Benarkah MA63 janjikan Borneo 35 peratus kerusi Dewan Rakyat?

Benarkah MA63 janjikan Borneo 35 peratus kerusi Dewan Rakyat?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAHAGIAN 1

 

SARAWAK dan Sabah giat mendesak agar diberikan 35 peratus kerusi di Dewan Rakyat sungguhpun peratusan pengundinya cuma 17 peratus. Para pejuangnya mendakwa bahawa tuntutan ini adalah jaminan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)

Akan tetapi, hujah ini telah ditolak oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan demokrasi seperti Projek Stabiliti dan Akauntabiliti untuk Malaysia (Projek SAMA), Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Engage, Tindak Malaysia dan Rise of Sarawak Efforts (ROSE).
dan baru-baru ini, jua oleh mantan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Harun dalam The Zaid Ibrahim podcast. (https://www.youtube.com/watch?v=ubvMkl0LQt8)

Pandangan Tan Sri Azhar Harun telah diperkecilkan sebagai ‘pandangan peribadi’ tanpa sebarang hujah menyangkal (https://suarasarawak.my/karim-anggap-kenyataan-azhar-tentang-ma63-sebagai-pandangan-peribadi/)

Dalam sebuah rencana yang bertajuk Unveiling Malaysia’s secret: Why Sabah and Sarawak need 35%  seats to break free, pandangan NGO-NGO tersebut pula dikecam sebagai mendedahkan mentaliti penjajahan yang ingin mengekalkan penguasaan terhadap nasib politik dan ekonomi Borneo.  (https://www.theborneopost.com/2025/09/21/comment-unveiling-malaysias-secret-why-sabah-swak-need-35-pct-seats-to-break-free/)

Persoalan pokoknya, adakah 35 peratus kerusi parlimen ini benar-benar dijanjikan oleh MA63?

Tuntutan Baru Bermula 2011

Hujah asas tuntutan 35 peratus kerusi ini terbahagi kepada dua kerat.

Pertama, semasa pembentukan Malaysia pada 1963, Sabah, Sarawak dan Singapura telah diberikan 34.6 peratus kerusi Dewan Rakyat untuk mengelakkan pindaan Perlembagaan Persekutuan unilateral oleh negeri-negeri Semenanjung sampai hak dan kepentingan tiga negeri ini terjejas.

Kedua, setelah keluarnya Singapura dari Malaysia pada 1965, 9.4 peratus kerusi Singapura seharusnya diwarisi oleh Sarawak (15.1 peratus) dan Sabah (10.1 peratus).

Persoalannya, kalau 35 peratus itu memang dijamin, kenapa Sarawak dan Sabah tidak menuntut sejak 1965?

Satu ‘penjelasan’ yang ditawarkan ialah pemimpin-pemimpin Sabah dan Sarawak tidak sempat membuat tuntutan kerana perpisahan Malaysia-Singapura dirunding secara tersembunyi tanpa pengetahuan mereka. (https://www.bfm.my/content/podcast/politics-federal-government-malaysia-agreement-sabah-sarawak-parliament)

Kalau itu benar, kenapa pemimpin Sabah dan Sarawak tetap tidak menuntut 35 peratus pada 1973, apabila kerusi parlimen bertambah kali pertama – ketika itu 10 kerusi ditambah di Semenanjung?

Tuntutan 35 peratus ini mungkin hanya muncul selepas tsunami politik 2008. Seruan paling awal yang dikesani saya ialah syor parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya pimpinan Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili. (https://www.parlimen.gov.my/images/webuser/jkuasa/memorandom/25112011/UPKO.pdf)

Desakan menjadi lebih kuat selepas pertukaran kerajaan persekutuan pada 2018. Mitos perlembagaan ‘hukum tiada dua pertiga’ (no two-third rule) yang diangkat sebagai asas tuntutan 35 peartus datang daripada hujah fiksional sebuah rencana bertajuk Legal and Political Settlement di Borneo Post pada 2019 oleh seorang peguam Sarawak, Alex Ling. (https://www.theborneopost.com/2019/06/16/legal-and-political-settlement/)

Peruntukan Sebenar dalam MA63

Para pejuang MA63 selalu menegaskan MA63 perlu dibaca bersama dokumen lain seperti Laporan Suruhanjaya Cobbold dan Laporan Jawatankuasa Antara-Kerajaan (IGC).

Maka, kita mulakan dengan Laporan Suruhanjaya Cobbold. Atas kebimbangan dominasi oleh Tanah Melayu yang dilaporkan dalam perenggan 49(c), 165 dan 190(g), Suruhanjaya dalam perenggan 236(a)(i) mengesyorkan secara umum “perwakilan wilayah-wilayah Borneo dalam Parlimen Persekutuan mesti mengambilkira bukan saja populasi tetapi juga saiz dan potensi.”

Ini disusuli dan digantikan oleh syor yang lebih konkrit dalam perenggan ke-19(2) Laporan IGC yang kemudiannya dimasukkan ke dalam MA63 dan akhirnya Perlembagaan Persekutuan sebagai Perkara 161E(2)(e), yang berbunyi:

(2) Tiada pindaan boleh dibuat kepada Perlembagaan ini tanpa persetujuan Yang di-Pertua Negeri bagi Negeri Sabah atau Sarawak atau tiap-tiap satu daripada Negeri Sabah dan Sarawak yang berkenaan itu, jika pindaan itu ialah yang akan menyentuh perjalanan kuat kuasa Perlembagaan ini berkenaan dengan mana-mana perkara yang berikut:

(e) pengutukan bagi Negeri itu, di dalam mana-mana Parlimen yang dipanggil bermesyuarat sebelum akhir bulan Ogos 1970, suatu kuota ahli-ahli Dewan Rakyat yang tidak kurang, mengikut perkadaran jumlah yang diuntukkan bagi Negeri-Negeri lain yang menjadi anggota Persekutuan pada Hari Malaysia, daripada kuota yang diuntukkan bagi Negeri itu pada Hari Malaysia.

Dalam bahasa ringkas, peratusan kerusi parlimen untuk Sarawak (15.1 peratus) dan Sabah (9.1 peratus) –berjumlah 24.2 peratus – perlu kekal sampai Ogos 1970 (tujuh tahun selepas pembentukan Malaysia) kecuali kerana kemasukan negeri baharu yang lain. Singapura ada peruntukan setimpal dalam Perkara 161H(1)(f).

Dalam tempoh tujuh tahun ini, pengurangan peratusan perwakilan ini hanya boleh berlaku dengan persetujuan Yang di-Pertua Negeri, dan bukan sekadar kelulusan dua-pertiga kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Hakikinya Secara hakikinya [atau: Hakikatnya], selama 45 tahun selepas Ogos 1970, perwakilan Sabah dan Sarawak tetap lebih kurang pada peratusan sama. (Lihat Graf)

Kerusi Singapura sudahpun diberi Borneo

Nyata dan terang, sungguhpun Sarawak, Sabah dan Singapura secara kolektif menikmati kuasa veto secara de facto, mereka tidak dimaktubkan sebagai sebuah blok tunggal untuk saling mewarisi kerusi.

Pun begitu, Sabah dan Sarawak sebenarnya sudah menikmati perpindahan kerusi efektif daripada Singapura pada 1963-1965.

Peratusan penduduk menurut laporan 1961 untuk menteri-menteri UK bertajuk Greater Malaysia: report by the chairman of the Official Committee untuk empat wilayah ialah Tanah Melayu (70.53 peratus), Singapura (16.97 peratus), Sarawak (7.85 peratus) dan Sabah (4.64 peratus).

Mengapa bilangan kerusi parlimen Sarawak (24) dan Sabah (16) jauh melebihi Singapura (15) sedangkan Singapura mempunyai lebih banyak penduduk (16.97 peratus) daripada kedua-dua negeri bercampur (12.49 peratus)?

Ini kerana Tanah Melayu merasa was-was terhadap Singapura dan meletakkan ‘perwakilan berkurang’ (under representation) bagi Singapura sebagai salah satu syarat pembentukan Malaysia. Secara efektifnya, kerusi yang Sinapura tidak dapat diberikan kepada Borneo. Sebagai pampasan, Singapura pula menikmati autonomi pendidikan, kesihatan dan buruh, yang tidak turut dinikmati oleh Sabah dan Sarawak.

Ini bermaksud ‘perwakilan berlebih’ (over-representation) tiga negeri ini tidak melampau apabila mereka menikmati 34.6 peratus perwakilan dengan hanya 29.47 peratus penduduk.

Sebaliknya, tanpa penduduk Singapura pada 1965, peratusan penduduk Sabah dan Sarawak hanya 12.49 peratus, menjadikan ‘perwakilan berlebih’ itu agak bermasalah dari sisi demokrasi sekalipun dengan 24.2 peratus kerusi sedia ada, apatah lagi kalau dituntut 34.6 peratus?

Sama-sama kita telusuri sejarah secara jujur, menyeluruh dan menepati conteks. Tentu sekali, saya bersedia diperbetul atas sebarang kesilapan fakta atau interpretasi.

Patah melintang lalu membujur,
Usaha tidak menjadi kosong.
Mengkaji sejarah biarlah jujur,
Jangan bohong jangan pesong.

 

PROFESOR Wong Chin Huat ialah ahli saintis politik, Timbalan Ketua (Strategi) Ibu Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan (SDSN) di Universiti Sunway dan ahli Projek Stabiliti dan Akauntabiliti untuk Malaysia (Projek SAMA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×