidikan, buli menyebabkan pelajar ponteng, gagal menumpukan perhatian dan akhirnya terpinggir daripada sistem pembelajaran. Lebih parah, pembuli yang tidak dibimbing boleh terus mengulangi kitaran keganasan hingga ke alam dewasa.
Menghapuskan budaya buli memerlukan pendekatan menyeluruh. Sekolah tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya. Keluarga perlu menjadi institusi pertama yang menanam nilai kasih sayang dan hormat.
Guru serta kaunselor pula harus berperanan sebagai pendidik empati, bukan sekadar penyampai ilmu akademik. Media juga wajar mengangkat naratif positif dan kisah nilai, bukannya mensensasikan keganasan remaja.
Dalam konteks pendidikan moden, konsep komunikasi insani wajar dijadikan teras dalam pembentukan sahsiah murid.
Pendidikan bukan hanya soal akademik tetapi juga keupayaan memahami perasaan orang lain, mengekspresikan emosi dengan beradab dan menyelesaikan konflik secara harmoni. Empati ialah vaksin sosial yang mampu menyembuhkan budaya buli.
Kerajaan melalui KPM dan agensi berkaitan memperkenalkan pelbagai inisiatif seperti Kempen Sekolah Selamat, sistem e-aduan, serta program peer support.
Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, KPM kekal tegas terhadap gejala buli dan memperkukuh mekanisme pencegahan melalui garis panduan, prosedur operasi standard (SOP) keselamatan serta portal aduan anonim.
Ibu bapa turut diseru agar memberi kerjasama dalam mendidik dan memantau anak-anak supaya tidak terlibat dalam salah laku buli di sekolah.
Namun, kita tidak boleh menafikan hakikat buli adalah luka emosi yang tidak kelihatan. Ia mungkin tidak berdarah tetapi meninggalkan parut dalam jiwa yang sukar sembuh. Masyarakat juga mempunyai tanggungjawab bersama untuk menghentikan keganasan yang berakar daripada kejahilan dan ketiadaan empati.
BUKA MATA
Semua pihak, termasuk ibu bapa dan komuniti perlu bersatu menangani isu buli tanpa menutup mata terhadap petunjuk atau gejala yang timbul sama ada dari keluarga, sekolah, atau masyarakat.
Kezaliman mesti dihentikan, manakala norma dan nilai kemanusiaan diperkukuh. Kesedaran dan tindakan bersama dapat melahirkan masyarakat berempati, berperadaban, serta membina imej Malaysia yang dihormati dunia.-UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Jessica Ong Hai Liaw ialah Pakar Psikologi Bahasa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Felow Institut Masa Depan Malaysia (MASA).
RABI’AHTULADAWYAH Md. Saleh ialah Perancang Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).










