REMAJA adalah potret masa hadapan sesebuah bangsa. Apa yang mereka fikirkan, amalkan dan perjuangkan hari ini akan mencorakkan rupa masyarakat pada esok hari.
Namun, kebelakangan ini sering mendengar keluhan generasi remaja mudah putus asa, cepat terpengaruh dan sukar menghadapi tekanan hidup.
Laporan demi laporan mengenai masalah sosial remaja terus membimbangkan masyarakat terutama berkisar perubahan sikap, nilai dan gaya hidup yang dilihat semakin rapuh berdepan arus modenisasi.
Antaranya ialah kecenderungan terlalu bergantung pada gajet dan media sosial sehingga menjejaskan interaksi sosial serta prestasi akademik; gejala sosial seperti kes rogol rakan sekolah, kes tikam hingga mati, tumbuk guru, ponteng sekolah, buli, penyalahgunaan dadah, pergaulan bebas yang semakin membimbangkan serta sikap acuh tak acuh terhadap nilai moral, agama mahupun budaya.
Selain itu, masyarakat juga risau melihat semakin ramai remaja kurang ketahanan mental, mudah terjebak dalam tekanan emosi hingga ke tahap kemurungan dan cubaan bunuh diri. Kesemuanya ini menimbulkan persoalan besar tentang hala tuju dan masa hadapan generasi pelapis negara.
Beberapa bulan kebelakangan ini, angka berkaitan masalah sosial dan psikologi remaja menunjukkan trend yang merisaukan. Peningkatan kes rogol, bunuh, buli, kemurungan dan cubaan bunuh diri menunjukkan mereka berdepan tekanan yang tidak seimbang dengan kematangan emosi.
Selain itu, media sosial sering menjadi ruang pendedahan betapa sebahagian remaja terperangkap dalam dunia maya yang palsu. Obses kepada tanda ‘suka’ dan jumlah pengikut membuatkan mereka mudah hilang jati diri, terikut-ikut trend, malah sanggup melakukan apa sahaja demi perhatian.
Akhirnya, lahirlah generasi yang rapuh kerana sandaran harga diri diletakkan pada penilaian orang lain.
Walaupun keluarga merupakan institusi pertama yang membentuk emosi dan akhlak remaja, namun, banyak keluarga kini berdepan cabaran tersendiri. Kesibukan ibu bapa mengejar kerjaya menyebabkan masa berkualiti bersama anak-anak semakin berkurangan.
Dalam keadaan ini, anak-anak mencari perhatian di luar rumah daripada rakan sebaya, media sosial atau budaya popular.
Bagi sebahagian remaja, rumah bukan lagi tempat pulang yang menenangkan, sebaliknya medan pertengkaran, ketegangan dan rasa terasing. Apabila kasih sayang dan komunikasi renggang, jiwa menjadi rapuh. Mereka mudah terdorong kepada gejala negatif kerana tiada sistem sokongan emosi yang kukuh.
Sistem pendidikan pula banyak memberi tumpuan kepada pencapaian akademik. Pelajar ditekankan dengan peperiksaan, markah dan ranking, seolah nilai seorang remaja hanya diukur melalui keputusan kertas jawapan.
Natijahnya, ramai mengalami tekanan melampau. Mereka takut gagal, malu jika tidak menepati harapan dan akhirnya hilang keyakinan.
Lebih parah, aspek pendidikan emosi dan sahsiah sering dipandang remeh. Sedangkan inilah aspek yang membantu remaja berdepan kegagalan dengan matang dan membina daya tahan diri.
Apakah gunanya mendapat semua A tetapi jiwa kosong, mentalnya rapuh dan emosinya runtuh?
Tiada generasi yang terdedah kepada media sosial sehebat remaja hari ini. Walaupun media sosial membuka peluang untuk berkongsi ilmu, berkreativiti dan berhubung tanpa sempadan namun kemudahan itu juga menjadi punca besar keretakan jiwa.
Remaja yang masih mencari identiti sering terperangkap dengan budaya perbandingan. Melihat kehidupan mewah atau ‘sempurna’ orang lain di skrin membuat mereka berasa rendah diri, tidak cukup, tidak berharga dan terasing. Ditambah pula dengan budaya buli siber yang boleh berlaku tanpa belas kasihan menyebabkan mental remaja mudah tergugat.
Golongan ini juga berdepan rintangan lain apabila membesar dalam suasana ekonomi yang semakin mencabar. Kos sara hidup meningkat, peluang pekerjaan semakin kompetitif dan jurang sosial semakin melebar.
Walaupun masih bersekolah, keresahan tentang masa hadapan sudah mula menghantui.
Bagi yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah, kesukaran menyediakan keperluan asas menambah luka jiwa. Perasaan terpinggir dan rasa tidak adil boleh mencetuskan pemberontakan, lalu mendorong mereka mencari jalan pintas melalui gejala negatif.
Antara ciri utama remaja rapuh ialah ketiadaan daya tahan. Mereka mudah tersungkur apabila berdepan cabaran kecil. Kegagalan dalam peperiksaan, putus cinta atau konflik kecil dengan rakan boleh membawa kemurungan dan keputusan yang melampau.
Fenomena ini berpunca daripada kurangnya pengalaman kehidupan sebenar. Ramai remaja dibesarkan dalam suasana yang terlalu dilindungi keluarga sehingga tidak terbiasa menghadapi kesukaran. Akibatnya, apabila berdepan realiti mencabar, mereka mudah terkejut, mengalami kejutan budaya dan akhirnya hilang arah dalam mengatasinya.
TANGGUNGJAWAB MASYARAKAT
Sikap remaja ini sebenarnya juga mencerminkan soalan yang lebih besar iaitu semakin lalaikah kita sebagai masyarakat?
Budaya individualistik yang menebal menjadikan kita tidak peduli terhadap masalah orang lain. Jika dahulu jiran boleh menegur anak jiran lain, kini teguran dianggap menyibuk. Jika dahulu masyarakat bersama-sama membimbing, kini kita lebih selesa menjadi pemerhati dari jauh.
Masyarakat yang membiarkan remajanya hanyut tanpa bimbingan sebenarnya sedang menggali kubur sendiri. Jika kita tidak mahu remaja terus rapuh, maka perlu ada usaha serius untuk membina daya tahan mereka.
Institusi keluarga mesti diperkuatkan. Ibu bapa perlu meluangkan masa, mendengar dan mendidik dengan kasih sayang. Komunikasi yang baik menjadi benteng emosi paling kukuh.
Dalam masa sama, sistem pendidikan juga mesti memberi ruang kepada pembangunan sahsiah, kemahiran hidup dan pengurusan emosi, bukan hanya menekankan aspek akademik.
Remaja perlu dibimbing agar bijak menggunakan media sosial. Kempen kesedaran sahaja tidak mencukupi sebaliknya dibekalkan dengan kemahiran menilai maklumat serta kemampuan mengawal diri dalam dunia maya.
Di samping itu, sistem sokongan psikologi perlu diperkukuhkan. Akses kepada kaunselor dan pakar kesihatan mental mesti dipermudah kerana masalah emosi tidak boleh dianggap remeh atau tabu.
Peranan komuniti pula menjadi pelengkap utama. Sikap ambil peduli dan cakna terhadap sekeliling harus disemai kerana pemantauan masyarakat mampu membantu perkembangan sahsiah dan minda remaja.
Masyarakat perlu kembali membina semangat kolektif melalui aktiviti kemasyarakatan, program sukarelawan dan inisiatif mentor remaja sebagai platform bimbingan berterusan.
Kerapuhan remaja hari ini bukan semata-mata kerana mereka lemah tetapi kerana keluarga, sekolah, masyarakat dan negara gagal menyediakan tapak kukuh untuk mereka berdiri. Kita tidak boleh terus menyalahkan remaja kerana mereka hanyalah cerminan suasana yang kita bina.
Remaja merupakan aset paling berharga bagi sesebuah bangsa. Tenaga muda, daya fikir yang segar dan semangat juang yang tinggi menjadikan mereka golongan berpotensi mencorak masa hadapan negara. Oleh itu, mereka perlu dibekalkan dengan ilmu, nilai moral, disiplin dan jati diri yang kukuh agar mampu menghadapi cabaran dunia moden tanpa mudah terpengaruh dengan anasir negatif.
Jika remaja dibimbing dengan baik, maka lahirlah generasi yang matang, berdaya saing dan berupaya membawa Malaysia ke arah kemajuan yang lebih gemilang di persada dunia.-UTUSAN
PENULIS ialah Timbalan Pengarah Kanan di di Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah (SASMEC@IIUM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kuantan.










