Pookalam ‘lukisan’ bunga yang hidup

Pookalam ‘lukisan’ bunga yang hidup

BUNGA-BUNGAAN dipetik dan digunakan untuk menghasilkan pookalam berbentuk bulat dan penuh warna.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMALAM, kaum India keturunan Malayali menyambut Onam iaitu semacam Deepavali bagi komuniti kami yang nenek moyang berasal dari Kerala, India.

Sekitar 85 peratus kaum India di Malaysia berketurunan Tamil manakala orang Malayali adalah minoriti kecil iaitu sekitar 3.5 peratus sahaja. Maka, banyak perkara tentang sejarah dan budaya komuniti Malayali kurang diketahui masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini.

Demi meraikan kepelbagaian dan berkongsi ilmu, pelbagai maklumat mengenai sejarah, budaya dan perayaan masyarakat Malayali dikongsi menerusi ruangan ini sejak 2020. Rencana berkaitan juga boleh dibaca dalam buku Mandala Bicara (2016), Suvarna Bhumi (2022) dan Dewi Pertiwi (2024).

Lukisan kolem oleh komuniti Tamil biasanya menggunakan tepung beras atau beras dan kerisik kelapa yang dicampur pelbagai warna. Amalan dalam kalangan komuniti Malayali pula berbeza kerana bunga-bungaan segar digunakan bagi menghasilkan pookalam atau pookolem.

Sambutan Onam yang juga diraikan bagi meraikan musim menuai dikaitkan pula dengan mitos Maharaja Mahabali datang melawat rakyat jelata yang pernah hidup penuh bahagia di bawah pemerintahannya.

Secara tradisi di Kerala, sambutan Onam adalah selama 10 hari manakala Thiruvonam diraikan semalam. Maka, kerja-kerja menghasilkan pookalam menggunakan bunga-bungaan biasanya bermula pada hari pertama.

 

TRADISI  POOKALAM 

Namun begitu, dalam kalangan komuniti Malayali di Malaysia, sambutan hanya pada satu hari dan pookalam juga hanya dibuat sekali. Walau bagaimanapun, elok juga kita mengetahui serba sedikit tradisi pookalam supaya memahami keunikannya.

Lukisan kolem menggunakan tepung beras, beras dan kerisik kelapa bertujuan memberi makan kepada hidupan kecil, burung dan serangga. Manakala pookolem pula tidak berpegang pada falsafah itu.

Bunga-bungaan yang terdapat di sekeliling rumah dan kawasan kediaman dipetik dan digunakan untuk menghasilkan pookalam berbentuk bulat dan penuh warna. Tidak ada pewarna digunakan kerana corak dihasilkan dengan bunga dan daun pelbagai warna.

Lazimnya, konsep dashapushpam diamalkan di mana 10  jenis bunga digunakan untuk menghasilkan pookalam. Namun begitu, tidak ada syarat rigid dan orang ramai boleh menggunakan seberapa banyak bunga yang mudah diperoleh.

Proses membuat pookalam bermula di titik tengah atau pusat. Pada hari pertama sambutan Onam, hanya bahagian tengah ini dihasilkan. Lapisan kedua yang lebih besar dibuat pada hari kedua menggunakan bunga warna lain. Demikianlah seterusnya selama 10 hari.

Secara tradisi di Kerala, bahagian pusat pookalam menggunakan bunga thumba atau Ceylon Slitwort yang dikenali sebagai ketumbit dalam kalangan orang Melayu. Bunganya yang berwarna putih dianggap suci dan sesuai digunakan untuk memulakan pookalam.

Gugusan bunga chethi yang berwarna merah terang mungkin menjadi pilihan pada hari kedua. Bunga ixora ini sangat mudah ditemui di Malaysia dan dikenali dengan nama seperti bunga pecah periuk, siantan dan jarum-jarum.

Bunga kebangsaan kita iaitu bunga raya dikenali sebagai chembarathi dalam bahasa Malayalam. Kelopak yang lebar dan merah terang menjadi pilihan untuk dijadikan lapisan bulatan keempat atau kelima. Bagaimanapun, tidak ada syarat khusus dan susunan bunga bergantung sepenuhnya kepada kreativiti orang yang menghasilkan pookalam itu.

Bunga telang yang terkenal dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia juga menjadi pilihan untuk menjadikan pookalam lebih cantik, ceria dan memikat. Dalam bahasa Malayalam, ia dikenali sebagai shankupushpam.

Satu lagi bunga yang turut digunakan orang Malayali di Malaysia ialah marigold. Warnanya yang kuning terang atau jingga dianggap sangat bertuah dan suci dalam budaya Hindu. Bunga ini juga tahan lama dan mampu menambah seri pada pookalam.

Bunga kemboja juga dikenali sebagai bunga kubur dan cempaka di negara kita. Dalam kalangan orang Malayali pula dikenali sebagai arali dan mandaram. Bunga ini pada asasnya berwarna putih tetapi ada campuran warna merah, kuning atau merah jambu, sekali gus menjadikannya amat cantik dipandang.

Generasi muda mungkin tidak kenal nama bunga panggil-panggil atau pepanggil. Nama saintifiknya ialah Clerodendrum paniculatum atau dalam bahasa Inggeris disebut pagoda flower. Nama ini mungkin lebih kita kenali kerana menggambarkan rupa bunga warna merah yang bertingkat-tingkat seperti sebuah pagoda. Tentu sahaja komuniti Malayali di Malaysia turut mencari bunga ini untuk menghasilkan pookalam sempena perayaan Onam.

Di Malaysia juga ada beberapa spesis bunga tahi ayam atau bunga asam senyur. Salah satu jenis yang diberi nama saintifik Lantana camara dikenali sebagai kongini atau kakka poovu dalam kalangan orang Malayali. Bunganya kembang segugus dan berwarna merah, jingga atau kuning. Saiz kelopak yang kecil menjadikannya sesuai mengisi ruang-ruang kosong pada hiasan pookalam.

Satu lagi bunga kecil warna kuning menawan ialah mukkuti atau little tree plant dalam Inggeris serta nama saintifiknya Biophytum sensitivum.

Sebagaimana kongini, bunga ini juga dapat mengisi ruang kosong pada rekaan pookalam yang penuh ceria.

Bunga jamanthi dalam kalangan orang Malayali merujuk kepada bunga kekwa atau Chrysanthemum yang mudah didapati juga di Malaysia dalam warna putih, kuning, merah dan jingga. Memang kini bunga kekwa dicampur bahan kimia bagi menghasilkan kelopak warna biru, ungu dan sebagainya, tetapi tidak digalakkan untuk pookalam kerana tidak asli.

Selain pelbagai bunga tempatan yang mudah diperoleh, daun tulasi (holy basil) atau kemangi turut digunakan bagi melengkapkan perhiasan berbentuk pookalam pada lantai.

Bunga-bunga yang digunakan perlulah dipetik segar dari pokok pada awal pagi. Bunga itu pula disusun kuntum demi kuntum dan bukannya kelopak demi kelopak yang diasingkan.

Hiasan pookalam yang sudah siap eloklah direnjis air dari semasa ke semasa supaya kekal segar. Pada masa sama, elakkan pancaran matahari secara langsung ke atasnya.-UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×