MUKADIMAH
TIADA kejutan. Tiada pencabar. Tiada pertukaran. Selepas proses pencalonan ditutup, lima jawatan tertinggi Pas kekal milik penyandang sedia ada. Ia keputusan yang menimbulkan pelbagai reaksi, daripada pujian kepada kestabilan, hinggalah persoalan mengenai ruang demokrasi dalam parti Islam itu.
Tan Sri Abdul Hadi Awang kekal sebagai Presiden, mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai figura paling dominan dalam sejarah moden Pas. Timbalannya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, terus menggalas peranan sebagai orang nombor dua parti.
Barisan Naib Presiden pula kekal kukuh dengan Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar (Menteri Besar Terengganu), Datuk Idris Ahmad (Ahli Parlimen Bagan Serai) dan Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah sendiri, sosok veteran dan pemikir parti, terus diberi mandat.
Namun, timbul satu persoalan besar, adakah ini tanda kestabilan, atau isyarat kepada kemunduran demokrasi dalaman?
Wartawan Utusan Malaysia, YATIMIN ABDULLAH dan MUSTAQIM MOHAMED serta jurugambar KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN menemubual MOHD. AMAR untuk mendapat penjelasan mengenai situasi itu yang seolah-olah menutup ruang demokrasi dalam Pas.
UTUSAN: Tidakkah dengan mengekalkan Abdul Hadi, Tuan Ibrahim hanya membuatkan Pas dilihat takut lawan arus politik masa hadapan?
MOHD. AMAR: Mengekalkan kepimpinan Abdul Hadi Awang dan Tuan Ibrahim adalah keputusan sebulat suara perwakilan di seluruh negara dan bukan satu arahan daripada parti serta bukan gambaran Pas takut menongkah arus.
Bagi saya, ia memperlihatkan keyakinan penuh perwakilan serta ahli terhadap gandingan dua pemimpin utama ini, di samping mengelak pergeseran dalaman yang mungkin berlaku jika ada pihak tidak berpuas hati apabila calon pilihan mereka kalah.
Jadi, ia langkah bijak kekalkan Abdul Hadi?
Kita akui Tok Guru (Abdul Hadi) secara fizikalnya uzur tetapi pencapaian era kepimpinannya paling menonjol dengan Pas ada 43 kerusi Parlimen, perintah empat negeri dan mempunyai lebih 140 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Bagi saya, kita sudah ambil langkah bijak dengan mengekalkan kedua-duanya demi memastikan Pas kekal mantap untuk menuju ke Pilihan Raya Umum (PRU) yang mungkin berlangsung tahun depan.
Bukankah dalam kata lain, Pas seolah ketandusan pemimpin berwibawa?
Sebenarnya Pas ada ramai pemimpin berwibawa seperti Ahmad Samsuri dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor tetapi semuanya perlu melalui proses masa.
Kita mahu memastikan kelancaran perjuangan parti terlebih dahulu walaupun di bawah sana, ramai pemimpin telah bersedia dan disediakan melalui ‘tamrin qiyadi’ atau kem latihan kepimpinan yang dilaksanakan di setiap peringkat bermula di bawah sehingga ke peringkat pusat.
Kita percaya semua orang mesti bersedia jadi pemimpin, malah Kelantan sendiri sudah buat perubahan besar pada PRU lepas apabila membariskan 50 peratus calon dan kepimpinan muda termasuk enam peguam serta ramai profesional bagi mendepani arus perkembangan zaman.
Biasa dulu, orang tengok calon Pas ustaz, tapi pada PRU lalu berbeza dan ini persiapan kita.
Benarkah Pas ‘gelecoh rel’ sejak pemergian Tok Guru Nik Aziz?
Tanggapan Pas ‘gelecoh rel’ atau lari dari landasan tidak betul kerana parti ini bergerak atas landasan perlembagaan parti dan selagi ia tidak dipinda, maka tiada pihak boleh tuduh Pas menyeleweng dari perjuangan sebenar.
Pas sentiasa konsisten. Kalah atau menang, inilah Pas dan kita tidak pernah sekali pun gadai parti atau prinsip.
Pertukaran pemimpin itu perkara biasa dan masing-masing sudah pasti ada pendekatan atau cara berbeza.
Apa kekuatan Pas sehingga boleh kekal lebih 70 tahun?
Dasar kita (Pas) ialah Islam. Islam menjadi kekuatan utama Pas sekali gus faktor utama parti ini mendapat kepercayaan rakyat. Lebih-lebih lagi sepanjang 35 tahun mentadbir Kelantan, rakyat tidak melihat berlaku salah guna kuasa dan penyelewengan.
Pas juga sangat terbuka dan boleh berkawan dengan sesiapa sahaja. Ia terbukti apabila parti ini pernah memberi laluan dan bantu kemenangan pengasas UMNO, Allahyarham Datuk Onn Jaafar yang bertanding di bawah Parti Negara di Parlimen Kuala Terengganu pada PRU 1959 serta Khadijah Sidek di Parlimen Dungun.
Di Kelantan, kita bantu kemenangan Datuk Dr. Zulkifli Muhammad dari Perak, di Parlimen Bachok (1959-1964), Ahmad Abdullah atau Ahmad Perai dari Pulau Pinang di Parlimen Kelantan Hilir (1960 an), Datuk Seri Mohamad Sabu (Parlimen Nilam Puri pada PRU 1990 dan Parlimen Kubang Kerian pada PRU 1995), Allahyarham Datuk Seri Salahudin Ayub (Parlimen Kubang Kerian pada PRU 2004 dan 2008), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (Parlimen Machang pada PRU 2008) dan Datuk Dr. Hatta Ramli (Parlimen Kuala Krai pada PRU 2008 dan 2013).
Ini bukti keterbukaan dan tiada ‘assabiyyah’ dalam Pas. Kita ada banyak rekod kalau mahu diceritakan tetapi paling penting tiada perebutan jawatan dalam Pas seperti mana dilihat berlaku dalam sebuah parti sehingga timbulnya HIRUK (Hidupkan Idealisme Reformasi Dalam Ujian Kuasa) serta DAMAI (Dari Akar, Membina Aspirasi Inklusif).
Kesudahannya, pihak yang kalah ambil keputusan letak jawatan menteri kanan.
Adakah keputusan Pas untuk bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan bukan UMNO dianggap sebagai langkah politik berasaskan kepentingan peribadi, sedangkan Muafakat Nasional (MN) sudah pun terbentuk lebih awal?
Isu MN bukan salah Pas kerana UMNO yang tolak penyatuan itu. Macam di Kelantan jelas daripada perbincangan, UMNO yang membatalkan dan kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri (Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakob). Kita (Pas) beri masa kepada UMNO untuk fikir, namun mereka buat keputusan itu.
Jadi, kita hanya memberikan respon kepada kenyataan tersebut. Macam di peringkat pusat, Presiden UMNO (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) yang menolak dan ketika itu kita sudah bincang Pas-Bersatu dan UMNO perlu duduk sekali.
Tapi Presiden UMNO buat keputusan, beliau tidak boleh terima Bersatu. Itu punca sebenarnya. Tetapi orang melihat pembubaran MN dan keputusan Pas kekal bersama Perikatan Nasional (PN) sebagai mementingkan diri, sedangkan kepentingan Pas adalah memperjuangkan Islam.
Mana-mana kerjasama politik yang menguntungkan Islam, kita terima dan kalau tidak menguntungkan Islam, kita tolak.
Antara Bersatu dengan Barisan Nasional (BN), kerjasama mana yang lebih utuh?
Dari sudut politik pula, kita lihat kerjasama dengan Bersatu melalui PN lebih utuh apabila berjaya memenangi lebih 70 kerusi Parlimen.
Ia sekali gus membuktikan Pas membuat keputusan tepat dengan kekal dalam PN. Jika BN bersama Bersatu dan Pas, mungkin kita akan menang lebih 100 kerusi parlimen.
Ramai pengkaji politik kata, jika ketiga-tiga parti itu kerjasama, boleh menang dengan majorti lebih dua pertiga seterusnya menjadi kerajaan yang lebih stabil.
Tapi sayang UMNO tidak terima pandangan itu, akhirnya mereka tinggal 23 kerusi Parlimen.
Betulkah persepsi bahawa Pas raih kerusi paling banyak di Parlimen sebab gelombang menolak BN, bukan disebabkan prestasi?
Betullah itu. Namun, ia turut membuktikan Pas sudah ada kekuatan sebab kalau tidak kuat, kita tidak menang.
Bila orang tolak Pakatan Harapan (PH)-BN, orang undi kita. Maknanya kita ada kekuatan dan mendapat kepercayaan daripada rakyat.
Kalau mahu bergantung di pokok, mestilah kita pilih yang kuat kerana orang tidak akan bergantung pada pokok reput dan melihat situasi semasa.
Adakah ia tiket untuk Pas jadi ‘payung’ kepada orang Melayu?
Dalam konteks hari ini, PN menjadi payung besar kepada orang Melayu dan Islam. Bila bercakap soal Melayu dalam gabungan ini, Pas adalah terasnya sebab kita 100 peratus parti Melayu dan Islam. Adapun dalam Bersatu ada Melayu dan ada bukan Islam.
Namun, Pas tidak mahu sekadar menjadi payung kepada orang Melayu, sebab itulah kita mahu PN menggalas tanggungjawab itu. Sebab itulah, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah duduk berbincang dengan 12 parti politik bukan untuk bergabung, namun cari titik persamaan bagi membentuk kerjasama agar dapat berdepan musuh dengan kesepakatan yang gagah.
Potensi itu ada buat PN untuk mengalahkan PH pada PRU akan datang.
Mengapa Pas begitu lantang menentang DAP, tetapi dalam masa yang sama tampak jauh lebih lunak dan terbuka terhadap Parti Gerakan Rakyat (Gerakan), adakah kerana kuasa atau prinsip?
Dia macam ini, Gerakan tiada kuasa walaupun dalam bahasa kasar, dia tidak baik. Tapi dia (Gerakan) tiada kuasa. DAP dia ada kuasa, mana lebih mudarat. Orang samseng, seorang ada tangan, seorang lagi tiada. Mana lebih bahaya?
Islam mengajar kita memilih mana yang membawa kemudaratan lebih ringan dan dalam soal ini, DAP ada kuasa serta banyak kerusi dalam Parlimen sedangkan Gerakan tiada. Jadi, ancaman dia kepada kita dari segi politiknya lebih besar dan kita nampak pemikirannya sama dengan PAP di Singapura.
Ditambah pula isu Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB), bendera terbalik dan sebagainya, walaupun kadang kala ada kenyataan dibuat Gerakan sensitif, tapi kita tidak pernah tengok sebelum-sebelum ini sikap agresif Gerakan berbanding DAP.
Orang pasang bendera terbalik siapa pertahan, DAP. Sepatutnya DAP duduk diam sahaja. Tapi mereka (DAP) bersungguh sehingga berlawan dengan Datuk Dr. Akmal Salleh (Ketua Pemuda UMNO), jadi orang nampak DAP.
Sebab itu bagi Pas, dari segi politik, inilah lawan utama Pas berbanding Gerakan. Namun, jika Gerakan ambil sikap macam DAP masa ada kuasa, itu lain ceritanya.
Slogan Pas For All masih relevan?
Slogan Pas For All mesti dihidupkan kembali bukan hanya untuk parti kekal relevan tetapi ia selari dengan prinsip Islam yang memperjuangkan nasib manusia sejagat.
Sehubungan itu, Pas mesti dilihat bersedia untuk menjadi kerajaan sekali gus menghilangkan rasa takut dalam kalangan orang bukan Melayu dan bukan Islam terhadap parti ini.
Hal ini kerana, DAP sentiasa memainkan sentimen Pas akan sekat kebebasan orang bukan Melayu dan bukan Islam dengan pelbagai perkara negatif.
Walaupun ia jelas tidak betul tetapi mereka (DAP) terus jaja sentimen itu terutama kepada kaum Cina dan lain-lain.
Bagaimana PRU16 nanti? Sudah ada keputusan?
Kita masih belum bincang lagi soal itu. Cuma Pas sudah buat persiapan untuk ke arah ini.
Soal siapa calon kita masih belum bincang. Perkara ini akan dibincang bila Parlimen dibubarkan.
Ketika ini, kita sedang nilai pandangan masyarakat dan pengundi. Apa hasrat mereka terhadap parti. Sekarang ini ramai pengundi tidak berpuas hati dengan PH.
Jadi, kita nak tahu apa yang mereka tidak puas hati dan harapan. Kalau orang lain (parti) nak ganti PH, apa yang mereka mahu. Daripada tinjauan itulah kita tengah susun calon-calon kita.
Apa yang menarik, satu kajian sebelum ini menunjukkan bahawa golongan muda menolak BN kerana mereka mahukan sebuah kerajaan yang lebih baik, yang membawa aspirasi Islam sebagai teras pentadbiran.
Dalam hal ini, Pas memiliki kelebihan kerana dasar perjuangannya selari dengan kehendak tersebut. Rakyat mahukan Islam sebagai teras kepimpinan negara dan ini sejajar dengan perjuangan yang didukung oleh Pas. Cabarannya kini adalah bagaimana untuk mempersembahkan prinsip ini kepada masyarakat dengan cara yang meyakinkan, inklusif dan membina keyakinan semua lapisan rakyat.
Apakah Pas sekadar berteori atau sebenarnya sudah lama menadah telinga, menyelami denyut nadi rakyat dan mengutip setiap keresahan serta harapan mereka sebagai bekal menuju medan perjuangan?
Ya, kita telah kutip pandangan itu. Pas sentiasa buat tinjauan secara senyap-senyap dan sebulan sekali tidak kumpul hasilnya untuk membaca mood pengundi.
Maka, dari situlah kita rangka strategi untuk mendekati pengundi.
Pas sudah sedia kembali jadi kerajaan?
Kita memang mahu jadi kerajaan, namun untuk ke arah itu, Pas perlu mempunyai pasukan yang mantap bagi merealisasikan impian tersebut. Pasukan ini mestilah terdiri daripada pelbagai latar belakang.
Selain ulama, kita perlukan teknokrat, profesional dan pelbagai latar belakang bidang supaya Pas mampu mengurus tadbir negara dengan baik jika diberi mandat oleh rakyat.
Sebagai salah seorang pemimpin Pas yang pernah bermastautin di England, mengikuti rapat perjalanan politik di negara itu, apa aspirasi terhadap arena politik Malaysia masa hadapan?
Perkara paling saya kagumi dalam arena politik di England adalah pelaksanaan demokrasi dalam erti kata sebenar yang penuh keterbukaan dan kesaksamaan termasuk dalam liputan media sama rata antara parti memerintah serta pembangkang.
Seboleh-bolehnya, kita mahu sistem pentadbiran Islam di negara ini tetapi Malaysia sendiri sudah memilih demokrasi. Maka, saya amat ingin melihat pelaksanaan demokrasi dalam erti kata sebenar seperti mana berlaku di England.
Buat masa sekarang, kita belum dapat melihat perkara itu termasuk dalam liputan media apabila pada kebanyakan masa, pihak pembangkang seolah-olah disekat daripada mendapat liputan media yang sama rata dengan parti memerintah. – UTUSAN











