RANCANGAN Malaysia Ke-13 (RMK13) yang bercita-cita tinggi menghadapi cabaran baharu dalam dunia digital, kecerdasan buatan dan teknologi tinggi sangat sesuai dengan tema “Melakar Semula Pembangunan” negara.
Sejak RMK1 dilaksanakan, negara terus berkembang perlahan dan melonjak sejak Wawasan 2020, namun sampai sekarang masih belum mampu bersaing di peringkat antarabangsa sepenuhnya. Walaupun Malaysia mempunyai kekayaan sumber semula jadi, negara masih lagi bergantung kepada teknologi luar dan mengeksport bahan semula jadi mentah keluar negara. RMK13 membawa naratif baharu yang akan mengubah daripada menjadi pengguna teknologi kepada pencipta nilai dan peneraju inovasi.
Wawasan 2020 dilakarkan untuk Malaysia menjadi sebuah negara maju menjelang 2020. Rancangan jangka panjang negara itu diumumkan pada 28 Februari 1991 semasa merangka Rancangan Malaysia Keenam (RMK6).
Antara strategi teras untuk mencapai Wawasan 2020 ialah menyeimbangkan pembangunan antara bandar dan luar bandar, mengurangkan kadar kemiskinan, mengukuhkan sektor pembuatan, bioteknologi, teknologi maklumat dan komunikasi, memperluaskan peranan sektor swasta dalam pembangunan ekonomi negara serta meningkatkan pendidikan, latihan dan kemahiran tenaga manusia.
Walaupun ada pelbagai kemajuan dalam pendidikan, kesihatan dan infrastruktur, namun Malaysia masih belum mencapai status negara maju seperti yang disasarkan pada 2020.
Sasaran tidak tercapai boleh disabitkan dengan beberapa sebab seperti perubahan dasar apabila pemimpin berubah, krisis kewangan yang menjejaskan pertumbuhan ekonomi dan penyusunan semula sasaran dan strategi, pembangunan modal insan dan industri yang tidak sekata, kebergantungan kepada eksport dan pelaburan asing, serta nilai dan sikap masyarakat secara menyeluruh kurang mantap dari segi sikap rajin, beretika dan berilmu. Dasar Pandang Ke Timur belum dapat menjadi contoh dan amalan seperti yang dirancang.
Pembangunan bakat dalam bidang sains, teknologi dan inovasi sangat diperlukan bagi memenuhi kehendak sebuah negara maju. Organisasi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). memainkan peranan penting dalam penyelidikan, pembangunan, inovasi dan pengkomersialan teknologi.
Antara agensi organisasi utama ialah Agensi Angkasa Malaysia, Agensi Nuklear Malaysia, Jabatan Kimia Malaysia, Jabatan Tenaga Atom, Akademi Sains Malaysia (ASM), Planetarium Negara, Pusat Sains Negara (PSN), Pusat Nanoteknologi Kebangsaan, Institut Bioteknologi Kebangsaan Malaysia (NIBM), Pusat Maklumat Sains dan Teknologi Malaysia (MASTIC) dan Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), yang masing-masing berperanan dalam penyelidikan, pembangunan teknologi dan inovasi, menasihat perkara berkaitan dasar kerajaan dan menggalakkan program inovasi sosial dan teknologi komuniti.
Tumpuan RMK13 perlu diberikan kepada isu-isu berasaskan komuniti seperti penyelesaian masalah sosial melalui teknologi dan kreativiti tempatan, memacu inovasi dalam hal air bersih, tenaga boleh baharu, pendidikan dan kesihatan. Bakat baharu dari kalangan komuniti luar bandar seperti masyarakat Felda dan Orang Asli termasuk golongan B40, yang mencipta atau memperkenalkan idea baharu perlu dihargai.
Program pertukaran idea, inovasi dan teknologi hingga ke peringkat pengkomersialan mesti terus digalakkan dan melibatkan penjanaan dana dan pelaburan. Model latihan untuk pemikiran berdaya saing dan berinovasi penting dalam mengubah pola pemikiran golongan belia terutamanya untuk berjaya dan mampu melonjakkan taraf ekonomi setempat.
Negara sudah melalui program secara sistematik dalam membangunkan bakat bidang sains dan teknologi melalui memperkasakan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Usaha itu belum lagi tercapai sepenuhnya walaupun Malaysia pernah menetapkan sasaran 60 peratus pelajar aliran sains sejak 1967. Sehingga 2023, hanya 15.2 peratus pelajar memilih aliran sains. Pendekatan baharu perlu dilakukan segera untuk RMK13 termasuk terus memperkasakan guru, dan membina ekosistem pembelajaran yang relevan dan inklusif.
Jutaan rakyat Malaysia telah mendapat latihan formal, melalui program matrikulasi, politeknik, universiti awam, dan swasta dalam bidang sains dan teknologi sejak RMK1 (1966-1970) danpada 2025 Malaysia menyasarkan 1.7 juta belia dalam bidang STIE (Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi) dihasilkan. Malaysia mesti meningkatkan bilangan pelajar dalam bidang sains setanding dengan negara maju lain seperti Singapura sebanyak 40 peratus, Jepun melebihi 45 peratus dan Korea Selatan lebih 50 peratus.
Sistem pendidikan ke arah pembangunan bakat STIE perlu dilakukan mengikut kesesuaian dan peringkat seperti latar belakang sekolah atau komuniti, tahap sekolah rendah, menengah rendah, menengah atas, politeknik dan universiti. Penyelidikan dalam pembangunan bakat mesti sentiasa dilakukan untuk mendapat kesesuaian dan impak kepada program pembangunan bakat STIE.
RMK13 memberikan penekanan dalam bidang digital dan kecerdasan buatan yang penting untuk generasi kreatif, budaya inovasi dan pengkomersialan.
Tumpuan kepada kecerdasan buatan, analitik data, sistem digital, semikonduktor dan tenaga boleh baharu dijangka membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi sebagai pemacu ekonomi masa depan. Disamping itu, pembangunan insan mesti selari dari segi rohani, budaya dan jati diri bangsa yang bermaruah dan berdaya saing global.
Malaysia merancang RMK13 dengan penuh wawasan dan keazaman. Walaupun sistem pendidikan dikatakan baik, telus dan mempunyai strategi yang jelas, RMK13 mesti dilihat dengan terperinci. Institusi penyelidikan dan pendidikan tinggi mesti meneliti secara berkala pencapaian objektif dan kejayaannya.
Oleh kerana tempoh (2026-2030) selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030, maka penumpuan kepada matlamat boleh dilakukan secara bersama. Isu alam sekeliling juga mesti ditangani melalui kefahaman ekologi sesuatu ekosistem. – UTUSAN
AHMAD Ismail ialah Presiden Kongres Persatuan Akademik (MAAC).










