“ADA adat yang sebenar adat, iaitu yang tidak lekang dipanas dan tak lapuk dihujan… Kedua ada adat yang diadatkan. Dia bukan asli, melainkan menurut kepada keadaan pada masa itu. Mula-mulanya hanya teradat saja, lama-lama menjadi adat yang terpakai setiap hari, sehingga sukar merubahnya.” – Buya Hamka.
Sejak perkembangan gerakan feminisme berkembang, ramai yang menuduh norma sosial di dalam negara ini terbentuk daripada fahaman patriaki yang melebihkan kaum Adam berbanding wanita. Namun, pandangan ini tidak mengambil kira kerangka undang-undang yang memberikan layanan istimewa kepada kaum Hawa khususnya di bawah undang-undang jenayah.
Sebagai contoh yang paling jelas, Seksyen 289 Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593] memaktubkan bahawa hukuman sebatan tidak boleh dikenakan ke atas pesalah jenayah wanita. Peruntukan ini tanpa pengecualian meskipun dalam kes melibatkan jenayah seksual.
Sedangkan sebagai perbandingan, Seksyen 289 menyatakan bahawa pesalah lelaki berusia lebih 50 tahun tidak boleh dikenakan sebatan kecuali untuk pesalah yang terlibat dalam jenayah seksual. Pengecualian ini jelas menunjukkan bahawa meskipun undang-undang mengambil kira faktor umur pesalah, tetapi sistem perundangan negara tetap memandang serius sebarang jenayah seksual yang dilakukan pesalah lelaki.
Selain itu, terdapat dua jenis jenayah yang hanya boleh dilakukan oleh pesalah lelaki dan takrifan bagi peruntukan jenayah ini dengan jelas mengecualikan pelaku wanita. Pertama, di bawah Seksyen 375 Kanun Keseksaan [Akta 574], takrifan rogol memaktubkan bahawa perlakuan jenayah ini hanya boleh dilakukan oleh seorang lelaki terhadap mangsa perempuan.
Manakala, kesalahan kedua di bawah Seksyen 493 Akta 574 memperuntukkan kesalahan bersekedudukan disebabkan oleh seorang lelaki mendorong dengan perdayaan ke atas seorang perempuan supaya percaya yang mereka telah berkahwin dengan sah di sisi undang-undang.
Kedua-dua peruntukan ini memberikan layanan istimewa yang memelihara wanita daripada tanggungjawab jenayah atas tindakan yang serupa. Adakah layanan istimewa ini masih perlu pada era dan zaman di mana perjuangan wanita semakin lantang? Persoalan ini harus dipertimbangkan khususnya dalam pada wanita juga dilaporkan melakukan kesalahan jenayah seksual termasuklah terhadap kanak-kanak.
Jika seorang lelaki dewasa melakukan hubungan seksual dengan seorang kanak-kanak perempuan di bawah umur 16 tahun, dia boleh dituduh di bawah Seksyen 375 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman pemenjaraan minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan. Walhal jika seorang perempuan dewasa melakukan hubungan seksual dengan seorang kanak-kanak lelaki di bawah umur 16 tahun, dia tidak boleh dituduh di bawah Seksyen 375 dan dihukum di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
Maka jenayah yang dilakukan wanita, walaupun pada hakikatnya sama dan serupa, namun hanya boleh dihukum melalui peruntukan lain seperti Seksyen 377E bagi kesalahan merangsang seorang kanak-kanak untuk melakukan suatu perbuatan kelucahan melampau. Kesalahan ini hanya membenarkan hukuman pemenjaraan minimum tiga tahun dan maksimum 15 tahun dengan sebatan. Atau wanita ini boleh juga dituduh di bawah peruntukan Akta Kesalahan-Kesalahan Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 [Akta 792].
Harus ditekankan bahawa peruntukan di bawah Akta 792 memberikan hukuman yang lebih ringan berbanding Seksyen 376 Kanun Keseksaan. Contohnya, Seksyen 14 Akta 792 hanya memperuntukkan pemenjaraan maksimum 20 tahun dan sebatan bagi kesalahan amang seksual fizikal manakala Seksyen 15 membenarkan hukuman pemenjaraan maksimum 10 tahun dan denda RM20,000 bagi kesalahan amang seksual bukan fizikal.
Kes-kes melibatkan pelaku wanita dalam kesalahan seksual khususnya terhadap kanak-kanak semakin meningkat tetapi tidak dibahaskan secara terbuka. Seolah-olah tindakan wanita-wanita ini tabu sedangkan tanpa wacana yang sihat, kita tidak akan mampu mempertimbangkan hakikat sebenar yang berleluasa dalam masyarakat.
Pada 2023, seorang ibu telah disabitkan atas kesalahan amang seksual fizikal terhadap dua orang anak lelakinya yang berusia 12 dan 14 tahun. Pada 2024 pula, tular di media sosial kisah seorang guru wanita berusia 37 tahun telah menjalinkan hubungan terlarang dengan remaja lelaki berusia 17 tahun. Manakala pada tahun ini, seorang wanita berusia 20 tahun, yang berperwatakan seperti lelaki atau bahasa basahan digelar ‘pengkid’, telah didakwa di bawah Seksyen 14 Akta 792 akibat perilaku seksual yang dilakukannya terhadap ‘teman wanita’ yang merupakan seorang remaja perempuan berusia 13 tahun.
Jika kita berterusan membutakan mata kepada peruntukan undang-undang yang lapuk dimakan zaman, kita akan selesa dibuai dengan tanggapan kononnya sistem perundangan kita bergerak utuh dan berkembang selari dengan kemajuan moden. Realitinya, sistem perundangan masih melihat wanita sebagai kaum yang lemah dan tidak kuat untuk menghadapi kesan dan akibat tindakan mereka termasuklah perilaku jenayah.
Sedangkan dalam hukum syarak, setiap orang itu dinilai di atas kemampuan akalnya memahami tindak tanduk dan kesan akibat. Sebagai contoh, dalam hukum syarak, pesalah wanita tetap dihukum serupa pesalah lelaki kerana tanggungjawab jenayah tidak membezakan jantina pelaku. Bukankah ini lebih adil? – UTUSAN
PENULIS ialah pengamal undang-undang, Naib Presiden II Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).










