Impian 5G tetapi realitinya hanya 3G

Impian 5G tetapi realitinya hanya 3G

KEJAYAAN sebenar hanya tercapai apabila setiap lapisan masyarakat tanpa mengira lokasi, jantina atau status ekonomi dapat meraih manfaat setara daripada teknologi digital.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UMUM mengetahui era digital ini dipenuhi dengan kejutan, menjanjikan akses yang ajaib, capaian yang belum pernah dialami kepada ilmu pengetahuan, peluang mahupun hubungan dekat atau jauh.

Walau bagaimanapun, bagi kebanyakan rakyat Malaysia, jurang antara mereka yang mempunyai akses digital yang boleh diharap dan mereka yang tidak adalah masih lebar selain semakin mendesak.

Laporan terbaharu yang diketengahkan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) mendedahkan pada masa ini 92 peratus isi rumah di kawasan bandar mempunyai capaian internet tetapi di luar bandar, hanya 68 peratus isi rumah yang dapat mengaksesnya.

Bagi kaum wanita pula, perbezaannya masih ketara di mana 58 peratus sahaja di luar bandar yang mempunyai akses berbanding 84 peratus di lokasi bandar. Jumlah ketidaksamaan ini bukan sahaja disebabkan faktor kemudahan, malah dipengaruhi kedudukan geografi, pendapatan, jantina dan juga peluang pendidikan.

Apabila diteliti, masih banyak lokasi di Malaysia mempunyai kesalinghubungan yang tidak konsisten dan teruk.

Separuh daripada 30,000 menara telekomunikasi diletakkan di empat negeri terutamanya di kawasan yang berfokuskan pengindustrian seperti Selangor dan Pulau Pinang.

Dalam pada itu, kerajaan melaporkan pada April 2024, rangkaian 5G, generasi kelima teknologi tanpa wayar itu mencakupi 81.5 peratus kawasan yang dihuni dengan menyokong penggunaan 11.9 juta pelanggan. Ia bersamaan 35.4 peratus populasi di Malaysia.

Perkembangan ini jelas menunjukkan kemajuan yang baik tetapi bagi rakyat di kawasan luar bandar atau tempat yang ekonominya kurang baik, liputan internet itu selalunya tidak dapat digunakan, tidak seperti yang diharapkan.

Dalam dunia pendidikan, jurang digital mendapat perhatian di segenap peringkat. Dalam jurnal International Journal of Libraries and Information Studies, satu kajian yang melibatkan pelajar universiti mendapati semasa zaman pandemik Covid-19, jurang ini merangkumi tiga bahagian iaitu capaian kepada material seperti peranti dan kesalinghubungan yang dipercayai, kemahiran digital dan penggunaan digital itu sendiri.

Lebih mengecewakan, pelajar-pelajar yang kurang bernasib baik terpinggir apabila sesi pembelajaran berubah kepada mod dalam talian. Apabila liputan internet di rumah perlahan atau isi rumah itu hanya ada satu peranti yang dikongsi oleh ramai ahli keluarga, maka penglibatan dalam akademik tidak menjadi menyeluruh dan ada kesamarataan pembelajaran antara pelajar.

Selain itu, golongan kurang upaya (OKU) turut menghadapi halangan digital. Artikel International Journal of Disability, Development and Education pada 2021 menerangkan teknologi bantu dan usaha kerajaan dalam menangani halangan tersebut boleh menolong kehidupan mereka tetapi jelas masih tidak mencukupi.

Ada di antara mereka yang masih tidak mempunyai peranti dan tidak mendapat sokongan institusi untuk mencapai perkhidmatan dalam talian sepenuhnya.

Sebahagian daripada cabaran digital ini berpunca daripada faktor infrastruktur dan kemampuan untuk memiliki. Banyak kawasan luar bandar masih terhalang untuk pelaksanaan capaian jalur lebar berwayar atau gentian.

Justeru itu, kerajaan melaksanakan program seperti Jalinan Digital Negara (JENDELA) di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) untuk memperluaskan jalur lebar berkelajuan tinggi di kawasan yang kurang perkhidmatan.

Walau bagaimanapun, kemampuan untuk memiliki peranti dan langganan internet yang berterusan masih menjadi beban kepada keluarga berpendapatan rendah, lebih-lebih lagi bagi golongan B40, kumpulan isi rumah dengan pendapatan terendah.

Di samping itu, pakar mengingatkan pengecualian digital bukanlah setakat isu untuk menunggu kemudahan yang lebih baik tetapi apa yang perlu dilakukan juga ialah memastikan mereka yang mempunyai akses boleh menggunakan kemudahan digital dengan bermakna.

Pakar ekonomi di Bank Dunia di Malaysia, Dr. Smita Kuriakose memberitahu jurang digital melingkupi tiga aspek, iaitu kawasan (kawasan luar bandar dengan bandar), perniagaan (perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan firma besar) serta jantina.

Sekiranya fokus mengatasi halangan digital hanya tertumpu kepada masalah liputan, kerajaan dan juga semua pemegang taruh berkemungkinan akan terlepas pandang kepada perkara-perkara lebih halus yang dapat mewujudkan jurang yang sama dalam aspek literasi, penggunaan serta pemerkasaan digital.

Beberapa strategi telah dicadangkan dan sedang dilaksanakan untuk menutup jurang digital ini. Antaranya ialah:
– Program peruntukan peranti yang mensasarkan isi rumah berpendapatan rendah di mana setiap rumah memiliki sekurang-kurangnya satu peranti yang boleh akses Wi-Fi.
– Pelan internet mampu milik atau bersubsidi di kawasan luar bandar atau titik capaian komuniti bagi memastikan kesalinghubungan dapat dilaksanakan.
– Latihan literasi digital terutamanya kepada golongan tua, kaum wanita, OKU dan populasi luar bandar supaya dapat mencapai akses yang bermakna.
– Sokongan kepada syarikat perniagaan kecil dan PMKS dalam menyesuaikan dengan e-dagang dan platform atas talian supaya ada pengecualian dari segi ekonomi.

Laporan di peringkat antarabangsa turut menyatakan kebimbangan yang sama. Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menjelaskan ketidaksamarataan dalam pendidikan terjadi semasa Covid-19 disebabkan penyelesaian teknologi yang berlebihan di mana bukan setiap pelajar dapat mencapainya pada ketika itu.

Seterusnya, kesediaan digital memerlukan beberapa perkara seperti kekuatan liputan, mempunyai peranti dan yang lebih penting pelaksanaan polisi dalam memastikan kesamarataan dalam penggunaan, kemahiran dan juga kemampuan.

Secara keseluruhan, jurang digital bukanlah satu masalah statik tetapi ia bersifat berlapis dan dinamik.

Di Malaysia, pelan perluasan 5G, pembinaan kemudahan baharu dan liputan internet stabil sedang giat dilakukan dan dipertingkatkan.

Tetapi, perlu turut diteliti juga, kejayaan teknologi yang sebenar apabila kedudukan geografi, pendapatan, ketidakupayaan diri dan jantina bukan lagi menjadi faktor penentu situasi atau nasib digital individu.

Sekiranya ia tidak diambil peduli, maka janji dan impian era digital masih kekal dipenuhi untuk kumpulan tertentu sahaja.-UTUSAN

 

DR. Nor Nazrina Mohamad Nazry ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Kurikulum & Teknologi Pengajaran, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN