DALAM zaman teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), perang bukan lagi semata-mata konvensional. Sebaliknya, keupayaan mengawal maklumat melalui ICT menjadi kelebihan dan antara faktor penting melumpuh dan memusnahkan lawan.
Inilah yang dibuktikan Israel dalam kes di Gaza. Walaupun, pihak Hamas ada juga kekuatan senjata, mereka gagal mendatangkan kemusnahan yang serupa sebagaimana dilakukan rejim Zionis ke atas Palestin khususnya penduduk Gaza.
Dari segi kecanggihan ketenteraan memang tidak syak lagi Israel jauh lebih hebat. Ini juga antara lain hasil bantuan sekutu utama Israel iaitu Amerika Syarikat (AS), lebih-lebih lagi dalam era Presiden Donald Trump.
Buktinya, ketika negara Arab-Islam bersidang mengecam tindakan Israel terhadap Qatar, rejim Zionis terus bermaharajalela di Gaza dengan melancarkan pengeboman besar-besaran dan memulakan serangan darat, Selasa lalu.
Kempen tersebut dilancarkan selepas Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, menyokong matlamat Israel untuk memusnahkan Hamas.
Operasi bermula di pinggir Gaza City selepas seminggu serangan udara diperhebat, termasuk tindakan memusnahkan menara-menara tinggi di sekitar bandar itu.
Seorang pegawai Israel berkata, operasi darat itu akan dijalankan secara berperingkat selepas Menteri Pertahanan, Israel Katz membuat kenyataan mendakwa ‘Gaza sedang terbakar’
Sedihnya melihat ribuan rakyat Palestin terpaksa melarikan diri di tanah tumpah darah mereka, Gaza. Ini selepas Israel meningkatkan pengeboman dan memulakan serangan darat besar-besaran ke atas kawasan yang didakwanya sebagai kubu terakhir Hamas.
Malangnya, negara-negara Islam lain hanya melihat, tidak mampu membantu dalam segi ketenteraan. Natijahnya, tiada satu pun bangunan yang masih tegak berdiri di Gaza. Semuanya hancur dibedil Zionis. Gaza kini ibarat tanah yang rata.
Dalam Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam di Doha, Qatar, Selasa lalu, tercetus suara yang menekankan negara-negara Islam perlu mewujudkan pakatan ketenteraan bersama. Ia dalam menghadapi ancaman berterusan daripada Israel termasuk serangan terbaharunya ke atas ibu negara Qatar.
Walaupun perkara itu gagal dicapai dalam Sidang Kemuncak tersebut, ia akan dipanjangkan ke mesyuarat Majlis Kerjasama Teluk (GCC) untuk mengaktifkan mekanisme pertahanan bersama.
Yang mampu dilakukan setakat ini nampaknya hanyalah mengeluarkan kenyataan mengutuk keras tindakan biadab Israel yang sesuka hati menyerang negara lain yang berdaulat.
“Kami mengecam sekeras-kerasnya serangan pengecut dan tidak sah Israel ke atas negara Qatar. Kami berdiri teguh bersama Qatar,” menurut kenyataan bersama GCC dan Liga Arab serta Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) itu.
Sebenarnya, keperluan mewujudkan kerjasama ketenteraan dalam kalangan negara-negara Islam sebelum ini telah dibangkitkan oleh Perdana Menteri Iraq, Mohammed Shia al-Sudani. Namun, ia tinggal cadangan.
Islam sudah menjelaskan hal untuk bersiap sedia menghadapi musuh sebagaimana firman Allah yang bermaksud: Dan bersiap sedialah untuk menentang mereka (musuh) dengan segala keupayaan kamu dari kekuatan dan juga kuda-kuda tambatan (supaya) dengan persediaan itu, kamu menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu serta musuh yang lain daripada mereka, yang tidak kamu ketahui, sedang Allah mengetahuinya. Dan apa jua yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu dan kamu tidak akan dianiaya. (al-Anfal: 60)
Peringatan ini sepatutnya diambil perhatian serius oleh kita sebagai umat Islam. Ia menyuruh kita jangan memandang remeh soal pertahanan. Tetapi soal pertahanan adalah sesuatu yang amat penting seperti juga dengan soal pembangunan yang sentiasa menjadi perhatian kita.
Kini, ribuan rakyat Palestin terpaksa melarikan diri dari Gaza City selepas Israel meningkatkan pengeboman dan memulakan serangan darat besar-besaran ke atas kawasan yang didakwanya sebagai kubu terakhir Hamas.
Operasi ketenteraan itu berlaku ketika Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pihak lain memberi amaran serangan intensif akan memburukkan lagi krisis kemanusiaan, dengan sebahagian kawasan Gaza secara rasmi diisytiharkan zon kebuluran.
Bagi rakyat Palestin, serangan itu sekali lagi memaksa mereka meninggalkan khemah perlindungan dalam ketakutan. Jalan Al Rashid dan Salah al-Din dibanjiri ribuan keluarga yang membawa tilam, selimut serta barangan asas, menuju ke selatan untuk mencari perlindungan.
Keputusan Netanyahu untuk meneruskan operasi, walaupun menerima kecaman antarabangsa yang makin meningkat serta kebimbangan pegawai keselamatan Israel, menggambarkan kesediaannya menentang tekanan global dan melaksanakan perang mengikut cara sendiri.
Agensi Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF) turut memberi amaran sebarang peningkatan dalam operasi ketenteraan akan melipatgandakan penderitaan kanak-kanak dan hak keselamatan mereka.
“Di Gaza City, seramai 450,000 kanak-kanak berdepan kebuluran dan trauma tanpa menerima bantuan akibat sistem perubatan yang runtuh,” kata UNICEF dalam hantaran di X.
KEPENTINGAN KUASAI ICT
Bagi menutup kezaliman ke atas rakyat Gaza, Israel dilaporkan berbelanja lebih AS$50 juta (RM209 juta) bagi menjalankan kempen iklan digital melalui platform antarabangsa termasuk Google, laman media sosial AS iaitu X, serta platform iklan Perancis dan Israel dalam usaha menafikan berlakunya kebuluran di Gaza.
Perkara itu didedahkan penyiar Sepanyol, RTVE pada Selasa berdasarkan laporan Eurovision News Spotlight.
Siasatan bersama Eurovision mendapati Jawatankuasa Pengecualian Israel pada Jun lalu meluluskan permohonan agensi iklan milik kerajaan, Lapam, untuk melaksanakan kempen maklumat awam bernilai AS$50 juta (RM209 juta) dengan Google, X, serta platform Outbrain dan Teads.
Kontrak yang berjalan dari 17 Jun hingga 31 Disember itu memperuntukkan AS$45 juta (RM188.5 juta) untuk YouTube dan pengurusan iklan Google, Display & Video 360.
Laman X pula menerima AS$3.03 juta (RM12.69 juta) manakala Outbrain dan Teads memperoleh AS$2.12 juta (RM8.88 juta).
Laporan bertajuk The New Front of War: Inside Israel’s Digital ‘Hasbara’ Offensive itu mendedahkan bagaimana kempen tajaan kerajaan Israel menggunakan media sosial, pengaruh berbayar serta lawatan tentera bagi membentuk naratif global mengenai Gaza.
Oleh sebab itu, umat Islam perlu menguasai ICT dan mempunyai platform media sosial sendiri bagi melawan dan menangkis tipu muslihat serta propaganda Israel.
Ini selain tindakan untuk menubuhkan pakatan ketenteraan membabitkan negara Islam ala Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang disifatkan cadangan yang realistik untuk dilakukan.
Perlu kita ingat, rejim Zionis sewenang-wenangnya menyerang enam negara Islam hanya dalam sembilan bulan kebelakangan ini iaitu Palestin di Gaza dan Tebing Barat, Lubnan, Syria, Yaman, Iran dan terbaharu, Qatar.
Dalam masa sama, jangan lupa terus berdoa untuk Gaza dan Palestin.-UTUSAN
MOHD. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia.










