Isu minuman beralkohol atau arak yang dihidangkan dalam majlis rasmi berkaitan pelancongan baru-baru ini bukan sekadar salah faham protokol atau kesilapan teknikal.
Ia adalah satu tamparan kepada sensitiviti umat Islam dan pengkhianatan terhadap prinsip kesopanan serta kehormatan moral yang sepatutnya dijaga oleh semua penjawat awam apatah lagi seorang menteri.
Namun yang lebih melampau ialah reaksi Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing yang menafikan tanggungjawab kementeriannya dan menyifatkan tindakan membangkitkan isu ini sebagai sabotaj terhadap inisiatif kerajaan.
Dia mendakwa majlis tersebut merupakan anjuran sektor swasta, dan kementerian hanya ‘menumpang platform’ bagi pelancaran Kalendar Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Alasan ini bukan sahaja tidak melepaskan dirinya daripada tanggungjawab moral, malah menampakkan betapa rendahnya sensitiviti terhadap agama dan nilai bangsa majoriti negara ini.
Dalam apa jua konteks sekalipun, apabila seseorang menteri hadir dalam majlis rasmi yang dikaitkan dengan kementerian, tanggungjawab moral dan simbolik tetap dipikul olehnya. Majlis itu tetap dilihat sebagai acara rasmi kerajaan, dan bukan pesta sosial swasta.
Rakyat tidak peduli siapa yang membayar hidangan, kerana pada pandangan umum, simbol kerajaan telah hadir di situ.
Islam tidak pernah membenarkan sebarang bentuk peminuman arak, walau setitis sekalipun. Larangannya bukan bersifat budaya, tetapi hukum qat‘ie yang jelas dan muktamad. Firman Allah SWT dalam Surah al-Māidah ayat 90: “Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi, berhala dan mengundi nasib dengan anak panah adalah najis daripada perbuatan syaitan. Maka jauhilah ia agar kamu beroleh kejayaan.”
Ayat ini turun dengan penegasan keras bahawa arak bukan sekadar minuman yang memabukkan, tetapi simbol kepada kerosakan moral dan kejatuhan tamadun.
Apabila seorang menteri, apatah lagi yang mewakili kerajaan yang membawa jenama MADANI, hadir dalam majlis yang menormalisasikan kehadiran arak, ia memberi isyarat bahawa larangan Allah boleh dilihat ringan atas nama diplomasi dan pelancongan.
Tiada justifikasi agama yang boleh membenarkan majlis rasmi kerajaan disertai minuman memabukkan, walau dengan alasan ‘tajaan sektor swasta.’ Ini bukan soal siapa menaja, tetapi soal prinsip: adakah kita mahu menjual maruah dan sensitiviti demi segelas wain di meja diplomat?
Kenyataan Tiong King Sing sebagai “tidak memahami fakta sebenar” adalah bentuk keangkuhan yang tidak wajar hadir daripada seorang anggota kabinet.
Walaupun beliau cuba memisahkan antara tanggungjawab kementerian dan penganjur swasta, hakikatnya beliau hadir sebagai menteri, bukan sebagai individu persendirian.
Dalam erti lain, apa-apa yang dilakukan oleh beliau di majlis itu tetap mencerminkan kerajaan Malaysia.
Tindakan memegang gelas wain di khalayak dan membiarkan arak terhidang di hadapan tetamu Muslim juga merupakan pelanggaran sensitiviti yang tidak dapat diterima.
Rakyat bukan menuntut kesempurnaan, tetapi setidak-tidaknya rasa hormat. Jika seorang menteri pun gagal memahami batas ini, bagaimana rakyat mahu yakin bahawa nilai Islam dijaga dalam setiap dasar kerajaan?
Dalam sejarah pemerintahan, banyak isu kecil yang pernah menggoncang kepercayaan rakyat terhadap kerajaan bukan kerana nilai ekonominya, tetapi kerana nilai moralnya. Inilah antara detik yang perlu ditangani segera oleh Perdana Menteri, sebelum kepercayaan rakyat kepada konsep Kerajaan MADANI dicemari oleh tindakan tidak bertanggungjawab seorang menteri ini.
Jangan Rosakkan Imej Kerajaan MADANI Kerajaan MADANI yang diasaskan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim dibina atas nilai rahmah, adab, dan integriti. Ia bukan sekadar slogan, tetapi visi moral untuk mengangkat Malaysia sebagai negara yang seimbang antara kemajuan dan nilai.
Namun, apabila ada menteri yang bertindak tidak sensitif terhadap hukum agama dan budaya bangsa, seluruh imej kerajaan turut tercalar.
Rakyat menilai kerajaan bukan hanya melalui ucapan dasar atau pembentangan bajet, tetapi melalui moral dan akhlak pemimpinnya. Apabila seorang menteri boleh hadir ke majlis yang dihidangkan arak dan kemudian menafikan tanggungjawab dengan nada sinis, ia menimbulkan persoalan: di manakah nilai MADANI yang dilaungkan?
Kerajaan ini tidak boleh dilihat sebagai kerajaan yang hanya menjaga imej di luar negara tetapi mengabaikan adab dalam negara sendiri. Malaysia tidak akan dihormati kerana segelas wain, tetapi akan disegani kerana keberanian mempertahankan prinsip Islam dengan hikmah dan martabat.
Dalam konteks ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ketua kerajaan perlu tampil memberikan penegasan. Beliau tidak boleh membiarkan isu ini menjadi bualan politiksemata-mata.
Rakyat mahu mendengar pendirian rasmi, adakah tindakan menteri ini selari dengan nilai Kerajaan MADANI yang berasaskan rahmah, adab, dan tanggungjawab moral?
Sikap berdiam diri hanya akan ditafsir sebagai restu dalam senyap. Jika kerajaan benar-benar mahu menegakkan moral, prinsip Islam, dan keadilan sosial, maka tiada ruang untuk kompromi dalam isu seperti ini. Perdana Menteri mesti menunjukkan bahawa kerajaan ini bukan sahaja tegas dalam isu rasuah dan ekonomi, tetapi juga dalam mempertahankan nilai moral dan agama.
Jangan Pandang Enteng Sensitiviti Agama
Arak bukan sekadar isu peribadi; ia isu moral dan keagamaan yang menuntut ketegasan. Dalam Islam, ia dikategorikan sebagai ‘ummul khaba’ith’ ibu kepada segala kejahatan. Ini bermaksud, walau setitis arak tetap haram, apatah lagi jika ia dihidangkan dalam majlis yang turut dihadiri pemimpin Islam.
Sikap ‘pandang ringan’ terhadap perkara ini seolah-olah memberi mesej bahawa Islam boleh ditolak ke tepi apabila bertembung dengan agenda promosi atau pelancongan?
Apakah nilai yang kita mahu promosikan kepada dunia melalui Visit Malaysia Year 2026? Jika imej negara diwarnai dengan pesta minuman memabukkan, apakah itu cerminan sebenar Malaysia yang dikatakan beradab dan berbudaya? Di manakah peranan “seni dan budaya” jika asas moralnya digadai demi memikat pelabur asing?
Sedarkah kita bahawa, kredibiliti seorang menteri bukan hanya diukur pada kemampuan mengurus program, tetapi juga kemampuan menjaga maruah kementerian?
Dalam kes ini, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya perlu dikenakan tindakan disiplin tegas. Jika beliau gagal memahami kepekaan rakyat dan tidak menunjukkan rasa bersalah atas tindakan yang menyinggung umat Islam, maka jalan paling terhormat ialah meletak jawatan.
Kerajaan MADANI tidak boleh dilihat melindungi pemimpin yang mencemarkan imej Islam. Jika tindakan ini dibiarkan, ia akan menjadi preseden buruk, seolah-olah tiada apa-apa yang salah dengan kehadiran arak dalam majlis rasmi kerajaan.
Keheningan pemimpin lain hanya akan mengukuhkan persepsi bahawa kerajaan kini hilang arah dalam menjaga prinsip moral. Langkah berani perlu diambil, bukan untuk memalukan sesiapa, tetapi untuk menyelamatkan maruah kerajaan dan keyakinan rakyat. Menteri yang gagal menjaga adab tidak layak duduk dalam kabinet kerajaan yang menjunjung nilai rahmah. \
Kerajaan MADANI ialah cita-cita luhur untuk membina Malaysia yang seimbang antara kemajuan dan moral, antara akal dan akhlak. Namun cita-cita ini hanya akan tinggal retorik jika pemimpin sendiri mengabaikan prinsipnya. Islam mengajar bahawa pemimpin adalah cermin kepada rakyat. Jika pemimpin lalai, masyarakat akan longgar. Jika pemimpin leka dengan kemewahan dan pesta dunia, rakyat akan hilang pedoman.
Maka dalam isu ini, seluruh kepimpinan kerajaan perlu mengambil iktibar. Arak bukan budaya Malaysia. Ia bukan lambang kemajuan. Ia adalah simbol kelalaian dan keruntuhan moral.
Jika Kerajaan MADANI mahu dihormati, maka ia mesti berani menolak segala bentuk normalisasi maksiat, tidak kira kecil atau besar. Rahmah bukan bererti kompromi terhadap dosa. Rahmah ialah keadilan yang berpaksikan hikmah, bukan kelembutan yang menutup kesalahan.
Menegur menteri yang lalai bukan kebencian, tetapi kasih sayang terhadap agama dan negara. Sesiapa pun, tidak menolak keperluan diplomasi antarabangsa, tetapi biarlah diplomasi itu beradab dan berlandaskan maruah bangsa. Jangan biarkan segelas arak menenggelamkan nilai yang dibina bertahun-tahun.
Jangan biarkan tindakan seorang menteri mengheret seluruh kerajaan ke dalam krisis kepercayaan. Kerajaan MADANI mesti kembali kepada akar nilai Islam: menjaga maruah, menegakkan adab, dan menolak segala bentuk kemungkaran.
Tiada rahmah dalam kemaksiatan. Tiada kemajuan dalam kebiadaban. Dan tiada masa depan untuk kerajaan yang menutup mata terhadap dosa di depan mata.
Tindakan Tiong King Sing adalah bentuk kealpaan moral yang tidak boleh dibiarkan. Jika kerajaan serius mahu membina Malaysia MADANI yang Rahmah, maka tiada ruang untuk kompromi dalam isu arak. Tiada ruang untuk alasan. Dan tiada ruang untuk mereka yang tidak tahu menghormati agama majoriti negara ini.
Atriza Umar
AJK Biro Hal Ehwal Syariah dan Dakwah Parti Amanah Negara