Proses di sebalik siasatan kes rasuah

Proses di sebalik siasatan kes rasuah

BAHAGIAN Pengurusan Rekod dan Maklumat (BPRM) yang beroperasi di bawah sektor operasi SPRM memastikan setiap maklumat daripada aduan awam hinggalah dokumen rahsia negara disaring, disimpan dan disalurkan mengikut protokol yang paling ketat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM dunia penyiasatan rasuah yang penuh risiko, tumpuan masyarakat lazimnya terarah kepada kejayaan tangkapan, siasatan berprofil tinggi dan perbicaraan di mahkamah.

Namun, tidak ramai menyedari bahawa kejayaan besar ini mustahil tercapai tanpa satu pasukan yang bekerja di belakang tabir mengawal, menyusun dan melindungi nadi utama setiap kes iaitu maklumat.

Bahagian Pengurusan Rekod dan Maklumat (BPRM) yang beroperasi di bawah sektor operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bukan sekadar sebuah unit pentadbiran biasa namun bahagian ini merupakan benteng dalam memastikan setiap maklumat daripada aduan awam hinggalah dokumen rahsia negara disaring, disimpan dan disalurkan mengikut protokol yang paling ketat.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa inilah barisan hadapan yang memikul beban kepercayaan seluruh rakyat. Setiap hari, ratusan maklumat masuk ke SPRM melalui pelbagai saluran seperti portal aduan, aplikasi mudah alih MACC Mobile, surat rasmi, emel, panggilan telefon dan secara terus daripada pemberi maklumat (walk-in).

Namun, bukan semua maklumat itu boleh terus disiasat. Prosesnya bermula di BPRM, tempat maklumat itu ditapis menggunakan Sistem Pengurusan Aduan (CMS) dinilai tahap kesahihannya dan dibawa ke peringkat tertinggi melalui Mesyuarat Jawatankuasa Menilai Maklumat (JMM).

Selepas penelitian yang rapi, maklumat dan aduan yang diterima akan diklasifikasikan sebagai tindakan SPRM, dirujuk ke jabatan lain atau dikategorikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Dalam hal ini, BPRM juga memainkan peranan penting melindungi sistem maklumat SPRM daripada diceroboh atau disabotaj. Bayangkanlah, secara purata terdapat kira-kira 80,000 hingga 90,000 percubaan pencerobohan siber dikesan setiap hari terhadap sistem penyimpanan ini. Satu statistik yang cukup besar untuk menggambarkan betapa tingginya nilai maklumat yang disimpan.

Sebab itu, BPRM tidak hanya bergantung pada perisian keselamatan tetapi membangunkan ekosistem pertahanan menyeluruh Multi-Factor Authentication (MFA), Firewall berkapasiti tinggi, pemantauan masa nyata, sistem enkripsi dan ujian keselamatan aplikasi sebelum digunakan.

Lebih Daripada Sekadar Menyimpan Fail
Pengurusan maklumat di BPRM bukan hanya soal menerima dan menilai tetapi ia juga melibatkan pengendalian fail siasatan, ekshibit sitaan dan rekod operasi terperingkat yang nilainya jauh melebihi helaian kertas.

Segala dokumen ini dikawal rapi mengikut Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Arahan Keselamatan 2017. Dokumen disimpan di bilik kebal zon larangan dengan rekod log pergerakan melalui sistem CRIS dan hanya pegawai berautoriti dibenarkan mengakses.

Prosedur penghantaran dokumen terperingkat menggunakan sampul berganda, meterai keselamatan dan pos berdaftar. Proses pemusnahan dokumen pula dilaksanakan mengikut prosedur rasmi, lengkap dengan audit dan pengesahan.

Setiap langkah diambil untuk memastikan tiada ruang kepada kebocoran maklumat yang boleh menjejaskan siasatan. Sebab itulah, etika kerahsiaan di BPRM bukan sekadar prosedur namun ia adalah prinsip integriti bagi setiap pegawai.

Tapisan Keutuhan: Memilih Mereka yang Layak Dipercayai
Peranan BPRM juga melangkaui urusan dalaman dengan mengendalikan Sistem Tapisan Keutuhan (eSTK) bagi semakan integriti individu atau syarikat. Permohonan ini datang daripada pelbagai pihak; jabatan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat swasta malah pertubuhan untuk tujuan pelantikan jawatan, kenaikan pangkat, penganugerahan pingat, persaraan pilihan atau kontrak bernilai tinggi.

Melalui eSTK versi 4, semakan integriti disasarkan siap dalam tempoh 14 hari selaras dengan Piagam Pelanggan SPRM 2025. Proses ini dilengkapi dengan kawalan akses ketat, audit trail dan latihan etika kepada pegawai bagi memastikan ketelusan. Di sinilah SPRM menempatkan pencegahan di hadapan siasatan, bukan sekadar menghukum yang bersalah, tetapi menutup ruang untuk rasuah sebelum ia berlaku.

Disiplin, Audit dan Piawaian Antarabangsa
Pengurusan maklumat di BPRM berlandaskan Perintah Tetap Ketua Pesuruhjaya SPRM Bab R Bil. 1 Tahun 2020 dan mematuhi ISO/IEC 27001:2022 Information Security Management System (ISMS). Piawaian ini berpaksikan prinsip Confidentiality, Integrity, Availability (CIA Triad) yang memastikan kerahsiaan, integriti dan ketersediaan maklumat sentiasa terjamin.

Bagi mengekalkan standard ini, BPRM menjalankan sekurang-kurangnya dua audit setiap tahun. Audit ini bukan sekadar formaliti tetapi peluang untuk mengenal pasti kelemahan dan memperbaikinya segera. Semua ini dilakukan kerana satu kebocoran maklumat boleh menjejaskan siasatan malah menyebabkan saksi enggan tampil atau suspek melarikan diri sekaligus memberi implikasi besar kepada keselamatan negara.

Masa Depan
Dalam tempoh lima tahun akan datang, BPRM bakal menjadi tulang belakang kepada pelaksanaan Data Lake SPRM, sebuah repositori data berskala besar yang menyokong penggunaan Analisis Data Raya (Big Data Analytics) dan kecerdasan buatan (AI) untuk mengenal pasti pola dan risiko rasuah lebih awal.

SPRM juga merancang memperkenalkan One Stop Centre (OSC) sebagai gerbang tunggal sistem aplikasi yang diintegrasikan melalui Application Programming Interface (API) dan kawalan MFA bagi mengurangkan silo sistem.

Inisiatif Pusat Data Hijau pula selari dengan komitmen kecekapan tenaga, pengurangan pelepasan karbon dan peningkatan optimum kapasiti serta keupayaan pelayan (server) untuk menyokong teknologi yang terkini. Selain itu, pelaksanaan protocol IPv6 dijangka siap menjelang 2028 dan penerapan ciri AI dalam sistem aplikasi SPRM.

Keseluruhan inisiatif ini adalah sebahagian daripada Pelan Strategik Pendigitalan SPRM 2026-2030 yang dirangka untuk meletakkan Malaysia sebagai negara yang bukan sahaja bebas rasuah tetapi juga cekap, pantas dan tahan uji dalam ekosistem digital.

Amanah yang Tidak Boleh Diabaikan
Pengurusan maklumat bukan sekadar berkaitan sistem dan prosedur tetapi suatu amanah yang mempertaruhkan nyawa, keadilan dan kepercayaan rakyat. Satu kebocoran maklumat mampu menggagalkan siasatan, menjejaskan keyakinan saksi malah mengancam keselamatan negara. Oleh itu, disiplin, pematuhan terhadap arahan keselamatan dan kecekapan teknologi menjadi asas yang memastikan integriti SPRM terus terpelihara.

Kerana pada akhirnya, ini bukan hanya soal sistem dan teknologi tetapi ia bertujuan mempertahankan sesuatu yang lebih besar daripada sebuah organisasi, iaitu masa depan negara yang bersih dan telus. – UTUSAN

NORKHAFIZIN Isa ialah Pengarah Bahagian Pengurusan Rekod dan Maklumat, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×