ASEAN perlu bersatu

ASEAN perlu bersatu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERSIDANGAN ASEAN ke-47 kali ini datang pada saat yang genting, apabila struktur kuasa antarabangsa sedang berubah, hubungan kuasa besar semakin tegang, dan isu-isu global seperti konflik Gaza dan krisis kemanusiaan di Myanmar terus menggugat kredibiliti sistem antarabangsa.

Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Pengerusi ASEAN berdepan tanggungjawab besar untuk memperlihatkan bahawa ASEAN bukan sekadar blok ekonomi yang longgar, tetapi satu entiti politik dan diplomatik yang mampu menjadi suara kolektif dunia membangun.

Kuasa Dunia
ASEAN kini berdepan dilema besar. Negara-negara anggotanya perlu menyeimbangkan antara kepentingan nasional dan kesepaduan serantau tanpa terperangkap dalam pengaruh dua kuasa besar.

Namun, pendekatan ini kini semakin mencabar apabila kuasa besar mula menuntut kesetiaan politik dan strategi daripada negara-negara kecil di rantau ini.

ASEAN

Malaysia harus mengemudi ASEAN agar tidak berpecah kepada dua blok pengaruh iaitu blok pro-Amerika dan blok pro-China. Pendekatan berkecuali yang menjadi dasar luar Malaysia sejak merdeka masih relevan dan perlu diterjemahkan kepada strategi diplomatik yang lebih dinamik di peringkat ASEAN.

Sebagai negara yang berpengalaman dalam mengurus hubungan baik dengan semua pihak, Malaysia boleh memperkukuh peranan sebagai perantara. Pendekatan diplomasi senyap yang pernah digunakan dalam isu Thailand Selatan dan kemudiannya diadaptasi untuk menangani isu Myanmar boleh menjadi model yang berkesan. Dalam dunia diplomasi moden, kemampuan menjadi pemudah cara lebih berharga daripada menjadi penggerak konfrontasi.

Kepentingan Nasional
Regionalisme ASEAN pada asalnya berasaskan semangat kesepakatan tanpa tekanan terhadap integrasi politik yang mendalam. Namun, perkembangan geopolitik semasa menuntut ASEAN menilai semula kedudukannya.

Malaysia perlu menegaskan bahawa kepentingan nasional tidak harus digadaikan atas nama solidariti serantau. Sebagai contoh, dalam isu Laut China Selatan, Malaysia harus mempertahankan kedaulatan maritimnya sambil terus menggalakkan penyelesaian damai melalui Code of Conduct yang sedang dirundingkan antara ASEAN dan China.

Pendekatan berhemah ini bukan bermakna tunduk kepada Beijing, sebaliknya mencerminkan strategi diplomatik matang yang meminimumkan risiko konfrontasi.

AUKUS
Bagi sesetengah pihak, pakatan Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat (AUKUS) dianggap sebagai langkah memperkukuh keselamatan bersama, namun bagi ASEAN, ia menimbulkan kebimbangan terhadap dominasi ketenteraan Barat. Malaysia menegaskan bahawa kehadiran kapal selam nuklear di rantau ini boleh mencetuskan ketidakseimbangan keselamatan dan menjejaskan kepercayaan antara negara. Lebih penting lagi, ia berpotensi mengganggu usaha ASEAN membina identiti sebagai rantau bebas pengaruh kuasa luar.

Sebagai pengerusi ASEAN, Malaysia boleh menggunakan platform sidang ke-47 untuk mengemukakan pelan keselamatan kolektif yang lebih jelas. Cadangan untuk menubuhkan Dialog Keselamatan Maritim ASEAN atau memperkukuh ASEAN Defence Ministers Meeting Plus (ADMM-Plus) boleh dijadikan langkah awal bagi menangani kebimbangan keselamatan serantau tanpa bergantung sepenuhnya kepada kuasa luar.

Krisis Global
Dalam konteks global, isu kemanusiaan seperti konflik Gaza dan penindasan terhadap rakyat Palestin telah membuka ruang kepada Malaysia untuk memperkukuh imejnya sebagai suara keadilan dunia Islam dan Selatan Global.

Pendekatan tegas Perdana Menteri Malaysia dalam menentang kekejaman terhadap rakyat Palestin bukan sahaja mendapat sambutan rakyat dalam negara tetapi juga meningkatkan kredibiliti Malaysia di mata antarabangsa.

Malaysia boleh menggunakan pentas ASEAN untuk membentuk pendirian kolektif mengenai isu kemanusiaan global.

Ini penting kerana ASEAN sering dilihat terlalu berhati-hati dalam menyatakan pendirian terhadap isu antarabangsa yang melibatkan kuasa besar. Dengan kepimpinan Malaysia, ASEAN berpotensi menjadi blok suara moral dunia membangun yang memperjuangkan keamanan, keadilan dan kedaulatan undang-undang antarabangsa.

Nilai Semula Konsensus ASEAN
Konsensus Lima Perkara ASEAN yang digubal pada 2021 bertujuan membawa penyelesaian damai kepada krisis politik di Myanmar, termasuk gencatan senjata dan dialog antara pihak bertelagah.

Namun, kemajuannya sangat perlahan akibat keengganan junta tentera mematuhi perjanjian. Dalam situasi ini, Malaysia sebagai pengerusi ASEAN perlu memimpin usaha menyemak semula pendekatan yang digunakan.

Malaysia boleh mencadangkan mekanisme diplomasi berlapis yang melibatkan track two diplomacy, iaitu rundingan tidak rasmi yang melibatkan tokoh akademik, pemimpin masyarakat dan institusi agama. Pendekatan ini bukan sahaja lebih fleksibel tetapi juga sesuai dengan semangat Diplomasi Madani yang berasaskan nilai dan kemanusiaan.

Masa Depan ASEAN
Malaysia perlu memastikan ASEAN kekal bersatu dalam menghadapi tekanan kuasa besar dan tidak kehilangan ASEAN Centrality. Cabaran ini bukan sahaja bersifat politik, tetapi juga ekonomi dan sosial.

Dari segi ekonomi, ASEAN perlu memperkukuh integrasi pasaran melalui pelaksanaan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang melibatkan China, Jepun, Korea Selatan dan Australia.

Malaysia boleh memimpin usaha memastikan RCEP bukan sekadar perjanjian perdagangan tetapi satu platform pembangunan inklusif yang menguntungkan semua negara anggota. Dalam masa yang sama, Malaysia juga perlu memberi perhatian kepada jurang pembangunan antara negara anggota lama dan baharu seperti Laos, Myanmar dan Kemboja.

Dari segi sosial pula, Malaysia boleh memperjuangkan agenda belia ASEAN, memperkukuh kerjasama pendidikan tinggi serantau dan mengembangkan diplomasi budaya yang mampu menanamkan semangat identiti ASEAN dalam kalangan generasi muda.

Persidangan ASEAN ke-47 bakal menjadi medan penting bagi Malaysia memperlihatkan kematangan diplomasi dan kebijaksanaan kepimpinan. Dalam dunia yang sedang berubah pantas, ASEAN tidak boleh kekal sebagai organisasi reaktif yang hanya bertindak selepas krisis berlaku.

Ia perlu menjadi blok proaktif yang mampu merangka agenda sendiri. Malaysia, dengan pengalaman panjang dalam diplomasi dan dasar luar yang sederhana, berpotensi memimpin transformasi ini.

Dalam menghadapi tekanan kuasa besar dan konflik global, Malaysia harus terus menjadi suara penyatu, bukan hanya untuk ASEAN tetapi untuk dunia yang lebih luas. Keberanian moral dan ketegasan prinsip yang ditunjukkan dalam isu Palestin boleh dijadikan teladan bagaimana Malaysia mengemudi

ASEAN dalam menghadapi isu Laut China Selatan, AUKUS dan krisis Myanmar.

Kepimpinan Malaysia dalam sidang ASEAN ke-47 bukan sekadar ujian kepada kebijaksanaan diplomatik negara, tetapi juga penentu sama ada ASEAN masih mampu berdiri sebagai blok serantau yang bebas, bersatu dan berprinsip. Inilah masa untuk Malaysia membuktikan bahawa pendekatan

Diplomasi Madani mampu menjadikan ASEAN bukan sahaja relevan tetapi juga dihormati di persada antarabangsa. – UTUSAN

PENULIS ialah Pensyarah Jabatan Bahasa dan Pengajian Umum Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN