PADA 16 November 2005, tular berita seorang jururawat di hostel Hospital Kuala Lumpur (HKL) diikat kaki dan tangan sebelum dirogol orang minyak.
Media pada Februari 2000 melaporkan beberapa kes rogol didakwa dilakukan orang minyak di sekitar Sri Petaling, Kuala Lumpur berjaya diselesaikan susulan tertangkapnya seorang lelaki Indonesia.
Apabila bercakap tentang orang minyak, rata-rata kita akan teringat tiga filem Melayu popular pada 1958. P. Ramlee mengarah dan berlakon dalam filem Sumpah Orang Minyak tentang watak Si Bongkok menjadi orang minyak dan perlu memperkosa 21 gadis dalam masa tujuh hari.
Akhbar di Singapura melaporkan pada Januari 1958, filem itu berdasarkan sebuah novel diterbitkan di Sumatera, Indonesia.
Filem Orang Minyak arahan L. Krishnan pula menampilkan Nordin Ahmad sebagai orang minyak sementara Roomai Noor melakonkan watak Inspektor Dasuki.
Sambungan kisah dalam filem Serangan Orang Minyak mengekalkan Nordin sebagai orang minyak tetapi watak Dasuki dilakonkan M. Amin.
Penampilan watak orang minyak dalam filem ini dikatakan begitu hodoh dan mengerikan sehingga pelakon wanita pengsan beberapa kali sewaktu penggambaran.
“Tujuan pertama bagi gambar (filem) ini ialah membuktikan kepada orang ramai bahawa orang minyak itu sebenarnya ialah orang biasa, bukannya hantu seperti dipercayai kebanyakan orang,” kata juru cakap Studio Cathay-Keris pada Januari 1958.
Malah, orang minyak yang pernah ditangkap dan masuk penjara dibawa ke pejabat syarikat perfileman itu untuk berkongsi kisah benar.
Cerita orang minyak popular di Singapura pada 1950-an sehingga mencetuskan idea bagi filem-filem berkenaan. Pada waktu itu, asal usul orang minyak masih dalam siasatan polis. P. Ramlee pula mengaku lewat menyiapkan filemnya kerana takut rumahnya menjadi sasaran entiti berkenaan.
Untuk menulis rencana ini, saya meneliti laporan akhbar Melayu sejak 1950-an. Berita pertama dilaporkan pada 12 Oktober 1957 mengenai tindakan ramai isteri tentera Melayu di kawasan perumahan Clementi, Singapura berpindah ke rumah saudara mara susulan beberapa kes gangguan orang minyak di kawasan perumahan tentera.
Malah, tersebar berita orang minyak boleh bertukar menjadi anjing berwarna kuning. Akibatnya, akhbar melaporkan kes seekor anjing dipukul hingga mati kerana disangka jelmaan orang minyak.
Ketua Jabatan Pelajaran Melayu, Universiti Malaya (Singapura), Zainal Abidin memetik hikayat Melayu lama tentang kisah manusia bertukar menjadi anjing. Kadi Besar Singapura, Haji Ali turut mengakui kuasa ajaib dimiliki orang minyak.
Pada masa sama, Noordin Junid dari Tanjung Malim, Perak yang digelar ‘Bomoh Malaya’ menawarkan diri menghalau orang minyak yang mengganggu penduduk di Clementi.
Menjelang Mei 1958, ada kes orang minyak dilaporkan berlaku di Rantau, Negeri Sembilan. Seorang wanita India terkejut daripada tidur pada awal pagi dan terperanjat melihat seorang lelaki hanya memakai seluar dalam dan tubuh berlumur minyak di bilik tidur.
Orang minyak itu melompat keluar tingkap dan melarikan diri, manakala mangsa pengsan dan terpaksa dirawat di hospital.
Penduduk di Kampung Kelola dan Pulau Tawar, Jerantut, Pahang pula ketakutan pada Mac 1959 kerana gangguan orang minyak, khususnya dari 11 malam hingga 2 pagi.
Beberapa wanita yang pergi ke masjid turut diganggu. Orang minyak itu berjaya dikepung penduduk tetapi dapat melarikan diri kerana badan licin.
Kemudian, kes gangguan orang minyak dilaporkan pula di Kampung Gentong, Kampung Masjid, Kubang Sengkedai dan Kampung Telok. Beberapa rumah digeledah tetapi wang dan barang kemas tidak disentuh langsung.
Penduduk berjaya mengejar orang minyak yang cuba menceroboh sebuah rumah. Akhbar melaporkan, orang minyak itu tiba-tiba bertukar rupa menjadi seekor anjing dan melarikan diri.
Pada Mei 1959, Penghulu Mukim Pulau Tawar memberitahu wakil media, “orang minyak itu boleh melompat pagar dengan hanya menghentakkan tongkatnya sahaja di tanah.”
Pawang dan dukun diundang untuk cuba mencari ikhtiar bagi menangkap atau menghalau orang minyak, namun mereka gagal menemui cara yang sesuai.
Pawang (bomoh) memberitahu media, orang minyak sebenarnya orang biasa yang baru tamat menuntut ilmu daripada seorang guru bertapa di puncak gunung sekitar 100 kilometer dari Kampung Gentong.
Kes orang minyak berseluar dalam atau berbogel bulat menceroboh masuk ke rumah dan cuba merogol gadis turut dilaporkan berlaku di Kampung Bagan Jermal, Butterworth, Pulau Pinang (Jun 1959). Orang minyak bertukar menjadi anjing pula berlaku di Muar, Johor (Julai 1959).
Orang minyak atau ‘orang licin’ juga mula mengganas dan mengganggu anak dara di Kampung Parit Tengah, Rungkup, Perak (Mac 1960) dan Kampung Kenawar, Segamat, Johor (April 1960).
Banyak kejadian serupa berlaku di Kampung Jawang, Kuala Kangsar, Perak (September 1960). Orang kampung memasang loceng dan kerantung buluh di setiap rumah untuk dipalu jika ternampak orang minyak.
Isu orang minyak dibawa ke Dewan Rakyat pada Disember 1960 oleh bekas Ahli Parlimen Muar Utara, Ahmad Arshad. Sebagaimana saya pernah tulis di ruangan ini (15 Mac 2025), beliau juga membawa isu toyol ke sidang Parlimen pada Januari 1962.
Insiden gangguan orang minyak terus dilaporkan berlaku di sekitar Kuala Pilah, Negeri Sembilan (Mei 1961), sekitar Masjid Tanah, Melaka (Jun 1961) dan Butterworth, Pulau Pinang (Januari 1962). Dilaporkan orang minyak pernah ditangkap di Butterworth pada 1956 dan dibuang daerah.
Gangguan orang minyak terus dilaporkan di Pasir Panjang dan Clementi, Singapura pada Disember 1961. Seorang wanita sedang tidur apabila menyedari selimut ditarik dan seluar dalam digunting orang minyak.
Saya meneliti laporan akhbar sehingga Disember 1971. Walaupun kini tiada berita tentang orang minyak, kes-kes yang dilaporkan pada masa lalu boleh membantu kita menganalisis dan membuat kesimpulan, selain berwaspada agar tidak tertipu.-UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).










