Pas semakin dominan, bersedia terajui PN menjelang PRU16

Pas semakin dominan, bersedia terajui PN menjelang PRU16

PAS memiliki kelebihan berbanding rakan sekutunya dengan menguasai jentera akar umbi yang mantap, khususnya di negeri-negeri majoriti Melayu/Islam. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENJELANG Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, seterusnya Melaka dan Johor, sebelum mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), sudah pasti parti-parti politik sedang bermuhasabah untuk menumpukan strategi mempasak pengaruh parti dalam kalangan rakyat.

Gambaran pakatan parti politik yang mampu mendominasi transformasi suara rakyat akar umbi untuk menyaingi Kerajaan Madani menjadi perjudian kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap masa hadapan pakatan parti-parti politik tanah air.

Dalam konteks Perikatan Nasional (PN) misalnya, penamaan calon Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri dilihat mendahului nama-nama pemimpin politik pembangkang lain yang berani memperjudikan masa hadapan politik menjelang PRU16.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tidak terkecuali, Pas juga terkena tempias apabila ramai penganalisis melihat kecenderungan parti tersebut untuk meraih lebih banyak pengaruh politik pada masa terdekat ini.

Pas dilihat semakin mengukuhkan kedudukan sebagai kuasa dominan dalam blok pembangkang selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Dengan rekod 43 kerusi Parlimen, Pas muncul sebagai parti tunggal terbesar dalam PN manakala gabungan keseluruhan memperoleh 74 kerusi.

Kejayaan itu disokong penguasaan di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis serta 126 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menjadikan Pas sebagai tunjang utama dalam PN.

Pas memiliki kelebihan tersendiri berbanding rakan sekutunya. Ia menguasai jentera akar umbi yang mantap, khususnya di negeri-negeri majoriti Melayu/Islam.

Struktur organisasi di peringkat cawangan dan kawasan berfungsi bukan sahaja ketika pilihan raya, malah sepanjang tahun melalui aktiviti dakwah, kebajikan dan pendidikan. Ini membolehkan Pas mengekalkan sokongan teras pengundi serta memobilisasi kempen dengan kos lebih rendah tetapi berkesan.

Kemenangan besar dalam PRN enam negeri pada 2023, termasuk penguasaan majoriti dua per tiga di Kelantan dan Terengganu, mengukuhkan lagi reputasi parti.

Dengan rekod sebegini, Pas sudah memiliki ‘benteng selamat’ yang boleh dijadikan asas untuk mengembangkan pengaruh ke kawasan lain yang lebih kompetitif.

Tidak keterlaluan dikatakan parti ini boleh menterjemahkan undi majoriti orang Melayu yang mementingkan ukhuwah pemerintahan Islam sebagai pilihan alternatif para pengundi Islam di negara ini.

USUL PEMUDA: CALON PERDANA MENTERI DARI PAS

Momentum keyakinan ini turut diterjemahkan dalam Muktamar Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) baru-baru ini. Lebih 750 perwakilan sebulat suara meluluskan usul mendesak Pas mempersiapkan diri untuk memimpin PN dan menampilkan calon perdana menteri daripada parti tersebut.

Ketua Penerangan DPPM, Khairul Nadzir Helmi Azhar, menegaskan Pas mempunyai signifikansi politik nasional yang tidak boleh dinafikan, malah layak tampil sebagai peneraju PN.

Menurut Khairul Nadzir, pencapaian Pas yang memenangi kerusi tertinggi dalam sejarah, penguasaan empat negeri serta legitimasi sebagai parti tertua dalam politik negara memberi alasan kukuh Pas bersedia menawarkan kepimpinan utama negara.

Sementara Ketua DPPM, Afnan Hamimi Taib Azamudden, pula secara terbuka mencadangkan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, sebagai calon utama Perdana Menteri PN sekiranya diberi mandat.

 

CABARAN MENUJU 80 KERUSI

Walaupun keyakinan semakin tinggi, cabaran nyata menanti. Pertama, pembahagian kerusi dalam PN perlu diurus bijak agar tiada pertindihan antara Pas, Bersatu atau rakan lain. Jika rundingan gagal, peluang untuk memaksimumkan bilangan kerusi akan tergugat.

Kedua, Pas perlu menembusi kawasan campuran dan bandar. Sokongan tradisi Melayu/Islam mungkin menjamin benteng negeri sedia ada, namun untuk mencapai angka 80, Pas perlu memenangi kerusi di Perak, Pahang, Johor dan Selangor, kawasan yang lebih kompleks demografinya.

Dalam erti kata lain, Pas harus mengenetepikan pemikiran ekstrem meluncurkan manifesto parti itu menjelang PRU16 nanti bagi membuktikan parti itu juga sedia diterima oleh masyarakat Cina dan India.

Ketiga, faktor persepsi nasional. Jika Kerajaan Pakatan Harapan (PH)/Barisan Nasional (BN) berjaya menangani isu kos sara hidup, pengangguran dan kestabilan ekonomi, sukar untuk PN mencetuskan ‘gelombang hijau’ besar.

Namun, sebaliknya jika rakyat hilang keyakinan terhadap kerajaan, Pas berpotensi mengutip undi protes dalam skala besar.

SENARIO REALISTIK & OPTIMISTIK

Secara pragmatik, tiga senario boleh dijangkakan:
– Status quo: Pas mengekalkan sekitar 40 hingga 50 kerusi jika keadaan politik tidak banyak berubah.
– Optimum taktikal: Dengan rundingan kerusi yang baik dan kelemahan UMNO berterusan, Pas boleh mencapai 55 hingga 75 kerusi.
– Gelombang hijau: Dalam senario optimistik, jika berlaku keruntuhan sokongan besar kepada PH/BN dan PN memanfaatkan momentum sepenuhnya, Pas mungkin mencecah atau melebihi 80 kerusi.

Sasaran lebih 80 kerusi Parlimen pada PRU16 kekal sebagai cabaran besar. Ia memerlukan strategi pembahagian kerusi yang cermat, kempen yang mampu menawan pengundi bandar dan campuran, serta faktor nasional yang menguntungkan.

Pas kini berada pada kedudukan penting dalam sejarah politiknya. Dengan asas kukuh di negeri-negeri majoriti Melayu, sokongan akar umbi yang mantap serta keyakinan untuk menampilkan calon Perdana Menteri sendiri, parti ini semakin yakin untuk menerajui PN.

Jika Muktamar Tahunan Pas ke-71 meluluskan usul DPPM yang mahukan parti itu menerajui PN dan menampilkan calon perdana menteri daripada parti itu sendiri sebelum berlangsungnya PRU16 dan Bersatu setuju memberi ruang itu, kemungkinan lebih tinggi untuk Pas dan PN mencatat prestasi lebih memberangsangkan dalam PRU16.-UTUSAN

 

PENULIS ialah penganalisis politik di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini