PROGRAM Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) merupakan antara inisiatif terpenting negara dalam membina perkhidmatan awam yang berintegriti, telus dan bebas daripada gejala rasuah serta salah guna kuasa.
Dalam konteks pentadbiran awam moden yang semakin kompleks, keberadaan pegawai integriti yang berkelayakan bukan sekadar pilihan, malah keperluan mendesak.
Penerapan nilai integriti dalam perkhidmatan awam tidak boleh lagi dilihat sebagai slogan atau kempen bermusim. Ia mesti diterjemahkan melalui dasar, latihan, penguatkuasaan dan tindakan pencegahan yang berkesan.
Justeru, pemerkasaan CeIO adalah landasan baharu yang mampu menjadikan pentadbiran awam lebih berkesan, cekap dan dipercayai rakyat.
Arahan terbaharu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijangka siap hujung tahun ini untuk menggantikan arahan lama yang dibuat pada 2011 memperlihatkan keseriusan kerajaan memperkukuh CeIO.
Arahan ini akan menjadi dasar kukuh bagi memperkasa tadbir urus, melahirkan lebih ramai pegawai yang kompeten, sekali gus menggerakkan transformasi budaya kerja dalam organisasi kerajaan dan juga syarikat berkepentingan kerajaan (SBK).
Melalui penambahbaikan modul, pengukuhan sistem pemantauan dan wajaran penilaian baharu yang merangkumi kemahiran teknikal serta insaniah, CeIO bukan sahaja akan menguasai ilmu pencegahan rasuah, malah mampu menjadi ejen perubahan di setiap peringkat organisasi.
Hari ini, perkhidmatan awam berdepan cabaran yang lebih rencam, daripada persepsi negatif masyarakat tentang kewujudan Little Napoleon dan kartel hinggalah kepada isu salah guna kuasa yang berulang-ulang.
Persepsi ini, sama ada benar atau tidak tetap merosakkan keyakinan rakyat terhadap sistem pentadbiran.
Di sinilah letaknya peranan CeIO. Mereka bukan sahaja pemantau dalaman yang memastikan amalan tadbir urus dipatuhi tetapi juga bertindak sebagai pendidik, penggerak transformasi dan duta integriti.
Kehadiran CeIO yang dilatih secara sistematik oleh Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) memastikan mereka mempunyai asas kukuh untuk menegakkan integriti di lapangan, bukan sekadar di atas kertas.
MENANGANI PERSEPSI LITTLE NAPOLEON KARTEL
MCW berpandangan, pemerkasaan CeIO adalah antara jawapan kepada tohmahan yang sering dilemparkan terhadap segelintir penjawat awam. CeIO boleh menjadi mekanisme semak dan imbang dalaman dengan tanggungjawab khusus untuk meneliti dasar, amalan dan keputusan yang dibuat oleh jabatan atau agensi.
Apabila CeIO diberi autoriti serta sokongan dasar yang jelas, budaya berkepentingan yang melahirkan kelompok kartel boleh dikekang. Begitu juga dengan sikap Little Napoleon yang sering dilabel kepada pegawai tertentu. CeIO berupaya menjadi pengimbang, memastikan kuasa yang diberikan tidak disalahgunakan.
Namun, MCW menegaskan CeIO tidak boleh berfungsi secara bersendirian. Mereka memerlukan ekosistem yang menyokong, termasuk kepimpinan jabatan yang komited, sistem penilaian prestasi yang telus serta perlindungan kepada pegawai integriti daripada sebarang bentuk tekanan atau campur tangan.
KEBERKESANAN DALAM PENDIDIKAN
Pengalaman terkini Kementerian Pendidikan (KPM) yang melatih pegawai CeIO serta melantik guru besar sebagai Juara Integriti membuktikan keberkesanan pendekatan ini.
Program Projek Pemerkasaan Integriti (EIP) dan Seminar Kelestarian Integriti (SKI) misalnya, bukan sahaja mendidik warga sekolah, malah memberi kesan langsung kepada komuniti setempat.
Inisiatif seperti ini harus diperluaskan ke kementerian dan agensi lain kerana CeIO bukan sahaja relevan di peringkat penggubal dasar, malah amat penting di lapangan, tempat di mana interaksi langsung antara rakyat dan kerajaan berlaku.
MCW mengemukakan beberapa cadangan untuk memperkukuh CeIO sebagai tulang belakang reformasi pentadbiran awam:
Mandatori latihan CeIO untuk pegawai tertinggi
Setiap pegawai kanan yang dilantik ke jawatan strategik dalam perkhidmatan awam perlu diwajibkan mengikuti kursus CeIO. Latihan ini penting untuk membentuk kefahaman yang sama tentang kepentingan integriti dan tadbir urus baik.
Sokongan dasar dan autoriti yang kukuh
CeIO perlu diberi kedudukan yang jelas dalam struktur organisasi. Mereka tidak boleh sekadar simbol atau jawatan tambahan, sebaliknya mesti dilihat sebagai pemegang amanah institusi dengan kuasa menyemak dan memberi cadangan penambahbaikan.
Pemantauan dan penilaian bebas
Sistem penilaian keberkesanan CeIO perlu dilakukan secara berkala oleh badan bebas seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau agensi pemantau lain. Penilaian ini memastikan CeIO benar-benar berfungsi dan tidak terperangkap dalam birokrasi.
Perlindungan kepada pegawai integriti
MCW menekankan pentingnya perlindungan kepada CeIO agar mereka bebas melaksanakan tugas tanpa rasa takut atau campur tangan. Mekanisme whistleblower protection perlu diperluas untuk memberi jaminan kepada mereka.
Penyertaan masyarakat
Rakyat mesti dilibatkan dalam menilai prestasi perkhidmatan awam. CeIO boleh memainkan peranan sebagai jambatan komunikasi antara masyarakat dengan kerajaan, sekali gus meningkatkan tahap ketelusan dan kebertanggungjawaban.
Pemerkasaan CeIO adalah satu langkah strategik yang tidak boleh dipandang ringan. Dalam era di mana rakyat semakin menuntut ketelusan dan keberkesanan pentadbiran, CeIO boleh menjadi pemangkin transformasi yang nyata.
Namun, keberkesanan CeIO tidak datang secara automatik. Ia memerlukan dasar yang kukuh, latihan yang berterusan, perlindungan yang mencukupi serta komitmen politik yang jelas daripada kerajaan.
Hanya dengan itu, CeIO dapat melaksanakan amanah untuk membina pentadbiran awam yang lebih berkesan, bebas rasuah dan berintegriti tinggi.
Jika CeIO diperkukuh secara konsisten dan menyeluruh, Malaysia mampu bergerak ke arah sebuah negara yang bukan sahaja menolak rasuah, tetapi juga mengangkat integriti sebagai nilai teras dalam pentadbiran negara. – UTUSAN
PENULIS ialah Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW).










